Khamis, Disember 10, 2015

Gegar Vaganza Final; Ziana Zain Beri Semangat Buat Siti Nordiana


Umum mengetahui hampir kesemua lagu-lagu dendangan empunya nama Ziana Zain memang bernada tinggi, mencekik leher. Namun, itulah ikonik bagi penyanyi kening terjongket yang sering diseiraskan dengan JLO ini. 

Menjadi penyanyi senior yang masih kekal relevan dalam industri, pastinya suatu penghargaan apabila lagu asal dendangan empunya diri menjadi taruhan bagi salah seorang peserta finale Gegar Vaganza Musim Kedua yang akan berlangsung pada Ahad ini, 13 Disember 2015. Siti Nordiana, atau Nana dipertanggungjawabkan untuk melontarkan vokal bagi lagu Putus Terpaksa.


Bagi Ziana sendiri, lagu Putus Terpaksa pernah beberapa kali dinyatakan sebagai antara lagu paling sukar untuk dibawakan kerana nada tingginya yang sangat tinggi.  Maka, sebagai tanda sokongan, penyanyi kesayangan ramai yang juga ibu kepada empat orang cahaya mata ini sempat memberikan nasihat dan dorongan positif buat Siti Nordiana menerusi laman sosial Instagram.


Buat pengetahuan, Siti Nordiana satu-satunya penyanyi yang menerima lagu Ziana Zain dalam pertandingan ini dan sebanyak dua kali. Terdahulu, Nana membawakan lagu Madah Berhelah, bagaimanapun menerima kritikan daripada Ramli MS, sebagai kurang bertenaga.

Apapun, kita doakan yang terbaik buat Nana dan juga peserta Gegar Vaganza Musim Kedua yang melangkah ke peringkat akhir ini.