Jumaat, September 11, 2015

Trauma Diceraikan; Linda Rafar Sudah Tawar Hati Terhadap Syed Aiman


Bekas anggota kumpulan Elite, Linda Rafar akhirnya muncul di Mahkamah Rendah Syariah di sini untuk menyerahkan borang pengesahan lafaz cerai pada Jumaat. Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar, 37, tiba di kaunter pejabat pendaftar mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi ditemani oleh tiga kenalannya. Linda mendedahkan suaminya, Syed Aiman melafazkan cerai terhadapnya di kediaman mereka di sini kira-kira pukul 7.30 pagi Selasa lalu. Sementara itu, Linda dalam nada sebak memberitahu hatinya sudah tawar untuk menyelamatkan perkahwinannya dengan Syed Aiman.


"Sebelum diceraikan dia (Syed Aiman) tidak pulang ke rumah selama tiga hari kerana bekerja di luar kawasan namun selepas pulang dia berbeza dan langsung tidak bercakap dengan saya. "Saya ada menghantar WhatsApp bertanya tentang sikap dinginnya itu namun tidak dibalas dan dia tiba-tiba menceraikan saya pada pagi Selasa lalu. "Sehingga kini saya trauma dan fobia kerana tidak mengetahui punca sebenar tindakannya itu," ujarnya.


Tambah Linda, dengan keadaan dirinya yang sedang hamil tiga bulan, perceraian langsung tidak berada dalam pemikirannya ditambah dia baharu kehilangan anak kesayangannya, Rezaimen Keiflin, 12, pada Julai tahun lalu. Bagaimanapun kata Linda, dia berharap suaminya bertanggungjawab dengan tindakannya itu dan bukannya berterusan menafikan kejadian itu. Jelas Linda, dia reda dengan apa yang berlaku dan terus tabah menghadapi dugaan daripada Allah demi anak-anak dan bayi dalam kandungannya. "Saya cuma minta satu iaitu supaya dia bertanggungjawab dengan perbuatannya dan buang ego yang ada dalam dirinya.