Isnin, Jun 23, 2014

Cerpen: Surat Cinta Abang Posmen! - Bhg 7


Lana duduk di tempat Zetty tadi. kedua-dua tangan digunakan untuk menongkat dagu. Fikirannya pusing. Ingatkan dia akan dapat bekerja bawah Abang Arshad, bakal tunangnya yang wajahnya pun masih belum dilihat itu. tetapi apakan daya, takdir sekali lagi menemukan dia dengan lelaki itu. Posmen! Huh, tiba-tiba dia jadi alergik dengan nama posmen!

“Awak? Macam mana awak boleh ada dekat sini?” Tanya Lana pantas dalam satu nafas.

Lelaki di hadapannya masih lagi buat muka selamba. Siap keningnya dinaik-naikkan. Memang sengaja! Melihatkan aksi selamba lelaki itu Lana jadi hangat hati.

“Eh, awak bukan posmen ke? Awak buat apa dekat sini? Mana Encik Harry? Entah-entah awak datang sini hantar surat? Tapi kalau hantar surat, kenapa sampai naik masuk ke sini?” Berderet soalan keluar daripada bibir Lana.  Zaman sekarang ni baik jangan asyik baik sangka sangat. Memanglah berbaik sangka itu memang baik dan dituntut. Tapi kalau terlalu asyik sangat baik sangkanya, lama-lama diri sendiri yang boleh jadi kurang bernasib baik.

Lana keliru melihat lelaki itu di dalam bilik ini. Sepatutnya dia masuk ke dalam bilik ini untuk bertemu dengan Encik Harry. Tapi kenapa pula mamat posmen ini pula yang boleh ada. Memanglah sekarang ni mamat tu dah tak pakai uniform pos laju tu. Tapi takkanlah dia boleh lupa muka mamat tu. Mustahil!

Lelaki itu yang sedari tadi diam sudah mula menunjukkan reaksi. Tetapi bukan patah perkataan yang keluar meluncur daripada bibirnya. Sebaliknya lelaki itu bangun daripada tempat duduk yang menampung batang tubuhnya itu.  dengan lagak bersahaja, dan kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar, lelaki itu menapak menghampiri Lana.  Meski jarak antara mereka tidak jauh, bahkan hanya dipisahkan oleh sebuah meja kerja, tetapi entah kenapa tiba-tiba sahaja masa seolah-olah merangkak. Jarum jam sepertinya ditarik oleh magnet untuk melambatkan pergerakannya.

Lana terdiam kaku melihat lelaki itu. Saat ini matanya galak menganalisis fizikal lelaki di hadapannya. Orangnya tinggi. Badannya tegap. Baju kemeja lengan panjang berjalur hitam halus dengan bertanahkan warna krim terlekap kemas pada sosok tubuhnya. Penampilan lelaki itu dipadankan pula dengan seluar slack berwarna kelabu asap yang punya motif jalur halus kecil yang seolah-olah tak nampak di mata, melainkan kalau memang betul ditenung galak.

Daripada badan, mata Lana kini jelas merenung wajah lelaki itu. Jarak antara mereka yang agak hampir menjelaskan segalanya pada pandangan mata. Mata lelaki itu bulat dengan anak matanya hitam pekat. Wajahnya bersih tanpa sebarang bulu-bulu yang tumbuh sama ada di atas bibir atau pada bahagian dagu. Bibirnya merah. Hurmm, sah lelaki ini tak hisap rokok. Rambutnya pula kemas tersisir ke belakang. Ada beberapa helai rambutnya yang terjuntai ke sebelah hadapan. Tetapi tak adalah sampai menutupi mata, cuma setakat di hujung dahi sebelah kanan sahaja. Eh, ada lagi! Ada lekuk di dagu lelaki itu. Ah, kenapa wajah ni nampak begitu sempurna?

