Selasa, November 03, 2015

EGTukar Guna Kabel Nafikan Hak Guru Yang Lebih Layak?!


Encik Ahmad dan Encik Ali sama-sama menghantar anak mereka belajar di sebuah pusat asuhan. Zainab anak Encik Ali agak rapat dengan Teacher Mona, berbanding Zaleha, anak Encik Ahmad yang sedikit pendiam. Ketika keputusan ujian diumumkan, Zaleha hanya mendapat 70% berbanding 99% oleh Zainab. Apabila diselidik, Zaleha memperoleh keputusan hasil daripada usahanya sendiri, berbanding Zainab yang terlebih dahulu berjaya mendapatkan soalan dan jawaban ujian menggunakan hubungan baik dengan Teacher Mona sebagai batu loncatan. 
Peristiwa di atas hanya analogi. Apa yang kita rasa jika kita adalah Zaleha, dan kita juga tahu akan perbuatan Zainab, tetapi malangnya kenyataan itu tidak dapat mengubah markah ujian yang sudahpun diberikan? Marah, sedih, kecewa, terkilan? Tepuk dada tanya jiwa sendiri...

Itulah juga sebenarnya yang dirasakan oleh guru-guru yang telah letih dalam menemui kegagalan dalam permohonan pertukaran guru menerusi sistem egtukar. Perlu diingatkan, catatan ini tidak membahaskan tentang sistem atau pengendali sistem atau merujuk analogi di atas, tidak menyentuh tentang Teacher Mona, sebaliknya tentang Zainab dan Zaleha, iaitu pemohon egtukar itu sendiri.

Sedar atau tidak, istilah menggunakan kabel dalam permohonan pertukaran guru ini sebenarnya wujud biarpun dinafikan sesetengah pihak. Pengalaman sendiri daripada kisah benar yang diceritakan oleh seorang pendidik tentang seorang guru lelaki yang baru posting bulan Julai, April depannya mengisi permohonan bertukar dan Meinya sudah pun berada di sekolah baharu. Cikgu lelaki yang sihat walafiat, bujang dan tidak ada apa-apa alasan yang terlalu konkrit. Kursus induksi pun belum hadir, apatah lagi sah jawatan. Apabila diselidik, memang nyata menggunakan kabel! 


Persoalannya, di sini adilkah perbuatan guru lelaki tersebut? Memang dia beruntung punya kabel, kenalan, orang dalam, atau apa-apa sahaja istilahnya. Tetapi apakah perlakuan seumpama itu adil? Kalau ditanya kepada Muz, tentu sahaja tidak. Bukankah, perbuatan itu secara tidak langsung sudah menafikan hak seorang guru lain yang lebih layak dalam pelbagai aspek, paling tidak sekalipun dari segi senioriti atau tempoh perkhidmatan?

Lalu tidak hairanlah apabila tiap kali musim egtukar, setahun dua kali akan kedengaran pelbagai keluhan, luahan dan rintihan para guru yang sedang berdepan pelbagai cabaran getir, sedangkan dalam masa yang sama ada pula rakan guru yang mudah pula bertukar meskipun jika diteliti mengikut prosedur yang betul sebenarnya tidak layak sama sekali.


Muungkin, ada sesetengah akan menggelarkannya sebagai 'rezeki'. Rezekikah namanya itu, jika markah 95% yang diperoleh Zainab adalah hasil melobi dan membodek cikgu untuk melihat soalan dan jawaban terlebih dahulu sebelum ujian dijalankan? Anda punya akal, fikir-fikirkan sendiri. Jika hari ini kita menafikan hak orang lain menggunakan cara yang tidak betul, esok lusa, akan ada pula orang lain yang menafikan hak kita dalam pelbagai rupa.


Hidup ini berputar. Bagaikan roda. Tulisan ini bukan kecaman kepada mana-mana individu atau pihak dengan sengaja. Cuma berkongsi kesal hati warga pendidik, lewat luahan mereka yang meruntun kalbu yang tertera pada laman sosial. Buat insan yang bernama guru yang jauh daripada layak untuk diluluskan permohonan bertukar tetapi masih gagal, ingatlah Tuhan sedang menyapamu tentang sabar dan redha. 

Senyumlah walau payah. Bertabahlah meski kadang kau goyah. Tuhan mengujimu sedaya yang ada. Boleh jadi engkau membenci sesuatu sedang ia amat baik buatmu, dan boleh jadi kau amat mendambakan sesuatu, sedang dambaanmu itu sebenarnya tidak elok buat dirimu. La tahzan....