Jumaat, Mei 15, 2015

Selamat Hari Guru, Cikgu! Guru Membina Ilmu; Menyempurnakan Akhlak



Terima kasih cikgu! Panggilan keramat yang tidak mungkin akan aku lupa. Baik engkau pernah mengajarku mengeja ketika TADIKA. Atau suaramu mendidik tanpan lelah di bangku sekolah rendah dan menengah. Dan buat guruku di menara gading sana. Kalian insan teristimewa dalam hidupku. Yang pernah hadir mengisi riwayat hidupku. Terima kasih cikgu, kerana dengan kalianlah hari ini aku berdiri sebagai CIKGU! Selamat Hari Guru, buat pendidik seisi negara, Guru Membina Ilmu; Menyempurnakan Akhlak...




Sabarlah Cikgu

Ketika kerja keranian
dilonggokkan di mejamu
Di celahan buku-buku latihan
anak muridmu ada fail lusuh
berisi borang ini dan itu

Sabarlah cikgu

Ketika pelbagai dasar caca marba
digalaskan ke pundakmu
Relakan mereka melucutkan hakmu
Tanpa rotan di tangan
Dengan suara bisu
Teruskan juangmu
menjunjung ilmu

Sabarlah cikgu

Ketika anak-anak itu mencebirkanmu
Mereka hanyalah kain putih
yang tercemar lumpur dungu
Dari tempias cendikiawan
yang mengaku tahu
Persis sang tikus 
membaiki labu

Sabarlah cikgu

Ketika tugasan maya
menghenyakmu tak bermaya
Tugas hakiki terperenyuk
di hujung meja
Pelajar gagal kau yang ditanya

Sabarlah cikgu

Ketika kau diludahi
karenah pentadbiran yang ego
dan perasan
Dukung prinsipmu
biar prestasimu ditekan
Gaulkan semuanya di pinggan iman
Hirup hikmahnya biar kau
semakin KENTAL!!!!

Sabarlah cikgu...sabarlah

Luruskan dudukmu
Genggam pena ilmu
Dakap redha Tuhanmu
Kejayaan pasti menunggu...