Rabu, Julai 29, 2015

Tahun Pertama Beraya Sebagai Isteri; Lana Nodin Tak Sedia Baju Raya



Walaupun jiwa Lana mekar menyambut kedatangan Syawal pertama sebagai seorang isteri, namun wanita berusia 35 tahun itu terpaksa berjauhan dengan keluarga demi menemani suaminya, David McKienzie yang terlibat dengan jelajah Persatuan Pemain-Pemain Bola Tampar Profesional (AVP) di Amerika Syarikat (AS) sehingga bulan Ogos depan. “Sambutan Aidilfitri tahun ini memang berbeza. Jika ketika bujang saya berkongsi kemeriahan hari raya bersama keluarga, kini saya menyambut kedatangan lebaran di sisi suami di Hermosa Beach, California, AS. “Memang timbul rasa rindu terhadap keluarga kerana terpaksa beraya jauh di perantauan tetapi saya sudah biasa beraya dengan mereka. Jadi, pertama kali beraya berjauhan bukan masalah besar bagi saya,” ujar Lana atau nama lengkapnya Mazlina Hasan Nodin membuka bicara.

Sungguhpun pertama kali menyambut Aidilfitri bersama suami, Lana mengakui tidak terlalu beria-ia dalam menyediakan persiapan dan kelengkapan hari raya mereka berdua. Ujar Lana, selain sibuk menemani suaminya berlatih, jelajah AVP yang melibatkan David juga berlangsung pada hari raya pertama. “Memandangkan jadual latihan David penuh dengan sesi latihan dan pertandingan AVP pula diadakan pada 17 Julai lalu, tidak banyak persiapan raya yang disediakan tahun ini. “Baju untuk digayakan pada hari raya pertama juga tidak disediakan. Bagaimanapun, saya tetap akan memasak hidangan istimewa seperti rendang sebagai tanda datangnya Syawal,” ujar Lana yang menghubungi keluarganya pada hari raya pertama menerusi perkhidmatan Skype. - Kosmo!