Khamis, November 12, 2015

Anugerah Pertama Raja Ilya Dalam Tempoh Tujuh Tahun


Selepas tujuh tahun menceburi dunia lakonan, pelakon jelita, Raja Ilya mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2015 (ASK2015), kelmarin. Kemenangan aktres berusia 29 tahun itu dinilai berdasarkan potensi lakonannya menerusi drama Lorong Kecil Ke Syurga sekali gus menewaskan calon lain yang terdiri daripada barisan pelakon hebat iaitu Normah Damanhuri, Nad Zainal, Ellie Suriati dan Reen Rahim.
Terkejut dengan kemenangan itu, bahkan pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohamad sebak ketika menerima trofi kemenangannya.


"Sejujurnya, saya tak pernah mimpi untuk naik ke atas pentas dan menerima anugerah. Lebih-lebih lagi, hasil lakonan saya lebih menjurus kepada watak antagonis. "Tapi, saya tak sangka pula dengan watak antagonis pun, kita masih boleh memenangi anugerah kerana pada saya, anugerah seperti ini hanya untuk mereka yang membawakan watak-watak utama ataupun protagonis. "Sebab itu, apabila saya naik ke atas pentas, saya rasa sebak. Kalau boleh, saya mahu sebutkan semua senarai nama yang terlibat kerana kemenangan ini adalah hasil usaha daripada semua pihak. Alhamdulillah," katanya.