Rabu, Julai 08, 2015

Haramkan TV Waktu Maghrib



Ketua daerah Purwakarta di Jawa Barat, Dedi Mulyadi mengarahkan televisyen ditutup pada waktu Maghrib bagi membolehkan kanak-kanak solat berjemaah, belajar agama dan mengaji al-Quran. Dedi berkata, larangan berkenaan berkuat kuasa pada waktu solat Maghrib sehingga solat Isyak. “Pada waktu ini, budaya solat Maghrib berjemaah, membaca al-Quran dan belajar agama mulai Maghrib hingga Isyak sudah banyak ditinggalkan. “Ini semua berpunca daripada program televisyen yang tidak berguna pada waktu Maghrib yang menyebabkan kanak-kanak enggan mengamalkan budaya ini lagi,” katanya. Katanya, Ramadan waktu paling sesuai untuk menguatkuasakan larangan berkenaan kerana umat Islam meningkatkan amalan mereka sepanjang bulan suci itu. Menurutnya, dia sedar larangan itu tidak popular, tetapi dia sudah berbincang dengan pemimpin masyarakat, ketua mukim dan ketua kampung. “Saya mengarahkan mereka mempromosikan larangan tidak menonton televisyen mulai waktu Maghrib hingga Isyak,” jelasnya.