Isnin, Ogos 18, 2014

Cerpen: Surat Cinta Abang Posmen! - Bhg 8


Pagi ini Lana bersiap molek-molek. Foundation disapukan pada wajah dengan sekata. Gicu dicalit pada ulas bibirnya. Nampak merekah warna merah saga. Sama garang warnanya dengan kelopak bunga mawar yang menghiasi baju kebarung yang dipakainya pada hari itu. Terakhirnya Lana membuang pandang pada cermin. Puas hati melihat arca dirinya yang terpantul di cermin, maka Lana pun mengatur langkah meninggalkan rumah. Kepada Tok Ma disampaikan pesanan. Dengan sopan dan gemalainya, Lana yang anggun berbaju kebarung dengan rambut dibiar lepas itu melenggang ke halaman rumah. Seberang jalan nun di hadapan mata menjadi arah tujuan.


Malam semalam, Encik Harry ada menghantar sistem pesanan ringkas, minta dia tunggu di seberang jalan. Lana hanya membalas dengan menaipkan sebaris kata ‘ok’. Selepas itu sudah tidak ada apa-apa balasan daripada lelaki itu. Jadi Lana pun ikut senyap. Tak mahu lebih-lebih. Mana boleh lupa insiden tengah hari semalam. Cukup memalukan. Kerana tingkah gopohnya membuatkan Encik Harry bermandikan sup Nasi Ayam!

Menunggu Encik Harry di seberang jalan itu membuatkan fikiran Lana kembali terimbau tentang perkara yang terjadi semalam. Ingatkan Encik Harry akan terkam ke arahnya cepat-cepat. Mana tahu risau melihat dia yang pengsan tiba-tiba. Tapi lama dia membatukan diri di situ, buat-buat pengsan saja, dan tak ada seorang pun yang menyentuh batang tubuhnya itu. Tak ada usaha langsung yang mahu ditunjukkan kepada dirinya yang terbaring. Bunyi macam kejam saja. Tapi kejam ke? Bukankah dia hanya berlakon? Bukannya pengsan betul-betul pun! Ada yang kurang masa dia pengsan tadi ke? Sampaikan orang boleh kesan yang dia sedang pura-pura pengsan. Mana ada? Rasanya lakonan spontan tadi dah cukup tip top!

Malangnya lima minit berlalu dan merangkak ke sepuluh minit, masih juga tak ada apa-apa yang berubah. Maka, Lana pun buka sedikit matanya di sebelah kiri itu. Dia nampak ada pelayan yang sedang mengemaskan kotoran yang wujud di tempat duduk mereka sebentar tadi. tetapi pelayan itu buat tak tahu saja dengan dirinya yang sedang terbaring. Eh, boleh pula macam tu? Bukankah dia tengah pengsan tu? Tak ada istilah caring langsung. Memang ini first and last dia jejakkan kaki ke restoran itu. 

Encik Harry mana? Kalau mata kiri tadi tidak menampakkan bayang Encik Harry, maka mata kanan pula digunakan untuk mengintip keadaan sekeliling. Biji mata kanannya yang tertutup itu dibuka perlahan-lahan. Cukup sekadar dapat melihat. Bila dah terbuka sedikit kelopak mata kanannya itu, Lana pun mula teropong. Sekali nampak pula batang tubuh Encik Harry yang sedang menapak ke arahnya. Baju lelaki itu sudah bertukar. Ambil mana pun tak tahu. Sampai ke arahnya Encik Harry berhenti. Ketika itu Lana sudahpun memejamkan matanya kembali. Gila nak buka mata lagi? Mestilah tertangkap nanti! Tak cukup ke kena tangkap dengan lelaki itu masa asyik layan mata tenung muka dia pagi tadi?

“Lana, I tunggu You dekat kereta. 5 minit You tak sampai, I tinggal!” Itu merupakan kata-kata Encik Harry. Dan dia memang dengar. Mana tak dengarnya, bukannya dia pengsan pun. 

Bila dia buka matanya sedikit, memang Encik Harry buat seperti yang dia cakap. Menonong sahaja lelaki itu berjalan ke arah pintu keluar restoran itu. Nak tunggu apa lagi? Lana pun macam lipas kudung bangkit dan berlari keluar dari restoran itu. takkanlah dia nak buat cat walk pula. Tak padan langsung dengan situasi. Sudahlah buat Encik Harry mandi dengan makanan. Kemudian, buat pula pengsan nak cover malu. Tapi, lakonan tak mantap dan berkesan barangkali, ditangkap buat-buat pengsan pula tu. Semuanya berlaku serentak. Dan bila semua benda merapu tu disaksikan juga pengunjung restoran yang lain, mana Lana nak letak muka. Sah-sah kena larikan diri dari situ sepantas mungkin. Memang sah lagi sah dia takkan datang ke restoran itu lagi seumur hidupnya. Badi punya restoran!

