Sabtu, September 05, 2015

Sepakat Selektif Dalam Lakonan; Memey & Norman Utamakan Anak-Anak


Memiliki anak yang semakin membesar dan memerlukan perhatian, pasangan pelakon Norman Hakim, 39, dan Suhaiza Suhaimi atau Memey, 26, mula memperlahankan langkah dalam bidang lakonan. Memey kini hanya mengambil tawaran berlakon yang tidak memerlukan masa lama di lokasi penggambaran dan di sekitar Kuala Lumpur saja. Dia agak selesa berlakon dalam telefilem yang penggambaran mengambil masa sekitar tujuh atau lapan hari saja. Terkini, ibu kepada dua cahaya mata ini sibuk di lokasi telefilem seram Tiga Tempat Kosong.


“Saya tidak akan berhenti berlakon, cuma akan mengurangkannya. Dalam keadaan sekarang, saya tidak boleh biarkan anak dibesarkan pembantu rumah kerana kasih sayang serta perhatian ibu sendiri tidak sama dengan orang luar. “Hubungan rapat ibu bapa dengan anak perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya apabila besar kita boleh jadi ‘kawan’ kepada anak. Mereka pula percaya dengan kita untuk meluah­kan segala masalah mereka. “Kami memang bekerja keras untuk memberi yang terbaik untuk anak tetapi pada masa sama, kami tidak boleh abaikan mereka. Kemewahan mestilah seiring dengan perhatian kepada mereka,” katanya.

Norman juga sependapat dengan isterinya itu yang mana keluarga fokus utamanya kini. Lantaran itu Norman lebih selektif dalam menerima watak. “Lakonan sudah sebati dengan saya, maka mustahil untuk meninggalkan bidang itu terus. Apa yang boleh kami berdua lakukan kurangkan rentak dalam arena seni dan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan untuk membolehkan kami meluangkan banyak masa dengan anak. “Rutin saya kini setiap pagi hantar tiga anak dengan bekas isteri Abby Abadi ke sekolah dan tengah hari mengambil mereka. Saya bahagia dapat menjalani kehidupan seperti bapa yang lain,” katanya.