Sabtu, Ogos 08, 2015

Misi Bantuan Adik Muhammad Irfan Afendi; Hulurkan Tangan Ringankan Beban



Ujian itu Allah hadirkan dalam pelbagai rupa dan setiap manusia tidak lepas daripada diuji. Bezanya ada yang diuji dengan kesenangan manakala ada pula yang diuji dengan kepayahan. Hari ini, Muz berpeluang menjejaki dan bertemu sendiri bapa kandung kepada adik Muhammad Irfan Afendi Bin Nor Izuan yang kisahnya dilaporkan akhbar baru-baru ini yang memerlukan kos yang agak besar bagi menjalani pembedahan hati. Akibat masalah berkenaan dengan organ tersebut, testis adik ini juga membengkak dengan agak besar. Misi Bantuan Adik Muhammad Irfan Afendi ini Muz tampilkan menerusi aliran kronologi di bawah...



  • Pagi ini, Sabtu. Hujung minggu ini ada program di sekolah. Lewat sedikit daripada biasa, Muz bertolak ke sekolah pukul 6.50 minit pagi. Sabtu kurang sedikit kereta, senang nak ‘merempit’... Haha. 7.30 sempat lagi singgah Pekan Genting Balik Pulau, beli empat biji kuih (Lepat Pisang, Karipap Pusing, Cara Manis, Keria)! Jiwaku memang tradisional bila bab makan kuih! Hehe...

  • Daftar lebih kurang pukul 7.45 pagi di Dewan Seri. Ramai juga cikgu yang meng-ushar Muz hari ni. Sempoi sedikit pakaian hari ni. Semalam PK cakap boleh pakai apa sahaja, sebab YB Pulau Betong ada jemput Rumah Terbuka, Muz pun belasahlah kasual. Sekali tengok, cikgu lelaki lain pakai batik! Hahaha... Tak apa rumah kita dengan sekolah hampir 40KM, tak logik nak patah balik. Alasan boleh terima tak? Nasib tak kena tegur dengan boss! Huhu...

  • Lepas daftar, Miss Liew tegur nampak macam kurus dekat foyer dewan. Muz tak tuck in jadi tak nampaklah spare part yang memang tak diperlukan! Bilalah nak ada six pax ni! Hahaha... Tiba-tiba PK panggil! “Muzzam, tu ada projek kita...” Muz, blurr kejap. Projek apa pula ni, tak tahu apa! Hoho.

  • PK jalan ke sebelah meja pendaftaran. Muz ikut. Rupanya tentang nak kumpul dana untuk adik yang menderita sakit hati yang menurut keratan akhbar yang dipaparkan bersama tabung di sebelah meja pendaftaran. PK minta Muz tolong sampaikan lepas habis majlis di Hospital Seberang Jaya, denga Cikgu Nora. Sebabnya, kami inilah geng yang duduk seberang tapi tetap setia mengajar di Balik Pulau!  Tak apa bulan 9 isi egtukar! Hehe...

  • Majlis Anugerah Akademik yang dirasmikan YB Teluk Bahang, tamat kira-kira 11.20 pagi. Ada dua balang berisi wang kutipan. Hebahannya disempurnakan oleh pengerusi majlis. Kutipan ini serupa kutipan kilat. Terus dilancarkan hasil tindakan PK dan guru-guru yang begitu tersentuh hati melihat dan membaca berita tentang adik Muhammad Irfan Afendi di akhbar semalam.

  • Duit dah kira, sampul pun dah cari. Tak adalah banyak sampaikan boleh terus menampung kos pembedahan semua. Tetapi adalah sedikit yang kami kira boleh meringankan beban yang dialami keluarga yang sedang diuji ini.

  • Muz dan Cikgu Nora asing-asing ke Hospital Seberang Jaya. Masing-masing ada urusan sedikit kurang lebih 1.05 minit kami bertemu di perkarangan hospital. Menjejaki adik ini di Wad Pediatrik, Nurse memberitahu, adik ini baharu sahaja kena discharge. Dah balik rumah! Mujur mahu memberikan sedikit maklumat, kami cuba pula menjejakinya di rumah (Maaf Muz terpaksa merahsiakan alamatnya).

  • Sampai sahaja di kawasan perumahan yang dimaksudkan oleh Nurse, tak adalah jauh sangat dalam kira perjalanan lebih 20 minit dari hospital, kami tak dapat cari! Waze cakap tak ada GPS. Haha... Terjumpa Uncle Gudang Bawang. Muz turun tanya, baik sungguh Uncle ni layan Muz. Thank you Uncle. Penerangan diberi jelas. Kami patah balik masuk lorong seperti yang dinyatakan.

  • Bila dah sampai lorong tersebut nampaklah bangunan, tapi takkanlah nak pi jenguk setiap rumah. Kebetulan nampak satu kereta tengah punggah barang, apa lagi, turun tanya. Pepatah kata malu bertanya sesat jalan. Rupanya, abam polis! Salam diberi, disambut dengan sungguh mesra. Dan selepas itu kami di-escort abang polis berdua ini menjejaki rumah yang dicari.

  • Bila sampai rumah yang dimaksudkan tak ada orang, jiran bagi petunjuk lain. Abang polis tetap jadi penunjuk jalan kepada kami. Dan Alhamdulillah sampai! Abang polis minta maaf sebab ada kerja pemunggahan barang sebab nak masuk office baharu, jadi setakat itu sahaja boleh tolong. Muz ucapkan terima kasih setinggi langit. Sempat bergurau kata nak ambil gambar, mereka gelak saja... Serasanya, seperti dihantarkan Allah dari langit mereka berdua ini untuk menunjuk arah kepada kami.