Lana dah sampai ke luar daripada restoran yang ‘sengaja’ sabotaj dirinya tadi. Boleh pula salahkan restoran kan? Dia nampak Encik Harry sudah pun menghidupkan enjin kereta. Siap tekan-tekan minyak sedikit. Tak tahulah kenapa mamat tu nak cepat semacam. Oh, dah tak ingat apa yang berlaku dekat dalam tadi ke? Lana telan liur. Cepat-cepat kakinya diatur ke arah kenderaan yang sedia menunggunya itu. Lambat sedikit asyik layan fikiran, tidak mustahil Encik Harry akan memecut pergi tanpa menunggunya. Pintu kereta dibuka dan dia masuk dan duduk di raung penumpang di hadapan. Tutup saja pintu kereta, terus memecut kereta itu membelah jalan raya. Tak sempat Lana nak pakai tali pinggang keledar. Terkebil-kebil mata Lana melihat reaksi Encik Harry itu. Tapi disenyapkan saja apa yang timbul dalam hati dan fikiran. Tak ada maknanya nak tanya apa-apa. 

Sunyi menemani mereka berdua sampailah tiba ke Deco De Jour. Masing-masing mengunci mulut. Masuk ke pejabat sampailah habis waktu kerja hari itu, masih juga tidak ada sebarang komunikasi antara Lana dan Encik Harry. Malah, Lana tak nampak langsung kelibat Encik Harry keluar daripada ruang pejabatnya itu. Sebagai setiausaha, kerjanya memanglah sentiasa mendampingi bos. Dan memang kerjanya update apa-apa hal yang berkaitan dengan bos. Tapi bila bos dah asingkan diri macam perempuan tengah datang bulan dalam pejabat, apa yang dia patut buat? Nak tanya lagi ke? Kita enjoy!

Lana apa lagi, masa yang ada digunakan untuk round satu bangunan Deco De Jour tu. Disapanya semua yang ditemui. Hulurkan salam kenalan. Sembang-sembang. Belanja satu dua senyuman. Orang kata tempat kerja ni rumah kedua bagi seseorang. Jadi, kenalah cipta suasana yang selesa dan menggembirakan. Barulah boleh kerja dengan tenang dan tenteram. Cuba kata dekat tepat kerja tu ada musuh. Pantang tengok mesti sakit hati. Ada saja yang tak kena. Dah tu kalau hari-hari waktu kerja kena menghadap muka tak ke buat hari tu jadi bad mood saja! Kan? 

“Cukuplah Encik Harry saja bad mood.” Lana melayan fikiran. Nak sedapkan hati sendiri, Lana nasihat hatinya dengan anggapan Encik Harry tak bagi kerja sebab ni kan first day dia. Bagi chance dulu lah, nak rehat-rehat. Kenal staf yang lain. Round Deco De Jour dulu. Ambil mood. Kata syarikat kreatif, mestilah sentiasa kena ada inspiration kan?

Dan sekarang menunggu lelaki itu di sini, tiba-tiba perasaan Lana rasa lain macam. Siapa sangka Encik Harry yang merupakan pengurus di Deco de Jour itulah merupakan bakal tunangannya tidak lama lagi. Macam tak sangka pun ada. Lebih dari itu jadi setiausaha kepada lelaki itu. yang ini lagilah tak pernha dijangkakan. Dan yang lagi penting muka Encik Harry ini ada iras dengan muka posmen sengal tu. Entah-entah terkenan ke apa! Bukankah hari tu dia marah sangat dengan posmen. Tup tap tengok-tengok jodoh yang datang cari dia ni ada muka sama iras dengan posmen yang pernah cari fasal dengan dia dulu. Tapi Encik Harry ni lagi hot dan menggiurkan! Erk, Lana! Sila kawal fikiran. Awak tu belum jadi tunang dia pun lagi. So, imaginasi tu jangan sampai ke malam pertama ye, behave!

Bunyi hon sederhana kuat menyedarkan Lana daripada lamunan. Jauh juga fikirannya melayang. Sekilas Lana membuang pandang ke arah kereta Lexus LFA. Mewah benar nampak kereta yang dipandu oleh Encik Harry ni. Sexy. Itu ungkapan Lana untuk kereta hitam likat yang sedang berada di hadapan pandangan matanya kini. 

