Ahad, Jun 15, 2014

Cerpen: Surat Cinta Abang Posmen! - Bhg 6


Pagi ini Lana bersiap dengan seadanya. Biarpun seadanya, tetapi Lana pastikan penampilannya pada hari itu nampak sempurna. Meski sempurna itu bukan sifat manusia, tapi menghampiri sempurna itu juga sudah memadai bagi Lana.

Baju kurung berwarna coklat keperangan menjadi pilihan Lana pada pagi itu. Baju kurung yang kainnya dibeli di Jakel Sungai Petani pada awal tahun ini. Sekali pandang sahaja Lana sudah jatuh suka pada kain berwarna coklat keperangan yang bermotifkan bunga-bunga lili yang besar berwarna putih. Biarpun harganya boleh tahan tetapi dia tetap bertegas mahukan kain itu dibuat baju kurung. Dah macam perangai budak-budak.  Puas mulut Mak Bedah bising. Kata Mak Bedah, harga 4 meter kain baju yang dimahukan Lana itu  boleh beli 4 pasang baju kurung kalau dibelanjakan di Pasar Malam.  Tetapi kalau sudah anak daranya dah buat gaya tak mahu berganjak dari depan kain pasang berwarna coklat keperangan berbunga lili besar putih itu, terpaksa jugalah melayang lima keping not 50 ringgit pada hari itu semata-mata Lana.

Lana tidak mengambil masa yang lama untuk bersiap. Selepas mengenakan sepasang baju kurung yang dijahit sendirinya itu, terus dia menyisir rambut. Rambutnya yang separas bahu itu dikemaskan dan dibiar lepas. Ini satu lagi perkara yang sering dileterkan Mak Bedah. Apa lagi kalau bukan sikap Lana yang masih tidak serius memakai tudung. Kadang-kadang Lana akan memakai tudung. Umpamanya ketika pagi Aidilfitri, kenduri doa selamat dan sebagainya. Tetapi pada hari-hari biasa tudung-tudung yang dibelikan Pak Majid itu sekadar jadi hiasan dalam almari sahaja. Nak kata Mak Bedah tak pandai ajar anak, sedari kecil Lana sudah dimasukkan ke kelas KAFA, yang mengajarkan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Itulah, susah kalau perkatakan tentang kewajipan yang satu ini. selagi hati sendiri tidak terbuka untuk ikhlas menutup apa-apa yang diwajibkan memang payah hendak dilaksanakan walau diseru oleh sesiapapun juga.

Jam menunjukkan pukul 7.00 pagi. Lana sudah keluar dari bilik. Dia sudah siap sepenuhnya untuk ke Deco De Jour. Tetapi apapun, sebelum itu perut yang kosong perlu diisi terlebih dahulu. Kalau pergi temu duga tanpa makan terlebih dulu, nanti jadi apa-apa siapa nak jawab. Hah, tak tahu boleh jadi apa, kalau tak makan sebelum pergi temu duga? Meh, nak bagi tahu sikit.

Pertama, boleh jadi sebab lapar ditambah pula gementar yang hebat, bukankah niaya saja kalau masuk sahaja dalam bilik temu duga, tak sempat nak duduk di kerusi, terus jatuh pengsan! Sah-sah kena reject, dan akan dicop sebagai lembik!

Kedua, kalaupun daya tahan badan dan mental kuat. Rasa gementar itu boleh dikawal. Confident sahaja bila masuk dalam bilik temu duga, sekali lepas bagi salam, elok duduk di kerusi keluar satu bunyi yang agak kuat. Bunyi apa? Lagi mahu tanya? Bunyi perut yang sedang kosong yang duduk goyang gerudi Inul lah! Tak ke buat malu muka sahaja.

 Untuk mengelakkan dua situasi yang agak memalukan yang boleh terjadi, yang Lana sendiri buat kajian lewat pembacaan novel-novel yang bersepah dekat rumahnya tu, maka Lana pun buat keputusan untuk bersarapan terlebih dulu. Sarapan saja okay, bukan nak melantak.

Sampai saja di dapur, Tok Ma sibuk buat sesuatu. Lana tak adalah nak pergi tengok apa yang Tok Ma buat, yang disibukkannya ialah pergi tengok apa yang bawah tudung saji.

