Rabu, November 11, 2015

Sheeda Kecewa! Diperlekeh Juri Dan Peminat


Konsert minggu keempat Gegar Vaganza musim kedua yang berlangsung Ahad lalu, menyaksikan perjuangan penyanyi irama dangdut terkenal, Sheeda, terhenti.Menerusi tema ‘Berdua Lebih Baik’, Sheeda berduet bersama Aweera menyanyikan lagu Tiada Lagi. Akur dengan penyingkirannya pada malam tersebut, Sheeda atau nama sebenarnya, Rashidah Hamid, menyifatkan mana-mana peserta yang tersingkir sebagai kurang bernasib baik.

"Sejak mula menyertai Gegar Vaganza lagi, saya tak pernah terfikir saya atau sesiapa sahaja akan terkeluar pada minggu tersebut. "Sebaliknya saya sering ingatkan diri sendiri dan rakan-rakan supaya buat yang terbaik dan tidak membuat kesalahan pada malam konsert," katanya kepada Zass. Ditebak mengenai komen negatif yang diterimanya sejak minggu lalu selepas menyanyikan lagu NanaSheme berjudul Hantu Atau Buaya, Sheeda berkata, dia tidak memikirkan perkara tersebut, namun mengakui kecewa.


"Sejujurnya saya tak baca pun komen-komen di laman sosial termasuk di Instagram mengenai konsert. Tapi bila ada yang mesej personal saya dan minta saya tarik diri serta mencadangkan salah seorang peserta yang telah tersingkir untuk kembali berjuang, saya akui agak kecewa. "Lebih mengecewakan apabila ada juri memperlekehkan persembahan saya dan tidak memberi komen yang sepatutnya seperti tahap vokal saya, tetapi sebaliknya menyentuh hal yang tidak ada kena mengena.

"Saya sangat kecewa mengenai perkara itu. Saya bukan penyanyi yang baru setahun dua menyanyi tetapi sudah 20 tahun. "Malah untuk pertama kalinya saya mencuba menyanyikan genre lagu yang berlainan daripada dangdut," katanya. Sheeda berkata, perkara seperti itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada dirinya. Katanya, artis lama sepertinya sepatutnya diberi penghormatan dan bukannya diperlekehkan sesuka hati.

"Saya percaya mereka ada ahli keluarga perempuan. Cuba bayangkan apa perasaan mereka apabila melihat ibu atau anak atau kakak atau adik mereka diperlekehkan seperti itu di hadapan khalayak. "Saya boleh terima jika mereka memberi teguran mengenai vokal seperti yang dilakukan Datuk Ramli MS. Tapi bila komen lain, saya rasa dipersendakan dan dimalukan," katanya.