Sabtu, Mei 09, 2015

Ziana Zain Kongsi Kisah Pengorbanan Ibu


Menjelang Hari Ibu yang bakal diraikan pada Mei ini, Ziana berkongsi penghargaannya buat ibu tercinta, Robiah Abdul, 64 tahun. Menurut anak sulung lima beradik ini, pengorbanan ibunya masih segar dalam ingatan. Masih ingat lagi sewaktu usianya 7 tahun, ibunya terpaksa bangun seawal jam 3 pagi untuk menggoreng kuih-muih. “ Bapa saya kemudiannya akan mengayuh basikal membawa kuih untuk dijual di kantin lapangan terbang Subang. Satu hari ibu jatuh sakit dan pada ketika itu saya dapat rasakan betapa besarnya pengorbanan ibu terhadap kami.” Kata Ziana.




Menurutnya lagi, waktu itu juga ibunya bertugas sebagai tukang masak di kantin Lapangan Terbang Subang untuk membantu bapanya membiayai perbelanjaan sekolah anak-anak. “ Maklumlah gaji bapa saya sebagai pegawai polis ketika itu tak banyak dan kami semua sedang bersekolah. Setelah bapa saya dialihkan ke ibu pejabat daerah Shah Alam, ibu kemudian ditawarkan kontrak untuk berkhidmat sebagai katerer,” cerita Ziana. “Setelah hampir tiga tahun berhempas-pulas, ibu terpaksa berhenti kerja kerana masalah kesihatan dan beliau tidak dibenarkan melakukan sebarang kerja yang boleh menganggu kesihatannya,” ujar Ziana akhiri bicara. – Majalah Manja