Ahad, Jun 08, 2014

Cerpen: Surat Cinta Abang Posmen! - Bhg 3



Angin petang menyapa aroma halaman rumah. Dedaun pohon pelam bergeser sesama sendiri mengeluarkan bunyi yang terasa menyenangkan di pendengaran telinga. Dia pejamkan mata. Seraya hidungnya menyedut udara dengan dalam.  Ditahannya seketika udara itu dalam sistem pernafasan, sebelum dihembus keluar perlahan-lahan. Rasa tenang mengaburi ruang minda. 

Mata yang terpejam tadi terbuka kembali. Kali ini matanya memandang ke arah persekitaran duduk letaknya dia sekarang. Daripada pangkin tempat dia bersantai sekarang ini, memang jelas pada pandangan mata deretan pohon yang hijau daunnya. Di halaman rumahnya sahaja ada tiga batang pohon pelam. Memang Mak Bedah suka benar makan pelam. Dan tabiat emaknya tu turun kepadanya.  Kalau dapat pelam yang hampir masak tapi tak berapa nak masak, kira yang masih keras lagi isi pelamnya lah. Kemudian di cecah dengan sambal kicap, dan kunyah, perghhh, memang heaven la orang putih cakap.

Semua itu nikmat kan? Pohon, buah dan keupayaan untuk makan. Tiga perkara mudah yang memang selalu sangat dia nampak. Almaklumlah depan rumah saja. Tapi tak penah dia fikir betul-betul seperti petang ni. Dia sendiri pun tak pasti kenapa fikiran dia boleh sampai tahap nak mentafsir pohon, buah pelam dengan nikmat makan tu. Tapi tak apalah, layankan saja. Mana tahu di akhirnya ada sesuatu yang hati dan mindanya akan sepakat.

Tetapi hakikatnya, bila difikir-fikirkan kembali, memang betul semua ini kurniaan Tuhan. Bayangkan saja berapa ramai yang teringan nak makan buah pelam, tapi tak dapat. Sama ada di tempatnya tak ada buah tu ataupun dia tak mampu nak beli atau cari. Atau mungkin sahaja dia tak boleh makan pelam atas alasan kesihatan. Setahunya, memang dia pernah terdengar orang tua-tua pesan, kalau badan tu penuh angin eloklah kalau tak makan buah pelam, karang melantak tak ingat dunia mulalah sakit sana sakit sini. Itu yang biasa dia dengar daripada orang kampung lah. Sejauh mana kebenarannya, dia sendiri pun tak pasti. Tetapi setakat yang dia yakin, pesan-pesan orang yang lebih dulu makan garam ni memang ada manfaatnya.

Lana pejamkan matanya sekali lagi, tatkala angin petang yang menderu sekali lagi menyapa wajahnya. Rambut yang panjangnya separas pinggang yang di biar lepas,ikut berterbangan mengikut arah angin yang bertiupan. Memang nyaman. Suatu suasana yang hanya akan diperoleh di kampung dan desa. Nak alami suasana sebegini di kota? Minta maaf sajalah. Dengan sesak ribuan kenderaannya, belum kira asap perusahaan, dengan manusia yang terlalu sibuk dengan pelbagai urusan, semua itu bagaikan langit dengan bumi untuk membezakan kehidupan di bandar dan kampung seperti yang dijalaninya saat ini.

Cuma manusia sahaja tidak nampak semua itu. Pada perkiraan mereka, tinggal di bandar sudah cukup gah. Lebih malang lagi ada sesetengah orang bandar menggelarkan mereka yang memilih menjalani kehidupan di kampung sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Kalaulah Lana berkesempatan bertemu dengan orang yang fikirannya sebegini, mahu juga dia basuh bagi bersih sebersihnya minda orang tu. Ada ke boleh dikatanya begitu? Mana relevannya pun Lana tak tahu. Tapi kalau difikir-fikir balik pula, tak ada guna pun nak berbahasa dengan orang yang macam tu. Buang masa saja. At the end, walaupun kalah berhujah manusia seperti itu tetap akan cuba menegakkan benang yang basah. Biasalah manusia, ada macam-macam rupa.