Hurmmm, bihun goreng. Okaylah daripada tak ada pa-apa.” Omel Lana sendirian seraya menarik kerusi dan duduk di situ. Diambilnya sebiji pinggan kosong dan disendukkannya sedikit bihun goreng ke dalam pinggannya. Kemudian dia ambil pula sos cili yang tersedia atas meja. Dituangkan sedikit sos cili ke dalam pinggannya yang berisi sedikit bihun goreng tadi. Selepas itu, Lana gaulkan bihun goreng tadi dengan sos yang dituangkannya itu dengan tangan sebelum mula menjamah hidangan sarapan pagi itu.

Seketika kemudian, Tok Ma pula menghampiri Lana di meja makan dengan telur mata kerbau. Disuakannya pinggan yang berisi telur mata kerbau itu kepada Lana. Lana menyambut dengan sengihan. Tok Ma juga menungkan air teh o panas yang sudah dibancuhnya dalam teko besar ke dalam sebiji cawan untuk Lana. Sekali lagi Lana sengih. Tok Ma hanya gelengkan kepala. Perangai budak Lana ni macam kanak-kanak remaja sahaja. Padahal dah 20-an. Tak lama lagi nak jadi bini orang dah. Kalau macam ni ah perangai Lana, larat ke si Arshad tu nak melayan. Tapi budak bertuah seorang tu pun tak menolak, bila emaknya mencadangkan Lana. Siap boleh kata mereka dah kenal lagi. Itu yang majlis risik pun dipercepatkan. Nak tunggu apa lagi kalau dah saling kenal. Betul tak?

“Tok Ma, Lana dah sudah ni. Nak gerak dah. Takut lambat pula.” Kata Lana apabila selesai menyudahkan suapan yang terakhir. Seketika selepas itu, segera dia membasuh tangannya di singki. Pinggan yang dibawa bersama dibasuhnya. Diambil sedikit cecair pencuci GLO, lalu diratakan pada pinggan, kemudian dialirkan air dari pili. Nah, selesai! Pinggan yang digunakan untuk makan bihun goreng tadi sudah bersih, bahkan berkilat-kilat lagi.  Senang bukan? Tak susah pun. Bak kata perempuan dalam iklan tu, GLO-kan aja!

Lana segera masuk ke dalam kamarnya. Beg tangan jenama Gucci tiruan dicapai, benda wajib yang perlu dipastikan berada dalam beg tangannya tak lain tak bukan tentu sahaja wallet, dan juga telefon bimbit. Dua perkara penting yang perlu ada semasa mahu keluar dari rumah. Tapi kena ingat juga, sekadar bawa wallet tapi tak ada duit dan sekadar ada telefon bimbit tapi tak ada kredit memang tak ada guna pun. Serupa pakai jam tangan yang jarumnya tak jalanlah, bila ada orang tanya, jam pukul berapa, sekadar sengih kata pakai jam untuk fesyen saja. Macam ni pun ada kah?

Sebelum meninggalkan rumah, Lana bersalaman dengan Tok Ma.  Ambil berkat. Orang yang lebih tua itu lebih dulu makan garam. Banyak pengalaman. Sering mendoakannya. Restu mereka itu perlu dalam menongkah kehidupan seharian. Itu yang selalu Lana ingat. Sayangnya anak muda zaman sekarang kurang menghargai orang tua. Bagi mereka orang tua seperti nenek dan datuk itu hanya menyusahkan. Padahal mereka tidak sedar, suatu saat nanti tua itu pasti akan mendatangi diri mereka juga. Tidak ada benih yang kekal menjadi benih. Melainkan bertunas menjadi anak pokok, sebelum membesar menjadi pepohonan rendang. Saat matangnya dedaunan merimbun segar dan batang serta dahannya utuh kuat. Tetapi sampai waktu dan ketikanya, dedaunan itu akan berubah warna. Daripada hijau kepada perang. Kemudian gugur. Rantingnya patah. Dahannya rebah. Sebelum ke akhir usia sekadar menjadi tunggul mati. Begitulah juga manusia. Lalu tidak perlu mendabik dada hanya kerana kegagahan perkasa tubuh badan yang ada kerna sampai saatnya tua itu pasti akan mengejar yang muda.

**********


Bas yang dinaiki Lana sudah berhenti di perhentian yang dipilihnya, Jalan Tun Rahar. Lana turun daripada bas Rapid itu. Kemudian, dia meneliti alamat Deco De Jour yang tersimpan kemas dalam genggaman tangannya. Tidak mahu dia tersilap lokasi. Nanti tak fasal-fasal lewat sampai pada hari pertama menjejak kaki ke bangunan yang boleh jadi akan menawarkan pekerjaan kepadanya.  Meskipun dalam hati tak ada harapan setinggi gunung Everest, tetapi bagi Lana tak ada salahnya mencuba.

Sepupunya banyak memberikan kata-kata nasihat dan semangat. Kata Asyikin, jangan merendah diri sangat. Kadang-kadang majikan bukan memandang akademik semata-mata. Ada soft skills yang turut dicari dalam kalangan pekerja yang diinginkan. Contohnya seperti di Deco De Jour, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan kreatif. Pastinya kreatif itu bukan diukur semata-mata bersandarkan sijil dan ijazah. Sebaliknya kreatif itu datang daripada akal yang bersatu dengan hati, kemudian diadun cantik dengan teliti sebelum dipersembahkan sebagai sebuah hasil yang menakjubkan buat tatapan kelompok sasaran.

Berjalan sambil berfikir membuatkan perjalanan yang tidak jauh mana itu langsung tak terasa. Sedar tak sedar Lana sudah tiba di hadapan pintu kaca yang terukir indah perkataan Deco de Jour dengan gaya yang tersendiri. Bangunan tiga tingkat itu terletak di bahagian hujung sekali. Deretan bangunan kedai sepanjang jalan itu ternyata membuatkan kawasan itu nampak sibuk dengan pekerja dan individu yang mempunyai urusan di sekitar kawasan itu. tanpa membuang masa, Lana pantas menolak pintu kaca itu ke dalam. Nafasnya disedut dalam. Mencari sedikit ketenangan. Darah gemuruh sudah tidak boleh dipisahkan dengan Lana. Sampaikan ada ketika dia boleh melatah. Ah, melatah! Sebut tentang melatah tiba-tiba fikiran Lana menerjah kepada si posmen yang bermulut lancang itu. Mulut dia pernah latah depan mamat tu sampaikan tersebut mamat senget tu handsome.

Lana geleng kepala. Ingatan kepada lelaki itu perlu dibuang. Apatah lagi dia sudah dirisik dan bulan depan bakal bertunang. Tak elok ingatkan lelaki lain, walaupun ingatan itu langsung tidak ada kena-mengena dengan perasaan yang manis-manis.

“Cik, saya tanya apa yang saya boleh bantu. Kenapa cik geleng-geleng pula? Kalau tak bak dibatu, kenapa pula masuk sini?” Selamba saja gadis yang memakai tanda nama Zura itu menyoal Lana. Masakan tidak, dah sampai dekat receptionist, lepas tu fikiran melayang. Inilah natijahnya.

“Minta maaf cik, saya datang untuk temu duga. Nama saya Lana.” Jawab Lana dengan rasa serba salah. Awal-awal lagi dah tunjukkan sikap yang tak berapa nak elok. Fokus Lana, fokus. Fikiran jangan asyik nak merawang saja!

“Lana? Ingat Lana Nordin ke, semua orang nak kenal. Bagi tahu nama penuh la, baru saya boleh check cik kena masuk bahagian mana untuk temu duga. Sebabnya hari ini ada dua interview yang berjalan serentak. Karang salah masuk bilik, saya juga dipersalahkan nanti.

“Nur Fazlyana Arnisyah Binti Mohd Majid. Cukup? Atau nak nama datuk sekali?”  Lana menjawab persoalan Zura itu tadi, sekali gus sempat memerli. Macam tu ke gaya dan nada suara penyambut tetamu sebuah syarikat. Lingkup business kalau ada orang macam ni depan pintu utama bangunan Deco De Jour ni.

Hurmmm, Cik Lana ni datang untuk temu duga jawatan pembantu kreatif hiasan dalam kan? Tapi, so sorry jawatan tu dah ada orang lain isi. Orang yang layak dan memang sesuai untuk jawatan tu...” Zura menjelaskan situasi selepas menyemak nama Lana dalam rekod data yang telah diberikan oleh pengurusan sumber manusia.

