Khamis, April 30, 2015

Minggu Setiausaha Ziana, Ning & Noryn Naik Taraf Ala Konsert Mei Ini



Pada 9 April lalu, Ziana Zain, Noryn Aziz dan Ning Baizura menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Mereka asalnya dijadualkan mengadakan persembahan serupa di Persada Johor Bahru, Johor pada 25 April lalu, namun ia ditangguh oleh penganjur, Switch On Entertainment ke 15 Mei ini. Penangguhan itu sebenarnya demi menaiktaraf persembahan mereka kepada sebuah konsert terbuka. Mereka mahu mengatur strategi baru untuk menghangatkan lagi persembahan. Ia dilakukan kerana sambutan memberangsangkan semasa mengadakan persembahan Minggu Setiausaha yang dinamakan Diva Malaysia Live, Queen of The City 2015. “Persembahan pertama pada 9 April berlangsung dengan jayanya apabila dewan dipenuhi penonton. Kejayaan menggabungkan tiga artis di atas pentas itu bukan sahaja merealisasikan impian peribadi saya, malah memberi kepuasan maksimum kepada tetamu,” kata Pengarah Urusan Switch On, Ritz Taher. Mereka membuat perubahan drastik menukar tarikh kerana jarak yang terlalu dekat serta mahu merubah strategi dan sedia mengambil risiko dengan menukarkan konsepnya kepada sebuah konsert. “Kebetulan pada tarikh itu, Ziana dalam mood ulang tahun kelahiran, pasti ada perubahan yang mahu dilakukannya. Demikian juga artis lain yang akan memilih koleksi lagu-lagu mereka,” katanya kepada Hits, Utusan Malaysia baru-baru ini. Selaian tiga penyanyi itu, pengacara Roslan Shah, Ifa Raziah dan Sharifah Shahirah juga dikekalkan untuk konsert di Johor Bahru nanti.