Khamis, Oktober 22, 2015

Kualiti Udara Utara Semenanjung Semakin Merosot; USM Tangguh Semua Aktiviti Luar


Kualiti udara hari ini semakin merosot apabila enam kawasan di utara melibatkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 9 pagi ini.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan tersebut ialah Kangar di Perlis (242); Alor Setar (228), Bakar Arang, Sungai Petani (244) dan Langkawi (236) di Kedah; Seberang Jaya 2, Perai (272) serta Universiti Sains Malaysia (236) di Pulau Pinang.


Universiti Sains Malaysia (USM) menangguhkan semua aktiviti luar berkaitan akademi, penyelidikan dan ko-kurikulum berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pulau Pinang mencapai tahap sangat tidak sihat hari ini.

Pendaftar USM, Siti Zubaidah A. Hamid berkata, keputusan penangguhan itu dikeluarkan selepas mendapati bacaan IPU di negeri ini yang semakin teruk sejak pukul 3 pagi tadi.
"Semua notis pembatalan atau penangguhan aktiviti adalah tanggungjawab penganjur, pensyarah, jabatan atau pusat.

"Larangan ini juga terpakai untuk pengguna luar di USM termasuk di kampus induk, kampus Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam dan Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal," katanya di sini.