Lana telan liur. Rasa tersekat-sekat melalui kerongkongnya. Kata orang suara hati itu adalah suara yang jujur dan lahir daripada perasaan yang telus. Hatinya telah membuat keputusan untuk memuji fizikal lelaki di hadapannya lantaran matanya bersama akal sudah puas menilik anak bujang mak cik manalah agaknya ni. Eh, mana tahu bujang? Entah-entah duda! Alamak, boleh jadi suami orang juga lah!

Kalut dia geleng kepala. Prinsipnya biar jadi anak dara lanjut usia, tapi jangan sesekali ada hubungan dengan suami orang. Pertama, dia tak mahu hancurkan hati perempuan lain. Dia memang tak nak jadi sebahagian daripada perempuan yang suka bina kebahagiaan daripada air mata perempuan lain. Dia cukup tidak suka senario yang sebegitu. Yang keduanya, dia nak yang original. Tak suka bekas-bekas orang. Tak eksklusiflah kalau dapat bekas orang. Ingat orang laki saja nak yang dara, dia pun nak yang teruna juga! Opsss! Melalut dah fikiran dia!

“Ehem. You tengok apa tu?” Tak tahu bila masanya lelaki itu dah membongkok terlalu hampir kepadanya. Tiba-tiba sahaja dia boleh berdeham dan berbisik di telinga kiri Lana!

“Oh, mak! Aku nak teruna!” Tengok apa dah jadi. Boleh pula Lana nak melatah waktu-waktu macam ni. Ayat yang keluar pula bukan main sempoi lagi. Itulah siapa suruh mengelamun lagi. Dah lah mengelamun, kalut analisis lelaki pula tu. Ish, tak bertunang lagi dah galak tengok lelaki lain. Eh, betullah tu! Kalau dah tunang nanti tak boleh tengok dah. Sekaranglah masanya kalau nak cuci mata sekalipun.

You tengok I eh?” Kening lelaki itu naik sebelah. Bibirnya herot, dengan senyum semacam.

“Cara You tenung tu, macam tak pernah tengok lelaki.” Lelaki itu jeda sebentar.

But, I’am very sure, bapa You pun lelaki and it means You dah biasa tengok orang lelaki. But, one thing yang I masih fikir kenapa You tengok I macam tu sekali. I rasa pandangan You tu macam nak terkam I je, tahu.” Meleret suara lelaki itu di hujungnya.

Lana terdiam. Terkejutnya masih belum hilang. Entah apa-apalah lelaki ini.

“Er, buk... bukan say.. saya teng..” Tergagap Lana mengarang ayat. Dan kegagapan yang hadir pada masa dan saat yang tidak betul itu memang tak boleh dimaafkan langsung. Masakan tidak, tergagap bilamana sudah ditangkap merenung orang adalah satu petanda yang ckup jelas untuk mengiakan perbuatan yang kurang sopan itu. Staring at a man in the office? Oh My Nigel! Eh, boleh pula terkeluar nama Nigel. Mentang-mentanglah dia tengah gila layan cerita Temptation Wife dekat TV3 tu. Bukan main lagi kan!

See, bibir You pun tak dapat menidakkan hakikat. Memang You tenung I tadi kan? Well, I tak hairan pun. Memang ramai perempuan suka tenung I pun. Especially, You. This is second time You buat macam ni, huh?” Bicara lelaki itu semakin galak. Dan patah kata yang meluncur keluar daripada bibir lelaki itu yang nampak seksi itu, memang mampu membuatkan Lana terdiam. Kalau sebelum ini ada sahaja dia nak menjawab, tetapi semua itu sudah menjadi sejarah. Lana yang terbaru menjadi diam, mati kutu apabila berlawan cakap dengan abang posmen? See, dah abang kan? Hilang pula dah, mamat tu!

Lana gigit bibir. Tak tahu nak cakap apa. Nak menafikan pun dah tak logik. Memang dia tenung lelaki itu pun tadi. bukan sekadar tenung, siap boleh analisis. Nak buat macam mana, dah daya tarikan lelaki itu agak kuat. Susah untuk dia menepis. Tapi tak boleh jadi ni, dia kena kawal hati dan perasaan.

“Cik Hati sayang, janganlah kau buat hal. Kesian pula dekat Encik Risik yang bakal menjadi tunangan tu.” Lana sekadar membiarkan hatinya berucap dalam diam. Sekali dengar, merepek pun ada, Encik Risik? Bolehlah, dah memang risik saja pun kan, bila dah tunang baru boleh panggil Encik Tunang. Kalau dah kahwin nak panggil apa, erk? Amboi, gatal nampak!

Well, welcome to Deco De Jour. You diterima sebagai setiausaha I dekat sini. Nice to meet you Miss Lana!” Lelaki tu menghulurkan tangan. Seperti dipukau Lana juga menyambut.

Dan sekarang, Lana terdampar di tempat duduknya kini. Tempat Zetty, masa awal tadi dia naik ke tingkat tiga bangunan itu. Rupanya setiausaha Encik Harry cuti bersalin. Siap apply cuti tambahan sebab nak tunggu bayinya besar sedikit, katanya menyusu badan. Untung bayi tu dapat mama macam Sally. Nama moden. Kerja secretary, mestilah life pun tip top. Tapi demi anak, sanggup apply cuti tanpa gaji untuk menyusu badan lepas habis cuti normal bersalin nanti.

Tak adalah serupa sesetengah orang kan, ada yang sebelum lahirkan anak lagi dah plan tak nak menyusukan bayi dengan susu ibu. Siap dah survey nak bagi anak minum susu lembu jenama apa. Ya la kan, zaman moden sekarang ni, siapalah yang nak melekat dekat anak saja 24 jam, angkat baju suakan anak bila-bila masa si kecil merengek lapar. Zaman dah berubah. Semuanya nak mudah saja. Mungkin itu juga antara faktor kenapa hubungan kasih sayang antara anak-anak generasi Y dengan ibu bapa mereka agak kurang. Ya lah, sedari bayi pun, makanan yang disua dah bukan daripada sumber badan ibu sendiri. Mana nak lekat kasih dan sayang di dalam hati? Tapi ini anggapan fikiran Lana yang tak seberapa sajalah. Memanglah tak seberapa, ambil STPM pun result dia boleh-boleh saja.

“Hurmmm, apa aku nak buat ni? Bosanlah pula bila tak ada kerja nak buat. Tak ada kerja? Hah, ni lagi satu hal. Aku manalah tahu kerja-kerja secretary ni. Tak ada pengalaman. Satu apa pun tak tahu. Yang tahu pun bila ada tengok dekat TV atau baca scene secretary dengan bos dalam novel. Scene dengan bos? Macam dalam cerita Kalau Memang Harus Begitu ke? Sweet lah Adara dengan Zidan tu. Kalau macam tu, aku dengan Encik Harry la?” Lana sedang baik punya berangan. Dengan tangan menampung dagu yang didaratkan di atas meja kerja yang kosong tanpa kerja. Boleh kata pekerja contoh terbaik hari pertama kerja!

Angan-angan nakal itu hanya sekejap saja singgah di mindanya. Buaian rasa itu tercantas apabila ingatan kepada lelaki posmen itu menjelma. Lana tak sempat tanya apa-apa tadi. Soalan yang dia serbu kepada Encik Harry, langsung tak berjawab. Sebaliknya dia pula tertangkap merenung lelaki itu, buat malu saja. Rasanya pelanduk dua serupa kot. Takkanlah seorang posmen, tiba-tiba boleh jadi pengurus rumah karya hiasan dalaman yang hebat seperti Deco De Jour ni. Takkanlah sekelip mata sahaja. Lagipun personaliti Encik Harry ni tip top, tak sama langsung dengan mamat posmen yang mulut laser dan tak gentleman tu.

Memikirkan persamaan antara mamat posmen dan Encik Harry, membuatkan Lana mati kutu. Ada ke persamaan yang ketara antara dua orang sebegitu rupa dekat dunia ni? Yang Lana tahu orang pernah cakap yang dekat dunia ni ada tujuh orang yang hampir sama. Tetapi dalam kes ini dua orang lelaki dari dua tempat yang tak jauh mana.