“Lah, kalau dah ada orang lain yang diterima, kenapa pula saya dipanggil datang. Tak faham betullah. Buang habis tambang bas saja tau datang sini. Menyampah!” Lana benang. Tak fasal-fasal keluar awal,bersiap, kemudian nak bas dan datang sini. Tak ke sia-sia jadinya. Malas mahu lama-lama di situ, Lana mula angkat kaki. Lagi lama di situ takut anginnya memuncak dan dia terbaling pula pasu yang berisi bunga ros mati di meja penyambut  tetamu yang bernama Zura yang tak berapa nak mesra alam tu.

“Cik Lana tunggu dulu!” Panggil Zura dengan cepat apabila Lana sudah mengatur satu dua langkah meninggalkan kaunter penyambut tetamu merangkap ruang pertanyaan itu.

Lana memusingkan batang tubuhnya kembali. Dia melangkah semula ke arah Zura.

“Ada apa lagi?” Tanya Lana malas. Dah cakap tak ada kerja kosong lagi, tak perlulah nak jaga bahasa bagai kan? Kalau Zura ni layan dia elok-elok tak apalah juga. Ni cakap pun macam nak tak nak saja. Ni tiba-tiba panggil pula. Nada suara pun dah berubah, dah lembut semacam.

“Erk, Cik Lana, sebenarnya memanglah jawatan yang Cik Lana pohon tu dah diisi dengan orang lain. Tapi bos cakap kalau Cik Lana datang hantar Cik Lana masuk bilik dia. Ada jawatan lain yang disediakan untuk Cik Lana rasanya.” Jelas Zura dengan panjang lebar dengan ayat yang teratur. Bila disemak dalam data dalam buku catatannya, barulah Zura teringat yang Lana inilah orang yang bos nak jumpa bila datang ke syarikat mereka. Jadi automatik, bahasa dan cara layanan dia mula berubah. Bila bos sendiri yang panggil, mana tahu Cik Lana ni memang kenal bos Deco De Jour ni ke? Tak fasal-fasal kalau diadu, jawatan yang dia baru pegang dekat syarikat tu boleh berada dalam keadaan bahaya.
Lana yang mendengar macam bingung pula. Jawatan apa lagi yang sesuai untuk aku dekat sini. Takkanlah nak bagi jawatan pengurus pula. Tak masuk akal betul. Dah lah STPM pun cukup-cukup makan saja.

“Cik Lana, sekarang ni Cik Lana boleh pergi ke lif arah sana, kemudian pilih tingkat tiga, ya. Pejabat bos ada di tingkat atas sekali. Dekat sana nanti akan ada Cik Zati yang sambut Cik Lana, saya akan inform dia sekarang.” Zura menambah bila Lana tidak menjawab.

Lana sekadar mengangguk dan mengucapkan terima kasih. Dia masih lagi bingung. Kakinya dihala juga ke arah lif. Butang naik ditekan. Bila pintu lif terbuka dia masuk ke dalam. Tak ada orang lain yang mahu menggunakan lif pada ketika itu. Maksudnya, hanya dia seorang sajalah. Sampai ke tingkat tiga, pintu lif terbuka. Lana keluar sambil memerhatikan sekeliling tingkat itu. Agak luas juga. Tingkat itu dilatari dengan warna putih gading pada dindingnya. Nampak suci dan bersih. Ada tiga buah sofa dengan meja kopi di sebelah kanannya berhadapan dengan sebuah kaunter. Nak kata kaunter pun bukanlah macam kaunter tiket orang jual bas. Cuma dia ada ruang untuk berurusan yang bercantum dengan meja kerja seorang perempuan yang dari jauh sudah tampak elegan.

Malas mahu mengitari pandangan dengan kawasan sekeliling dengan lebih lanjut, Lana pantas menuju ke arah perempuan yang tampak menawan itu.

“Assalamualaikum, Cik. Maaf tumpang tanya. Tadi Cik Zura minta saya ke tingkat tiga. Katanya, Cik Zati akan beritahu maklumat berikutnya.” Lana mengatur perkataan satu persatu. Tak nak nampak tergagap-gagap. Dan tak mahu juga laju macam kena kejar dengan anjing.