“Mana dia dapat duit beli kereta mewah macam ni?” Hati Lana desis sendirian. Yalah, tengok mak dia datang merisik tempoh hari, nampak biasa-biasa saja. Tak adalah mewah mana, baik dari segi pakaian mahupun aksesori. Malah, tinggal pun dekat kampung. Dan Encik Harry sendiri pun cuma kerja sebagai pengurus di Deco De Jour, bukannya syarikat itu milik dia sendiri.

Puas sudah dia fikir tentang Lexud LFA itu dengan tahap keupayaan Encik Harry memilikinya. Tapi dalam saat bermulanya fikiran dia mengingat dan memproses tentang hal itu sampailah sudah sampai ke tahap peleraian, masih belum terjadi apa yang dimahukan oleh Lana saat dan ketika itu. Apa yang Lana mahu? Pastinya adegan gentleman dan romantik yang sering berlaku dan dizahirkan dalam novel-novel cinta antara hero dan heroin!

“Ingatkan nak turun buka kan pintu! Hampeh!” Omel Lana sendirian.

Nampak sangat Lana sudah membayangkan lagak romantis bakal tunangannya itu. Tunang pun belum lagi Lana, hoi. Janganlah over feeling. Lana masuk dalam kereta dengan wajah yang kurang ceria. Tak adanya nak senyum tayang gigi. Lainlah kalau tadi Encik Harry buka pintu kereta untuknya siap buat gaya prince charming persilakan princess masuk dalam kereta. Pergh, barulah cair macam air krim vanilla dalam mulut!

“Tak gentleman langsung!” Hati Lana berontak lagi.

Encik Harry yang memandang Lana sekilas , sekadar menjongketkan kening. Tak tahu, kenapa mood Lana tak berapa baik pada pagi itu. Senyum tidak. Angguk tidak. Tegur lagi tidak. Nak ucap selamat pagi atau bagi salam, sorry to say lah!

“Mungkin dia malu lagi dengan hal semalam kot.” Encik Harry pula membuat kesimpulan sendiri.

Lama mereka meredah jalan pagi yang sibuk dengan aliran kenderaan yang bertali arus. Pagi-pagi jalan raya di situ memang sibuk. Maklumlah semua orang pakai kereta. Kalau dulu satu rumah nak ada satu kereta pun payah, tapi sekarang rumah mana yang ada satu kereta, maka isi rumah itulah dikatakan pelik bin ajaib. Mana tidaknya, sekarang ni maka dengan bapa pakai kereta asing-asing. Anak yang baru masuk Tingkatan Lima atau Enam pun dan kalut minta beli kereta. Yang dah masuk universiti sah-sah nak pandu kereta sendiri, tak dapat baru, second hand pun jadi. Asalkan ada kereta, boleh bawa awek jalan-jalan pusing kota. Eh, maksiat tu!

Sepanjang perjalanan pagi itu Lana dan Encik Harry masing-masing tetap membisu. Penyakit semalam masih berlarutan nampaknya. Takkan nak perang bisu kot. Jumpa pun baru beberapa kali. Takkanlah dah hilang semua perkataan dalam mulut untuk dimuntahkan. Radio pula tidak dipasang. Jauh sekali untuk kedengaran mana-mana lagu daripada pemain cakera padat. 

“Eh, ini bukan jalan ke office kan?” Tiba-tiba Lana bersuara. Baru dia perasaan yang jalan yang sedang mereka lalui itu bukan jalan yang menuju ke Deco De Jour. Walaupun hanya sekali dua sahaja dia sampai ke bangunan itu, tapi dia lebih daripada maklum untuk mengetahui jalan-jalan yang ada di sekitar kawasan itu untuk menuju ke tempat kerja barunya itu. Sesuatu yang pelik adalah jalan yang mereka sedang lalui sekarang ini sama sekali tidak akan berakhir di Deco De Jour. 

Kalau ikut laluan yang mereka ambil dari rumah Tok Ma tadi, sepatutnya Lexus LFA hitam likat yang sexy macam tuan pemandunya itu perlu belok ke arah kiri selepas mereka melewati simpang empat tadi. tapi lain pula yang berlaku apabila Encik Harry membelokkan kereta itu ke arah kanan. Bertentangan tu. Dan arah tuju kereta itu kini memang takkan membawa mereka ke Deco De Jour, sebab arah jalannya memang lain. Ke mana Encik Harry nak pergi ni? Jangan-jangan dia nak buat apa-apa dekat aku. Dah lah kereta hitam. Cermin pun tinted bagi gelap. Orang luar tak boleh nampak apa yang ada dekat dalam. Kalau dia buat macam-macam, macam mana? Ah, dah berapa kali macam dah ni! Serabut dah ni!

