Isnin, Jun 09, 2014

Cerpen: Surat Cinta Abang Posmen! - Bhg 4



Malam semalam Lana tak dapat tidur nyenyak. Nak lelapkan mata bukan main susah. Seksa jiwa dan raga dibuatnya. Mengiring ke kanan dia teringat tentang hal itu. mengiring ke kiri pun dia terbayangkan hal yang sama. Bila menelentang, dia nampak ada peta minda dengan tanda soalan merata-rata di atas siling biliknya. Tak tahulah macam mana mata dia nampak, sebab biliknya dah gelap-gelita, sebabnya Lana memang tidur dalam keadaan gelap. Kalau ada cahaya walau sikit pun mesti buat kacau dia nak tidur saja. Hal apalah yang asyik ganggu Lana sangat ni? Nak tanya lagi? Mestilah hal nak menjodohkan dia dengan anak teruna Mak Cik Habsah tu. Aduhai, apalah yang akan jadi hari ya? Yalah, bukankah hari ini dah cukup kuota tiga hari yang diberikan Mak Bedah kepada Lana untuk memberikan jawapan.

Mata yang berat dengan eyebag yang besar seperti panda menemani Lana pada pagi itu. Balutan pada tangan dan kaki sudah dari semalam dibuang. Kesan calar yang sedikit-sedikit itu hanya disapu dengan ramuan tradisional yang dia buat sendiri. Kalau ada kesan luka pada badan, tak kisahlah dekat mana sekalipun, Lana akan amalkan satu petua. Caranya sangat mudah. Senang dan yang paling penting berkesan. Apa yang diperlukan hanyalah kulit kayu manis yang perlu ditumbuk lumat. Kemudian dicampurkan dengan sedikit air dan dibancuhkan dengan bedak sejuk. Setelah sebati, sapu sahaja pada bahagian tubuh yang berkaitan. Yang lebih bagusnya, petua ini juga boleh hilangkan bintik-bintik hitam dan jerawat, khusus pada bahagian wajah.

Kakinya yang terasa berat untuk melangkah itu diseret juga ke arah dapur. Sedari Subuh tadi Lana diam di dalam bilik. Tak ada pula pagi itu dia mahu keluar untuk membantu apa yang patut di dapur. Hari ini hari Sabtu. Cuti sekolah penggal pertama bermula. Hampir dua minggu cutinya. Masa bersekolah dulu, dekat-dekat nak bercuti bukan main semangat lagi dia dan teman-teman. Siap boleh buat countdown untuk bercuti lagi. Bila sekolah bercuti ini, maksudnya adik-adiknya yang berdua itu tak ke sekolah. Jadi tak adalah sibuk sangat Mak Bedah. Bukan itu saja sebabnya dia malas nak membantu emaknya di dapur pagi itu. Lebih dari itu tentu sahaja bila terkenangkan lamaran yang disampaikan oleh Mak Bedah tempoh hari.

Sekali fikir, Lana dah rasa hidup dia ni seperti dalam novel pula. Yalah, tak pernah bercinta. Tak pernah keluar berdua dengan mana-mana lelaki. Tiba-tiba sahaja,dia mahu dipasangkan dengan seorang lelaki yang dia sendiri tak pernah kenal. Tetapi hakikat kehidupan sebenar itu lebih mengejutkan. Bukankah hidup ini penuh dengan rahsia? Manusia tidak pernah akan tahu tentang peristiwa yang bakal ditempuhinya. Ambil sahaja dirinya sebagai contoh. Seperti gadis remaja lain, Lana juga pernah berangan dilamar lelaki yang kacak. Bercinta dan berkongsi kasih. Kemudian berkahwin dan hidup bahagia selama-lamanya. Sayang sekali bayangan mimpi yang pernah hadir itu sehingga kini belum menjadi realiti. Dan tiba-tiba sahaja, ada lelaki yang akan dijodohkan dengannya sebagai seorang suami. Ironinya dia dan lelaki itu masing-masing tidak pernah kenal.

“Dah serupa perkahwinan aturan keluarga! Aku ni dah terkenan sebab banyak baca novel-novel serupa tu ke?” Lana menyoal dirinya sendiri. Malas nak semakkan fikiran yang sedia serabut, Lana segera ke dapur. Perutnya sudah berdondang sayang. Aroma nasi lemak yang dimasak Mak Bedah pula sedari tadi sudah terhidu hidungnya. Makin rancak perutnya menari kesukaan. Nasi lemak dengan sambal sotong yang dimasak Mak Bedah memang terbaik. Tak dapat dilawan oleh sesiapa. Itulah kata Lana sejak zaman sekolah rendah lagi.

