Jumaat, Jun 19, 2015

Pelita Di Bawah Purnama


Cinta. Cinta ini hanya didukung oleh lima aksara cuma, namun penangannya cukup berbisa. Ramai yang pernah berkata, antara seorang lelaki dan perempuan itu sukar untuk terjalin sahabat, kerna lambat laun pasti akan terbit suka pabila mesra mula sekata.  Barangkali, anggapan itu senada dengan dua hidup insan yang kisahnya termeterai lewat naskhah terbitan Anaasa Publication berjudul Pelita Di Bawah Purnama. Usia bukan penghalang untuk benih-benih suka itu bertunas di dalam jiwa Qairynn. Dia seorang gadis berjiwa lembut, lalu apabila didekati seorang lelaki, atmanya sepertinya terisi penuh. Aryan jejaka yang berjiran dengan Qairynn malah bersekolah di tempat yang sama dengannya, bezanya Aryan di Tingkatan Enam. Hubungan mereka ini zahir dalam ucapan sahabat, umpamanya bagaikan adik dan abang angkat, tetapi siapa mereka untuk menidakkan hadirnya bunga-bunga cinta? Apatah lagi buat gadis remaja seusia Qairynn yang jiwanya nanar membuai rasa. Mahu belai dan perhatian. Pingin sentuh dan hembusan. Setiap gadis remaja pasti menyulam angan, bertemankan jejaka, bergurau-senda, rasa disayangi dan menyayangi, lebih daripada itu selamat ketika didampingi. Qairynn barangkali terlajak dalam meletakkan sempadan hati, membuatkan jiwanya tergolek kepada Aryan melebihi had yang seharusnya diletakkan. 




Lalu tatkala hadir Maya di antara dia dan Aryan, terasa wujud lompong yang sebelumnya tidak pernah zahir dalam perhubungan. Maya teman seperjuangan Aryan yang menyimpan rasa dalam diam buat jejaka itu, berjaya menakluki hatinya Aryan. Dibisikkan kata-kata seperti jarum peniti untuk menetaskan ikatan antara Aryan dan Qairynn yang terjalin. Lalu lerailah sulaman, tatkala Aryan melakukan suatu kesilapan. Saat menerima kenyataan yang sukar tentang lelaki pertama yang mengetuk hati Qairynn, dia diuji lagi apabila insan kesayangan dijemput pulang ke negeri abadi. Hati mana yang tidak rapuh. Jiwa mana yang tidak goyah. Qairynn bagaikan hilang jejak. Jiwanya kosong. Deritanya bukan sedikit, tatkala begitu payah untuk menghadam sebuah hakikat pahit yang nyata. Dan saat waktu itu sudah berlalu, Aryan kembali lagi menagih jawaban. Lelaki itu kembali selepas lapan tahun segala yang lalu dilepas pergi oleh Qairynn. Apakah benci akan bertukar sayang? Adakah maaf bisa bertunas kembali? Pelita Di Bawah Purnama punya peleraian buat soalan hati...