Jumaat, Januari 09, 2015

Cerpen: Jika Itu Takdirku



Arus masih lagi deras. Air coklat yang masih mengalir di luar sana meratah semua yang menghalang laluannya. Tidak ada sekelumit rasa kasihan. Baik tumbuhan, haiwan waima manusia semuanya menjadi bahan rempuhan. Harta-benda tidak perlu diperkatakan. Tidak terkira bilangan rumah yang ranap. Tidak terhitung bilangan kediaman yang runtuh dalam lautan lumpur yang tiba-tiba menghuni darat. Hujan masih lagi turun. Tidak jemu-jemu langit menangis. Menangis? Ah, adakah langit yang menangis atau dia sendiri yang sedang meratap hiba kini? Kalau tidak mampu menahan bibir, mahu sahaja dia memarahi langit! Mahu sahaja dia mencurahkan segala lahar yang menyeksa batin kepada kejadian alam itu. Kenapa tahun ini menangisnya luar biasa? Kenapa menangisnya tahun ini tidak punya noktah segala? Tetapi, jauh di sudut hatinya, ada suara yang menghalang. Andai dia berkata begitu, hakikatnya bukan kepada langit yang dilemparkan soal sebaliknya kepada Tuhan yang menentukan aturan ini.

Mata Mariana masih lagi menatap senario alam di luar sana. Dari tingkat tiga sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan, Mariana masih dapat melihat setiap kemusnahan yang telah dan sedang berlaku di luar sana. Puas sudah ibunya, Hajah Kalsom memujuk menyuruh Mariana berehat di dalam, berbaring atas lantai. Tidak ada alas. Hanya simen. Tetapi Mariana enggan. Bukan simen tanpa alas itu yang menjadi alasan. Bahkan andai ada tilam empuk bercadarkan sutera dan berbantalkan kapas yang paling lembut sekalipun, tidak akan berjaya sama sekali memujuk hatinya untuk merehatkan jasad barang walau sebentar.

Sudah masuk hari yang ketiga, dirinya mendepani hakikat yang sukar untuk ditelan.  Selama itu jugalah dirinya tidak terurus. Makan langsung tidak dijamah. Apalah sangat yang ada untuk dimakan. Adapun biskut sepeket. Sekeping biskut dibelah lapan dan di edar sesama orang kampung yang sempat menyelamatkan diri berteduh di bangunan sekolah itu. Itupun, mujurlah ada makanan dari kedai runcit sebelah yang hanyut ke aras bangunan tempat perteduhan mereka. Dapat juga beberapa orang pemuda kampung mencapainya dari koridor  tingkat tiga sekolah itu. Mengenang nasib yang dialami dirinya bersama orang kampung ketika itu memang menyedihkan. Bantuan sukar diterima. Tetapi dia tidak langsung menyalahkan mana-mana pihak. Pihak berwajib sudah berusaha menjejaki mereka yang berlindung di sekolah itu, tetapi cuaca cukup buruk mematahkan usaha mereka. Helikopter berlegar-legar di ruang udara tempat perlindungan mereka, bukan sekali dua, malah banyak kali tetapi melihat risiko, semuanya berpatah kembali. Hati-hati yang berasa sedikit tenang mendengar bunyi kipas kenderaan udara itu, kembali mengecut apabila bantuan yang disangkakan datang, pergi tanpa sempat disalurkan.

Namun, apalah sangat nak dibandingkan dengan kekecewaan yang ditanggung mereka ketika itu, berbanding dirinya yang sedang menanggung kenyataan yang lebih hebat daripada segalanya. Memang benar semua mereka ketika itu mendepani musibah bah luar biasa. Ada orang kampung rumahnya dihanyut. Ada ternakan yang mati lemas. Ada kenderaan yang tenggelam sepenuhnya. Ada rumah yang hanya nampak bumbung. Tetapi dia... Ya, dia... Mariana. Ada anak. Seorang. Itupun hadir setelah bertahun menunggu lamanya. Tetapi anak itu hanyut! Hanyut dibawa banjir. Dan semuanya berlaku di hadapan mata. Di depan mata seorang ibu yang mengandung dan melahirkan zuriat yang dinantikan selama ini. Dan zuriat itu tiada sekelip mata?

“Tak! Anak aku ada! Anak aku tak mati! Mana anak aku? Mana aku? Cakaplah, mana anak aku...” Pekikkan, lolongan dan raungan yang hiba itu mengejutkan mereka yang berada di dalam sebuah kelas di aras tiga bangunan itu.  Hajah Kalsom segera berlari anak mendapatkan Mariana. Turut membantu beberapa jiran mereka.

Mariana ketika itu sudah terjelopok  ke lantai. Raungannya tidak berhenti. Air mata tidak perlu diperkatakan lagi. Bimbang tindakan luar kewarasan akan berlaku, Hajah Kalsom dan beberapa jirannya memapah Mariana ke dalam kelas yang dijadikan  tempat tinggal mereka sementara. Mariana enggan. Tapi kudrat tiga wanita yang memaksanya, membuatkan jasad itu longlai mengikut arah tuju kaki yang mengatur langkah. Saat itu mata Mariana hanya memandang ke luar. Ke arah air bah yang berwarna coklat gelap yang seolah-olah sedang mentertawakan dirinya. Dan dalam ketawa itu dia nampak sesuatu. Ya, dia nampak sesuatu! Zahira! Zahira sedang tersenyum kepadanya!

