Jumaat, Jun 06, 2014

Cerpen: Surat Cinta Abang Posmen! - Bhg 2



Mak, Lana nak ke pekan kejap.” Maklum Lana pada Mak Bedah yang sedang menumis sambal bilis di dapur. Ketika itu jam lebih kurang 11.00 pagi. Awalnya, Lana sudah tolong Mak Bedah di dapur. Hari itu menu makan tengah harinya simple saja. Ada ikan gelama goreng, kangkung goreng belacan, kari ayam kampung, telur masin dan sekarang ini yang Mak Bedah tengah masak, sambal bilis. Cukup semuanya untuk buat kecur liur bila makan dengan nasi putih yang panas-panas.

“Ada apa pula nak ke pekan ni?” Tanya Mak Bedah ringkas. Tumpuannya masih kepada sambal bilis yang sedang dimasaknya itu. Bawang merah yang sudah dihiris Lana tadi dimasukkannya ke dalam periuk. Biar banyak bawang. Baru ada rasa manis dan likat kuah sambalnya nanti.

“Ni hah, nak pos novel ni. Semalam ada orang setuju nak beli novel yang Lana dah baca ni. Lepas tu terus dia transfer duit. Jadi Lana nak pos la novel dia tu. Tak eloklah, duit dah terima tapi novelnya tak dihantar lagi kan?” Terang Lana sambil menunjukkan novel Hikayat Cinta Si Pematah Hati yang sudah elok dibungkus dengan kertas minyak yang berwarna coklat. Pembeli yang bersetuju membeli novel itu memilih cara pos berdaftar sebagai saluran penghantaran, makanya Lana sudah siap membungkus novel itu terlebih dahulu supaya kondisi novel itu tetap elok ketika sampai ke tangan penerimanya.  Yang tinggal sekarang ini, pergi ke pejabat pos dan uruskan prosedur penghantaran.

“Hurmmm, ya lah. Pergilah. Elok juga kamu buat macam tu. Tak adalah nak penuh dengan novel bilik kamu tu kan? Duit yang dapat hasil jual novel tu boleh kamu guna beli novel baru. Pi balik, pi balik, dok pusing tang tu je la. Tak adalah membazir duit abah kamu tu tanggung kamu beli novel cintan jiwang karat tu.” Mulut Mak Bedah seperti biasa membedil tanpa henti.

Tak adanya nak membazir mak. Membaca tu kan amalan mulia. Memanglah dari luar mak nampak macam Lana baca novel cinta yang jiwang karat lah, mengasyikkan lah, buat orang lalai lah, tapi dalam novel beratus muka surat tu, tetap ada pengisian yang berguna, mak. Contohnya macam novel I Love You Stupid! Tengok tajuk novel mesti macam-macam dah orang fikir. Tapi sekali baca, alahai abang Firman. Kalau dapat yang macam tu, memang dah tak minta apa-apa dah!” Selamba saja Lana berkata-kata. Siap sengih macam kerang busuk. Membuntang mata Mak Bedah mendengar.

“Dah, pergi cepat. Tak payah nak merapu dekat sini. Karang pejabat pos tutup pula. Mak ni kan makin lama risau pula tengok kamu, Lana. Semalam cerita fasal novel suami-suami apa tah. Hari ni sibuk dengan Firman. Mak rasa elok, kamu cepat-cepat nikahlah Lana, senang cerita.” Mak Bedah sekali lagi melencongkan percakapan pada fokus alam rumah tangga.

Erk, mak, dah lambat ni! Bukan mak yang suruh Lana pergi cepat tadi kan? Topik ni kita simpan sembang waktu petang nanti, okay?” Lana pantas membuat pusingan u-turn. Langsung tidak dipaksa kakinya menunggu lebih lama di ruang dapur. Malas nak dengar fasal calon suami. Bukan dia tak ada perasaan pada lelaki. Dia normallah, bukan yang spesis syok dekat sejenis tu. Cuma Lana rasa belum sampai masanya untuk dia berumah tangga. Kerja pun belum. Pegang duit sendiri pun tak pernah rasa. Alih-alih terus nak menikah? Tak ke gila namanya tu!

