Jumaat, Jun 26, 2015

Remaja Kutip Tin & Kotak Bantu Tampung Persekolahan Adik Di Kuantan Undang Perhatian



Rutin remaja Muhammad Syahrul Rostam setiap malam adalah berlegar-legar di sekitar Jaya Gading di sini, mencari kotak dan tin kosong bersama-sama adiknya Muhammad Nazirul Shafik.  Muhammad Syahrul, 17, akan menghulurkan kotak atau tin yang dijumpai kepada adiknya, Muhammad Nazirul Shafik, 9, untuk dimasukkan ke dalam plastik bagi memudahkan dibawa pulang ke rumah mereka di Perumahan Rakyat Termiskin di Jaya Gading.  Sebagai anak sulung, Muhammad Syahrul 'memilih' untuk berhenti sekolah pada usia 14 tahun, bagi membantu ibunya, Sharifah Noraini Syed Yaman Aziz, 35, mencari rezeki bagi memastikan adik-adiknya dapat terus menimba ilmu.  "Selepas berhenti sekolah, saya bekerja di pusat mencuci kereta dengan upah RM30 sehari. Sekarang saya mencari dan menjual kotak dan tin kosong. Jika bernasib baik, saya boleh bawa pulang RM20 sehari. "Tetapi, jika diberikan peluang, tentu saya mahu sambung belaja, sekurang-kurangnya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya dapat ke kelas kemahiran untuk menjadi mekanik," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama