Isnin, Oktober 05, 2015

Sudah Miliki 6 Lagu; Ziana Zain Masih Kunci Mulut Meski 15 Tahun Tiada Album Studio Penuh


Percaya atau tidak, sebenarnya Ziana sudah tidak muncul dengan sebarang sebuah album studio baharu sejak 15 tahun lalu di mana kali terakhir penyanyi ini melahirkan album Aku Cintakanmu pada tahun 2001.Justeru, apakah Ziana sebenarnya sudah tidak lagi berminat untuk mengeluarkan sebarang album mahupun lagu bagi mengubat kerinduan peminatnya yang sering mendambakan produk baharu daripadanya.

Kepada The Rakyat Post, anak kelahiran Merlimau, Melaka ini memberitahu perancangan itu tidak pernah padam. Malah, kata pemilik nama penuh Siti Roziana Zain ini sehingga kini dia sudah memiliki enam buah lagu yang hanya menunggu masa untuk dirakamkan.


“Pun begitu, saya tidak mahu mengulas lanjut atau berkongsi lebih tentang album baharu ini kerana saya lebih selesa untuk menunggu semuanya selesai, baru saya akan berkongsi kepada anda (media) dan peminat.

“Apa yang pasti, album itu tidak akan direalisasikan sehinggalah tahun hadapan. Seperti mana yang pernah saya katakan sebelum ini, saya terbuka kepada semua komposer tidak kira muda mahupun yang senior.


“Apa yang pasti, untuk album baharu kali ini, lagu-lagunya akan bersesuaian dengan jiwa saya seiring dengan usia saya ketika ini,” kata penyanyi lagu Menadah Gerimis dan Putus Terpaksa ini sambil melemparkan senyuman manis. - The Rakyat Post