Bukannya apa, zaman sekarang ni kalau nak cari jodoh kena hati-hati. Orang lelaki ni kalau tengok dari luar bukan main nampak sempurna. Rambut elok bersisir. Gaya pacak ada, sikat tepi ada, belah tengah ada, ala-ala David Beckham pun ada. Baju pula bukan main elok terletak. Muat-muat badan. Siap dipadan dengan seluar dengan tali pinggang macam-macam jenama. Ada Renoma, LV, dan lain-lain. Yang pasti jenama semua antarabangsa, padahal mungkin beli di pasar malam saja. Biasalah, menang gaya, siapa yang nak kalah kan? Lengkapkan pakej, mestilah minyak wangi yang boleh buat hidung ni menggelegak sampaikan bulu hidung pun rasa longgar tak bermaya. Dan satu lagi ray ban, mesti nak elok terletak atas batang hidung. 

Kalau semua aspek ini ada, mesti leleh air liur perempuan tengok mamat tu kan? Full package lah katakan. Eh, bukan lelaki saja nak perempuan yang tip top tau, perempuan pun sama juga, nak lelaki yang sempurna macam Ronaldo. Tapi cukupkah kalau yang di luar saja nampak sempurna? Lana rasa fobia pula baca tentang penderaan alam rumah tangga. Suami dera isteri. Isteri dibiarkan gantung tak bertali. Suami curang, main kayu tiga. Isteri diceraikan selepas suami kahwin lain. Banyak sangat negatifnya yang Lana dengar tentang alam rumah tangga. Yang bahagianya sekejap cuma. Semalam dua, baru kahwin rasa seronoklah. Tapi bila dah lama-lama, semua yang tak kena saja yang ada. Cerita macam ni dah banyak sangat Lana dengar, sehinggakan dia rasa tak yakin untuk berumah tangga.

Apatah lagi, bagi dirinya sendiri yang belum pernah jatuh cinta pada mana-mana lelaki. Sekadar suka tu biasalah. Ya lah, kalau ikutkan suka, Aaron Aziz dia suka. Adi Putra pun dia minat. Nampak Fahrin Ahmad pun dia sengih. Tengok Norman Hakim pun mata dia tak berkedip. Rosyam Nor yang dah masuk 40 series pun dia nampak macho. Itu belum lagi list dari luar negara. Habis takkan nak klasifikasi dia cintakan semua nama-nama yang tersenarai itu kot? Melampaulah namanya kan?

Jauh sangat fikiran melayang, sedar tak sedar Lana sudahpun berada di perkarangan pejabat pos. Kalau ikutkan tak jauh manapun dari rumah. Dalam 15-20 minit, kalau dia kayuh basikal. Ikut kelajuan dia kayuh juga. Kalau laju serupa nak masuk lumba basikal Le Tour De Langkawi mestilah cepat sampai. Tapi kalau gaya macam perempuan Melayu terakhir, dengan lemah gemalainya, alamatnya kira ambil masa juga lah. Bagi Lana tak ada maknanya dia nak kayuh perlahan-lahan semata-mata nak buat gaya sopan. Bukan maksud dia kasar atau apa. Cuma menyampah, kalau satu-satu benda tu sengaja dibuat-buat. Plastik sangat okay! Nak buat apa-apa pun biarlah natural. Kalau selalu kayuh basikal dengan gaya kuak lentang, jadi tak payahlah nak buat gaya kuak kupu-kupu bila nampak ada mamat tengah lepak dekat bus stop sambil pegang gitar. Oh, please! Old school sangat! Tak kenalah gaya tu dengan jiwa Lana! Eh, tapi ada ke kayuh basikal gaya kuak lentang, dengan kupu-kupu ni? Senget betul!

Lana meletakkan basikalnya di bawah pohon ketapang yang rendang. Basikalnya tak dirantai pun. Rasanya tak ada orang nak curi basikal dia yang dah berusia tu. Minta Pak Majid belikan yang baru, Pak Majid suruh dia beli sendiri lepas kumpul duit kerja. Macam tak logik saja. Kerja pun tak dapat, nak suruh kumpul duit beli basikal pula. Bila disuruh Mak Bedah pujuk Pak Majid untuk belikan basikal baru pula, senang sungguh jawab Mak Bedah. Kahwin cepat-cepat, lepas tu suruh laki belikan. Hurmmm, tak menolong langsung. Last-last basikal tua itu juga yang dia usung ke sana sini. Alah, selagi boleh pakai, guna sajalah. Tak payah nak demand sangat.