“Akak, dah pengsan budak ni!” Kak Munah yang sedang memimpin Mariana menuju ke kelas terjerit. Hajah Kalsom yang di hadapan beberapa langkah terhenti semerta.

“Allahurabbi, Mariana!” Hanya itu yang tercetus dari bibir tua Hajah Kalsom.

*******************

Rumah Kasih. Pendek sahaja nama kediaman anak-anak istimewa itu. sekadar mendukung dua patah perkataan sahaja. Masing-masing mewakili rumah dan kasih. Kalau mahu membuka kamus, rumah didefinisikan sebagai sesuatu binaan yang dijadikan sebagai tempat tinggal. Manakala kasih pula mendukung makna perasaan sayang. Pendek kata rumah teres dua tingkat corner lot yang dijadikan sebagai kediaman anak-anak yatim ini memang kena namanya sebagai Rumah Kasih. Sebuah tempat untuk berlindung daripada panas dan hujan. Dalam masa yang sama, anak-anak ini dibesarkan dengan penuh kasih-sayang.

Hari itu hari Jumaat. Masih pagi lagi walaupun embun sudah lama mengering dari hujung rumputan. Mariana selesa di luar rumah teres dua tingkat corner lot yang dindingnya berwarna putih gading itu. Sesekali matanya menatap batu-bata yang berdiri teguh membina bangunan itu. Bibirnya mencetuskan senyuman kecil. Putih. Warna yang sering dikaitkan dengan kesucian. Fikirannya pantas teringat akan satu artikel yang dibaca dalam sebuah majalah. Jika dibuat perbandingan, warna putih itu serupa dengan peribadi anak-anak yatim yang menghuni di Rumah Kasih itu.

Rumah Kasih merupakan sebuah rumah penjagaan anak-anak yatim dari usia bayi sehinggalah berumur 12 tahun. Rumah penjagaan anak-anak yatim ini merupakan salah satu daripada program amal yang dikendalikan oleh Yayasan Az-Zahrah yang dinaungi oleh Datin Maimon, isteri kepada seorang tokoh perniagaan terkenal di negeri ini, tetapi cukup mempunyai sekeping hati yang mulia dan peribadi yang terpuji. Langsung tidak mendabik dada dengan kekayaan yang dimiliki. Kontras sangat dengan watak orang kaya yang selalu dihidangkan lewat pembacaan seumpamanya dalam novel waima di kaca televisyen menerusi tayangan drama.

Panjang kisahnya, macam mana Mariana boleh terjebak untuk menjadi sebahagian daripada Rumah Kasih ini. Nak kata dia salah seorang penghuninya, macam merepek pula. Memang betul dia anak yatim sebab telah kehilangan ayahnya lama dulu, namun ibunya Hajah Kalsom masih ada.  Semenjak peristiwa hitam yang berlaku dalam hidupnya ketika banjir besar melanda tiga tahun lalu di negeri asalnya, Mariana dan Hajah Kalsom nekad meninggalkan negeri itu dan berpindah ke sini. Nak kata jauh, tidaklah jauh sangat. Cuma negeri asalnya di Pantai Timur, kini dia dan ibunya berada di Pantai Barat. Walau bagaimanapun, meski sudah berubah tempat, walau jasad sudah beralih arah, mana mungkin sekeping hati mampu berubah sekelip mata.

“Zahira...”

“Mama panggil Ira ke?” Gadis kecil bertocang dua itu sengih memandang Mariana. Kening pula dijongketkan. Pada tangannya masih ada sudip mainan. Entah apa yang sedang dimasak oleh Ira bersama teman-teman seusianya itu.  Waktu persekolahan seperti ini, hanya anak-anak yang belum bersekolah sahaja yang akan tinggal di situ, manakala selebihnya bersekolah di sebuah sekolah rendah tidak jauh daripada kediaman itu. Kalau dicongak yang ada di rumah pada ketika itu cuma lima orang. Tiga perempuan dan dua lelaki. Yang lelakinya berada di dalam rumah sedang bermain permainan komputer sambil diawasi oleh Salmah.  Mariana pula di luar memerhatikan anak dara cilik yang rajin ‘memasak’ di bawah pohon yang rendang. Tambah pula seorang tetamu kecil bernama Ira atau nama sebenarnya Zahira.

Mariana telan liur. Nama yang dia berusaha untuk padamkan daripada ingatan. Nama yang dia cuba untuk melupakan. Bukan bermakna nama itu tidak membawa sebarang pengertian. Tetapi nama itu mendukung seribu keperitan. Dia menunggu hampir 7 tahun untuk disahkan hamil. Kahwinnya dulu ketika usia amat muda. Baru 21 tahun. Kata orang kahwin muda senang dapat zuriat. Lain pula kisahnya dengan dia. Suami yang dinikahi atas dasar suka sama suka sejak zaman bangku sekolah pula tidak sabar mahukan anak. Hari-hari bertanya soalan yang sama. Kadang-kadang Mariana rimas dengan persoalan tentang anak. Bukannya dia tidak berusaha. Bertemu doktor sudah dan dia memang normal, tak ada apa-apa masalah. Menjaga pemakanan juga sudah. Berurut sudah. Berubat secara tradisional juga sudah. Cuma suaminya yang liat mahu memeriksa keberadaan diri. Jika dipersoal tentang perkara itu pasti sepak dan terajang akan menjadi makanan jasad Mariana. Sampai suatu saat dia sudah lelah menghadapi semua itu dalam usia yang cukup muda.

“Abang, Ana dah mengandung.” Ceria wajah Mariana mengkhabarkan berita itu kepada suaminya, Mazlan. Mana tidaknya, tujuh tahun menunggu. Daripada umur 21 tahun mencuba, Tuhan hanya mahu mengizinkan rahimnya berisi ketika usia 28 tahun. Perancangan Maha Esa. Siapa dia untuk persoalkan.

Mazlan hanya acuh tak acuh. Mariana pelik. Bukankah selama ini suaminya pingin sangat akan zuriat. Kini, dia dah disahkan hamil kenapa reaksinya tidak teruja?

“Abang, Ana cakap ni, Ana dah hamil.” Mariana merangkul leher Mazlan. Rasa bahagia di hati mahu disalurkan pada suaminya. Penantian selama tujuh tahun itu bukan singkat. Hanya hati yang tahu betapa gembiranya dia pada saat dan ketika itu. Yang diharapkan, tentu sahaja kehadiran janin dalam kandungannya akan mengeratkan hubungan mereka suami isteri yang semakin hari semakin jauh. Komunikasi antara mereka hampir tiada. Sepatah dua untuk sehari. Kadang-kadang pertanyaan Mariana hanya dijawab lewat bahasa tubuh oleh Mazlan. Tetapi kalau mahukan nafkah batin, pandai pula Mazlan mencari Mariana.  Adakah seorang isteri hanya semat-mata untuk perkara itu?

“Abang...” Mariana yang membuka mulut untuk kali ketiga terhenti semerta. Mazlan menepis tangannya dengan kasar.

“Berapa kali kau nak bagi tau ni? Kalau kata mengandung, lembu kambing tu pun bunting juga. Masalahnya, kena beranak. Kalau setakat bunting tapi dua tiga hari lepas tu gugur, tak payah nak seronok sangatlah. Elok lagi lembu dengan kambing belakang tu. Subur. Beranak-pinak. Yang ada seorang dalam rumah ni saja tak ada guna! Hamil konon! Dah lah, aku banyak kerja!” Selesai memuntahkan isi hati, Mazlan bingkas bangun dari beranda rumah. Kunci motosikal dicapai lalu kenderaan beroda dua itu ditunggang entah menuju ke mana.

Mariana terkedu. Kakinya lembik. Kerusi di sebelah dicapai. Direbahkan batang tubuhnya menyandar pada kerusi kayu itu. Luluh hati mendengar bicara seorang lelaki yang bernama suami. Patah kata berbaur lembut sudah lama lenyap daripada bibir Mazlan. Panggilan mesra juga telah lama luput. Yang masih berbaki antara mereka hanyalah akad yang menyatukan. Mariana menelan liur. Perit dirasakan di celahan kerongkong. Dia tidak menyalahkan Mazlan. Lelaki itu sudah penat menunggu dia melahirkan zuriat. Masing-masing mereka jatuh suka ketika belajar dulu di Tingkatan Enam. Asyik menyulam cinta sehinggakan pelajaran terabai. Mujur ibu bapa kedua-duanya agak senang sedikit hidupnya. Tambahan, kedua-duanya anak tunggal. Harta pusaka pasti diwarisi. Tamat belajar selang setahun dua mereka bernikah. Namun kebahagiaan yang diharapkan berpanjangan hanya bertahan seketika cuma.

“Yeay, Papa datang! Papa datang!” Terloncat-loncat Zahira dibuatnya sekali gus mematikan lamunan Mariana.

Lelaki tinggi lampai sekitar 181 sentimeter dengan susuk tubuh sasa itu melangkah gagah masuk ke dalam perkarangan rumah. Semua orang di dalam rumah itu kenal dengannya. Mana tidaknya, anak lelaki kepada penaung Rumah Kasih sendiri. Damian Akhtar. Nama bukan main lagi. Sempat lagi hati Mariana mencebik.  Malas nak berlama-lama di situ, memandangkan Damian ada, Mariana pantas bangun dari tempat duduknya dan bersedia mengatur langkah menuju ke dapur. Alang-alang ada orang lain yang dah boleh tengok-tengokkan budak-budak di depan ni, ada baiknya dia ke dapur bantu Mak Jah apa yang patut. Lagipun, senang cerita Mariana kurang selesa dengan Damian.

“Nak ke mana tu Cik Mariana?”  Belum sempat Mariana meloloskan diri lewat pintu utama rumah itu, suara Damian sudah menerobos ke gegendang telinganya. Suara Damian yang macho itu sedikit sebanyak memberi getaran kepada hatinya. Dan Mariana teramat membencikan getaran itu. Mariana kejap bibirnya yang menggeletar. Tidak tahu kenapa, setiap kali berhadapan dengan Damian, dia akan jadi tak tentu arah. Bodoh punya hati! Sempat lagi suara dalam memaki diri sendiri.

“Saya nak masuk dalam Encik Damian. Nak tolong Mak Jah masak. Duduk luar pun bukannya ada apa lagi kan? Encik Damian lebih dari cukup tengok-tengokkan budak-budak tu.” Mata Mariana menunduk sahaja menjawab pertanyaan Damian. Tidak kuasa dia mahu bertentang mata dengan lelaki itu.  Sebagai seorang wanita yang pernah berkahwin, dia sedar siapa dirinya. Meski fitrah menyayangi dan disayangi selayaknya antara seorang Adam dan Hawa itu tidak mampu dikikis secara total daripada relung hati, namun Mariana cukup matang untuk meletakkan sempadan. Enggang selamanya akan terbang tinggi dan pipit pula hanya di tanah saja tempat selayaknya.

“Tapi saya nak tengok awak sama...” Damian bersuara perlahan saja. Saat itu dia sudah duduk bertinggung. Memerhatikan anak-anak itu bermain riang. Kanak-kanak, suatu usia yang baginya begitu indah sekali.  Usia yang polos. Bebas daripada dosa. Tenang daripada masalah. Tidak ada apa-apa yang sulit perlu difikirkan. Hanya ketenangan dalam menjalani kehidupan. Namun, hakikatnya bukan semua kanak-kanak ditakdirkan menjalani kehidupan seumpama itu. Mereka di sini, meski tiada ibu dan bapa juga saudara yang punya pertalian darah, namun diasuh, didik dan dibesarkan dengan sentuhan kasih sayang. Dalam masa yang sama ramai kanak-kanak di luar sana tidak berpeluang mengecapinya. Biar hidup bersama ibu dan ayah kandung sendiri. Ada yang didera. Ada yang terabai. Ada yang langsung tidak diambil peduli dan diserahkan seratus peratus atas bahu pengasuh.  Tetapi itulah namanya kehidupan. Tidak ada erti sempurna kerana sempurna itu milik Tuhan yang mencipta semata-mata.

“Nak apa Encik Damian?” Perlahan sangat suara lelaki itu tadi membuatkan Mariana perlu bertanya sekali lagi.

“Hah? Urm...Tak ada apa-apa. Tapi awak ni pun Mariana, berapa kali saya nak beritahu, tak perlu berencik dengan saya. Macam ada gap yang besar pula.” Dah lama Damian pesan kepada Mariana, panggil Damian saja. Tapi payah sangat Mariana nak menurut kehendaknya yang satu itu. Susah sangat panggil abang sajalah. Abang Damian! Kan sedap macam tu!

“Dan berapa kali juga saya dah pesan dekat Encik Damian, saya bukan lagi Cik tapi Puan. Puan Mariana.” Sengaja Mariana menekankan perkataan Encik, Cik dan Puan itu. Mariana tidak mahu orang yang mendengar salah anggap. Meskipun fizikalnya masih nampak serupa anak dara, tetapi hakikat tetap hakikat. Dia pernah berkahwin. Pernah melahirkan zuriat. Dan pernah juga kehilangan suami. Mariana tidak pernah terfikir menyembunyikan identiti sejarah hidupnya. Tak ada dosanya untuk bergelar janda seawal usia 32 tahun ini. Biar dia tahu masyarakat selalu memandang serong terhadap status janda itu, namun Mariana tidak kisah. Selagi dia mampu dia akan jaga peribadinya sebaik mungkin. Sebab itu jugalah dia tidak gemar Damian memanggilnya dengan gelaran Cik. Dan atas alasan yang sama panggilan Encik buat Damian tidak digugurkan. Biar ada batasan dalam perhubungan mereka.

“Kalau tak ada apa-apa, saya masuk dululah Encik Damian.” Mariana meneruskan langkah tanpa menunggu balasan daripada Damian. Sekejab lagi anak-anak akan pulang dari sekolah. Lebih baik dia ke dapur membantu Mak Jah. Paling tidak menghidangkan makanan tengah hari. Tak adalah kelam kabut sangat nanti. Biasalah hari Jumaat. Yang lelaki akan ke masjid menunaikan kewajiban kepada Tuhan. Biasanya Rumah Kasih akan memberi makan tengah hari kepada anak-anak lelaki dahulu pada hari Jumaat. Biar mereka ke rumah Allah dengan selesa. Tidak ada perut yang berkeroncong. Dapatlah dengar khutbah dengan tenang. Tak adalah terbayang makanan waktu angkat tangan takbir solat. Dan tak adalah tidak sabar bingkas dari duduk tahiyat akhir sesudah salam kedua.  Cuma kelakar pula bagi Mariana apabila anak-anak kecil ini bercerita usai pulang dari masjid. Katanya ada orang sedang main telefon bimbit. Ada orang pula tersenguk-senguk dek kantuk. Ada pula menyandar di dinding sedangkan usianya masih lagi muda. Ada pula yang sibuk mahu duduk di belakang sedangkan saf di hadapan masih penuh. Anehnya semua laku itu tersebut zahir daripada mereka yang lebih dewasa. Tatkala mendengar semua omelan anak-anak, Mariana selalunya akan gunakan riverse psikologi. Tidak perlu memburukkan sesiapa, sebaliknya gunakan pendekatan yang sesuai kepada anak-anak agar mereka tidak meneladani perbuatan yang tidak betul seperti itu.

