Rabu, Jun 11, 2014

Cerpen: Surat Cinta Abang Posmen! - Bhg 5



Wajah Lana sedang ditata rias oleh mak andam. Meski Lana membantah cadangan mengupah mak andam untuk menyoleknya, namun itu sudah merupakan kehendak Mak Bedah. Kalau Mak Bedah dah kata serupa itu, siapa lagi yang boleh membantah. Alasan yang Mak Bedah gunakan, nak bagi Lana nampak cantik macam puteri kayangan. Macam-macamlah dengan Mak Bedah seorang ni. Tak apalah untuk anak dara dia juga. Asalkan bahagia sudah!

Bilik yang sederhana luas itu terasa sempit. Salbiah sedari tadi menemani Lana di dalam bilik itu. Kejap lagi pasti kerja-kerja mak andam yang asyik mengerjakan wajahnya akan selesai. Rimas pun ada. Lana bukanlah seorang yang suka bersolek. Apatah lagi yang tebal-tebal seperti  ini. Jangan nanti nampak serupa hantu cina sudahlah!

“Kak, tak habis lagi ke?” Tanya Lana yang sudah tidak sabar untuk terus menghadapkan wajahnya pada Che Meen, mak andam yang ditempah khidmatnya oleh Mak Bedah itu.

“Dah, dah, nak habis ni. Last touch up. Kamu ni Lana, kalau orang lain mesti suruh Che Meen tambah itulah, pasang inilah, lain pula dengan kamu yang tak menyempat suruh Che Meen berhenti. Hah, nah cermin, tengok sendiri hasilnya.” Che Meen menyuakan cermin wajah berbentuk hati yang dibawanya kepada Lana.

“Hah, biar betul? Lana ke ni?” Lana sendiri terkejut melihat wajahnya. Dah tak serupa dia pula. Lain benar setelah disolek oleh Che Meen.

“Tak percaya lagi? Itulah kuasa ajaib tangan Che Meen! Kalau tak percaya juga minta Salbiah cubit kamu. Hah, kalau dah tak apa nak ditambah ke nak dikurang, Che Meen minta dir dululah ye, nak pergi kampung sebelah. Ada orang lain pula tengah tunggu nak disolek. Maklumlah, popular, semua orang cari.” Che Meen langsung mengemaskan peralatannya. Cermin berbentuk hati yang masing di tangan Lana turut diambil dan dimasukkan dalam beg sandangnya. Kemudian dia terus keluar mendapatkan Mak Bedah. Nak ambil upah la tu!

Salbiah hanya tertawa kecil melihatkan telatah Che Meen. Lana pula hanya tersenyum.

“Biah, okay tak muka aku ni? Kau tak rasa over sangat ke? Risik saja kot. Dah solek tahap ni. Kalau tebal sangat kau cakaplah, nanti aku ambil tisu buang sikit apa yang Che Meen tempek dekat muka aku.” Lana mula meminta pendapat Salbiah. Takut pula nanti masa keluar tunjuk muka, semua bantai gelak dekat dia, sebab muka dah macam artis opera.

Ish, tak payah nak gatal tanganlah Lana. Memang dah elok sangat dah macam ni. Baru Mak Cik Habsah tengok senyum sampai telinga. Bakal menantu lawa kalahkan artis.” Salbiah ketawa di hujung bicara.

Belum sempat Lana membalas kata-kata Salbiah, suara orang memberi salam, dan suara lain yang menyambut ucapan sejahtera yang dimadahkan itu kedengaran. Spontan hati Lana sudah berdetak kencang. Tak sampai satu minit pintu bilik yang sedang diduduki Lana dan Salbiah pula dikuak ke dalam. Yang masuknya sepupu Lana sebelah bapanya, dua orang, Asyikin dan Farhana.

“Dah sampai, rombongan sebelah lelaki.” Asyikin memberitahu.

Asyikin dan Farhana merupakan anak kepada Pak Long Latip dan Mak Long Zaharah. Pak Long Latip yang akan jadi wakil keluarga Lana untuk majlis risik pada petang itu.

“Ramai ke yang datang?” Tanya Lana.

“Dalam lima ke enam orang macam tu lah.” Jawab Farhana pula.

“Cik Abang Lana ada tak?” Tanya Salbiah pula dengan teruja. Nak juga dia tahu sama ada Abang Arshad ada sekali dalam majlis itu. Dia sudah pernah tengok wajah jejaka itu. apa nak dihairankan, satu kampung. Rumah pun tak jauh mana. Cuma sejak lelaki itu berhijrah ke kota, dah jaranglah kelibatnya nampak di kampung itu. tapi semenjak dia berhenti kerja dan kembali ke kampung ni, adalah sekali dua dia pernah terserempak. Dah jauh berubah Abang Arshad sebelum ke Kuala Lumpur dengan yang pulang kembali ke kampung ni. Nampak sasa dan makin handsome! Untunglah Lana. Mujur dia sudah bertunang, kalau tak makan hati juga dia tengok Lana dapat Abang Arshad.

