Rabu, Jun 10, 2015

Ratusan Kenderaan Terkandas Di Laluan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP)



Hujan lebat lebih sejam petang tadi, menyebabkan ratusan kenderaan dari arah Puchong Jaya menghala ke Putrajaya terkandas, apabila laluan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ditenggelami air lebih  0.5 meter. Kejadian itu turut menyebabkan tempat letak kereta pusat membeli-belah terkenal IOI Mall, dinaiki air dan ratusan kenderaan pengunjung terperangkap. Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Farid, 30, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas, hujan lebat menyebabkan laluan lebuh raya itu hanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk tenggelam. Dia yang berada di tempat letak kereta kawasan komersil bersebelahan lebuh raya membatalkan hasrat menggunakan laluan itu untuk pulang. “Saya tengok air dah penuh atas jalan, ada pemandu lain selamba saja redah tapi saya tak berani takut enjin kereta rosak dimasuki air,” katanya. Hujan lebat turut menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah dari Puchong Jaya hingga ke persimpangan Kampung Baru Batu 14. Air hanya mulai surut kira-kira jam 6 petang dan kenderaan bergerak seperti biasa beberapa minit selepas itu. - Sinar