Rabu, Mei 20, 2015

Amar Baharin Nafi Populariti Dikecapi Lewat Kontroversi Percintaan


Sering kali dikaitkan dengan gosip percintaan bersama gandingan dalam drama bersiri lakonannya, Amar Baharin tidak ralat sebaliknya menganggap ia adalah kejayaan bagi naskhah lakonannya itu. Amar, 30, menolak dakwaan mengatakan populariti yang dikecapinya pada tahap ini adalah kerana kontroversi percintaan semata-mata. Baginya, gosip percintaan itu timbul kerana kejayaan drama bersiri itu sendiri. "Bagi saya, kejayaan sesuatu naskhah itu yang berjaya mengangkat pelakon-pelakon yang menjayakan drama itu sendiri. Malah bukan saya saja yang sering dikaitkan dengan gandingan bersama dalam drama kerana pelakon lain juga terpalit dengan kontroversi. "Benar sebelum ini saya dikaitkan dengan Izreen Azminda dan kini dengan Amyra Rosli pula kerana kami memegang teraju utama dalam drama dan menjayakan watak bercinta. "Mungkin kerana peminat sendiri suka melihat gandingan kami dan berharap agar kami bersama di luar layar pula. Namun saya menganggap ia sebagai kejayaan drama itu sendiri yang sekali gus mengangkat nama-nama pelakon yang menjayakannya," kata Amar ketika dihubungi BH Online.