Sebut fasal manusia,Lana teringat tentang seorang manusia ni. Disebabkan manusia itu jugalah dia tengah termangu atas pangkin bawah pohon pelam ni. Kerana manusia itu jugalah, fikiran dia boleh melayang entah ke mana-mana, dari buah pelam cicah sambal kicap sampai ke tahap nak bahasa dengan orang yang kata orang yang tinggal di kampung itu kolot.  Dan yang paling sadis, disebabkan manusia itu jugalah dahi dia berplaster, tangan kiri dia berbalut, dan begitu juga dengan pergelangan kaki kirinya yang turut berbalut. Itu belum lagi calar-balar yang menghiasi kulit putih bahagian kaki dan tangan dia yang lain. Memang semua ini berpunca daripada manusia itu.

Manusia yang dia tahu jantinanya lelaki. Manusia yang dia kira kerjanya sebagai posmen. Manusia yang dia sudah cop sebagai bermulut lancang. Manusia yang dia sudah label sebagai tak ada hati perut. Manusia yang dia sudah senarai hitamkan daripada list hidupnya. Dan manusia yang dia anggap sebagai musuh dan perlu dibalas dendam! Ya, memang benar. Dialah manusia yang sampai sekarang Lana belum tahu siapa empunya dirinya.

“Macam mana aku nak tahu fasal dia? Dekat mana aku nak cari info fasal dia? Fikir Lana, fikir. Kau mesti cepat. Jangan dia ingat kau tu macam perempuan lain. Lemah. Mudah ditindas. Ini Lana okay. Lana. Kalau dia ingat dia boleh buat suka hati dia saja dekat aku ni, memang silap orang lah.” Hati Lana terus-terusan berbicara. Mindanya pula sarat dengan persoalan yang masih belum diketemukan jawapan.

Bukan Lana sengaja nak cari hal. Tapi hakikatnya memang lelaki itu yang mulakan dulu. Dan kalau bukan kerana mulut lelaki itu yang celupar, mesti tak terasa hatinya yang suci murni tu. Sempat lagi puji hati sendiri. Sabar sajalah! Dan kalau bukan kerana kebiadaban lelaki itu selepas dia terjatuh daripada basikalnya, mesti dia tak sakit hati seperti ini. Sudahlah jatuh basikal, kemudian boleh pula terbabas masuk dalam longkang. Kalau tak tolong tak apalah juga, ini siap bantai gelak dari warung. Gelak kuat pula tu. Siap dituding jarinya sekali ke arah Lana. Mahunya tak malu! Daripada ada orang yang tak tahu dia terbabas masuk ke dalam longkang, habis semuanya sedar disebabkan tawa lelaki itu yang seolah-olah guna mikrofon siap dengan speaker besar.

Sedang Lana masih melayan fikiran dengan persoalan-persoalan yang berantaian, bunyi motosikal Honda EX5, yang dah berusia lebih kurang 10 tahun membelah hening petang. Sekilas Lana pandang. Pak Majid dan Mak Bedah sudah pulang dari rumah Tok Ma di kampung sebelah. Tok Ma tu merupakan emak kepada Mak Bedah. Maksudnya nenek Lana lah. Itulah satu-satunya nenek yang dia ada. Orang tua Pak Majid dah lama meninggal dunia, waktu Lana masih kecil lagi. Mereka meninggal dunia dalam sebuah kemalangan jalan raya. Manakala, suami Tok Ma, yang Lana panggil sebagai Tuk Nang, pula baru sahaja meninggal dunia tahun lepas akibat komplikasi jantung. Semenjak suaminya tak ada, Tok Ma dah jadi semacam. Sekejap-sekejap sakit. Badan asyik tak larat. Pening. Dan macam-macam lagilah. Itu yang Mak Bedah dan Pak Majid pergi lawat tu. Mujur Kampung Nyaman Nyonya dengan Kampung Sanggul Dara tak jauh mana, dalam satu mukim juga. Jadi kalau ada apa-apa kecemasan, laju jugalah selalunya keluarga Lana sampai ke rumah Tok Ma di kampung seberang tu.