**********

Di ruang tamu, tetamu sudah selesa mengambil ruang di permaidani yang dihamparkan. Di hujung sebelah kanan permaidani menjadi tempat duduk rombongan pihak lelaki, manakala di sebelah kirinya pula oleh wakil pihak perempuan. Rombongan pihak lelaki kesemuanya lima orang, termasuklah Mak Cik Habsah sendiri. Manakala wakil pihak perempuan diketuai Pak Long Latip dan turut disertai oleh Tok Ma, Pak Majid, Mak Ngah Suraya dan Pak Ngah Hanif. Saudara-mara sebelah Lana yang menjadi wakil semuanya dari sebelah Pak Majid. Haruslah begitu bukankah sebelah Mak Bedah hanya dua beradik sahaja, malah itupun kedua-duanya perempuan belaka.

Awalnya, kedua-dua pihak saling berbual tentang perkara-perkara semasa. Tentang dunia pekerjaan, hal-hal sosial yang tidak pernah sunyi dalam kehidupan seharian juga sedikit sebanyak tentang hal kekeluargaan. Ada juga perihal calon lelaki dan calon perempuan yang dibincangkan secara rambang. Perbualan itu terhenti sejenak, apabila Pak Long Latip, mengajak para tetamu untuk menjamu selera terlebih dahulu. Mendengar kata-kata Pak Long Latip itu, Tok Ma menghantar isyarat kepada Mak Ngah Suraya menyuruh mereka yang di dapur untuk menghantar hidangan ke ruang tamu itu.

Memandangkan semua hidangan sudah siap sedia di dalam talam, maka tidak mengambil masa yang lama untuk menghantar hidangan makan tengah hari itu ke ruang tamu. Juadah yang disediakan memang boleh buat kecur liur bagi sesiapa sahaja yang memandang. Meskipun, yang datang hanya sedikit, tetapi layanan yang diberikan haruslah terbaik. Itulah pesanan Tok Ma sejak semalam, ketika mereka sibuk menyediakan bahan masakan juadah pada hari itu. Antara yang disajikan termasuklah nasi tomato, nasi putih, ayam masak merah,daging cicah air asam, ikan terubuk bakar, jelatah nanas dan mentimun, pajeri terung, acar buah dan sambal belacan. Minuman pilihan pula ialah jus tembikai laici. Memang spesial lah makanan pada hari itu. Nak pikat hati keluarga besanlah katakan.

Mengetuai rombongan penghantar makanan ke ruang tamu, diketuai oleh Lana. Dengan baju kebaya yang dikenakan dengan kain batik susun serta selendang di kepala, memang membuatkan Lana tampak manis dan lebih anggun daripada biasa. Apatah lagi dengan solekan khas oleh Che Meen, makin naiklah seri anak dara itu. Dulang-dulang yang berisi makanan ditatang dengan penuh hati-hati. Langkah gemalai satu persatu diatur perlahan ke arah tetamu yang sedia di atas hamparan permaidani. Di belakang Lana, ada Farhana, Asyikin, dan Salbiah yang turut sama membantu. Tetapi langsung tak ada masalah untuk kenal pasti yang mana satu calon bunga yang bakal disunting itu. Bukankah penampilan Lana sahaja sudah membezakan dirinya dengan anak-anak dara lain yang sedang berada dalam rumah Tok Ma pada ketika ini?

Mata rombongan pihak lelaki melekat pada batang tubuh Lana. Dari hujung rambut ke hujung kaki diperhatikan. Yang mana nampak di mata ditelek. Nak pilih calon isteri, mestilah yang terbaik. Apatah lagi, teruna yang dimaksudkan itu satu-satunya anak lelaki empunya badan Mak Cik Habsah. Mak Cik Habsah tidak mempunyai anak yang lain, malah suaminya juga sudah meninggal dunia. Disebabkan anak bujangnya menyerahkan tugas mencari calon isteri kepadanya, maka dia harus membuat pilihan yang bijak. Bakal isteri anaknya itu bukan sahaja perlu menjadi isteri yang baik, malah harus mematuhi kriteria menantu pilihan.

Selesai menghidangkan makanan, Lana dan sepupunya meninggalkan ruang tamu itu. tinggallah para tetamu daripada rombongan pihak lelaki dan wakil pihak perempuan menikmati hidangan yang disajikan. Sesekali terdengar gurau senda. Makan ramai-ramai dalam suasana sebuah majlis seperti itu tampak begitu harmoni. Ukhwah itu sememangnya indah. Dan kerana itu jugalah agama Islam sendiri melarang umatnya untuk memutuskan hubungan silaturahim.