“Oh, saya Zati. By the way, call me Zetty. Okay, bos memang ada dalam bilik. Since, Zura call tadi, I dah inform dengan boss. So, you  straight away can go inside that room, okay. Good luck.” Zetty senyum manis.
Lana menganggukkan sedikit kepalanya. Senyuman manis yang nipis dibalas kembali. Walaupun Zetty ni nampak elegan, tapi layanannya tak adalah macam Zura. Nasib bahasa orang putih yang Zetty cakap, Lana boleh faham lagi. Kalau tidak buat malu muka saja.

Tanpa buang masa lagi, Lana terus mendapatkan bilik yang dimaksudkan oleh Zetty tadi. Bilik yang bersebelahan dengan tempat yang diduduki oleh Zetty tadi sahaja. Barangkali, Zetty tu setiausaha bos syarikat inilah agaknya. 

Lana mengetuk pintu bilik yang diperbuat daripada kayu jati berwarna coklat gelap. Pintu bilik sahaja sudah diukir dengan ukiran yang begitu cantik, halus an berseni. Macam mana pula dengan rupa bentuk bilik bos syarikat tu. Maklumlah nama pun syarikat yang menawarkan perkhidmatan hiasan dalaman. Mestilah reka bentuk hiasan dalaman syarikat itu sendiri perlu kreatif.

Setelah mendapat arahan daripada dalam untuk masuk, Lana pun menolak pintu berkayu jati itu ke dalam. Dalam hati Lana sudah membaca ayat kursi, minta dipermudahkan segalanya.  Masuk sahaja ke dalam pejabat itu, mulut Lana hampir terlopong. Tapi ditutupnya cepat-cepat. Hiasan dalam ruang pejabat itu cukup cantik dan elegan. Tak berserabut dengan terlalu banyak perabot. Ringkas tapi sentuhan yang diberikan memang lain daripada yang lain. Seolah-olah seperti ada tangan magis yang melakarkannya. Susah Lana nak ungkapkan dengan kata-kata.

Assalamulaikum, Encik.” Lana memberikan salam. Dia sudah tahu, bos syarikat itu merupakan seorang yang beragama Islam walaupun pekerjanya memanggil bos mereka sebagai Encik Harry. Ingatkan Mat Salleh. Takut juga kalau dia tak faham apa yang bakal dicakapkan nanti. Sebab itu dia sudah tanya awal-awal dekat Zura tadi. Kalau sah bos mereka Mat Salleh, memang siang-siang dia akan angkat kaki. Tapi bila Zura kata Encik Harry ni Melayu, lega sikitlah Lana dengar. Paling-paling tidak kalau Mat Saleh celup pun tentu boleh faham Bahasa Melayu lagi.
Take your seat, please.” Suara bos yang kedengaran dari arah belakang itu membuatkan Lana telan liur.

Ketika ini, bos sedang membelakangkan dia. Tak tahu apa yang dia tengah belek di tangan. Nampak macam fail. Ah, lantaklah! Tapi kenapa dia ni pun cakap Bahasa Inggeris. Bukankah ke yang ini Harry Melayu. Bukannya Harry Potter macam dalam cerita magik tu.

“Habislah kalau macam ni. Buat malu aja, tergagap-gagap macam burung kakak tua. Eh, burung tu gagap ke? Lantaklah!” Hati Lana berdesis sendirian. Risau pula dia kalau Encik Harry tanya soalan tapi dia tak faham. Nanti lain yang ditanya lain pula yang dia jawab. Tak ke haru dibuatnya.

Hurmmm, can you introduce your self?” Encik Harry dah mulakan penyoalan pertama sebagai penemu duga. Memang itulah soalan lazim dan yang pertama yang akan ditanya. Seraya itu, kerusi yang boleh berputar itu dipusingkan ke arah depan, menghadap Lana.

Sebaik bertentangan, dan fail di tangan diletakkan, Encik Harry memandang Lana dengan pandangan yang semacam. Kemudian senyuman tersumbing di hujung bibirnya. Tak lama daripada itu, keningnya pula terjongket sebelah. Dinaik-naikkan serupa penyanyi Ziana Zain.

Lana yang memandang kaget. Serupa terkena renjatan elektrik. Tangannya dan kakinya mengeras. Matanya susah tersembul keluar. Tak ada jawapan yang keluar daripada mulut Lana untuk persoalan itu. Dia sudah menjadi bisu. Malah lebih tepat lagi Lana sudah jadi patung bernyawa di hadapan Encik Harry!

  **********

[Bersambung...]