Isnin, Ogos 10, 2015

Gelar Keyboard Warriors Pengecut; Anuar Zain Tempelak Pendapat Individu Tanpa Laman Sosial Ketinggalan Zaman


Keterbukaan pengguna laman sosial hari ini membangkitkan rasa takut penyanyi popular Anuar Zain. Apatah lagi kebelakangan ini ‘kegilaan’ mereka yang digelar pahlawan papan kekunci (keybord warriors) seakan-akan tidak terkawal.Penyanyi yang popular dengan lagu Keabadian Cinta ini berkata, segala bentuk komen, kritikan dan apa sahaja disampaikan sudah tidak berlapik sehingga membawa kepada fitnah.“Selagi ada media sosial orang boleh komen dan kritik dengan sewenang-wenangnya. Bukan saja dalam kalangan artis, orang biasa juga terkena tempias.“Saya lihat perkara ini semakin parah. Kenapa tidak ada satu badan atau organisasi khas bagi memantau, sekali gus menyekat hal seperti ini. Bukan apa, saya terfikir apa akan jadi dengan nasib mereka jika meninggal dunia kelak,” katanya.



Senario menjengkelkan itu menjadi antara punca mengapa Anuar tidak mewujudkan akaun laman sosial.“Walaupun tidak ada laman sosial, saya tahu ramai mengkritik, menghentam dan melemparkan kata-kata kurang baik terhadap saya. Ada yang menyampaikan perkara itu.“Saya tidak akan baca komen berbaur negatif itu. Kenapa perlu saya baca jika ia mengundang rasa marah atau benci? Lebih baik saya diam,” katanya.Adik kepada penyanyi Ziana Zain ini secara sinis menempelak tanggapan segelintir pihak mengatakan individu tanpa laman sosial ketinggalan zaman.“Seseorang itu dilihat maju dan cerdik bukan pada kecanggihan teknologi, tetapi pemikiran. Jika seseorang itu ‘up to date’ dia pasti berfikir secara positif, berpengetahuan luas dan memberikan komen dan idea bernas,” katanya.Anuar turut menyifatkan ‘keybord warriors’ sebagai pengecut kerana hanya berani bercakap belakang dan menulisdi laman sosial.“Kenapa mesti menghina dengan melemparkan kata-kata negatif kepada orang lain? Itu semua hanya menjatuhkan darjat kita sebagai manusia.“Jika ada yang merasakan dengan cara menulis dan menghamburkan kata-kata negatif di laman sosial dapat memuaskan hati, biarlah. Kita doakan semoga mereka mendapat hidayah dan segera berubah,” katanya yang berpesan jangan jadikan laman sosial sebagai medium mengganggu privasi orang lain.