Masing-masing sudah mula duduk bersila dan bersimpuh setelah selesai menikmati makan tengah hari. Pinggan mangkuk dan gelas-gelas juga semuanya sudah dikemaskan dan dihantar ke dapur. Melihatkan semuanya seperti sudah bersedia maka resam majlis risik pun dimulakan. Jurucakap pihak lelaki yang dikenali sebagai Tuk Mat, mengambil peranan dengan melafazkan rangkap-rangkap pantun Melayu sebagai tunjang tradisi istiadat merisik.

Sudah lama langsatnya condong,
Baru kini dahannya rebah;
Sudah lama niat dikandung,
Baru kini diizin Allah.

Dari Pauh singgah Permatang,
Singgah merapat papan kemudi;
Dari jauh saya datang,
Kerana tuan yang baik budi.

Kalau gugur buah setandan,
Sampai ke tanah baru tergolek;
Kami bersyukur kepada Tuhan,
Datang kami bersambut baik.

Berapa tinggi pucuk pisang,
Tinggi lagi asap api;
Berapa tinggi gunung Ledang,
Tinggi lagi harapan hati.

Mendengar bingkisan pantun Tuk Mat yang begitu berseni, Pak Long Talib juga sudah bersedia dengan pantun-pantun Melayu yang tidak kurang hebatnya.

Perahu kolek ke hilir tanjung,
Sarat bermuat tali-temali;
Salam tersusun sirih junjung,
Apa hajat sampai ke mari?

Malam-malam pasang pelita,
Pelita dipasang di atas peti;
Kalau sudah bagai dikata,
Sila terangkan hajat di hati.

Tidak pernah rotan merentang,
Kayu cendana dijilat api;
Tidak pernah tuan bertandang,
Tentu ada maksud di hati.

Pantun yang dilafazkan Pak Long Latip pula disambut kembali oleh Tuk Mat. Langsung sahaja pihak lelaki menyatakan hasrat hati mereka lewat pantun-pantun yang puitis. Sesudah selesai kedua-dua pihak berpantun, maka wakil pihak lelaki pun menghulurkan sebentuk cincin belah rotan kepada wakil pihak perempuan. Hasrat pihak lelaki itu disambut baik oleh wakil pihak perempuan sekali gus menerima pemberian sebentuk cincin belah rotan itu sebagai cincin tanda. Kemudian, masing-masing mula berbincang tentang perkara-perkara yang perlu termasuklah tarikh peminangan, dan pertunangan.

**********
Malam itu, Lana menyendiri di dalam bilik. Rumah pusaka Tok Ma memang ada banyak bilik. Jadi, andai kata kalau dia bermalam di situ tak perlulah nak berkongsi bilik dengan orang lain. Memang sudah ada sebuah bilik yang menjadi kebiasaan untuk dirinya sendiri di dalam rumah lama itu. Lewat petang tadi, Pak Majid, Mak Bedah dan adik-adiknya sudah kembali semula ke rumah mereka. Begitu juga saudara-mara yang lain. Yang tinggal di sini cuma dia seorang bersama Tok Ma, dan Mak Su Hasnah juga dua orang sepupunya yang masih kecil. Kalau diikutkan, dia juga mahu ikut sama balik. Tapi nak buat macam mana, ada sesuatu yang menambat kakinya di sini. Siapa? Siapa lagi kalau bukan lelaki itu. Lelaki baharu yang hadir dalam hidupnya, Arshad Fakhri.

Rupanya dalam majlis risik siang tadi, mereka turut membincangkan hal-hal peribadi dirinya. Memandangkan dia merupakan seorang penanam anggur yang berjaya, maka bakal ibu mertuanya mencadangkan supaya dia bekerja di pejabat yang sama dengan bakal suaminya sedang mencari rezeki. Dengar kata tempat kerja suaminya itu masih baru dan memerlukan tenaga kerja manusia. Lebih menarik lagi bakal suaminya itu sendiri pun baru sahaja mula kerja di situ.

“Aduh, berapa banyak kali nak sebut bakal lah? Habis tu, nak sebut apa? Baby?? Uweks, nak termuntah pun ada. Jumpa pun belum nak bermanja lebih ini apa hal?” Lana mengetuk kepalanya dengan tangan kiri. Semenjak dua ini selepas hati dia sudah tekad menerima calon suami yang dicarikan Tok Ma untuknya ini, fikiran dia sudah mula bergerak nakal. Tak tahulah kenapa. Dah mering kot?

Esok hari Isnin. Ikut kata Mak Cik Habsah yang disampaikan melalui Tok Ma tadi, dia perlu ke bandar Ampuan Indah. Di situlah letaknya pejabat tempat kerja Arshad Fakhri. Tetapi memandangkan Arshad sedang berkursus, maka Lana perlu pergi sendiri ke pejabat itu esoknya.

