Khamis, Mei 07, 2015

Gadai Nyawa Selamatkan Kucing Di Tingkat 11


“Saya terharu dengan sikap anggota bomba berkenaan yang sanggup bergadai nyawa turun melalui tingkap dari tingkat 12 rumah kami untuk menyelamatkan anak kucing saya yang terperangkap di tingkat 11.” Demikian perasaan dikongsi Siti Noor Hazimah Mohamad Hanipah, 23, terhadap kesanggupan sekumpulan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam menyelamatkan anak kucingnya berusia empat bulan itu, kelmarin. Menurutnya, kejadian bermula apabila ibunya terdengar kucing mengiau dari luar rumahnya di tingkat 12, Apartment Bukit Pelangi, Jalan Batu 3 Lama, Subang Jaya, petang Sabtu lalu. “Sebelum itu saya tiada di rumah dan meninggalkan 32 ekor kucing bersama ibu dalam keadaan baik dan apabila pulang, kami dapati cuma tinggal 31 ekor.


“Selepas puas mencari, barulah kami sedar kucing dipanggil Emon terperangkap di bumbung rumah di tingkat 11. Saya tidak berani untuk mengambilnya kerana bimbang terjatuh dari tingkat 12 dan terpaksa menelefon bomba,” katanya. Menurutnya, anggota bomba cuba menyelamatkan Emon melalui rumah jiran di tingkat 11, malangnya mereka tiada di rumah. “Mulanya saya putus harapan, tetapi tidak sangka anggota bomba nekad mengikat tali pada badan dan turun melalui tingkap rumah kami semata-mata mahu menyelamatkan Emon. “Alhamdulillah, selepas 40 minit berusaha, Emon diselamatkan dan saya memuji tindakan anggota bomba yang melakukan tugas dengan baik bukan sahaja menyelamatkan nyawa orang, malah haiwan,” katanya.