Rabu, Oktober 28, 2015

Zul Ariffin Cedera; Tisu Bahu Terkoyak!


Gara-gara melakukan senaman berlebihan, pelakon popular Zul Ariffin, 29, mengalami kecederaan apabila tisu bahu kirinya koyak, baru-baru ini. Kecederaan itu berlaku ketika pelakon drama Rindu Awak 200% ini bersenam di pusat gimnasium, Sabtu lalu.

“Saya yakin ia berpunca daripada senaman berlebihan. Sewaktu di gimnasium lagi saya sudah merasai kesakitan itu, tapi saya buat tak tahu saja.

“Keesokan harinya, apabila bangun tidur saya tak boleh gerakkan tangan ke depan. Saya terus berjumpa doktor pakar dan beliau mengesahkan tisu bahu saya terkoyak” katanya.


Disebabkan itu, Zul dinasihatkan berehat selama lebih sebulan bagi memastikan kesan koyak itu kembali pulih.

“Kecederaan ini agak serius sebab itu doktor menasihati saya supaya berehat dan tak boleh melakukan kerja berat.

“Ia tak perlukan pembedahan sebaliknya kecederaan sebegini akan pulih sendiri jika menjaga pemakanan dan rehat secukupnya” katanya.