Selasa, Jun 09, 2015

Video & Gambar Kemalangan Ngeri Pelumba Motosikal Negara, Zamri Baba


Pelumba SuperSports 600cc negara, Zamri Baba berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami kece­deraan serius akibat terlibat dengan kemalangan semasa perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, semalam. Menurut laman web www.mobilinanews.com, Zamri yang beraksi untuk pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing dipercayai gagal mengawal jentera yang ditunggan­ginya semasa pusingan keempat menyebabkan dia tergelincir ke arah penghadang keselamatan sebelum dilanggar dari belakang oleh Dimas Ekky Pratama. Kemalangan itu menyebabkan pelumba berusia 34 tahun itu patah tangan, selain mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di Hospital Petra Permata Sentul.



“Sejurus selepas kejadian itu, Zamri dikejarkan ke hospital dan kini berada di bawah pengawasan rapi,” kata pengajur Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dalam satu kenyataan. Difahamkan, Zamri mungkin dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di Jakarta atau di Kuala Lumpur. Sementara itu, di litar yang sama, turut berlaku satu lagi kemalangan melibatkan pelumba tuan rumah, M. Fadly Immammuddin dan pelumba dari Thailand, Jakkrit Sawangswa semasa di garisan penamat. Kedua-dua pelumba itu turut dikejarkan ke hospital selepas me­ngalami pelbagai kecederaan di bahagian kaki dan kini sedang berada di bawah pengawasan rapi.