Rabu, Ogos 12, 2015

Warga Emas Tinggal Di Bangsal Lembu Lepas Kematian Suami


Seorang warga emas berumur 74 tahun terpaksa menjadikan bekas bangsal lembu milik arwah suaminya sebagai tempat berteduh di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah sejak tiga tahun lepas berikutan kesempitan hidup. Che Su Jusoh yang tinggal seorang diri selepas kematian suaminya 20 tahun lalu terpaksa menghuni bangsal itu yang diubahsuai menjadi pondok usang yang serba kekurangan itu. "Sebelum ini mak cik tinggal di rumah sewa di sekitar Kuala Kedah tetapi terpaksa berpindah kerana tidak mampu membayar duit sewa. Mak Cik mengambil keputusan pulang ke kampung dan mengupah penduduk kampung memmaiki bangsal lembu milik arwah suami untuk dijadikan tempat tinggal," katanya pada Selasa.


Keadaan rumah yang berdindingkan zink dan berlantaikan kayu hasil bahan terbuang itu menyebabkannya selesa untuk menjalankan kehidupan seharian, katanya. Che Su berkata bagaimanapun dia sukar untuk mengerjakan solat kerana keadaan rumah yang sempit kerana hanya terdapat ruang tidur sahaja dan dia terpaksa melakukan segala aktiviti di ruang tersebut. "Memang kemudahan kurang kerana keadaan rumah tetapi mak cik nak buat macam mana. Mak cik tak mampu nak baiki atau tambah baik rumah kerana tidak larat untuk bekerja kerana sudah berusia," katanya. Beliau hanya bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.