*******************

Hajah Kalsom  panik. Satu-satunya anak yang dianugerahkan Tuhan kepadanya di buana ni pengsan. Cuaca di luar sana masih buruk. Bantuan tidak juga kunjung tiba. Keperluan mereka di sana tidak ada yang bisa membantu meringankan beban. Waima minyak cap kapak juga tidak ada. Mariana yang pengsan tadinya dibaringkan di atas tikar. Munah, jirannya menggunakan tangan mengibas-ngibas pada wajah Mariana. Biar ada udara sedikit. Hajah Kalsom memeriksa nadi Mariana. Masih berdenyut. Hajah Kalsom pejam mata. Sulit sungguh ujian Tuhan kepada mereka saat ini. Apatah lagi buat Mariana. Nafas yang memberat di dada dilepaskan perlahan-lahan. Jauh di sudut hatinya ada suara membisik.

“Jangan putus asa kepada Tuhanmu...”

“Berbaik sangkalah kepada Tuhanmu...”

“Dia tidak akan membebani hambanya melebihi kesanggupan upaya penerimaan mereka...”

“La Tahzan, Allah ada dan bantuannya begitu hampir...”

Suara-demi suara menujah telinga Hajah Kalsom. Suara itu bagaikan ada orang yang membisikkan kepadanya. Namun, kenyataannya, semua itu hanya suara hati yang mengilhamkan rasa. Suara yang hadir dek keimanan kepada Pencipta. Kepada siapa lagi perlu ada pergantungan, jika bukan kepada Allah, Tuhan sekalian alam? Ketika ini bantuan daripada luar tersekat sama sekali. Mereka bagaikan terkepung di sebuah pulau. Tetapi apakah mustahil bagi Tuhan untuk menurunkan bantuan? Tidak ada yang mustahil baginya.

Hajah Kalsom bingkas bangun. Semerta dia keluar ke koridor menuju arah paling hujung. Mujur surau sekolah itu di aras tertinggi sekali. Wuduk diambil. Kain telekung yang memang tersedia dalam surau itu dikenakan. Nakhah Al-Quran dicapai. Laju dia kembali kepada Mariana. Ayat suci adalah penawar buat anaknya ketika itu. Mariana lemah semangat. Bukan sahaja dia kehilangan Zahira di depan matanya sendiri, bahkan dia juga baru mengetahui satu kenyataan yang begitu sukar buat seorang wanita. Anaknya itu dimadukan oleh suaminya. Dan rahsia itu terbongkar dalam situasi yang begitu menyedihkan.

Alunan ayat suci yang kedengaran dalam ruang tempat mereka berteduh itu begitu menyayat hati. Seorang anak yang terbaring tanpa sedarkan diri. Seorang ibu yang mengalunkan bacaan ayat suci dengan penuh melankolik dan disertai wajah-wajah sendu di sekeliling mereka. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu mata Mariana yang katup terbuka. Dan gembiranya, bantuan daripada pihak luar yang ditunggu-tunggu juga muncul juga. Pihak Bomba dan Penyelamat akhirnya berjaya juga menjejaki mereka menerusi bot. Bersama mereka adalah beberapa sukarelawan dan bahan-bahan asas yang amat diperlukan oleh mereka yang berlindung di sini sejak tiga hari yang lalu.

*******************

Sejak seminggu yang lalu petugas di Rumah Kasih sibuk sangat. Hujung minggu itu akan diadakan Hari Keluarga Kasih. Satu acara yang menjadi tradisi rumah anak-anak yatim itu. Menariknya, bukan  anak-anak di Rumah Kasih sahaja yang akan menikmati keriangan pada hari tersebut, bahkan beberapa buah rumah anak yatim di luar sana turut dijemput oleh Yayasan Az-Zahrah bagi memeriahkan Hari Keluarga Kasih.  Dan kemuncaknya adalah hari ini. Ahad terakhir bulan Januari.  Sejak pagi lagi Mariana sudah sibuk membantu Mak Jah menyediakan makanan di dapur. Sebentar lagi van akan sampai membawa mereka ke padang sekolah berhampiran. Keizinan daripada pihak pentadbiran sekolah sudah diminta bagi tujuan aktiviti tersebut. Terlebih dulu sudah dua kali van yang dipandu Pak Amat menghantar anak-anak dan keperluan permainan yang sudah disediakan oleh mereka beramai-ramai sejak seminggu yang lalu. Cuma hadiah saja semuanya ditaja oleh Encik Damian, dan lelaki itu akan terus membawanya ke tempat acara menggunakan kenderaan mewahnya. Tempoh hari Mariana diajak oleh Damian untuk pergi bersama, tetapi Mariana menolak dengan baik. Alasannya, masih banyak kerja yang perlu dia lakukan di Rumah Kasih sebelum acara bermula.