“Awal akak bangun?” Suara Ucop yang menegur membuatkan semua yang ada di dapur memberikan perhatian kepada Lana.

Ketika itu Pak Majid sedang bersarapan sambil ditemani Ucop dan Zara. Nampak berselera benar tiga beranak tu. Mak Bedah pula tak tahu apa yang sedang dimasaknya lagi. Nak kata untuk makan tengah hari awal lagi. Dia sendiri sarapan pun belum.

Lana tidak menjawab pertanyaan adiknya yang seorang itu. Tak tahulah saja nak menegur atau menyindir. Adik lelakinya itu mulutnya boleh tahan. Warisan daripada Mak Bedah agaknya. Astaga, pagi-pagi dah buat dosa hati!

Tanpa mahu terus menjadi tunggul di situ, Lana segera mendekati meja makan dan menarik kerusi yang masih kosong. Pinggan kosong yang tersedia di atas meja diambil. Nasi lemak di dalam mangkuk dicedok dua senduk ke dalam pinggannya. Kemudian, dia capai pula sambal sotong yang nampak begitu menyelerakan. Sesudah itu, Lana ambil pula mentimun yang sedia dihiris juga telur rebus yang dipotong empat itu. Melengkapkan pakej, pagi itu siap ada ayam goreng berempah. Rajin pula Mak Bedah, pagi-pagi lagi menggoreng ayam. Apa lagi, Lana pun ambil seketul, kemudian mula menjamah hidangan sarapan pagi itu. Tak ada pula dia nak panggil Mak Bedah makan sama. Bertuah punya anak!

“Ucop, Zara, habis makan ni, kemas baju. Bawa yang mana perlu saja. Bukan jauh mana pun kita nak pergi. Kalau ada apa-apa yang kurang atau tertinggal boleh balik ambil.” Pak Majid bersuara setelah menghabiskan suapan yang terakhir.

Berbanding dengan Mak Bedah, Pak Majid memang tak banyak bercakap. Mengikut personalitinya, Pak Majid lebih banyak mendengar dan bercakap ketika perlu sahaja. Bayangkanlah kalau Pak Majid pun kecoh macam Mak Bedah yang kepoh. Tak ke haru dibuatnya satu rumah. Itulah rahsia jodoh Tuhan. Selalunya, pasangan yang berlainan sifat yang akan bersatu untuk melengkapi antara satu sama lain. Kerna itulah hakikat perkahwinan itu sendiri. Melengkapi apa yang kurang.

Mendengar bicara Pak Majid, Lana sudah mula rasa tertanya-tanya.

“Mahu pergi mana pula mereka? Kenapa dia tak tahu apa-apa?” Hati Lana sudah tidak mahu duduk diam. Fikirannya juga sama. Elok-elok tengah makan nasi, ada saja nak kacau daun!

“Kamu pun sama, Lana. Makan cepat-cepat. Lepas tu kemas barang. Pilih baju yang elok sikit.  Bawa sekali baju yang ada renda dekat tangan dengan labuci yang mak belikan raya tahun sudah tu sekali.” Mak Bedah pula memberi arahan kepada Lana sambil duduk bertentangan dengannya untuk bersarapan.

Lana yang terkejut mendengar suara Mak Bedah itu, langsung tersedak!

Astaghfirullahalazim. Budak bertuah ni makan pun tak betul lagi. Sampai tersedak dibuatnya. Nah, minum air ni.” Mak Bedah menyuakan segelas air suam kepada Lana. Ucop dan Zara yang memerhati sekadar senyum.

“Ucop, Zara, mari ikut abah pergi kemas barang.” Pak Majid mengajak anak ketiga dan bongsunya itu untuk meninggalkan ruang dapur itu. Dari ekor pandangan Mak Bedah, dia lebih daripada maklum akan kehendak isterinya itu untuk membawa Ucop dan Zara pergi dari situ kerana ada perkara yang hendak disampaikan kepada Lana.

