Jumaat, Julai 10, 2015

Had Umur Penunggang Motosikal Disaran Tambah; 310 Pelajar Terbunuh Tunggang Motosikal Dalam Tempoh 3 Bulan Tahun 2015




Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menaikkan had umur minimum penunggang motosikal kepada 21 tahun berbanding 16 tahun ketika ini.Presidennya, SM Mohamed Idris berkata had umur itu perlu dinaikkan kerana penunggang motosikal adalah pengguna jalan raya paling terdedah kepada risiko berikutan keadaan kenderaan yang tidak stabil serta tanpa perlindungan ketika berlaku kemalangan.Katanya motosikal ibarat 'mesin pembunuh' kerana 17 kali lebih terdedah kepada kemalangan berbanding kereta kerana reka bentuk dua roda kenderaan itu menjadikannya tidak stabil. "Setiap tahun, purata 465,000 kemalangan jalan raya berlaku dengan hampir 7,000 kematian dan 60 peratus atau 4,200 kematian itu adalah daripada penunggang atau pembonceng motosikal. Daripada jumlah itu, 40 peratus adalah bagi kumpulan umur 16 hingga 25 tahun," kata dalam sidang media di sini hari ini."Ia cukup mengejutkan untuk mengetahui 310 pelajar terbunuh manakala 84 lagi cedera parah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini," katanya sambil menambah ibu bapa harus melarang anak mereka menggunakan motosikal serta tidak membelinya untuk mereka.