Rabu, Oktober 14, 2015

Doa Tahun Baharu Hijrah; Apa Hukumnya Sehingga Cetus Telagah Pendapat?



Setiap kali menjelangnya tahun baharu hijriah, pasti persoalan berkenaan dengan permasalahan bacaan doa awal dan akhir tahun akan ditimbulkan. Bukanlah niat penulis untuk menyalahkan mana-mana pihak, sama ada golongan yang mengharuskan bacaan doa tersebut atau golongan yang menganggapnya sebagai bidaah yang harus dijauhi.

Bagi penulis, amat molek jika permasalahan ini ditinjau dari sudut suluhan ilmu yang jelas, agar apa yang kita lakukan adalah berdasarkan kepada keyakinan dan bukan semata-mata mengikut adat atau kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat.

Perkara pertama dan utama untuk kita fahami berkenaan bacaan doa tahun baharu hijriah ini ialah ia termasuk dalam permasalahan khilafiah. Permasalahan khilafiah adalah permasalahan cabang dalam agama yang hukumnya adalah berbeza dalam kalangan ulama berdasarkan dalil dan hujah masing-masing.


Bagi ulama yang mengharuskan bacaan doa awal dan akhir tahun hijriah ini, mereka berhujah bahawa secara asasnya perbuatan berdoa adalah digalakkan dalam agama, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 186: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.

Ayat ini menjelaskan bahawa ALLAH SWT dekat dengan hamba-hambaNya. Justeru, mohonlah doa kepada ALLAH, pasti Dia perkenankan doa hamba-hambaNya. Malah berdoa juga adalah termasuk dalam perbuatan ibadah, sebagaimana hadis Rasulullah SAW: “Doa adalah ibadah”. Hadis sahih riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, dan at-Tirmizi.

Dalam hadis lain, disebutkan juga bahawa doa adalah merupakan otak (inti) kepada ibadah. Sabda Rasulullah SAW: “Doa adalah otak (inti) ibadah”. Hadis sahih riwayat at-Tirmizi dan at-Tabrani.



Persoalan seterusnya, adakah diperbolehkan untuk berdoa khusus pada akhir dan awal tahun? Ulama yang memperbolehkannya mengqiyaskannya dengan perbuatan Nabi SAW yang berdoa pada awal bulan: “Sesungguhnya Nabi SAW apabila melihat anak bulan, Baginda berdoa: “Ya ALLAH, perlihatkanlah bulan ini kepada kami dengan kebahagiaan, keimanan, keselamatan dan keislaman. Tuhanku dan tuhanmu adalah ALLAH”. Hadis hasan riwayat at-Tirmizi dan ad-Darimi.

Begitu juga dengan hadis lain ketika Baginda melihat anak bulan, baginda berdoa: “Semoga bulan ini membawa kebaikan dan petunjuk.

Kemudian Baginda bersabda: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kebaikan bulan ini. Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kebaikan bulan ini dan sebaik-baik ketetapan, dan aku berlindung denganMu dari keburukannya”. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Hadis hasan riwayat al-Haithami.

Seterusnya berhubung dengan kelebihan membaca doa awal dan akhir tahun hijriah, ia bukanlah sesuatu yang sahih datang daripada hadis Rasulullah SAW. Ia mungkin sahaja datang daripada para ulama atau orang-orang yang soleh. Namun kepercayaan kepada kelebihan yang diriwayatkan oleh para ulama dan orang-orang soleh tidaklah sampai kepada menjejaskan akidah selagi diyakini bahawa yang memberi manfaat dan mudarat adalah tetap daripada ALLAH.

Justeru, apa yang lebih penting untuk kita utamakan dalam hal ini adalah berlapang dada dengan setiap golongan, sama ada yang mengharuskannya atau menegahnya, kerana setiap golongan mempunyai hujah dan dalil masing-masing. Amat malang jika kita hanya sibuk berpolemik membicarakan perkara khilafiah dan saling menyalahkan antara satu sama lain sehingga meleraikan keutuhan perpaduan sesama kita. Bahkan lebih malang sekiranya sehingga menyebabkan kita lupa kepada isu-isu lain umat Islam yang lebih besar dan utama untuk kita fikirkan dan selesaikan.

Moga-moga ALLAH jauhkan kita daripada polemik yang tidak berpenghujung dalam isu-isu khilafiah ini, seterusnya menjadikan kita lebih berjiwa besar dalam menghadapi ujian dan cabaran zaman fitnah ini. - Sinar