“Encik Harry kita nak pergi mana ni?” Lana kalut tanya. Ini dah masuk kali kedua dia bertanya. Tangan sudah menggagau ke dalam beg tangan. Ah, pepper spray pun dia tak bawa. Yalah, ingatkan naik dengan Encik Harry selamat.

Pertanyaan kali ini juga tidak berjawab. Tapi kali ini ada respon daripada Encik Harry. Hanya kepalanya sahaja sedikit berpaling ke arah Lana. Kemudian dihantarnya satu renungan maha dalam. Tangannya tetap kemas memegang streng. Dan kaki setia memijak pedal minyak. Lexus LFA masih meluncur laju.

Lana telur liur dalam-dalam. Terasa kesat tersekat di kerongkong.

“Encik Har.. Harry.... Seb.. Sebenarnya kit.. kita nak per..gi mana?” Tergagap-gagap Lana bertanya. Mahunya tidak. Muka bakal tunang tak pernah tengok. Sekali bila Encik Harry tunjuk kad pengenalan semalam terus percaya. Mana tahu hanya nama saja serupa. Atau mana tahu kad pengenalan bakal tunangnya itu dicuri oleh Encik Harry. Tapi ada logik ke? Logik? Yalah, kenapa pula sampai Encik Harry nak menyamar jadi tunang dia? Atau Encik Harry ni bukan bakal tunang dia, bukan pengurus di Deco De Jour, tetapi posmen yang pernah dia marah dulu. Kira posmen tu menyamarlah ni!

“Awak, awak ni siapa?” Lana sudah gelabah habis. Semua benda dah masuk berkecamuk dalam kepala dia. Sampaikan tak dapat nak tapis yang mana satu boleh pakai dan yang mana tak boleh pakai. 

Badan Lana dah menggelar. Peluh jangan cakaplah. Walaupun suhu pendingin hawa dalam kereta tu memang rendah, tetapi renek peluh yang menitis dekat dahi Lana jelas kelihatan. Sesekali Lana melihat ke luar tingkap. Terfikir juga nak buka pintu dan terjun ke luar. Tapi dia tak adalah bodoh sangat. Kalau tingkap pun semuanya dikawal automatik, inikan pula pintu di sebelahnya itu senang-senang boleh dibuka.

“Tapi tak salah kalau mencuba kan?” Hati Lana berkata sendirian. Lebih baik terjun ke luar biar cacat pun tak apa, daripada dirogol oleh lelaki di sebelahnya. Kalau semalam dia yakin Encik Harry itu bakal tunangannya. Sekarang dia dah mula sangsi. Menyesal pula dia tak tanya apa-apa maklumat daripada Tok Ma semalam. Ah, memang betul sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Jari-jari runcing Lana bergerak ke arah button tali pinggang keledar. Mahu dibukanya dulu, selepas itu baru dia nak cuba, kalau boleh buat apa-apa. 

“You nak buat apa tu? Buka tali pinggang keledar. Kenapa?” Lelaki di sebelahnya pantas menangkap tangan yang baru mahu melunaskan hasrat fikiran.

Terhenti pergerakan tangan Lana.
“Eh, lepaslah. I cakap lepas. Kalau tak I jerit!” Lana membentak. 

Lelaki itu hanya ketawa. 

“Jeritlah, ingat ada orang nak dengar ke? Cuba tengok dekat luar. You ada nampak manusia ke?” Lelaki itu bercakap sinis.

Lana jadi runsing tiba-tiba. Kalut analisis tentang lelaki di sebelahnya yang dia tak mahu gelar lagi sebagai Encik Harry sebab kesangsian yang timbul membuatkan Lana terlupa melihat keadaan di luar. Sekarang dia blur. Langsung tak dapat nak mengecam arah tuju mereka. Yang dia nampak macam laluan bengkang-bengkok serupa mendaki bukit. Lana jadi kecut. Jangan cakap dia akan kena rogol lepas tu kena campak dari bukit untuk hilangkan bukti! Dia tak nak mati dengan cara macam tu!

Tangan kanannya yang masih dalam genggaman tangan kiri lelaki itu ditarik. Tak berjaya. Lana meronta-ronta. Biar dia melawan sekarang. Jangan menyerah. Dia tak rela tubuhnya dijamah oleh lelaki ajnabi. Takkan sesekali dia benarkan.