“Hah, Lana dah nak senja macam ni duduk dekat luar lagi? Adik-adik mana?” Tanya Mak Bedah apabila turun sahaja dari motosikal yang ditunggang Pak Majid itu.

“Ada dekat dalam tu. Tadi tengah tengok cerita kartun dekat Ceria. Tapi sekarang tak tahulah apa yang Ucop dengan Zara tengah buat.” Jawab Lana.

“Orang tinggal dia suruh tengokkan adik-adik, boleh pula dia jawab macam tu. Dibuatnya budak berdua tu main benda tajam ke, main api dekat dapur sana tu, tak ke bahaya Lana hoi. Apalah anak dara aku seorang ni. Nak kata serius fasal accident pagi tadi, tak adanya patah riuk. Tapi ditengok sekali balutnya bukan main. Tangan, kaki semua balut. Serupa kena lenyek dengan lori.” Leter Mak Bedah yang sudahpun melabuhkan punggung di pangkin yang sama, bersebelahan dengan Lana.

“Astaghfirullahalazim, Bedah! Awak ni nak doakan anak kena lenyek dengan lori ke? Melalut sungguh lah mulut awak tu merapu. Kata-kata tu umpama doa, awak tahu tak, Bedah?” Pak Majid menegur kelancangan mulut Mak Bedah. Lana senyum simpul, bila Mak Bedah kena sound. Mak Bedah yang perasan, cuba mencubit paha kanan Lana. Lana yang terlebih dahulu sedar mula menjarakkan diri. Macam-macam!

Pak Majid yang sedar perlakuan Mak Bedah dan Lana hanya menggelengkan kepala. Serupa budak-budak sahaja perangai kedua-duanya. Seorang dah jadi mak budak. Seorang lagi dah boleh jadi mak budak. Tapi dua-dua perangai macam budak-budak.

“Saya nak naik tengok Ucop dengan Zara tu. Tadi awak kata nak cakap sikit dengan Lana, hah cakaplah. Tak payah lengah-lengah. Benda baik, buat apa nak dilengahkan.” Sela Pak Majid seraya mendaki anak tangga menuju ke atas rumah. Dibiarkan Lana dan Mak Bedah di pangkin bawa pohon mempelam yang berdaun lebat itu.

Lana rasa berdebar-debar. Tak tahu apa yang ingin dicakapkan oleh Mak Bedah. Dalam tahun ini kalau diikutkan memang dah banyak kali Mak Bedah sentuh tentang hal perkahwinannya. Abang sulungnya, Rahman sudah bernikah tiga tahun dulu. Dah ada seorang anak pun. Abangnya menetap di Kuala Lumpur kerana tuntutan kerjaya sebagai seorang guru. Sudah beberapa kali mohon tukar ke kampung halaman tapi tak dapat-dapat juga. Dan sekarang, dia pula yang jadi sasaran Mak Bedah untuk dinikahkan.

Dulu masa abangnya dah berumur 27 tahun Mak Bedah bising-bising juga suruh kahwin. Nanti tak sempat tengok cucu mainlah, tak dapat tengok cicit kahwinlah. Macam-macam betul perangai Mak Bedah ni. Tapi dalam kes abangnya, dia dah ada kekasih, cuma tak bersedia nak kahwin saja. Tapi dalam hal Lana pula, dia langsung tak pernah bercinta, tak pernah couple, tak pernah keluar dating, jadi dah macam mananya dia nak kahwin. Mestilah lagi tak bersedia. Takkanlah Mak Bedah nak paksa dia kahwin kot? Eh, ada lagi ke kes paksa kahwin zaman moden ni? Kalau adapun mesti dalam drama-drama Hindustan dalam Zee TV tu. Jangan kata Mak Bedah dah terpengaruh sama bila tengok cerita Punar Vivah tu? Oh My Prada, Lana rasa macam nak pengsan!