Setelah ketiga-tiga beranak itu meninggalkan ruang makan di dapur, Mak Bedah tidak mengambil masa yang lama untuk berbual dengan Lana. Lagipun Lana pun dah stabil daripada tersedak tadi. Bukannya apa, tersedak sampai batu keluar air mata segala. Karang kalau beritahu apa yang nak disampaikan waktu tu juga, takut pengsan pula anak dara dia yang seorang tu.

“Lana, esok ada majlis dekat rumah Tok Ma. Jadi lepas makan ni, dah selesai kemas semua barang, kita akan bertolak ke rumah Tok Ma. Ada banyak kerja yang nak dibuat dekat sana. Lagipun, kalau bukan kita yang tolong siapa lagi? Dah majlis itu pun untuk Lana juga.” Mak Bedah langsung meneruskan bicara.

“Majlis untuk Lana? Majlis apa pula?” Lana bingung. Nak buat majlis apa pula untuk dia. Lainlah kalau untuk Ucop, masuk cuti sekolah boleh juga sunatkan budak mulut laser tu. Tapi yang ini majlis untuk dia. Eh, takkan nak sunatkan dia pula!

“ Boleh tak kamu jangan buat muka blurr . Kamu ingat nampak macam comel jer, macam cantik jer tu ke, hah? Mak menyampah tau tengok kamu buat muka gaya tu!” Mak Bedah dah mula sound. Hati dia rasa panas bila Lana buat muka tak tahu apa-apa. Serupa dia tak pernah cakap apa-apa tempoh hari.

“Mak ni, agak-agaklah. Bila masa pula Lana buat muka comel. Dah memang Lana tak tahu majlis apa? Nak kata hari jadi Lana, dah lepas. Nak kata nak buat majlis khatan, Lana bukan anak jantan. Nak kata buat lenggang perut, nikah pun dak lagi. Tah-tah mak nak buat mandi bunga pa? Janganlah mak, benda tu semua khurafat. Tak elok.” Lana pula mula bersyarah. Siap bagi nasihat serupa dia dah maklum sangat dengan situasi yang diperkatakan.

“Ni, nampak tak senduk nasi dekat tangan mak ni? Kalau mak hempuk dekat kepala kamu tu, baru nak tahu fikir yang logik sikit kot! Apa hal pula, mak nak sibuk-sibuk nak suruh kamu mandi bunga. Mandi bunga tu untuk orang yang lambat dapat jodoh. Yang kamu tu Lana, jodoh dah sampai. Kan mak dah cakap anak Mak Cik Habsah tu akan jadi bakal suami kamu. Mak bagi tiga hari kamu senyap saja. Orang tua-tua cakap, diam tu setuju. Jadi mak dah telefon Tok Ma cakap on saja. Yang kita nak balik rumah Tok Ma kamu ni untuk majlis merisik kamulah. Esok Mak Cik Habsah dengan keluarga dia akan datang risik. Hah, dah jelas dah kamu sekarang ni? Tak payah nak buat muka orang tak tahu apa-apa lagi dah. Sekarang, bangun, masuk bilik dan kemas barang. Sejam dari sekarang kita bertolak.” Mak Bedah mengeluarkan arahan serupa gaya komandan.

Terdiam dibuatnya Lana mendengar kata-kata Mak Bedah. Bila masa pula dia setuju? Diam pun kira setuju juga ke? Kejam betul pandangan yang tak bertauliah tu.

“Tunggu apa lagi tu? Kamu jangan buat perkara bukan-bukan Lana. Mak dah pasang sekuriti satu kampung ni. Tak cukup dekat sini, dekat Kampung Tok Ma pun mak dah pasang mata-mata. Kamu dah tak boleh lari ke mana. Esok majlis risik kamu akan tetap berjalan, dan kamulah satu-satunya anak dara yang akan dirisik. Full stop!” Mak Bedah menoktahkan perbualan. Kemudian dia sambung meratah ayam goreng yang berbaki seketul di dalam pinggan di atas meja makan itu.

**********

Tok Ma sedang menyapu laman. Daun-daun kering dari pohon rambutan yang merimbun di halaman rumah disapunya dengan penyapu lidi. Biar nampak kemas halaman rumah. Kata orang pandangan mata akan memberikan tanggapan umum yang awal. Dan biarlah tanggapan yang lahir daripada pandangan orang itu adalah yang baik-baik. Meskipun hidup ini tidak boleh terlalu bersandarkan kata-kata orang, tetapi sesekali pandangan manusia itu juga penting dalam menjana kehidupan yang seimbang dan sejahtera.