“Nak melawan ye?” Pegangan tangan lelaki itu semakin kuat. Namun rontaan Lana membuatkan pemanduannya sedik terganggu. Lalu secara mendadak, Lexus LFA itu berhenti mendadak di tepi. Mujur tak terbabas. Kalau tidak kena pula ubah jalan cerita! 

Langsung berhenti di seberang jalan, pantas saja lelaki itu mengepung rontaan Lana dengan memagar batang tubuh Lana. Sekarang ini hampir lima puluh peratus tubuh lelaki itu sedang menghimpit Lana. 

Desahan nafas Lana semakin laju. Satu, sebab penat melawan. Dua, sebab wangian lelaki itu begitu hampir mencucuk hidung. Habis bergetar isi hatinya. Ah, hati ini pun bengong, nak bergetar setiap masa!

Melihat pegangan tangan lelaki itu sedikit longgar, Lana cuba melawan balik. Mengambil kesempatan mahu mencakar muka lelaki itu. Tapi pergerakan lelaki itu lebih pantas dan dapat mengelak.

“You memang tak boleh diam eh? You tahu tak kalau meronta-ronta macam ni buat lelaki lagi teruja. You ni nak test I ke apa ni huh? Daripada I tak ada niat nak buat apa-apa dekat You, jangan sampai terjadi apa-apa dalam kereta ni pula. Better You keep quite and duduk elok-elok. Atau You nak I senyapkan rontaan You dengar cara I sendiri?” Suara garau bernada bisik yang begitu hampir di gegendang telinga Lana membuatkan sepasang mata Lana terpejam. Apatah lagi di hujung bicaranya lelaki itu sempat meniup di ubun kepalanya. Seram! Meremang habis segala bulu roma Lana.

Lana jadi takut. Ingatkan nak tunjuk berani, naklah juga dia melawan sedikit. Kalau tidak nampak sangat rela dan menyerah. Ingat kaum perempuan ni lemah sangat ke, sampai semua benda pun asyik nak menyerah saja. Ini soal maruah tahu tak? Maruah!

Apapun, setakat itu sajalah keberanian dia. Dah nama pun perempuan, kalau berani lebih-lebih sangat, sah-sah nak tempah diri sendiri digulaikan lelaki di sebelahnya ketika itu. Orang kata Pak Imam pun kalau tengah layan, ayam rumah jiran pun boleh disambarnya sekelip mata. Inikan pula, lelaki di sebelah dia. Entahkan Encik Harry atau perogol bersiri.

Lana duduk diam-diam. Kaki dan tangannya keras. Tak ada apa yang gerak. Mata pula terjegil menghadap ke depan. Sekali tengok macam dah kena sampuk dengan hantu. Lelaki di sebelahnya yang sedang melihat rupa paras Lana ketika itu hanya tersenyum sumbing. Mungkin rasa lawak barangkali. Kemudian, lelaki itu kembali bersedia untuk menyambung perjalanan ke lokasi yang dituju.

Pemanduan kali ini berjalan lancar, tak ada apa-apa masalah. Lana pun duduk diam sahaja. Tak adanya nak meronta ke apa. Mungkin takut lelaki itu kotakan apa yang telah dikata. Daripada nak kacau harimau yang tengah lapar, lebih baiklah bersikap macam kucing yang tengah gentar. Lexus LFA, melalui jalan yang berpusing-pusing. Pening pula kepala Lana rasa. Dia bukan boleh lalu jalan-jalan yang macam tu. Tambah pula pagi tadi dia tak sempat nam makan apa-apa, setakat minum saja. Karang dia muntah dalam kereta tu, baru ada yang berakal! Suka-suka hati saja bawa anak dara orang. Bawa ke ni? Bukan culik eh? Lana dah mulakan imaginasi dia balik!

Kereta yang bergerak sejak tadi sudah mula kaku. Tanda tidak ada lagi apa-apa pergerakan. Enjin kereta telah dimatikan dan lelaki itu bersedia untuk keluar. Tetapi ada sesuatu yang pelik sedang berlaku di situ. Lana masih lagi duduk membatu dengan tali pinggang keledar setia terikat. Sama lagi reaksinya. Keras memandang ke hadapan dengan mata terbuka. Mata saja yang terbuka tapi minda entah melayang ke mana. Menggeleng kepala lelaki itu melihatnya. Dibiarkan saja Lana sebegitu. Tidak mahu mengusiknya. Lelaki itu menonong sahaja keluar daripada kereta.