Pukul 8.30 minit pagi, padang sekolah rendah itu telah dipenuhi oleh anak-anak yatim daripada 3 buah rumah kebajikan. Turut serta pekerja-pekerja daripada tiga buah rumah anak yatim itu. Tidak ketinggalan masyarakat setempat dan NGO yang turut dijemput hadir bagi memeriahkan acara pada hari itu. Datin Maimon sebagai pengasas Yayasan Az-Zahrah yang turut sama berperanan sebagai tuan rumah juga tidak lupa daripada menjemput rakan-rakannya daripada kalangan korporat . Pada acara-acara sebeginilah rumah kebajikan boleh mencari ruang dan peluang bagi mendapatkan sumbangan daripada individu mahupun badan korporat. Sebenarnya ramai sahaja di luar sana yang menyumbang kepada kebaikan, Cuma sesetengahnya sahaja yang tidak kena gaya. Nampak lebih kepada meraih nama dan pandangan umum, mengatasi daripada niat sebenar untuk berbuat kebajikan.

Pelbagai pertandingan menarik seperti cari gula-gula di dalam tepung, belon berisi air, isi air dalam botol, tarik upeh, kerusi berirama, lumba lari, dan lari dalam guni diadakan sepanjang hari itu melibatkan semua anak yatim. Bagi orang dewasa pula acara tarik tali diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka yang sudi melapangkan masa memeriahkan acara pada hari itu.  Mariana dan Damian juga tidak ketinggalan daripada menyertai pertandingan tarik tali. Mereka bukan dalam sepasukan tetapi sebagai lawan. Kecoh dibuatnya dengan suara gegak gempita para penyokong kedua-dua buah pasukan. Beberapa minit kedua-dua pasukan saling tarik-menarik, akhirnya pasukan yang diketuai Damian berjaya mengalahkan lawan mereka.

“Penat?” Damian mencuri ruang di sebelah Mariana. Ketika itu Mariana hanya duduk melepaskan lelah di bawah sebatang pohon ketapang yang rendang di tepi padang. Mariana menginjak sedikit duduk letak punggungnya.

Damian senyum nipis. Mariana. Entah apa yang wanita itu takutkan tentang dirinya. Kalau nak kata ada orang yang akan marah bila nampak dia berdua dengan Mariana rasanya tidak ada sesiapa. Dia juga maklum bahawa Mariana tahu status dirinya yang duda. Dia bukannya ada isteri. Ada isteri pun lama dulu. Itu pun kahwin aturan Datin Maimon. Dan perempuan itu minta cerai sebab nak kahwin dengan lelaki lain. Selepas itu, Damian dah tutup buku tentang soal nikah kahwin. Malas rasanya nak fikir semua itu. Ada juga perempuan yang tidak bertimbang rasa, lebih mementingkan perasaan sendiri sehingga sanggup tak menjenguk anak sendiri bahkan tidak berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan kerana lebih tergila-gilakan lelaki bangsa asing berkulit putih dan berhidung mancung.

Nafas Damian kedengaran. Dia sebenarnya tidak pernah nak mengejar perempuan. Cuma Mariana nampak lain. Ada sifat kasih-sayang yang menebal dalam diri wanita ini. Redup matanya yang memandang anak-anak di Rumah Kasih penuh sarat dengan sifat keibuan. Damian pernah merisik khabar daripada Mak Jah tentang perihal Mariana. Mulanya Mak Jah tidak mahu bercerita. Tetapi bila Damian buka mulut dan menyatakan isi hatinya bahawa dia mahu mencari ibu kepada Zahira dan bukannya wanita untuk pemuas nafsu, barulah Mak Jah bercerita A to Z.

Kasihan Mariana. Menurut Mak Jah, bayi Mariana yang berusia lima bulan terlepas dari rangkulan ketika bergelut mencari ruang perlindungan semasa bah melanda di negeri kelahirannya yang merupakan musibah terteruk dalam sejarah negara ini. Ketika itu, suami yang diharapkan menghulurkan bantuan lebih kalut menolong seorang wanita lain dan anak-anaknya. Saat itu jugalah Mariana mendapat tahu yang suaminya telah lama berkahwin lain dan mempunyai tiga orang anak. Dan kesedihannya berlipat ganda, apabila dia diceraikan dengan talak tiga, seraya dimaki-hamun kerana tidak pandai menjaga anak sendiri!

“Mariana.” Damian akhirnya membuka mulut. Menunggu Mariana memulakan bicara bagaikan menunggu bulan datang kepada pungguk. Soalannya tadi pun dibiarkan sepi oleh Mariana. Ini merupakan kesempatan terbaik bagi Damian. Dia perlu luahkan isi hati. Kata orang, kalau sudah suka katakan suka. Apapun jawaban daripada orang sebelah setidak-tidaknya dia sudah berusaha menyatakan hasrat yang terpendam dalam sanubari.

“Saya sebenarnya sukakan awak.” Damian jeda sebentar. Sempat dia melihat reaksi wajah wanita itu. Jelas nampak terkejut.

“Saya tahu kisah hidup awak, Mariana. Awak tak perlu malu dengan status awak sebagai janda. Tambahan pula, saya inipun bukannya bujang, duda. Hidup ini sebenarnya bukan berada dalam tangan kita. Ada yang mengaturkannya Mariana. Kita hidup di dunia ini sementara. Kita datang dalam bentuk pinjaman, sampai saat nyawa kita sendiri pasti akan dipulangkan. Begitu juga dengan Zahira, satu-satunya anak awak. Saya tahu awak tunggu lama sangat untuk memangku dia, dan pastinya awak tak menyangka begitu cepat dia akan diambil pergi. Tetapi hakikatnya dia ada, Mariana. Dia sedang menunggu awak di taman Raudhah.” Damian berhenti sejenak. Hanya sedu-sedan Mariana yang kedengaran. Bukan niat Damian mahu membuatkan wanita itu sedih. Tetapi Damian sedar dia perlu bercakap tentang hal yang satu itu. Mariana sudah terlalu lama memendam. Hari ini dia akan selongkar segala isi hati wanita yang tanpa sedar sudah menghuni satu sudut dalam hatinya kini.