Begitu juga dengan Tok Ma. Tua bukan bermakna dia harus terperap di dalam bilik. Tua juga bukan bermakna dia tidak perlu melakukan apa-apa sekadar menunggu orang lain yang melakukan segalanya. Bagi Tok Ma, selagi dia punya kudrat, biarlah dia lakukan sedikit-sebanyak kerja-kerja di rumah pusaka itu. Tidak perlulah dibebankan sangat Senah. Anak itu pun sudah banyak benar penderitaannya. Tok Ma hanya ada dua orang anak sahaja. Kedua-duanya perempuan. Zubaidah aka Bedah dan Hasnah aka Senah.

Bedah sudah bahagia dengan alam rumah tangganya bersama Majid. Cuma Senah yang tidak berjaya dengan alam perkahwinan. Putus tunang pertama kali. Kemudian bakal suami meninggal dalam kemalangan jalan raya sehinggalah berkahwin dengan seorang duda. Ingatkan sudah bernikah akan bahagialah hidup anak itu. Tetapi sayang, panas tidak berpanjangan. Suaminya curang dan Senah diceraikan ketika hamil anak kedua. Sesudah itu, di sinilah kehidupan Senah, anak-beranak. Di rumah itulah kehidupan mereka diteruskan. Meski Senah tidak pernah mengeluh, tetapi jauh di sudut hatinya, dia sedar derita jiwa anaknya yang bongsu itu bukan sedikit. Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak dengan gelaran ibu tunggal. Dan kenyataan itu sedang diperhatikannya saat ini di hadapan matanya sendiri.
Melayang fikiran Tok Ma, sehinggalah minda separuh sedarnya kembali semula ke alam nyata. Bunyi kenderaan yang menjalar di perkarangan rumah menguntumkan senyuman di bibir Tok Ma. Kereta Proton Iswara berwarna kelabu itu kepunyaan Majid. Biarlah tak mewah hidup dengan harta benda asalkan bahagianya jiwa sudah cukup sebagai hadiah dalam kehidupan yang sementara. 

Melihat cucu-cunya turun daripada kereta, Tok Ma pantas meletakkan penyapu lidi yang digunakannya tadi di tepi dinding rumah papan itu. Tangannya digosokkan pada kain bati yang sedang dipakainya. Takut-takut kalau ada debu atau kotoran yang melekat. Dia sudah maklum, sekejap lagi anak-anak Zubaidah pasti akan mencari sepasang tangannya untuk dicium. Zubaidah, walaupun orangnya kepoh tetapi asuhan yang diberikan kepada cucu-cucunya itu cukup. Setakat ini, tak ada satu pun kekurangan tentang cucu-cucunya dari Zubaidah dan Majid itu yang nampak cela di mata.

“Mari naik Lana. Kita masuk dalam. Banyak yang Tok Ma nak cerita dengan kamu.” Gamit Tok Ma, apabila sesi bersalaman selesai. Adik-adik Lana dan Mak Bedah sudah naik ke dalam rumah sambil membawa beg-beg pakaian dan peralatan yang dibawa. Pak Majid pula selepas menurunkan Mak Bedah anak-beranak, sudah kembali menghidupkan enjin kereta menuju ke pekan, katanya ada urusan.

Lana hanya mengangguk. Dia senyum nipis. Meski di dalam hati penuh bergejolak rasa, tetapi biarlah semua itu tersimpan dalam perdu hatinya. Tak perlu dia menunjukkan semua rasa yang bermukim di kalbu pada raut wajah. Takut-takut ada insan yang akan terasa. Lana tidak mahu menjadi insan yang melukai orang lain. Apatah lagi andai insan yang dimaksudkan itu adalah Tok Ma. Tok Ma yang dikenalinya adalah seorang wanita yang cukup lemah-lembut dan penuh dengan sifat penyayang. Lantaran itu, dia sama sekali tidak akan melukai hati wanita tua itu.