“Wan, thanks buddy. Aku puas hati tengok apa yang dah kau buat ni. Memang kena dengan apa yang aku fikir. Alright, thank you again. Aku tak boleh lama nak cakap dengan kau ni, kena ready untuk next plan! Talk to you later, bro.” Lelaki itu menamatkan perbualan pendek dengan seseorang menerusi telefon pintarnya. Kemudian langkah kakinya dihala ke suatu tempat. Dan dia hilang di situ!

Lana tersedar. Dia bukan tidur pun. Tapi khayal. Akalnya pantas berlari sejak perkataan perogol bersiri menjengah ke mindanya tadi. Kalut layan fikiran tak tahu sampai apa yang dah jadi dalam kenyataan. Dia perhati ke sebelah. Lelaki itu tak ada. Nafas dilepas panjang. Lega.
Lana tengok pula ke luar. Subhanallah. Hanya itu yang terdetik dalam hatinya. Mulut pula sedikit terlopong. Pantas tangannya menolak daun pintu kereta. Kakinya digerakkan keluar daripada kenderaan itu.

Memijak lantai bumi yang dilapik rumput yang masih terasa kebasahan embun pagi, mata Lana automatik terpejam. Nafas paling dalam disedut dan ditahan di dalam dadanya. Kemudian dia melepaskan nafasnya perlahan-lahan. Serentak itu sepasang matanya yang cantik juga dibuka perlahan-lahan. Sekali lagi yang terhidang di hadapan pandangan matanya ialah satu pemandangan yang begitu cantik sekali. Tak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Memang alam ini ciptaan Allah. Dan Allah lebih daripada tahu untuk mengindahkan ciptaannya itu. Ketika ini cahaya mentari yang sayup mendaki, ditemani rona-rona warna yang berpecah melatari singgahsana langit dengan lukisan alam yang cukup indah. Berkali-kali hati Lana mengucap syukur memuji kebesaran Tuhan. Sejenak dia terlupa tentang di mana dia berada. Persoalan bagaimana dia boleh ada di situ juga telah lenyap daripada resah mindanya. 

Lana meneruskan lagi langkah kakinya. Sampailah matanya bertemu dengan sebiji meja bulat yang dialas dengan kain berwarna merah hati berbunga putih kecil di hujungnya. Di atas meja itu pula terletak beberapa biji pinggan. Lana tak nampak sangat apa isinya. Tetapi bunga lili putih yang terletak dalam vas kaca di tengah-tengah meja bulat itu memang menarik perhatiannya dari jauh. Antara bunga yang menjadi kegemaran Lana ialah lili putih. Lana memang suka, tak tahu kenapa. Dan kalau nak tahu Lana lagi awal suka lili putih sebelum orang semua duduk nangis baca kisah Lili Buat Najah. Eh, apa yang merapu ni? 

Terpandangkan meja kecil yang dihias ringkas tetapi menarik itu, membuatkan hati Lana melonjak kegirangan. Rasa ingin tahu tidak dapat dihalang. Terasa dalam novel pula dia ketika itu. Memang selalunya dalam novel atau drama Melayu sajalah ada adegan serupa itu. Kalau dalam realiti, mungkin ada tapi setakat Lana hidup ini tak pernah lagilah dengar cerita. Semakin hampir dengan meja itu, membuatkan hati Lana semakin teruja. Tak tahu siapa yang buat semua itu. Dan ketika inilah mindanya memproses kembali kenyataan dirinya berada di situ.

Saat itu juga kaki Lana berhenti melangkah. Kemudian dia pantas pusing ke kanan, kiri dan seterusnya ke belakang. Lelaki itu tak ada! Ya, memang betul. Lelaki yang mengusungnya ke sini tanpa kebenaran memang tak ada. Tapi keretanya masih di situ. 

“Ke mana lelaki itu pergi! Ah, lantak dialah! Baik, aku cabut dulu sebelum dia sampai. Tapi macam mana aku nak pergi dari sini. Bawa kereta pun tak cekap mana. Kang terjun masuk gaung pula. Ada gaung ke tadi masa panjat bukit ni? Suka-suka saja nak fikir bukan-bukan. Tapi kalau pandai drive pun, macamlah ada kunci dekat dalam kereta ni!” Lana ketuk kepalanya sendiri. Dia patah balik ke arah kereta. Siap dibuka tempat duduk. Kononnya nak larikan diri sebelum lelaki itu sampai. Tapi kunci kereta ada simpan ke Lana, hoi! Sabar sajalah...