“Tak apalah, Ampuan Indah saja pun. Bukan jauh mana. Tapi kena keluar awallah. Abah tak dapat hantar, sebab ada kerja. Tak apa, tak apa. Gerak dari rumah Tok Ma ni lagi dekat. Naik satu bas saja. Kalau dari rumah sendiri kena tukar-tukar bas, lagi leceh.” Lana bercakap sendirian.

Memang itu tujuannya pun dia tinggal di rumah Tok Ma, bagi memudahkan dia ke pejabat Decor De Jour. Nama pejabat pun guna bahasa Perancis. Tak tahulah macam mana proses temu duga untuk esok hari. Lana bukannya ada banyak pengalaman kerja. Pengalaman pergi temu duga pun rasanya tak ada. Mana ada dia pernah pergi minta kerja sebelum ni. Sekadar pergi kelas jahit adalah. Lepas tu menjahit pun lebih kurang untuk diri sendiri. Bila memikirkan apa yang akan berlaku esok hari, hatinya bukan main berdebar-debar. Tapi walau macam mana sekalipun, esok dia kena juga ke Deco De Jour tu. Pekerjaan di firma yang menawarkan khidmat hiasan dalaman itu harus dicuba. Mana tahu ada rezeki.

Mesti ada yang pelik kenapa tiba-tiba sahaja Lana jadi semangat untuk bekerja. Kalau nak flashback apa yang berlaku siang tadi rasa macam panjang pula. Ringkasnya, Farhana, anak Pak Long Latip tu yang menggesa dia untuk cari kerja secepat mungkin. Kata Farhana, orang lelaki ini akan respect sikit bila orang perempuan bekerja. Tak adalah semua benda nak buat ikut suka dia saja. Lagi satu, kalau ada pekerjaan, tak perlulah nak bergantung dekat suami setiap masa kalau nak beli apa-apa. Dan yang paling penting sekali, kata Farhana juga, kalau orang perempuan yang bergelar isteri kemudian jadi pula suri rumah tangga, tunggulah saat-saat yang bukan-bukan akan datang dalam kehidupan berumah tangga.

Saat-saat yang macam mana pula tu? Contohnya, isteri penat-penat masak, tapi suami balik lambat dan jamah sedikit saja. Contoh kedua, isteri masak banyak dan tunggu suami balik untuk makan sekali, tapi suami dah makan dulu dekat luar masa ada janji temu dengan pelanggan. Isteri rasa cemburu bila nampak suami asyik dengan telefon bimbit. Isteri syak yang bukan-bukan bila ada bau wangian pada kemeja kerja suami. Hah, itulah antara satu dua perkara awal yang boleh jadi racun dalam kehidupan berumah tangga. Puncanya sebab isteri tak bekerja, dan dia ada terlalu banyak masa untuk teropong suami guna telefon bimbit, sampaikan baju kerja dia pun nak dihidu.
Kata Farhana lagi, itu semua berlaku bukan sebab si isteri tidak mempercayai suaminya, tetapi disebabkan perbezaan kehidupan antara suami dan isteri. Bayangkanlah suami kerja dari pagi sampai petang. Isteri pula sah-sah banyak masa dekat rumah. Anak belum ada. Yang tinggal hanya berdua. Jadi banyak manalah kerja rumah yang ada untuk dibereskan. Lepas bosan dari pagi sampai petang, bila suami balik kerja, si isteri mestilah hendakkan perhatian. Berbeza pula dengan suami yang penat apabila pulang kerja, mahukan sedikit masa untuk bersendirian buat hilangkan penat. Ada ketika pula, terdapat urusan yang masih berbaki di pejabat yang perlu di update menerusi penggunaan telefon bimbit. Maklumlah, telefon pintar sekarang kan sudah ada macam-macam aplikasi dan kemudahan. Jadi bila berlakunya pertembungan yang ada perbezaan sebegini, mulalah mewujudkan suasana yang tidak mesra sekali gus boleh mencetuskan berlakunya senario seperti cemburu buta dan seumpamanya.

Hurmmm, Farhana ni memang geliga otak dia. Sebab tu lah, dia dapat belajar psikologi dekat UPM tu. Nasib dia ada petang tadi. Dapat juga aku maklumat ni. Kalau tak kerja aku asyik kepit saja degan novel 24 jam. Bagus juga kalau dapat kerja satu tempat dengan bakal suami, boleh kenal-kenal dengan rapat lagi.” Lana memeluk bantal peluk dengan erat. Lampu kalimantang sudah lama dipadamkan. Yang terpasang hanya lampu tidur di sebelah katil yang terletak atas meja tepi. Itupun Lana padamkan juga. Dia mahu tidur awal. Esok perlu bangun awal untuk menjejaki Decor De Jour. Harap-harap rezekinya ada di situ.


 **********

[Bersambung...]