Masuk ke dalam pejabat pos, Lana ambil nombor giliran. Ada beberapa orang lagi yang mahu berurusan di pejabat pos itu. Semuanya lelaki. Yang ada di kaunter tengah kerja pun lelaki. Itu pun satu kaunter saja buka. Dua lagi tak ada orang yang jaga. Yang ada sign board, ‘sila ke kaunter sebelah’. Huh, menyampah!

Sambil menunggu, nombor giliran dipanggil sistem yang digunakan di premis itu, Lana membelek telefon bimbitnya. Masuk dalam grup novel di Facebook, tengok apa yang menarik. Kalau ada sinopsis atau review novel yang terbaharu, boleh juga dia gunakan masa yang ada untuk membaca. Lana memang suka baca. Tapi banyak cerita-cerita yang lebih kurang beginilah. Kalau suruh dia hadap buku akademik, tak sampai 10 minit mesti dah 20 kali dia menguap. Nak buat macam mana, otak dia memang tak boleh terima. Tapi kalau bab novel, sampai 3 hingga 4 pagi pun dia tak kisah kalau nak berjaga, apatah lagi cerita-cerita yang best macam Tengku Adam Kamil dalam The Wedding Breaker tu. Perghhh, tak tidur pun tak apa beb!

“1900 kaunter 1.”

“Hah, number aku tu!” Kalut Lana masukkan telefon bimbit miliknya ke dalam tas tangan.  Kemudian dia bergegas ke kaunter, sambil membawa bungkusan yang berisi sebuah novel yang dibeli pelanggannya itu.

Tak ambil masa yang lama pun di kaunter tu. Sekejap saja. Timbang, bayar, isi borang simple kejap dan serah. Selesai kerja. Yang kerja sipi-sipi tu, abang kaunter pos tu yang tolong settle. Last sekali ambil tracking number untuk check sama ada penerima dah terima atau belum barang yang dihantar melalui pos itu. Siap semua, Lana menguntumkan senyuman nipis seraya mengucapkan terima kasih. Abang jaga kaunter tu sekadar anggukkan kepala. Okaylah, tu, takkan nak harap lebih-lebih pula. Karang bila dah terlebih ke apa, complain kata ambil kesempatan pula. Manusia, memang ada pattern serupa tu. Yang ini tak kena, yang itu pun tak kena. Aduhai, minta simpanglah daripada jumpa dengan manusia yang fiil serupa tu.

Lana menghampiri basikal tuanya, lalu tas tangan yang dikepit diletakkan di dalam raga basikal. Tongkat basikal diangkat, dan dia mula melabuhkan punggung atas kusyen basikal tuanya yang boleh terasa besi tempat duduk itu mencucuk punggung. Nasib kaulah buntut, tahanlah sekejap. Asyik fikir tentang kedaifan basikal tuanya, Lana sudah lupa untuk melihat sekeliling. Selamba badak saja dia buat u-turn dan kayuh basikalnya. Laju pula tu. Yalah, matahari dah semakin mencanak. Takkan nak sengaja bermandi peluh. Nasib baik, tak ada apa-apa kenderaan atau orang yang tengah lalu dekat belakang. Kalau tak mesti, accident! Dan kalau betullah accident, apalah nasib basikal tua ni kan?

Kaki Lana masih laju mengayuh. Saat yang sama, akalnya meronta untuk cepat sampai ke rumah. Panas benar hari itu. Waktu keluar dari rumah tadi tak adalah terik mana. Hurmmm, memang sungguhlah peribahasa ada kata, ku sangkakan redup sampai balik, rupanya terik lepas pos barang. Ceh, merapu punya peribahasa. Kalau Karam Singh Walia yang dulu glamor dekat Buletin Utama tu dengar, mesti berderai air mata dia.

Pinnnnnnnnnnnn!!!

Berdecit tayar motosikal yang brek mengejut. Membingit kuat sama bunyi hon motosikal yang baru sahaja hampir melanggar Lana!

Lana? Apa dah jadi dengan Lana??

Takkanlah Lana tengah buat pose ala-ala baru menang Miss World pula! Aduhai, Lana terjatuh daripada basikalnya. Itulah, fikiran asyik melayang. Dah tak tengok keadaan sekeliling. Sekali berdesup motosikal ni masuk, nasib tak bercium dengan basikal Lana yang baru mahu keluar dari perkarangan pejabat pos itu.

