Khamis, September 17, 2015

Ramli MS Pertahankan Che Ta; Tegur Edry Selar Kredibiliti Rozita Che Wan


Pengkritik tetap Akademi Fantasia 2015 (AF2015)  iaitu Datuk Ramli MS menyifatkan tindakan pengetua program itu, Edry Abdul Halim menegur cara kritikan Rozita Che Wan di khalayak ramai tidak seharusnya berlaku. Ramli berkata, Edry mahupun pihak luar salah faham mengenai tugas Rozita atau Che Ta, 42, yang hanya menjalankan peranan sebagai pengkritik awam dan bukannya seorang pakar muzik. "Pada minggu pertama, diakui saya nak gelak dengan komen Che Ta yang terlalu positif walaupun persembahan pelajar itu teruk. Jadi saya nasihatkan dia untuk beri komen secara jujur sebagai seorang penonton dan dia buat.



"Dan saya sokong setiap komen-komen yang diberikan. Cuma dia tidak tahu menggunakan ayat-ayat sesuai orang seni muzik gunakan. Dia bukannya orang muzik. "Dia bercakap mengikut apa yang dia rasa dan saya faham maksudnya itu. Saya anggap isu ini timbul kerana salah faham mengenai tanggungjawab yang diberikan kepada Che Ta. Mereka tidak faham tugas Che Ta sebagai wakil orang awam," tegasnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.