Sabtu, September 05, 2015

Neelofa Beremosi; Izreen Azminda Jadi Antagonis



Sempena sambutan Hari Malaysia, syarikat penerbitan Zeel Production mempersembahkan sebuah telefilem hebat arahan Amie Maziah berjudul Wan Embong. Bakal ditayangkan di TV3, telefilem ini membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Faizal Hussein, Neelofa, Izreen Azminda, Vanida Imran, Johan As’ari dan Datuk Rahim Razali.

Bermain emosi

Bagi Neelofa, 26, watak Wan Embong bukan calang-calang kerana perlu banyak bermain dengan emosi.
“Watak ini berat kerana tidak ada banyak dialog sebaliknya lebih kepada emosi. Saya terima tawaran ini sebab tidak pernah bawa watak sebegini dan jalan ceritanya pun menarik. “Selain pengarah, pelakon lain seperti Faizal Hussein, Vanida Imran dan Izreen Azminda sangat membantu. Kami sama-sama berbincang bagaimana mahu sampaikan sesuatu babak,” katanya. Sementara itu, Izreen Azminda, 30, yang sudah lama tidak menjayakan watak antagonis berpuas hati dapat menghidupkan karakter Chempaka.


“Saya rindu bawa watak gelap. Kali terakhir menerusi drama Julia di TV3, tiga tahun lepas. Puas dan seronok apatah lagi bekerja di bawah arahan Amie. “Kebelakangan ini saya nampak watak antagonis lebih disukai penonton,” katanya. Tambah pelakon Eksperimen Cinta ini, berlakon di samping Vanida Imran dan Faizal Hussein memberinya motivasi dan inspirasi. “Mereka banyak berkongsi ilmu. Ini gandingan kedua saya dengan Vanida manakala Faizal pula kali pertama. “Mereka tak sombong meskipun sudah lama dalam bidang ini. Pelakon baru perlu belajar daripada mereka cara bawa diri,” katanya.