“Tapi sejujurnya, aku tak adalah ingat sangat letak duduk muka mamat posmen tu. Ya lah, mana ada pernah tengok elok-elok macam tenung Encik Harry tadi kan?” Hati Lana membuat kesimpulan.

“Tak kisahlah yang penting hati senang. Aku pun suka juga duduk dekat sini. Ada boss handsome, kerja pula jadi secretary. Fuh, dah feeling macam dalam novel lah pula. Tak sangka betul. Memang betul-betul suka lah. Suka, suka, suka!” Lana dah buat perangai budak tak matang. Boleh pula dia pusing-pusingkan badannya di kerusi tu. Mentang-mentanglah kerusi kusyen beroda tu boleh dipusing-pusing, dia pun laju saja pusing kanan sekejap, pusing kiri sekejap. Nampak sangat hati tengah senang.

“Apa yang You suka, huh?” Macam kilat ada satu suara menyapa di telinga Lana.

Lana yang masih galak berpusing-pusing di kerusi itu terhenti lakunya. Berkerut dahi dia memandang Encik Harry di depan mata. Bila masa lelaki itu ada dekat depan. Tiba-tiba saja boleh ada.

“Apa dia Encik Harry? Saya tak dengar?” Lana buat muka polos. Seolah-olah tak tahu apa-apa.

Well, I tanya You suka apa? Bukan main seronok I tengok duduk pusing-pusing dekat situ.” Muncung bibir lelaki itu mengarah kepada Lana.

Lana sengih macam kerang busuk.

“Tak ada apa-apalah Encik Harry. Suka duduk atas kerusi ni. Boleh pusing-pusing. Tu yang rasa suka tu.” Mati nak terus-terang apa isi hati sebenarnya. Suka sebab kerja bawah boss yang handsome! Gila ke apa nak jawab macam tu. Mesti malu seumur hidup dibuatnya.

“Ada-ada saja You ni kan? Dah jom pergi lunch.” Encik Harry mengajak Lana makan tengah hari. Perghh, baru hari pertama kerja dah keluar makan dengan bos? Mestilah beb, kata secretary. Haruslah kena kepit dengan bos selalu.

“Kita berdua saja ke?” Tanya Lana lurus.

“Habis tu, nak ajak satu office ni sekali pergi lunch ke? Boleh saja, tapi tak ada privasi la nanti.” Encik Harry menjawab selamba. Ada juga bos yang kepala dia main ikut saja gelagat pekerja kan.

“Eh, tak apa, tak pa. Kita dua sajalah.” Jawab Lana laju. Serupa gatal nak keluar berdua bos saja gayanya. Nak kena ketuk kepala budak ni.

Why? Nak feeling date dengan I erk?” Tanya Encik Harry dengan suara yang ala-ala macho. Nak berderai jantung Lana berdegup laju. Hia, hati bertahanlah, tak fasal-fasal majlis tunang tak jadi nanti.

“Eh, Encik Harry ni saja tau, nak kenakan saya. Sebenarnya saya ada benda nak tanya Encik Harry, so kenalah privasi kan. Tak mahulah satu office tahu nanti.” Lana berikan alasan.

Sebenarnya dia tak bersedia untuk bertemu dengan Arshad. Ya lah sampai semalam hati dia okay saja dengan bakal tunang yang tak pernah dilihat rupanya itu. Dia main angguk setuju saja bila Tok Ma tanya. Tapi semenjak bertemu Encik Harry ni, perasaan dia dah lain macam. Tak tahu kata apa, tapi memang lain. Itu yang dia takut kalau-kalau dia bertemu Arshad, kalau betul Encik Harry nak ajak satu office makan sekali. Tetapi dalam tak pandai dia pun, Lana sedar, Encik Harry sekadar bergurau. Takkanlah nak ajak semua pekerja makan, siapa nak bayar nanti? Bos besar pun kalau asyik keluar saja duit dari poketnya, lama-lama boleh jadi pokai.