Bebal pula rasa hati. Lagi bernanah bila perut pun ikut sama berlagu. Kuat pula bunyinya tu. Sumbang. 

“Ah, time ni juga nak lapar tahap gaban!” Lana merapu lagi.

Malas nak fikir banyak, Lana mengambil keputusan untuk kembali semula ke arah meja bulat itu. Memang sekali pandang nampak macam ada makanan yang terhidang. Tapi tak tahu makanan siapa. Lantaklah, yang penting perut yang tengah lapar dapat diisi. Sekarang ni kan boleh kira macam masa darurat. 

Sampai di meja bulat kecil itu, sekali lagi Lana tengok sekeliling. Mana tahu ada orang ke. Tak fasal-fasal kena tuduh curi makan. Ada satu pinggan saja yang tersedia atas meja itu. pinggannya boleh tahan besar. Ditutup dengan satu lagi pinggan kaca. Tak mahu isi pinggan itu tercemar barangkali. Ada dua biji cawan kosong di situ. Lana tengok pula bunga lili putih. Segar. Maknanya, memang ada orang di situ yang buat semua ini. 

Tangan Lana bergerak ke arah pinggan itu. Tetapi terhenti sejenak. Rasa takut pun ada nak usik barang yang bukan jadi hak milik. Tapi disebabkan perut yang tak sudah-sudah berdondang-sayang, membuatkan Lana paksakan juga diri melawan prinsip. Selama ini hidupnya memegang prinsip jangan kacau hak orang lain. Bukan setakat kacau sentuh pun dia akan elakkan. Jadi memang tak pernah ada langsung dalam istilah hidupnya nak caras boyfriend orang tu, nak rampas suami orang ini, nak jadi bini muda Datuk tu, nak try jadi mistress Tan Sri ni. Eh, kawal sikit. Ada ke sampai tahap macam tu!

Malas nak tunggu lama-lama, Lana pantas mengalihkan pinggan kaca yang terlangkup di atas satu lagi pinggan itu. alangkah terkejutnya hati bukan makanan yang ada dalam pinggan itu tetapi benda yang langsung tidak boleh masuk ke dalam perutnya untuk mengisi lapar yang menggila itu. Itulah malam semalam tak nak makan, kononnya nak jaga badan. Pagi tadi pula kalut nak keluar cepat-cepat, takut Encik Harry tertunggu-tunggu. Sudahnya, perut sendiri yang merana. Jangan sampai tahap makan rumput Lana, sabar, sabar!

Yang ada sekeping sampul. Ya, sekeping sampul coklat. Yang biasa digunakan untuk hantar surat. Lana ambil sampul itu. Di hadapan sampul itu ada tertera nama penuhnya lengkap dengan alamat rumahnya sendiri. Alah, rumah Mak Bedah tu lah. Kening Lana kerut memikirkan, kerja siapa semua ini. Dan apa pula kandungannya. Jangan kata racun arsenik! Ish, Lana ni, memang suka betul berimaginasi. Kut ya pun minat baca novel janganlah sampai semua benda pun nak didramakan! Yang lagi pelik, sampul surat itu siap dilekatkan dengan setem 50 sen yang sudah dicop oleh Pos Malaysia. Maknanya, surat ini dah dihantar ke rumah!

Lana rakus mengoyakkan sampul surat itu. Tak sabar nak tahu apa yang ada di dalamnya. Dah sah-sah sampul itu tertera namanya, dan memang menjadi hak dia untuk tahu isi kandungan sampul itu. Dan memang betul ada kertas di dalam sampul itu. Lana tarik kertas itu perlahan-lahan. Ada bau wangi. Bila Lana buka lipatan kertas itu siap ada bedak yang berterbangan. Letus ketawa kecil di hujung bibir Lana. 

“Nak buat lawak ke apa ni? Ingat zaman sekolah menengah 90-an dulu ke, nak bagi surat siap kena bubuh bedak sikit.” Omel Lana sendirian.

Dalam pada itu tangannya masih lincah membuka lipatan surat itu dengan cermat. Nah, terbuka sudah lembaran kertasnya. Satu muka surat bertulis tangan. Lana bacanya dengan teliti.

