Selasa, Oktober 13, 2015

Fezrul Khan Akui Sunyi Tanpa Isteri


24 September lalu genaplah usia Fezrul Khan 33 tahun. Bagi meraikan ulang tahunnya itu, satu sambutan majlis hari jadi dianjurkan kelab peminatnya, DeFkhan’s Tribe pada 4 Oktober lalu. Bertemakan I Am A Movie Star, majlis itu berlangsung secara sederhana namun meriah. Apatah lagi kehadiran tetamu dan peminat dengan kostum masing-masing menceriakan lagi suasana.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Ia dirancang sepenuhnya kelab peminat saya dan Shaheizy Sam iaitu The Magician Family. Bukan apa, saya dan Sam berkongsi bulan lahir sama jadi mereka bergabung mengadakan majlis ini.


“Ini kali ketiga kami diraikan dalam satu majlis. Saya dan Sam memang rapat jadi tak ada masalah. Seronok dapat mengeratkan silaturahim dengan peminat masing-masing,” katanya.

Jelas Fezrul, selain aktiviti itu kelab peminatnya turut menganjurkan pelbagai acara termasuk percutian, minum petang dan menonton wayang. Dalam pada bergembira, Fezrul atau nama sebenarnya Fezrul Khan Junaidi terasa sunyi tanpa insan bergelar isteri di sisi.


Umum mengetahui, Fezrul dan isterinya, Noorhafizah Zulkafli, 31, bercerai pada 19 Ogos lalu selepas tiga tahun berkahwin. “Tipu kalau saya kata tak sunyi. Terasa berbeza apabila dia tiada. Apa pun saya perlu melawan perasaan itu. “Kehadiran keluarga, sahabat dan peminat sedikit sebanyak mengubat kesunyian itu,” katanya.