**********

“You nak makan apa dear?” Lembut suara Encik Harry menyapa gegendang telinga Lana. Ketika itu mereka sudah pun mengambil tempat duduk di sebuah restoran makanan Melayu tidak jauh dari Deco De Jour.

Selera Air Tangan Bonda. Itu nama restoran yang dipilih Encik Harry. Lana menurut sahaja. Dah ada orang yang bawakan, takkanlah dia nak membantah pula kan. Lagipun Lana bukanlah jenis perempuan yang cerewet bab makanan. Asalkan halal dan boleh masuk tekak memang tak ada hal. Tak perlulah nak memilih sangat. Cuba tengok negara-negara dunia ketiga, nak dapat sesuap nasi pun bukan main susah. Ini dah rezeki macam-macam ada depan mata, tapi sayang masih ada yang tak tahu hargai dan bersyukur.

Hurmmm, bagi saya Nasi Ayam spesial ni satu. Air bagi sirap bandung, ya.” Pinta Lana perlahan kepada pelayan yang sedang setia menunggu di sebelah. Sebenarnya dia malu, bila Encik Harry memanggilnya sayang. Eh, bila masa Encik Harry panggil dia sayang? Lah, dear tu bukan sayang ke? Tak apalah, balik rumah nanti nak try google translate, saja nak confirm, takut-takut syok sendiri saja.

Encik Harry memesan set Chicken Chop untuk dirinya. Cukupkah makan lunch yang tu saja. Kalau Lana, tak jumpa nasi untuk tengah hari memang macam ada yang tak lengkap. Macam irama tanpa lagu. Serupa pantai tanpa ombak. Umpama bulan tanpa bintang. Huh, banyak pula perumpamaan yang muncul.

Tiba-tiba saja Lana jadi kekok. Berdua-duaan dengan seorang lelaki yang baru dikenali hari ini. Tetapi sudah mengikutinya untuk makan tengah hari. Kalau bukan disebabkan lelaki itu bos, dan dia merupakan setiausaha baru kepada lelaki itu, tak adanya Lana nak ikut Encik Harry ke restoran itu. Tak ke nanti jadi bualan orang dekat Deco De Jour tu, baru masuk kerja tapi dah keluar makan dengan bos. Kalau bos fesyen perut ala perempuan mengandung lapan bulan, lepas tu ada pula playground dekat kepala, tak adanya orang nak kisah kan? Tapi ini bos yang handsome macam model kot. Mana-mana perempuan yang berselisih, mesti akan tengok semula. Gila tak tengok!

“Kenapa senyap saja ni?” Encik Harry memecahkan kesunyian antara mereka.

Erk, tak ada apalah Encik Harry. Tak tahu nak cakap apa. Tu yang saya senyap tu.” Lana menjawab perlahan. Tangannya bermain-main dengan napkin yang terletak elok di atas meja makan itu. Makanan tak sampai lagi. Lambat pula tukang masak ni nak masak!

“Tadi You cakap nak tanya something, apa dia?” Tanya Encik Harry. Ketika ini lelaki itu ralit memeriksa telefon pintarnya. Tak tahu apa yang dia tengah buat. Mungkin tengah balas mesej isteri atau kekasih? Nak bagi laporan kata tengah lunch dengan secretary. Takut nanti ada yang makan hati dan cemburu tengok lelaki handsome macam Encik Harry ni makan tengah hari dengan Lana!

Erk, bukannya ada apa Encik Harry. Tak adalah penting sangat.” Lana menjawab pendek. Malas nak layan cakap bila bosnya itu tak berikan perhatian kepadanya. Lebih sibuk membelek telefon pintar. Amboi, cemburu ke? Awak tu siapa Lana, dah nak main cemburu bagai?

