Ahad, September 06, 2015

Ziana Zain Anggap Peminat Umpama Adik Beradik



Selepas lebih 20 tahun bergelar anak seni, penyanyi dan pelakon terkenal Ziana Zain, 47, bersyukur apabila namanya terus meniti di bibir peminat. Lebih membanggakan, penyanyi lagu Anggapanmu ini mempunyai kelab peminat diberi nama ZianaFolks yang ditubuhkan sejak 15 tahun lalu.Sejak awal penubuhan hingga sekarang, pelbagai aktiviti diadakan bagi mengeratkan hubungan sesama ahli dengan Ziana saban tahun.Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, setiap tahun pasti ada peminat baru menyertai aktiviti mereka.

“Mereka bukan sekadar peminat, tapi saya anggap sebagai adik-beradik dan saya memberi layanan sama rata. Kasih sayang yang dicurahkan dan kepercayaan mereka selama ini membuatkan saya terharu dan lebih menghargai kehadiran mereka.“Sokongan mereka tiada nilainya jika dibandingkan dengan wang ringgit. Tiada ungkapan lebih indah selain bersyukur kepada Allah SWT. Peminat adalah tulang belakang saya selama ini dan saya sangat sayangkan mereka,” katanya.Biarpun setiap ahli kelab dan peminatnya mempunyai personaliti berbeza, Ziana tidak pernah membezakan mereka.

“Mereka bukan saja melihat saya sebagai Ziana Zain, tetapi sebagai Siti Roziana Zain. Saya sentiasa berdoa agar silaturahim ini terus berpanjangan hingga ke akhir hayat. Terima kasih sekali lagi kerana menerima kehadiran saya dalam hidup mereka,” katanya. Selain mengadakan acara sambutan hari jadi Ziana, aktiviti wajib kelab peminatnya adalah bercuti.Jika tahun lalu Ziana dan ZianaFolks bercuti di Tanah Aina, Raub, Pahang, tahun ini Pulau Perhentian, Terengganu menjadi destinasi pilihan mereka pada 1 Ogos lalu

Selama tiga hari dua malam, percutian ini mendapat kerjasama Shahmie Travel Sdn Bhd bagi membawa 50 peminat.Turut serta, pereka fesyen terkenal tanah air Rizman Ruzaini; jurusolek, Sheila Mohd dan juga editor fesyen, Vee.“Setiap tahun kelab peminat saya memang merancang mengadakan aktiviti santai. Percutian kali ini adalah hadiah buat ahli kelab peminat yang tegar menyokong saya dari dulu hingga sekarang.“Inilah masanya untuk berkongsi cerita suka dan duka setiap peminat di samping dapat bertukar pendapat mengenai karier saya. Oleh itu setiap tahun saya memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih lokasi dan aktiviti yang ingin dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Presiden ZianaFolks Razak Ismail, 33, berkata, sikap dedikasi dan karisma dimiliki penyanyi bersuara lantang itu menarik minatnya untuk terus menjadi peminat nombor satu Ziana.“Ziana sangat menghargai peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya. Dia sentiasa berkongsi kejayaan dan memberi keutamaan kepada peminat sepanjang bergelar penyanyi,” katanya.Menurut Razak, sehingga kini ZianaFolks sudah mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

Berkongsi pengalamannya sepanjang menjadi presiden kelab, Razak berkata, aktiviti perkelahan di Pondok Impian, Janda Baik, Pahang pada 1 Mei 2005 paling tidak dapat dilupakan.“Itu adalah aktiviti luar pertama kelab peminat bersama Ziana. Ketika itu kami mengadakan sambutan hari jadi Ziana yang ke-37.“Menariknya, juadah aktiviti terbabit disediakan sendiri oleh Ziana iaitu asam pedas. Belacan untuk memasak lauk itu juga dibawa dari rumah bagi mengekalkan rasa asam pedas berkenaan,” katanya.