“Tidak ada satupun di dunia ini milik kita. Semuanya milik Dia. Dan tidak ada satupun juga kejadian yang berlaku di dunia ini tanpa pengetahuan-Nya. Kalau kita meratap dan terus bersedih, seolah-olah kita mempersoalkan takdir. Siapa kita untuk bersoal-jawab dengan Tuhan, Mariana? Saya tahu awak kuat. Saya sendiri tak dapat bayangkan berada di tempat awak. Mungkin awak sudah dapat menerima takdir pemergian Zahira milik awak, tapi lihatlah diri sendiri, Mariana. Bukan saya tak perasan, malah banyak kali awak menangis dalam diam. Awak sakit dalam sepi. Hati awak merintih. Jiwa awak merana. Saya dapat rasakan semua itu, Mariana.” Damian jeda lagi Kali ini Mariana sudah menangis dengan laju. Damian mengeluarkan sapu tangan daripada kocek seluar dan dihulurkan kepada wanita itu. Mariana menyambut.  Dikesatnya air mata yang bercucuran. Tapi air jernih itu masih lagi mengalir dan terus mengalir.

“Mariana, saya duda. Isteri saya minta cerai sebab nak kahwin dengan lelaki lain. Dia tak pernah sekalipun menyusukan Zahira milik saya. Satu-satunya puteri yang saya ada. Isteri saya sebenarnya tak nak mengandung. Dia pentingkan tubuh dia yang langsing, modellah katakan. Lahir saja Zahira dia dah bagi warning, habis pantang mesti dia diceraikan. Sebab itulah perjanjian antara kami, kalau tak mahu kandungannya, yakni Zahira tidak digugurkan.” Damian menahan rasa. Kenangan lama yang cuba dikorek kembali pasti menghadirkan luka. 

“Saya tak minta banyak daripada awak Mariana. Saya tak kisah kalau awak tak masak untuk saya. Saya tak kisah kalau awak tak iron baju saya. Saya tak kisah kalau awak tak tolong betulkan tali leher saya. Malah saya juga tak akan paksa kalau awak tak nak bersentuhan dengan saya. Tapi tolonglah terima saya, semata-mata Zahira milik saya. Saya mahu awak jadi mama kepada Zahira saya. Kasihanlah Zahira saya yang langsung tidak disentuh ibunya sejak keluar dari rahim. Terimalah Zahira milik saya dengan sepenuh hati awak Mariana. Dia memerlukan seorang ibu. Dia perlukan sentuhan ibu ketika tidur dan bangun dari tidur. Dia perlukan pelukan kasih seorang ibu. Mulutnya betah bercerita di rumah tentang setiap apa yang dilakukannya bersama awak di Rumah Kasih setiap kali dia berkunjung di sana. Mama saya pun dah bagi green light, dan saya sendiri pun memang ada perasaan terhadap awak Mariana. Sifat keibuan awak yang melimpah ruah buat anak-anak di Rumah Kasih memang telah menambat hati saya. Saya perlukan seorang wanita seperti awak sebagai pendamping hidup saya, Mariana. Sudikah awak menjadi isteri kepada saya dan mama kepada Zahira, dan InsyaALLAH bakal anak-anak kita nanti?” Damian menghulurkan sebentuk cincin yang masih terletak elok dalam bekas baldu berwarna merah jambu.

Reaksi Mariana kosong. Masih lagi menangis. Tapi gerakan tubuhnya kaku. Huluran cincin oleh Damian boleh diperhatikannya menerusi pandangan sisi. Tapi kekuatan untuk menyambut cincin itu tidak ada. Hatinya memang pernah berpuisi untuk lelaki di sebelahnya ini. Tetapi puisi separuh baris itu telah direnyuk dan dibakar sebelum menjadi syair nan indah. Kini angan yang pernah menghuni hati sudah hadir nyata di hadapan mata. Tetapi tidak tahu, kenapa dia tiada daya bertindak walau hanya untuk mengangguk sebagai tanda seia sekata.

“Mama... Mama tak nak jadi mama Ira ke?” Sugul wajah Zahira. Entah sejak bila anak kecil berusia dalam lingkungan lima tahun lebih itu muncul di situ. Mariana pandang wajah Zahira. Genang air pada tubir mata anak cilik yang comel itu begitu merenggut hatinya.

Tiba-tiba ada tiupan angin yang berbau harum menyapa hidung Mariana. Dia sedut bau itu dalam-dalam. Bauan melur bercampur kenanga. Mariana pejam mata menghayati bauan yang cukup mengasyikkan itu. Dalam pandangannya itu hadir seorang bidadari kecil. Tersenyum padanya. Mengangguk-angguk dengan wajah girang.  Kecil saja tubuh itu seolah bayi yang baru lahir... Zahira?

“Ya, mama?” Zahira sudah merangkul bahu Mariana.