Mak Bedah tarik nafas, sebelum dilepaskan perlahan. Dia sedang cuba mencari perkataan yang sesuai untuk memulakan mukadimah isi perbualan pada senja itu. Dalam sejam lagi azan Maghrib akan berkumandang. Tak elok waktu-waktu seperti itu mereka masih bersantai di luar. Jadi Mak Bedah perlu percepatkan hasrat hatinya. Kalau tunggu malam nanti, mesti sukar sedikit. Selepas makan malam biasanya Lana akan mengurung diri di dalam bilik. Tak tahu apa yang dibuatnya. Menjahit mesti tidak, kalau membaca novel tentulah ya! Lagipun nak layan kehendak Pak Majid, kerenah Ucop dengan Zara, mesti boleh terlupa hasrat orang kampung sebelah yang minta dipanjangkan kepada Lana.

“Lana. Kamu sendiri dah maklum, semenjak dua ni mak asyik suruh kamu kahwin. Bukanlah maksudnya mak dengan abah dah tak mampu nak tanggung kamu. Bukan juga maksudnya kami dah tak suka kamu tinggal dengan kami dalam rumah ni. Tetapi hakikatnya Lana, umur kamu tu dah sedang elok untuk mendirikan rumah tangga. Orang perempuan ni lain sikit dengan lelaki, Lana. Orang lelaki kalau nak dekat 40 tahun baru nak kahwin pun saham dia tinggi lagi. Tapi kita yang perempuan ni, kalau masuk 30 tahun orang dah kata kertu. Tambah setahun dua, dah dipanggil andartu. Tambah lagi setahun dua, dah dicopnya sebagai andalusia. Kamu tahu tak apa tu andalusia?” Mak Bedah menggunakan pendekatan diplomatik dan kaedah perbincangan profesional. Ceh, dah gaya rupa macam pakar kaunseling lah pula Mak Bedah ni!

“Andalusia tu kan lagu M Nasir, mak. Okay apa, orang panggil macam tu. Nampak macam nama orang Sepanyol dalam telenovela tu. Baru nak hot!” Jawab Lana selamba. Entahkan memang tak tahu atau buat scene kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu!

Hot kepala otak kamu! Itulah, banyak sangat baca novel merapu, sampai kepala kamu dah jadi tak betul gamaknya! Kamu tahu tak andalusia tu singkatan untuk anak dara lanjut usia. Kamu  nak jadi serupa tu ke Lana? Tak kahwin-kahwin sampai ke tua?” Angin Mak Bedah dah mula datang. Tadi baru nak try guna kaedah diplomatik, malangnya tak sampai lima minit bertahan, terus muncul aura dirinya yang sebenar. Itulah Mak Bedah, mulut laser, tapi hatinya baik.

“Alah, mak ni. Orang bukan tua sangat lah. Baru 24 tahun, nak masuk 25 kan? Bukannya dah nak masuk 40. Kalau mak nak tahu Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura tu semua kahwin masa umur 30-an tau. Hah, yang Ella pula 40 lebih baru kahwin.” Lana juga tidak mahu kalah berhujah. Masakan dia mahu diam. Kalau berterusan diam, maknanya seolah-olah dia menyuakan kepalanya dalam mulut buaya.

“Itulah Lana, kalau mak cakap kamu suka berangan, kamu marah. Bila mak kata kamu duduk merapu, kamu kata mak saja reka cerita. Tapi cuba kamu fikir balik. Ziana, Ning, Erra, Ella tu semua kawan sekelas kamu ke? Yang itu semua artis tahap diva dekat Malaysia ni tahu tak? Jangan kata 40, kalau umur 60 pun ada yang mahu lagi. Yang kamu tu pula siapa Lana, hoi? Setakat duduk dekat satu ceruk kampung, tak ada kerja, duduk dalam rumah, pagi, petang, siang, malam! Itu saja kehidupan kamu. Paling-paling tidak pun kamu keluar pergi pejabat pos, itupun sebab novel. Kalau tidak, dalam rumah ni la kaki kamu melekat. Kalau dah rupa itu gayanya, macam mana kamu nak menikah. Kamu ingat kamu tu Puteri Gunung Ledang ke sampaikan ada putera raja nak datang cari kamu masuk meminang?” Panjang pula Mak Bedah mengeluarkan buah bicara.

