Rabu, September 09, 2015

“Kalau Terlalu Memikirkan Soal Itu, Kita Boleh Jadi Gila" - Ziana Zain


Ziana Zain mahu lupakan 'drama lucu'


Lumrah buat anak seni apabila sentiasa dikaitkan dengan pelbagai cerita kurang enak. Baru-baru ini  pada majlis kemuncak Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW2015), Ziana berhadapan dengan situasi memalukan apabila mikrofon yang digunakannya ‘terbang’ ketika membuat persembahan. Bertambah buruk kejadian itu mula menjadi viral di media sosial. Tidak melatah dengan situasi itu, Ziana bagaimanapun menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘drama lucu’ sepanjang karier nyanyiannya.




“Kita harus faham apa sahaja yang melibatkan internet semuanya akan berlaku di luar kawalan.  “Kalau terlalu memikirkan soal itu, kita boleh jadi gila.  “Perkara ini memang sudah menjadi satu perkara yang biasa buat kami anak seni cuma bezanya sekarang semuanya lebih mudah dan ia berlaku hanya di hujung jari,” katanya. Selain insiden itu, Ziana juga pernah dikecam apabila dikatakan penampilannya tidak bersesuaian dengan imej bertudungnya.

“Saya tidak hirau apa yang mereka mahu katakan, kerana masing-masing ada kehidupan sendiri.  “Hati itu kena betul. Saya tidak kisah sekiranya mereka menegur dengan cara yang baik, malah saya bersyukur tapi kalau setakat dia menegur secara tidak sepatutnya dan menunjukkan mereka terlalu sempurna bagi saya itu tidak akan berkesan,” jelasnya. Menurut Ziana, dirinya sendiri tidak mahu ambil pusing dengan ejekan atau kata- kata negatif malah memilih untuk berdiam diri bagi menenangkan keadaan.

“Saya sendiri tidak pernah ambil pusing mengenai hal itu kerana ia hanya akan membuatkan saya sakit hati. “Lagi pun masih banyak lagi perkara yang perlu saya lakukan. “Tapi pada masa yang sama, saya sedar, terlibat dalam industri ini kita boleh dapat banyak perkara sama ada baik atau buruk,” katanya panjang lebar.


- Sinar -