Saat mata berpandangan
Lewat pertemuan
Yang terjangkakan
Hanya ada suatu perasaan
Menggetar rasa yang lama kekontangan
Dari itu hati ini bukan lagi milikku
Telah aku serahkan pada dia
Yang saat itu hanya ku tahu sebaris nama
Aku jangka itu hanya singgahan
Esok lusa pasti akan melupakan
Tetapi saat memori tetak lekat di ingatan
Takdir menemukan kita di perkarangan jalan
Engkau yang gopoh
Aku yang poyo
Engkau terjatuh
Aku buat tak tahu
Aku fikir itu yang terakhir kali
Akan bertemu dengan wajahmu
Mana mungkin engkau sudi menatap
Seorang posmen yang kau gelarkan biadab
Tetapi takdir itu indah
Andai ada jodoh
Pasti akan bersatu juga
Siapa sangka aturan keluarga
Menzahirkan hasrat hati
Siapa jangka pilihan orang tua
Rupanya yang pernah singgah di nurani
Saat engkau hadir ke Deco
Sinar matamu seolah melompat bertatapan dengan hero
Ketika itu aku sudah yakin
Perasaan ini bukan bertepuk sebelah
Dah kelmarin gelagatmu yang gila-gila
Bisa membuatkan aku ketawa besar bila terbayang
Dan hari ini yang indah ini
Ku persembahkan diriku yang sebenarnya
Mencarik kata lewat surat
Memadahkan cinta pandang pertama
I Love You Lana!

Arshad Fakhri aka Harry

Lana terdiam membaca warkah tersebut. Akalnya mencerna segala yang tercatat dalam surat tersebut. Ingatan lama diproses kembali. Segala yang pernah berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini diulang tayang kembali. Setiap satunya dikaitkan pula dengan baris-baris madah yang tersusun elok hasil tulisan tangan seorang arjuna. Hati Lana kembang setaman melihat tulisan yang elok tersusun itu dengan kejutan yang dirancang untuk dirinya ini. walaupun dia masih kabur tentang satu dua perkara, tetapi sekarang dia lebih daripada yakin bahawa Arshad Fakhri, Encik Harry dan mamat posmen tu adalah orang yang sama. Sabar sajalah kan, imaginasi Lana yang bukan-bukan dari awal pagi tadi memang mengarut betul.

“Ehem!” Suara berdeham di belakangnya membuatkan Lana berpaling.

Ada lelaki itu di sana. Pakaian lelaki itu siap bertukar ala-ala abang posmen. Fuh, sekarang dia nak buat apa pula. Di tangannya siap ada satu dulang berisi makanan. Tak tahulah dari mana dia dapat semua tu. Tapi yang pasti mesti ada orang juga dalam semua rancangan ini. Biarlah dulu, Lana tak mahu semakkan fikiran dengan soalan-soalan yang tak penting tu. Yang penting Abang Shad ada depan mata.

Abang Shad? Yup, Lana buat keputusan masa tu juga yang mulai saat itu dia akan panggil lelaki yang berada di hadapannya itu dengan nama itu. Kalau Encik Harry dah ramai yang guna ketika di office. Kalau nak panggil guna nama penuh rasa macam pegawai kerajaan panggil pula ketika berurusan dekat mana-mana jabatan. Habis tu, takkanlah nak panggil abang posmen pula! Langsung tak ada feel. Jadi Abang Shad jadi pilihan. Seksi juga kalau panggil dengan nada melentok! Lana berangan sendiri dengan senyum miang.
Deheman lelaki itu yang kedua membuatkan angan-angan Lana mati. Tersenyum malu Lana sebab sempat lagi merapu dalam fikiran.

Lelaki itu mengangkat kening seraya menghantar senyuman herot.

Lana hanya simpulkan senyuman dengan gaya manja malu kucing. Lantas menghampirinya dan membawa dulang yang berada dalam tatangan lelaki itu ke meja bulat di tepi sana. Sandwich dan teh o. Simple. Tapi cukup untuk isi perut. Dia alihkan pinggan dan teko yang berisi makanan itu ke atas meja. Kemudian dia berpaling ke arah lelaki yang tampan dalam uniform posmen yang masih berdiri di tempat tadi.

“Abang Shad, jom makan.” Lenggok suara Lana yang mendayu memecah hening yang tercipta atas tanah lapang di atas bukit kecil itu. 

Arshad Fakhri yang mendengar hanya menayangkan senyum herot sambil mengatur langkah menyertai Lana mengisi perut mereka di pagi yang bersejarah buat permulaan kisah cinta mereka.

[TAMAT]

3 Komentar

Write Komentar
18/8/14 2:05 PTG delete

macam nak kena gali balik bahagian2 yang lain...

Reply
avatar
Niechi Tieya
AUTHOR
21/9/15 9:35 PTG delete

kenapa mcm kena gantung x bertali jak cerita ni... kompius aarghhh..

Reply
avatar