Khamis, Julai 16, 2015

17 Tahun 7 Anak Tak Pulang Jenguk; Ibu Tua Ini Menumpang Kasih Jiran Pada Aidilfitri


“Walaupun sudah 17 tahun sudah tidak bertemu, saya masih mengharapkan 7 ana kandung pulang menyambut 1 Syawal bersama saya tahun ini,” kata Zaharah Sulong, 65, ibu tunggal warga emas yang tinggal sebatang kara di Kampung Bertam Baru, dekat sini, semalam. Zaharah berkata, walaupun hanya sekali sahaja seorang daripada tujuh anak menelefonnya dua bulan lalu, namun dia berharap mereka pulang menjenguknya, walaupun sekejap.



“Sebagai ibu yang memebesarkan mereka dengan penuh kasih-sayang sejak kecil, saya akui cukup sedih tidak dapat berjumpa dengan anak untuk melepaskan rindu. “Kadangkala hendak menitis juga air mata kerana terkenang anak yang tidak pulang ke kampung sejak 17 tahun yang lalu. Saya tidak mampu berbuat apa-apa dan berdoa keajaiban berlaku untuk mereka pulang menjenguk saya di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. Kisahnya yang disiarkan Harian Metro 25 April lalu memaparkan Zaharah mendakwa tinggal bersendirian setelah hampir 17 tahun diabaikan oleh tujuh anaknya. Dalam tempoh itu anaknya tidak pulang menjenguk dan bertanya khabar, malah hati wanita iut bertambah pilu apabila mereka juga tidak mengambil tahu tentang keadaannya ketika banjir besar Disember tahun lalu. Zaharah berkata, setiap tahun dia akan menyambut Aidilfitri dengan jiran terdekat yang cukup prihatin dengan nasibnya yang hidup sebatang kara.


“Mereka dianggap seperti keluarga sendiri menjadi tempat saya menumpang kasih. Saya tidak mengharapkan wang anak kerana saya mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Gua Musang Cuma yang saya harapkan mereka pulang ke rumah,” katanya.