Selasa, November 10, 2015

Siti Nurhaliza Minta Tunggu Khabar Gembira...


Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin me­minta peminatnya bersabar dan menanti khabar gembira mengenai kehamilannya jika dia sudah disahkan berbadan dua nanti.Siti Nurhaliza, 36, yang tidak menepis atau mengesahkan spekulasi itu berjanji akan mengumumkan berita tersebut apabila tiba masanya jika penantiannya selama sembilan tahun untuk bergelar ibu menjadi kenyataan.


“Buat masa ini, saya belum bersedia memberi sebarang kenya­taan, nantilah. Saya mahu fokus kepada karier dahulu. Doakan ia (kehamilan) menjadi kenya­taan. Saya tidak akan menyembunyikan berita baik itu, tetapi bukan sekarang masa­nya. Doakan saya,” katanya sewaktu ditemui selepas Konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya lewat malam kelmarin.

Diasak persoalan me­ngenai gambar hidangan susu kambing bersama kurma yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya sehingga mencetuskan spekulasi kehamilannya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Biarlah Rahsia itu memberitahu, dia sudah lama mengamalkan pemakanan tersebut untuk kesihatannya.

“Saya sudah lama mengamalkan minum susu kambing dan makan kurma,” katanya ringkas.