Terdiam Lana dibuatnya. Tak tahu nak balas apa. Memang betul pun apa yang Mak Bedah katakan. Hidup dia memang kebanyakannya dihabiskan di dalam rumah. Semenjak sekolah memang dia tak ramai kawan. Kawan baik dia, Rosnah dan Fatimah sudah melanjutkan pelajaran di universiti selepas habis STPM.  Yang tinggal di kampung itu hanya dia seorang. Dari dulu, andai kata dia mahu ke mana-mana pasti bertemankan Rosnah atau Fatimah. Selepas ketiadaan kawan baiknya berdua itu, memang Lana sudah mengehadkan aktiviti luarnya. Ke pekan hanya sekali-sekala. Itupun ke pejabat pos semata. Yang lain-lain kalau ada yang diperlukan dikirimkan saja pada Pak Majid atau diminta Mak Bedah sahaja yang belikan. Dia pula lebih selesa duduk di rumah. Paling tidak pun ke halaman depan atau belakang rumah, buatlah apa-apa yang patut. Nampak macam membosankan, tetapi Lana bahagia dengan kehidupan seperti itu.

“Macam ni lah, Lana. Tadi masa mak ke rumah Tok Ma, ada orang sampaikan hajat. Kebetulan masa mak dengan ayah sampai rumah nenek kamu tu ada Mak Cik Habsah sekali. Kamu kenal kan Mak Cik Habsah tu siapa?” Tanya Mak Bedah langsung ke isi utama perbualan. Malas nak mukadimah panjang lebar.

Melihatkan muka Lana yang serupa bingung dengan dahi yang berkerut-kerut seperti sedang mencari penyelesaian bagi menjawab soalan matematik tambahan membuatkan Mak Bedah mendengus.

“Mak Cik Habsah tu yang tinggal selang dua rumah dari rumah Tok Ma kamu tu lah. Dia pun sekarang ni dah tak berapa nak sihat. Sakit sana, lenguh sini. Terjumpa tadi panjanglah yang kami yang bualkan. Sampailah Tok Ma kamu sebut tentang anak teruna Mak Cik Habsah yang baru pindah ke kampung tu. Katanya, anak Mak Cik Habsah tu sanggup tinggalkan kerja di Kuala Lumpur dan pindah ke kampung semata-mata nak berada dekat dengan mak dia yang tak berapa nak sihat. Mana nak cari anak jantan yang serupa tu sekarang. Sanggup tinggalkan kehidupan kota semata-mata untuk mak?” Mak Bedah berhenti sejenak. Dia dah cuba berikan hint sebentar tadi. Jadi dia nak tengok apa reaksi Lana. Tetapi Lana serupa itu jugalah. Gaya orang yang tak ada perasaan.

“Nak dipendekkan cerita, Tol Ma kamu berhajat nak satukan anak Mak Cik Habsah tu dengan kamu. Mak Cik Habsah pun setuju. Mak dengan abah pun setuju. Anak Mak Cik Habsah tu pun tak ada halangan katanya, sebab soal jodoh dia serahkan pada maknya. Siapa yang mak dia rasa sesuai dia terima seadanya. Jadi sekarang ni tunggu kamu sahaja Lana. Tok Ma dah berhajat sangat tu. Katanya sebelum mata dia tertutup, dia nak tengok kamu naik pelamin. Cucu perempuan dia yang pertama bakal naik pelamin, itu yang dia cukup teruja. Mak tak nak paksa kamu, tapi mak nak kamu fikir baik-baik tentang pinangan ni. Mak bagi kamu masa tiga hari. Lepas tu kita pergi rumah Tok Ma, dan bincang. Cukuplah kot tiga hari nak tanggalkan balut-balut pada tangan dengan kaki kamu tu. Dah tak serupa orang dah mak tengok.” Mak Bedah lega. Segala yang mahu disampaikan sudah terluah daripada bibir. Selesai peranan dia untuk hari tu.