Biarlah dia mempertaruhkan hati, jiwa dan perasaannya. Kadang-kadang dalam kehidupan ini memang memerlukan pengorbanan. Dan pengorbanan yang dilakukan itu tidak bermakna akan menjadi sia-sia. Siapa tahu perkahwinan aturan keluarga ini akan menjanjikan kebahagiaan dalam hidupnya pada masa hadapan? Siapa tahu bukan? Sementelahan kita semua hanya insan biasa. Yang menentukan setiap sesuatu itu adalah Tuhan yang mencipta dan menjadikan. Sebagai manusia biasa, lebih-lebih lagi yang beragama Islam kita perlu menerima setiap ketentuan dengan tenang dan redha. Pasti segala sesuatu yang terjadi itu menyimpan hikmah tersendiri. Bukankah dalam kitab suci ada terkandung ayat yang maksudnya berbunyi boleh jadi kamu mencintai sesuatu sedang ia amat buruk bagimu, dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedang itulah yang terbaik buatmu.

Lana tersenyum. Mindanya begitu positif pada hari ini. hatinya juga bergerak seiringan. Siapa kata membaca novel popular yang bersulam kisah cinta hanya sia-sia? Buktinya bukankah setiap ayat positif yang bertunjangkan aura motivasi tadi pernah hadir dalam halaman-halaman novel yang pernah dibacanya? Ya, memang benar. Kata-kata yang hadir secara spontan dalam mindanya tadi pernah dibaca dalam novel-novel yang ada dalam simpanannya sebelum ini. Jadi tanggapan sesetengah individu yang mengatakan membaca novel popular hanya membuang masa sememangnya tidak tepat sama sekali.

“Lana, apa yang disenyumkannya tu? Mari naik! Macam-macamlah cucu aku seorang ni.” Tok Ma yang sudah menunggu Lana di atas memecahkan layar minda Lana yang entah ke mana sudah berlayar.

Lana sekadar sengih umpama kerang busuk. Tanpa berlengah dia terus memanjat tangga ala-ala rumah Melaka yang menyambungkan lantai bumi dan beranda rumah neneknya itu. ada banyak perkara yang mahu dibualkan bersama Tok Ma. Ya, memang benar. Ada terlalu banyak perkara yang perlu dirisiknya.

**********

Petang itu, dapur rumah Tok Ma riuh-rendah dengan suara kaum perempuan. Tak ramai manapun sebenarnya. Tetapi disebabkan masing-masing riuh bercerita maka gamatlah jadinya ruang dapur itu. Itulah keindahan amalan bergotong-royong sebenarnya. Di samping tangan ligat melakukan kerja, mulut juga tidak duduk diam berkongsi kata. Maka tak hairanlah andai kata gotong-royong ini dikatakan sebagai sebuah amalan yang dapat mengeratkan perhubungan dan tali silaturahim.

Mak Bedah dan Tok Ma sibuk mengupas bawang. Sesudah bawang besar dan bawang merah itu dikupas, mereka bakal menghirisnya pula. Memang tugas itu diserahkan kepada Tok Ma dan Mak Bedah, kerana kepakaran mereka menghiris bawang dengan hujung mata pisau, cepat pula tu. Kata orang nak hiris bawang ni kena ada skill, kalau tidak alamat berlinanglah air mata sebab kepedihan. Mak Cik Senah pula sedang memotong ayam dan daging lembu yang dibeli dari pasar petang tadi. Mak Cik Senah dibantu, Mak Cik Rokiah, jiran sebelah rumah Tok Ma. Anak Mak Cik Rokiah, Salbiah dan Lana pula sekadar tolong-tolong apa yang patut.

Sambil masing-masing sibuk melakukan kerja, ada sahaja perkara yang dibualkan. Perkara wajib tentu sahaja tentang si kumbang yang bakal merisik si bunga di taman larangan esok hari. Tiap kali disentuh tentang empunya diri yang bakal merisik Lana itu, pasti hati dan perasaan Lana akan berkocak hebat. Masakan tidak, sampai sekarang dia tidak tahu bagaimana rupa lelaki yang ingin disatukan dengan dirinya itu.

Masa Tok Ma ajak berbual awal hari tadi, ada juga Lana tanyakan, kalau-kalau Tok Ma ada gambar lelaki itu. Eh, lelaki itu? Lelaki itu ada namalah. Kan Tok Ma dah bagi tahu nama dia tadi. Hurmmm, Arshad Fakhri. Sedap nama. Tapi sayang gambar tak ada satu pun. Tok Ma pun lain kali mintalah satu, paling tidak bolehlah dia scan wajah bakal suami dia tu. Eh, suami pula dah! Gatal lah pula. Baru nak risik dik non, pinang belum, tunang lagi belum. Ini sampai tahap nak sebut suami ni kenapa? Dah terasa serupa ulat bulu naik daun ke?