“Tanya sajalah. I bukan nak makan You pun, kalau You tanya pun. Kalau I ni jenis makan orang, tak payah susah-susah datang sini, tarik saja You masuk dalam bilik I, then I ngap saja, setlle kerja!” Encik Harry menjawab bukan main lagi. Terbelalak mata Lana dibuatnya.

Hurmm, sebenarnya saya nak tanya, Encik Harry kenal tak dengan pekerja yang bernama Arshad Fakhri. Katanya dia kerja dekat Deco De Jour.” Akhirnya persoalan itu terlerai juga lewat patah kata daripada bibirnya. Nak juga dia tahu Arshad kerja di bahagian mana. Nak juga dia skodeng wajah bakal tunangnya itu. Walaupun dia setuju sebab hormatkan permintaan Tok Ma dan Mak Bedah, tetapi dalam hati perempuannya tetap terlukis wajah bakal suami impian. Nak juga dia tahu sebelum menyerahkan seluruh takdir hidupnya kepada seorang lelaki yang bernama suami.

“Kenapa You nak tahu fasal dia?” Tanya Encik Harry. Kali ini dia merenung tepat ke arah sepasang mata milik Lana.

Lana tunduk. Malu menatap sepasang mata hitam milik bosnya.

“Sebenarnya, dia bakal tunang saya. Bakal mak mertua saya yang cadangkan saya minta kerja dekat sini. Itu yang saya datang ke Deco De Jour.” Lana merangkan hal yang sebenarnya.

Owh, You dah nak tunang. But takkanlah You tak kenal dengan bakal tunang You tu. Your future mother in law, You kenal pula.” Encik Harry banyak tanya pula, bukan nak jawab persoalan Lana.

“Yang itu sebab, bakal mak mertua saya tu datang masa majlis merisik hari tu. Encik Harry kenal tak dengan pekerja nama Arshad Fakhri tu?” Lana tanya sekali lagi.

“Kalau You dah sanggup nak bertunang dengan lelaki tu tanpa kenal lebih dulu, then kenapa tiba-tiba nak ambil tahu pula?” Encik Harry masih mengasak dengan persoalan.

“Saja nak tahu. Salah ke nak ambil tahu tentang bakal tunang. Kalau saya kenal, boleh skodeng dia. Mana tahu dia ada affair dengan mana-mana pekerja perempuan dekat Deco De Jour tu. Contohnya macam Zetty tu, saya yang perempuan ni tengok pun mesti nak pandang sekali lagi, inikan pula orang lelaki kan.”

“Betul You nak skodeng?” Encik Harry menjongketkan keningnya sebelah. Suka benar lelaki ini jongketkan kening. Boleh jadi peminat setia Ziana Zain ni.

Lana hanya senyum simpul. Dia hanya bergurau, dan Encik Harry di hadapannya itu boleh pula melayan dia.

“Tak susah manapun You nak skodeng dia. Hari-hari You akan jumpa dia lepas ini. In fact, hari ni pun You dah jumpa dia.” Encik Harry berjeda sejenak. Sengaja dia berhenti. Mahu mendera perasaan Lana barangkali.

Dahi Lana dah berkerut. Mengingat kembali wajah-wajah yang dia sudah bertemu sejak awal pagi tadi di Deco De Jour.

“Siapa Encik Harry? Saya tak dapat nak camlah. Tak ingat pun.” Lana bersuara setelah tidak dapat membuat pengecaman wajah dalam mindanya.

Well, I lah Arshad Fakhri aka Harry.” Encik Harry memperkenalkan dirinya.

Lana hanya gelak.

“Encik Harry nak bergurau pula. Tak kelakar okay.” Lana masih bersisa tawanya.

“Kenapa, tak percaya?” Kening lelaki itu sekali lagi terjongket.

“Nah, my IC, You tengok sendiri, especially that adress, mesti you rasa dekat sangat dengan rumah yang You tengah duduk sekarang ni kan?” Encik Harry menyuakan kad pengenalannya yang diambil daripada wallet kepada Lana.