Mariana celik. Debar di dada masih terasa. Bau melur dan kenangan beransur hilang. Dia bermimpi? Atau khayal? Atau semua ini memang betul terjadi? Mariana pandang Damian di sebelah. Lelaki itu masih setia menghulur cincin? Tak lenguh tangan ke? Sempat hatinya berdesis nakal!

“Tangan Encik Damian tak lenguh ke hulur cincin tu lama-lama?” Mariana selamba menyoal sambil tangannya mengelus lembut rambut Zahira yang panjang.

“Tak, saya kuat main besi. Otot saya pejal. Nak tengok?” Damian juga bersuara nakal. Cukuplah momen sedih yang tercipta tadi. Hidup perlu diteruskan walau apapun jua rencahnya. Kesedihan hanya satu rona dalam kehidupan. Terlalu bermesra dengan kesedihan hanya akan menghadirkan warna kelam dalam kehidupan.

“Tak apa, nanti lepas kita dah nikah saya tengok!” Laju mulut Mariana menjawab. Seraya itu dia bingkas bangun. Punggung dikibas. Tangan Zahira dipegang erat.

“Jom, Ira. Majlis penyampaian hadiah nak mula tu. Ira dengan Papa kan ada menang tadi, nanti melepas pula hadiah tu.” Mariana memimpin tangan Zahira menuju ke pentas kecil yang didirikan bawah beberapa buah khemah. Langkah kakinya yang diatur maju ke hadapan dihentikan seketika. Kepalanya ditoleh ke belakang. Renungannya menatap sepasang mata Damian yang indah. Senyuman manis diukir, lalu di meneruskan perjalanan.

Damian bingung.

“Nikah? Papa? Maksudnya dia setujulah! Terima?” Blur juga Damian ni. Maklumlah, Mariana pun satu, bagi jawapan yang tersirat.

“Papa, buat apa lagi tu, cepatlah!” Jeritan Zahira yang nyaring menyedarkan Damian yang masih dalam separa sedar. Pantas dia berlari anak menyertai Zahira dan Mariana.


.........TAMAT........

16 Komentar

Write Komentar
Tanpa Nama
AUTHOR
10/1/15 1:39 PG delete

cerpen ni best. cuma masalah paling besar ialah susah nak baca. kombinasi background dengan foreground colour sangat.. tak sesuai..

Reply
avatar
zara yusof
AUTHOR
10/1/15 2:11 PG delete

Allah... sesungguhnya engkaulah yg lebih mengetahui....setiap kejadian ada hikmahnya... sayu pilu akhirnya muncul pelangi.

Reply
avatar
eija
AUTHOR
10/1/15 11:35 PG delete

sedihnya..moga damien dpt mbhgian kn mariana

Reply
avatar
10/1/15 12:45 PTG delete

@Tanpa Nama Thank you singgah dan baca. Saya hargai. Dan memang saya tertunggu-tunggu komen untuk background yang baru ni. Separuh daripada hati memang kata agak gelap, tapi separuh dari hati kata biar dulu tengok komen pembaca. Thank God, ada yang komen, saya dah ubah bahagian teks dengan design lain yang lebih cerah tapi masih ada garis petak yang halus, kalau singgah sekali TN (Tanpa Nama) komen lagi eh tentang background ;)

Reply
avatar
10/1/15 12:46 PTG delete

@zara yusof Memang DIA yang mengaturkan segalanya bukan? Dan kepada DIA juga tempat kita kembali...

Reply
avatar
10/1/15 12:46 PTG delete

@eija Harapnya begitu... ;)

Reply
avatar
10/1/15 3:03 PTG delete

Saya bg 5 bintg untuk cerpen ni..!! Horey!!.best sesgt...tp kalau buat novel lg MELETOP !!! Ni..hehe..btw, semoga sukses selalu n terus menghasilkan cerpen2 yg bagus...😅😅👍👍

Reply
avatar
10/1/15 4:30 PTG delete

@Miera cik tembon Terima kasih sudi baca dan komen, dan untuk kata-kata berbaur doa itu. Amin...

Reply
avatar
Tanpa Nama
AUTHOR
10/1/15 7:32 PTG delete

it's me again - yang komen pasal colour combo tu. this is better. petak-petak tu semua tak ada masalah. semua ok. good job.. ;)

Reply
avatar
10/1/15 9:31 PTG delete

Sy pun stuju..best..5 bintg

Reply
avatar
11/1/15 1:03 PG delete

@afida halida afis Thank you sudi singgah dan baca...

Reply
avatar
11/1/15 1:03 PG delete

@Miera cik tembon Thank you... Novel, InsyaAllah

Reply
avatar
Ruhaya Isnin
AUTHOR
11/1/15 10:30 PTG delete

Memang best saya bg 5 bintang. Kalau disambung jd novel lagiiiiiiii best. All the best semoga success n ditunggu sambungannya....

Reply
avatar
IsHan Jamiri
AUTHOR
13/1/15 11:50 PG delete

Best.....teruskn berkarya ;)

Reply
avatar
Tanpa Nama
AUTHOR
25/2/15 1:45 PTG delete

Blog ni banyak sangat iklan sampai nak baca cerita pun tak boleh..... better buang all iklan sbb
mengurang minat orang nak baca

Reply
avatar