Sabtu, Ogos 15, 2015

Jiwa Sebati Dengan Lakonan; Tiada Istilah Bersara Buat Eja




Hampir dua dekad berkecimpung dalam bidang seni, lakonan sudah sebati dengan dirinya. Malah, kata pelakon berkaliber Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja, 43, walaupun sudah bergelar ibu dan berhijab, tiada istilah bersara baginya.  “Selepas berumah tangga dan mengandung, saya berehat hampir dua setengah tahun daripada bidang lakonan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada keluarga dan membesarkan anak. “Saya bertuah kerana suami cukup memahami dan tidak menghalang kembali berlakon, tetapi meletakkan syarat ke­utamaan mesti diberikan kepada keluarga  “Apa yang penting, saya perlu bijak memastikan keluarga dan karier seni bergerak seiringan,” katanya. Eja turut menegaskan dia akan terus aktif berlakon selagi ada tawaran kerana itu adalah periuk nasinya. “Saya masuk bidang ini kerana minat mendalam dan ikhlas dalam setiap kerja. “Sekiranya sampai masa meninggalkan bidang seni satu hari nanti saya mahu orang ingat kerja saya selama ini. “Selagi ada permintaan saya akan terus berlakon dan berusaha memartabatkan industri seni tanah air,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Silahuddin Jamaluddin dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Eishal, 7. - Metro