Lana menyambut. Teragak-agak juga dia menyambut kad pengenalan itu. Usai melihatnya, matanya hampir tersembul. Memang betul, nama yang tertera di situ Arshad Fakhri Bin Ahmad Razuan.  Dan alamat itu.

Oh My Bata!” Terkejut punya fasal kali ini yang keluar daripada mulut Lana ialah Bata. Eh, okay apa Bata, jangan pandang sebelah mata tau!

Bukan setakat itu, Lana boleh berdiri tanpa sengaja. Siap gaya tangan yang hendak didepakan. Kononnya terkejut sangat. Memang lepas tu Lana terkejut beruk. Mana tidaknya, kebetulan pelayan sedang menatang dulang makanan dan sudahpun berdiri di sebelahnya. Dia yang bangun mendadak dengan tangan serupa hendak terbang itu sudah mencetuskan satu drama dalam restoran itu. Dulang berisi nasi ayam itu terpelanting. Habis semua mata yang berada di restoran itu memandang ke arah mereka.

Lana yang menyedari perkara itu, kaku. Dia duduk semula. Tunduk melihat bawah. Buat muka tak bersalah. Seketika berlalu. Sesaat dua. Lana angkat kepalanya perlahan-lahan. Mahu melihat reaksi Encik Harry. Mesti lelaki itu malu dengan dia.

Melihat sahaja wajah Encik Harry, mulut Lana terlopong. Sup nasi ayam dalam dulang tadi sudah selamat landing di badan lelaki itu. Habis basah baju yang dipakai Encik Harry.

Oh My Gucci!” Lana terjerit kecil. Kalut dia tarik kerusi, menuju ke arah Encik Harry. Dia mahu bersihkan kotoran pada baju lelaki itu.

Arghhhh!” Jeritan yang kedengaran agak kuat itu betul-betul menarik perhatian semua yang berada dalam restoran itu ke arah Lana.

Macam mana dia tak jerit, kali ini dia terlanggar pelayan yang sedang menatang Chicken Chop yang dipesan Encik Harry! Pelayan dekat restoran ni pun satu, kenapa jalan senyap sangat. Tak dengar bunyi langsung. Lepas tu boleh pula tiba-tiba saja ada sebelah dia, siap tatang dulang berisi makanan. Memang nak sabotaj dia ke apa.

Lana tengok sekeliling. Mata orang masih memandang. Dia sengih seraya mengangkat tangan. Kononnya tak ada apa-apa dan minta mereka teruskan menjamu selera. Dia kemudiannya mahu menyambung semula niat asalnya, iaitu membersihkan kemeja Encik Harry yang dikotori oleh sup Nasi Ayam yang tertumpah dek tak sengaja tadi.

Baru sahaja dia melihat wajah lelaki itu, mulut dia terlopong. Encik Harry sedang merenungnya tajam. Dan di atas kepala lelaki itu ada kepak ayam yang sedang posing baik punya.

Oh My Prada! Apa yang aku dah buat ni?” Lana berbisik perlahan.

“Pengsanlah, pengsan!” Hati kecilnya berbunyi beri cadangan.

Tanpa memberi amaran, tanpa banyak persoalan, Lana menjatuhkan dirinya di atas lantai. Gedebuk. Sakit pun sakitlah. Daripada nak memandang wajah Encik Harry yang dah tak serupa orang, dengan nak menghadap mata orang yang masih asyik memandang. Pengsanlah. Habis cerita.


“Kalau esok-esok orang tanya termasuk Encik Harry, kata saja kena rasuk. Habis cerita.” Sempat lagi hati dan minda Lana bermonolog, dalam pada badannya sudah selamat mendarat atas lantai. 

  **********

[Bersambung...]

2 Komentar

Write Komentar
25/6/14 4:51 PG delete

Kenape xbuat novel je terus...nice la cerite dia :)

Reply
avatar
Niechi Tieya
AUTHOR
21/9/15 9:13 PTG delete

part landing atas lantai tu win..

Reply
avatar