Ahad, Jun 21, 2015

Kisah Lelaki Berkereta 20 Sen & Penunggang Motosikal OKU Di Tol Sungai Petani


Pagi itu saya memasuki tol Sungai Petani Selatan untuk cepat sampai ke hospital dekat tol Sungai Petani utara. Bila menghampiri tol Sungai Petani utara, saya menyeluk poket mencari duit RM1.60 bayaran tol. Baru sedar tak bawa wallet. Menyelongkar dalam dashboard kereta jumpa, duit syiling RM1.40 sen. Tak cukup 20 sen lagi. Saya memberhentikan kereta agak jauh dari rumah tol. Kepala ligat memikir mana nak cari duit 20 sen lagi. Selak pelapik kaki, buka bonet belakang, namun duit 20 sen tak ditemui. Nak telefon anak suruh hantar, tentu kena pusing jauh. Dalam hati mengingat Alah moga dipermudahkan. Nak masuk tol dan minta belas ihsan juru tol, rasa malu. Semasa berdiri luar kereta memikir jalan, seorang penunggang motosikal OKU memberhentikan motosikal roda empatnya menegur saya, bertanya adakah kereta saya rosak. Saya cepat mengatakan tidak. Masa itu saya hilang rasa malu meminta kepadanya 20 sen untuk mencukupkan bayaran untuk keluar tol. Dia gelak kecil dan mengeluarkan duit seringgit, dan menyuruh saya menerimanya. Dia berlalu dengan ucapan salam setelah saya menyatakan penghargaan kepadanya.



Mungkin kejadian ini Allah memperingatkan saya bahawa sekaya mana kita, sebanyak mana harta kita, setinggi mana kedudukan kita, sebaik mana kenderaan kita,  itu bukan bermakna kita sudah tidak perlu orang lain dalam hidup. Janganlah memandang rendah kepada mereka yang kurang berada, kerana suatu hari mungkin kita memerlukan mereka. Tuhan boleh takdirkan apa juga. Mungkin kerana kereta kita besar, hebat, kita memicit hon kepada kancil dan viva kerana lambat untuk memotong, picit hon kepada kapcai yang masuk ke lorong kereta atau tak mahu mengelak bila berselisih dengan motor dalam kampung. Mungkin juga Allah mahu membiarkan saya merasai untuk seketika betapa resahnya mereka yang tidak berada, tidak mampu..Sedangkan orang lain tidak kecukupan sepanjang hidup. Mungkin juga Allah mahu mengingatkan saya bahawa setiap siling adalah rezeki dari Allah, besar nilainya. Ada ketika siling yang jatuh dibiarkan tidak dikutip, tetapi bila terjadi peristiwa ini mengajar betapa setiap siling besar nilainya di sisi tuhan. Siling 20 sen yang saya cari waktu itu untuk mencukupkan bayaran tol tidak ternilai harganya.

Bila kita ditimpa kesusahan, bila kita dalam keadaan meminta dan mengharap, kerap kali yang datang menolong adalah mereka yang kurang berada. Berapa banyak kereta yang berlalu begitu sahaja, tetapi OKU yang bermotor inilah yang sanggup berhenti bertanya masalah dengan hasrat untuk menolong. Allah selalu menegur kita, cuma kita yang tidak terasa teguran itu kerana kita mahu memikirkan setiap peristiwa yang berlaku kepada kita, yang dinampakkan kepada kita. Kita melalui semua adegan hidup bagai menaiki kereta api ekspres. Berhentilah sejenak untuk memikir kerana di dalam Quran, Allah ada menyebutkan 'sebagai peringatan kepada mereka yang mahu berfikir'. Ambillah langkah untuk mula memikirkan.


p/s: Cerita ini dikongsi menerusi aplikasi Whatsapp


2 Komentar

Write Komentar
21/6/15 3:33 PTG delete

Thank you for the sharing.... ^_^

Reply
avatar