“Lana... Lana!” Salbiah yang sedar Lana serupa tidak ada bersama mereka di dapur itu menegur Lana. Mana tahu khayal sangat, karang sampai terpotong jari. Buat niaya  saja. Elok-elok esok orang nak datang sarung cincin risik, tiba-tiba tengok jari berbalut. Tak ke haru nantinya. Serupa adegan Kajol sengaja lukakan jari sebab tak nak sarung cincin tunang dalam cerita Dilwale Dulhania Le Jayenge pula.

“Oh, Fakhri Arshad suami aku!” Spontan keluar perkataan itu daripada bibir Lana. Terdiam semua di dapur dibuatnya.

“Nama dia Arshad Fakhri. Bukan Fakhri Arshad.” Mak Bedah membetulkan kesilapan sebutan nama lelaki yang keluarganya bakal bertandang untuk merisik Lana esok hari.

“Hah?” Lana blur.

“Suami kamu?” Tambah Mak Senah pula.

“Suami?” Lagilah Lana keliru. Bila masa pula dia kahwin.

“Ya lah, bukan baru tadi kamu cakap, apa nama tah lelaki tu, jadi suami kamu.” Mak Cik Rokiah pula menyampuk.

“Siapa? Arshad Fakhri?” Lana terlepas sebut nama lelaki itu. Tadi memang dia melatah. Nak cover line punya fasal, buat-buat tak tahulah. Nasib yang keluar tadi nama lelaki itu versi terbalik, adalah alasan nak melepaskan diri daripada kena bahan dek mereka yang ada dekat dapur tu. Tapi sekarang? Mulut ni memang nak menzalimi tuan dia sendiri. Serius tak patut?

“Arshad Fakhri tu siapa Tok Ma.” Tiba-tiba boleh pula ada soalan ekstra. Tengok sikit siapa yang tanya. Zara! Dari mana pula budak ni muncul. Bukan tadi ada dekat depan tengah main dengan sepupu dia ke?
“Alah, Zara. Arshad Fakhri tu yang akak sebut-sebut nama dia seorang-seorang dalam bilik siang tadi tu la. Kan kita dengar akak asyik ulang nama tu saja.” Gulp. Lana telan liur. Suara budak Ucop yang turut menyampuk memang dah buat muka dia jadi merah.

Memanglah dia ada sebut nama lelaki tu siang tadi. Bukan ada apa-apapun. Saja main sebut nama dia dengan nama sendiri. Nak tengok matching tak. Salah ke? Memang tak salah. Yang salahnya, berangan sampaikan budak berdua tu datang skodeng pun tak sedar.
“A’ah lah Tok Ma. Zara dengan Abang Ucop memang dengar akak ada sebut nama tu tadi. Cepatlah Tok Ma, bagi tahu siapa dia.” Rengek Zara pula.

“Zara, tu bakal suami akaklah. Yang kamu sibuk sangat nak tahu kenapa?” Boleh Lana jawab macam tu. Tadi bukan main malu sangat, sekarang dah boleh mengaku pula. Eh, Lana sedar ke apa yang dia cakap tadi?

Lana tengok sekeliling, pandangan semua orang bukan main lagi. Semua pakat tenung dia semacam. Lana rasa macam nak jadi halimunan saja sekarang ni.

“Amboi, akak ni. Tengok orang pun belum, takkan dah nak cemburu kot. Tu pun dengan Zara?” Ucop yang asyik jadi nasi tambah, memang buat hati Lana rasa menggelegak.

A’ah, buat apa nak jelous. Lainlah kalau muka bang tu macam Aaron Aziz, ni Zara tengok serupa Obama ja, tak naklah Zara.” Omelan budak sekolah rendah itu mencetuskan ketawa yang agak kuat di seluruh ruang dapur. Hanya Lana saja yang membatukan diri dengan muncung mulutnya sekali.


“Mamat tu gelap ke? Whuoaaaa... Tak nak! Tak nak suami gelap! Mak, Lana tak nak!!!” Hati Lana menjerit sakan. Dulu dia pernah tolak salam perkenalan Sameon ketika Tingkatan Lima, kerana Sameon yang ciptaannya serupa kelabu asap. Apakah ini hukum karma?

**********

[Bersambung...]