Khamis, September 10, 2015

Jual Helmet Dengan Harga RM47000; Kisah Lelaki Ini Viral Di Laman Sosial


Unik dan sukar ditemui membuatkan sebiji topi keledar dijual dengan harga RM47,000. Itu alasan penjual topi keledar yang mahu dikenali sebagai Hazwan, 29, bagi menjawab pelbagai reaksi yang diterimanya selepas kejayaan dia menjual sebiji topi keledar dengan harga RM47,000 ‘viral’ di laman sosial Facebook (FB), baru-baru ini. Bapa kepada anak berusia lapan bulan dari Shah Alam itu berkata, topi keledar Shoei jenis J- Force II Jack Red berwarna merah yang dijual diperoleh dari Jepun melalui seorang perantara dari Singapura yang membuat bidaan harga sebelum dia membelinya dan dibawa masuk ke negara ini.


Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan harga topi keledar itu ketika membelinya. “Saya menganggap harga yang ditawarkan selepas melakukan bidaan iaitu RM47,000 itu sangat berpatutan berbanding harga sebenar lebih RM60,000. “Selepas seminggu dibawa masuk ke Malaysia, topi keledar itu dibeli seorang lelaki India berusia 30-an dikenali sebagai Mok yang juga penggemar dan pengumpul barangan itu pada Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam. Katanya, lelaki itu ada memaklumkan kepadanya dia sudah sekian lama mencari topi keledar berkenaan selain hobinya yang gemar mengumpul topi keledar.

“Dia (Mok) teruja ketika melakukan pembelian dan wang bukan halangan baginya untuk memenuhi kehendak dan kepuasannya,” katanya. Menurutnya, dia tidak mahu ambil peduli reaksi dan pandangan negatif yang dilemparkan segelintir pengguna di FB yang mengecam harga topi keledar itu. “Pada awalnya saya agak terkejut apabila gambar yang dimuat naik melalui FB saya menjadi ‘viral’. “Saya baru dua bulan menjalankan perniagaan ini dan alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penggemar topi keledar di negara ini. “Semuanya timbul kerana minat, tidak kiralah harga RM100,000 sekalipun kalau sudah minat itu semua bukan halangan,” katanya.


1 Komentar:

Write Komentar
10/9/15 4:02 PTG delete

wahhh topi keledar pun berharga dan sekarang nih...

Reply
avatar