  • Berjumpa dengan ahli keluarga bayi ini, kami mendapat tahu adik Muhammad Irfan Afendi masih di hospital. Ada missunderstanding. Sebelumnya kami cuba menelefon dengan nombor perhubungan yang diberikan dalam akhbar tetapi tidak berjawab, sebab itulah langsung menjejaki alamat. Dan selepas berbual dan mengambil nombor contact ayah Adik Irfan, kami kembali semula ke hospital. Tak susah pun, sebab nak tak nak memang kena kembali ke hospital sebab Muz tinggal motor dekat sana!

  • Dan akhirnya kami berjumpa sendiri dengan Adik Irfan dan ayahnya Encik Nor Izuan di lobi hospital. Sebenarnya, adik Irfan dah discharge. Cuma bapanya ada sedikit kerja yang perlu diuruskan. Termasuklah ibunya yang sedang menguruskan kenderaan daripada jiran dan kenalan untuk menjemput pulang adik Irfan kembali ke rumah. Sejurusnya perbualan kami berlangsung...

  • Asalnya kami dikhabarkan Adik Irfhan dah sakit lama. Dan awalnya, mereka redha dengan ketentuan Allah kepadanya. Disebabkan kesederhanaan hidup, mereka tidak mampu untuk mengambil tindakan lanjut, sehinggalah, isteri Encik Izuan mengambil pendekatan berkongsi di laman sosial, sebelum dikunjungi akhbar dan tersebar kepada pengetahuan masyarakat.

  • Untuk pengetahuan umum, Encik Izuan bekerja secara tidak tetap, manakala isterinya seratus peratus menjaga Adik Irfan yang merupakan anak sulung pasangan ini. Mereka juga mengalami masalah keluarga dan keadaan Adik Irfan menyulitkan lagi keadaan. Menyedari hakikat, bahawa tidak boleh berdiam diri, akhirnya Encik Izuan dan isteri terpaksa juga meminta bantuan umum untuk meringankan beban bagi menyalurkan dana pembedahan Adik Irfan. Kata Encik Izuan, dulunya pipi Adik irfan montel dan semakin lama semakin cengkung sehinggakan tangan anak ini seperti tinggal tulang. Muz sempat menelek tangan anak kecil itu... Ada kesan suntikan jarum yang seperti sedikit lebam,

  • Kami berbual lagi tentang Adik Irfan sampailah terbit perkataan ini daripada bibir Muz, “Orang Malaysia ni prihatin...” dan pantas Encik Izuan menyambut kata. Menurutnya sejak tersebar maklumat tentang diri semasa keluarga mereka, ramai pihak yang menghubungi. Bergenang air matanya menceritakan insan-insan yang prihatin dengan nasib anaknya walaupun tidak pernah kenal, tahu atau bersua, tetapi rela dan sanggup untuk menyumbang buat meringankan beban mereka sekeluarga.

  • Meninggalkan bapa muda itu bersama anak lelaki yang sedang diuji, sehinggalah menaip baris-baris kata ini, Muz masih terbayang, wajah kecil polos yang silih berganti memandang Muz dan Cikgu Nora. Terkebil matanya melihat kami berdua. Sekejap dilihatnya Muz, dan sekejap Cikgu Nora. Dan saat Muz sedar bergenangnya mata si ayah, sekilas itu juga Muz perasan mata si kecil itu turut berkaca. Luluh sebenarnya kepingan hati melihat anak kecil itu berhadapan ujian sebegini besar. Tetapi sebagai hamba yang beriman kita akur dengan ketetapan Allah.

  • Sesungguhnya, setiap daripada kita pasti akan diuji. Ini bahagian Adik Irfan dan Encik Izuan sekeluarga. Apa yang Muz pegang dalam hidup, sehebat manapun juga bicara redha daripada Allah, semuanya itu adalah selari dengan kesanggupan upaya diri insan yang diuji. Sebagai orang luar, berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita barangkali tidak berdiri pada kaki mereka, namun kita mampu memberi, biar sedikit, asalkan yang sedikit itu setidak-tidaknya membantu meringankan beban mereka.

  • Pada kesempatan ini, Muz merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak pentadbir sekolah SMK Seri Balik Pulau atas inisiatif ini, juga kepada semua warga SERI yang menyumbang bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga ini. Kita mendoakan keluarga ini diberikan kekuatan dan ketabahan hati bagi meneruskan perjuangan dalam kehidupan. Sesungguhnya, Tuhan sedang berbicara tentang sabar dan redha, moga hati mereka kental menjawab bicara langit bertemankan doa kudus insan prihatin, rakyat Malaysia yang berjiwa penyayang. Bagi mereka yang mahu menghulurkan tangan dan meringankan beban boleh menyalurkan dana pada AKAUN MAYBANK 157091168530, atau langsung berhubungan dengan ibu bapa Adik Muhammad Irfan Afendi, iaitu (Izuan Md Nor – 0174068009) (Habibah Mat Daut – 0174990714).



Semoga setiap amal jariah yang diberikan akan menjadi saksi di akhirat sana... InsyaAllah!


1 Komentar:

Write Komentar
emma diana
AUTHOR
9/8/15 9:29 PG delete

semoga baby cepat sembuh ,

Reply
avatar