Khamis, Jun 25, 2015

Tahun Kedua Berpuasa Di Malaysia; Hisyam Hamid Tak Terfikir Tambah Anak!


Hisyam Hamid, pelakon yang semakin meningkat naik berkongsi cerita bahawa tahun ini tahun kedua dia berpuasa di Malaysia dan gembira apabila anak dan isteri ada bersama. “Tahun lalu, dua minggu pertama saya bersahur dan berbuka seorang diri. Kali ini sangat istimewa kerana kami sekeluarga dapat berkumpul. “Selepas isteri menyediakan juadah bersahur, barulah saya mengejutkan anak-anak. Kemudian kami akan solat Subuh berjemaah. Jika tidak ada aktiviti seni, kami berbuka di rumah. Selain masak sendiri, isteri juga rajin ke bazar Ramadan,” katanya yang sibuk dengan penggambaran drama Memori Cinta Suraya dan akan bercuti dua hari sebelum sambutan Aidilfitri. Ditanya soal menambah zuriat, Hisyam berkata, memandangkan ekonominya belum stabil dan kos sara hidup di Singapura semakin meningkat, cukup dengan apa yang ada sekarang. “Cukuplah dua orang. Bukan faktor kos sara hidup semata-mata, saya juga sibuk dan isteri pula membantu saya. Ikutkan, Nurish mahukan adik perempuan tetapi Hayden tidak mahu,” katanya. - Metro