“Dah, mak nak masuk ni. Kamu tu jangan duduk lama-lama dekat luar. Nanti kena sampuk dengan benda bukan-bukan pula. Bukannya elok anak dara duduk luar dekat-dekat nak Maghrib ni.” Mak Bedah berpesan seraya meninggalkan Lana keseorangan di luar.
Fikiran Lana semakin berserabut. Kalau tadi tentang lelaki seorang itu yang dia tak tahu namanya apa. Dan sekarang tentang seorang lagi lelaki yang khabarnya nak disatukan dengan dia. Serabut! Memang serabut! Rasa macam nak lari saja dari rumah. Tapi kalau nak lari pun, nak lari pergi mana. Dia bukannya ada tempat tujuan pun. Rosnah dengan Fatimah tinggal di asrama kolej tempat mereka belajar. Kalau duduk menyewa di luar, boleh juga dia tumpang berteduh.

“Macam mana ni? Mak bagi tiga hari saja? Kejam betul!” Desis Lana sendirian.

Tetapi kalau lah Lana tahu Mak Bedah beri tempoh tiga hari itu bukan untuk dia fikirkan tetapi asasnya untuk menunggu luka-luka dia sembuh sahaja, mesti lagi haru kan? Mana tidaknya, teruja Mak Bedah di rumah Tok Ma petang tadi bukan main lagi. Macam malam esok majlis berinainya!

Lana pejamkan mata. Sakit pula kepalanya fikir macam-macam. Belum habis satu dah datang pula satu. Apalah nasib dia kan?

Kepalanya yang berat dengan persoalan itu disandarkan pada batang pohon pelam. Dihanyut sebentar fikiran dalam dunia khayalan. Biar berterbangan segala kemelut yang menjerut minda dengan persoalan yang berantaian. Dia hanya manusia biasa yang sederhana. Kehidupannya yang biasa-biasa jarang menemukan dia dengan masalah yang sukar dan berbelit. Tetapi hari ini dia terpaksa juga berhadapan dengan salah satu situasi yang dia sendiri belum cukup bersedia untuk menempuhinya.

Arghhhh!!!” Suara Lana yang menjerit lantang membuatkan laman rumah kayu yang sederhana besar ini bergema di senja hari. Mak Bedah terkocoh-kocoh lari ke halaman rumah. Baru sahaja ditinggalkan Lana itu sendirian. Tak tahu apa pula yang terjadi.

“Kamu ni dah kenapa Lana? Menjerit macam orang sasau. Terkejut mak dibuatnya! Dah, dah mari naik. Merapu sungguhlah anak aku seorang ni.” Leter Mak Bedah melihat Lana yang seperti orang bingung di pangking bawa pohon mempelam itu.

Lana bangkit, kemudian berjalan. Selangkah demi selangkah. Perlahan-lahan. Diatur satu-satu. Hanya jasadnya sahaja yang memijak lantai bumi ketika itu.

“Kenapa lelaki itu boleh ada tadi? Siap dia senyum lagi dekat aku? Senyum? Bukan itu macam senyum mengejek ke? Arghh, Geramnya aku!” Hati Lana terus berperang sendirian.

 **********

[Bersambung...]


4 Komentar

Write Komentar
Syania Ann
AUTHOR
9/6/14 1:03 PG delete

X sbr nya nk tgu next entry... hehee... 😊😊😊

Reply
avatar
9/6/14 11:14 PTG delete

@Syania Ann Thanks for your support Syania. Eps 4 dah ada. Keep reading okay ;

Reply
avatar
Geodarno Dan
AUTHOR
14/4/16 8:50 PTG delete

What is the name of the guy in the photo ?

Reply
avatar
Geodarno Dan
AUTHOR
14/4/16 8:51 PTG delete

What is the name of the guy in the photo ?

Reply
avatar