Isnin, September 07, 2015

Wan Embong Tampilkan Neelofa Sebagai Isteri Ketiga!



Sempena sambutan Hari Malaysia, syarikat penerbitan Zeel Production mempersembahkan sebuah telefilem hebat arahan Amie Maziah berjudul Wan Embong. Bakal ditayangkan di TV3, telefilem ini membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Faizal Hussein, Neelofa, Izreen Azminda, Vanida Imran, Johan As’ari dan Datuk Rahim Razali. Selaku pengarah, Amie menyifatkan Wan Embong karya dari hati apabila meraih kepuasan dalam keseluruhan garapan penceritaan. “Berbeza dengan arahan sebelum ini, Wan Embong buat saya rasa lebih puas. Bukan sebab karya semata-mata, tetapi emosi dibawa setiap pelakon cukup meninggalkan kesan.

Pertama kali bekerjasama dengan Neelofa sebagai Wan Embong, pengarah drama Trilogi Cinta ini seronok apabila pengacara Meletop itu berjaya memenuhi pemintaannya dalam menjayakan watak terbabit. “Neelofa menerima pandangan orang lain dan turut menyumbang idea. Apabila saya minta lebih dari segi syot dalam mana-mana babak, dia tak membantah. “Dia berjaya menyampaikan emosi Wan Embong dengan baik. Banyak babak berat memberi pengalaman baru buatnya. Sebagai contoh babak Wan Embong dibaling batu dan duduk dalam kolong.

“Begitu juga dengan pelakon lain, semuanya memberi seperti yang diminta. Paling penting, mereka tidak ‘membunuh’ watak orang lain sebaliknya saling membantu. Sebelum memulakan penggambaran mereka mengadakan perbincangan,” katanya. Jelas Amie lagi, sepanjang 14 hari penggambaran di Bukit Cerakah, Shah Alam, Gunung Lang, Ipoh serta Tasik Banding Hutan Belum, Grik barisan pelakon sangat komited meskipun ada 13 babak terpaksa dirakam semula. “Ini cabaran buat saya dan kru poduksi. Berikutan beberapa masalah, kami terpaksa melakukan penggambaran semula dan lebih parah ia membabitkan babak berat. “Saya lihat ia sebagai satu hikmah malah minta pelakon menganggap penggambaran sebelumnya sebagai latihan mereka,” katanya.