Khamis, Julai 09, 2015

Ziana Zain Akui Lagu Raya Moden Kurang Menyengat Berbanding Lagu Lebaran Terdahulu


Penyanyi Ziana Zain turut bersetuju bahawa lagu-lagu raya era ini terlalu moden sehingga mengetepikan nilai-nilai tradisional menyebabkan sesebuah lagu raya kurang menyengat berbanding lagu-lagu raya terdahulu.
Bagaimanapun, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 47, percaya, lagu-lagu raya turut mengalami evolusi dan transisi mengikut peredaran masa yang tidak dapat dielakkan. “Tidak adil untuk meletakkan salah 100 peratus ke atas bahu pencipta atau komposer kerana mereka juga sudah memerah idea dan bertungkus-lumus untuk menghasilkan lagu raya terbaik. “Cuma, impak yang ditinggalkan oleh lagu-lagu raya era ini tidak sehebat era dahulu yang kekal relevan sehingga kini. “Bagi saya, untuk mengembalikan ‘mood’ raya dalam lagu raya, perlu ada penceritaan yang kukuh. Lihat saja lagu zaman raya dulu, ketupat, rendang semua disebut dalam lirik!,” ujarnya bersemangat.


Ziana berpendapat, artis dan komposer zaman sekarang bertuah kerana segala-galanya boleh dikerjakan di hujung jari selaras dengan kemajuan teknologi dunia. “Dahulu, kena ke sana ke sini untuk buat promosi, sekarang semuanya di hujung jari. “Sebut apa sahaja media sosial, Facebook, Twitter dan Instagram, semuanya boleh jadi medan promosi. Media sosial sangat membantu dan sesebuah karya sampai kepada umum. “Walaupun album dan lagu raya zaman ini tidak lagi semeriah dahulu, saya yakin pendengar dan peminat masih dahagakan penghasilan lagu-lagu raya baharu untuk dijadikan peneman halwa telinga menjelang Lebaran,” katanya yang terkenal dengan lagu raya bertajuk Halaman Asmara duet bersama Awie.