Selasa, Julai 28, 2015

Umur Makin Lanjut; Ziana Zain Tidak Risau Kemampuan Bakat Menyanyi



Keputusan untuk berhijab pada tahun lalu, benar-benar memberi perubahan besar dalam hidup pelantun lagu Madah Berhelah itu. Bahkan, dia sendiri mengakui, dirinya berasa lebih tenang selepas berhijrah dalam penampilan.“Sudah setahun saya berhijrah. Apa yang boleh saya kongsikan, saya berasa lebih selesa dan tenang. Apatah lagi melihat respon orang ramai yang seolah-olah memang mengalu-alukan (perubahan) saya. “Bahkan, kalau kita lihat sendiri semakin ramai yang sudah berubah penampilan. Individu sudah penuh dengan insan yang sudah berhijab dan pada masa, kita masih boleh lagi berfesyen,” kata aktres filem Sembilu itu. Melihat rakan baiknya, Erra mengikut langkahnya untuk berhijab, dia tersenyum manis. Mengenangkan alangkah indahnya individu yang bersama membina nama di satu lapangan sama berubah ke arah lebih baik. 


“Dari awal lagi, saya sudah dapat agak. Melihat kepada cara dia (Erra) bercakap, saya merasakan mungkin tidak lama lagi (akan berhijab).“Maria sudah berhijab, Mariana pun sudah berhijab, industri semakin ramai dengan mereka yang sudah bertudung,” luahnya sambil mengenang kembali watak mereka berdua dalam filem Maria Mariana itu. Sungguh pun pelantun lagu Anggapanmu itu lebih awal melakukan perubahan, dia tidak pernah terdetik mahu meletakkan dirinya sebagai bahan rujukan kepada individu lain yang mahu berubah sama. “Kita jangan jadikan diri kita sebagai bahan rujukan. Saya juga baru berhijab tetapi jika orang ambil contoh daripada kita, itu satu cara yang buat saya rasa lebih bersyukur kerana dapat menarik lebih ramai lagi orang ke arah yang lebih baik,” katanya.


Melewati usia 47 tahun, pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain ini sedar kemampuan bakat seseorang itu hadnya. Apatah lagi dirinya mempertaruhkan suara yang ada. Biarpun mungkin ada yang membandingkan kelantangan vokalnya dahulu dan sekarang, hal sedemikian tidak menjadi satu kebimbangan buatnya. “Tidak pernah takut atau risau, bahkan saya sentiasa reda dengan keadaan dan ketentuan tuhan kerana rezeki yang kita miliki ini semuanya daripada Allah. “Umur sudah 40-an ini, saya jadi lebih yakin dengan diri. Boleh dikatakan inilah fasa tenang saya. Saya selesa dengan zon yang sedang saya lalui ini,” kongsinya. Pada masa sama, kata Ziana, dia merindui untuk kembali aktif dalam dunia lakonan. Kali terakhir dia tampil di layar perak menerusi filem Magika pada tahun 2010. “Apabila anak sudah besar, teringin juga nak berlakon semula. Cuma buat masa sekarang belum (ada peluang) lagi. “Rindu suasana untuk pergi ke set penggambaran,” luahnya. - Kosmo!

1 Komentar:

Write Komentar
28/7/15 2:28 PTG delete

semoga sama-sama terus istiqomah...

Reply
avatar