“Adoi, patahlah kaki aku ni! Wuarghhhh, sakit!!!” Bunyi erangan Lana mula bergema. Nasib juga, dia melencongkan basikalnya ke arah kiri. Kalau ke kanan tadi habis kena sondol dengan motosikal tu. Hah, motosikal! Hantu mana yang bawa motor macam pelesit tu? Langsuir punya penunggang.

Lana pagung kepala. Dibiarkannya kaki yang terasa sakit yang sedari tadi dia asyik belek. Mana tak sayang dik non, kahwin dak lagi. Karang patah mesti kena reject. Kalau berparut diskaun pula duit hantaran. Nasib luka kecil saja. Balik letak alovera, mesti tak berparut punya.

“Hoi, cik abang! Dah lah langgar orang. Boleh pula buat muka tak bersalah! Jadi tunggul atas motor pula tu. Tak ada hati perut langsung. Bukannya nak tolong kita dekat sini.” Lana mula melahar penunggang motosikal yang hampir melanggarnya tadi. Yang pasti lelaki. Dah tengok daripada fizikalnya boleh agak. Tak perlu nak bedah siasat. Cuma bab tegak atau bengkok, Lana tak pasti. Almaklumlah, lelaki zaman sekarang ni nampak sasa dan macho tapi tak ada girlfriend, bila siasat, rupanya jenis yang pasang boyfriend. Pengsan! Patutlah gadis cantik manis macam dia ni susah nak dapat jodoh.  Dan lagi satu mungkin sebab tu lah, gadis zaman sekarang suka dekat suami orang kot, sebab dah terbukti berkesan! Opsss, terlebih sudah!

“Hey, aku cakap dengan engkaulah. Pekak ke? Dah tau tak dengar, bukalah helmet tu. Senget betul lah dia ni. Tak betul ke apa!” Lana bengang, bila melihat mamat itu masih selamba duduk di atas motosikal, sambil bersilang tangan dan memerhatikannya tanpa rasa bersalah. Dia pula masih tengah duduk atas lantai, sekali dengan basikal tuanya yang sudah mencium bumi.

Melihatkan suara Lana yang semakin meninggi, dan aksi mereka berdua yang mula mendapat perhati kenderaan yang lalu lalang, lelaki tadi melangkah turun daripada motosikalnya. Kemudian, dia membuka topi keledar dan disangkut pada cermin sisi motosikalnya. Sesudah itu dia merenung Lana dengan cukup tajam. Langkahnya diatur satu-satu. Perlahan, tetapi teratur. Sambil itu, jemari kirinya dibawa ke kepala, rambutnya yang hitam pekat diurut ke belakang. Peluh yang merintik di dahi mula menitis ke kening.

Lana yang memandang menelan liur. Mamat di hadapnya melangkah semacam sahaja ke arahnya. Dahlah suka-suka hati saja dia sound mamat tu. Padahal kalau diikutkan, dia pun turut bersalah, sebab berkhayal masa kayuh basikal. Sekarang apa yang patut dibuat? Lana pandang kiri dan kanan. Masih ada kereta yang lalu-lalang. Ini pun depan pintu utama pejabat pos saja. Kalau lelaki itu nak cuba buat apa-apa, masih selamat lagi. Dia boleh jerit minta tolong.

Semakin hampir lelaki itu kepadanya, Lana semakin gelisah. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati. Liur ditelan berulang kali. Peluh yang membasah tak perlu kira lagi. Bila sahaja muka lelaki itu semakin jelas pada pandangan mata, Lana seolah-olah terasa mahu menjerit sekuat-kuatnya. Bukankah lelaki itu, mamat posmen semalam? Apa yang dia buat dekat sini? Hari ini tak ada pula dia pakai uniform posmen. Siap bawa motor besar lagi. Dengan jaket kulit tengah-tengah panas, cermin mata hitam terletak elok dekat hidung. Perghh, boleh bergegar iman Lana dibuatnya.

“Tak boleh! Tak boleh! Kau tak boleh puji dia Lana. Kau mesti ingat dia tu musuh kau. Ingat tak semalam dia kata apa dekat kau, Lana? Hari ini pula, tengok apa yang dia dah buat dekat engkau. Entah-entah dia sengaja follow kau, dan rancang semua ini.” Hati Lana menyogok kata kepada minda. Oh My Gucci, mamat ni psiko ke apa!

Hey, kau ni dah kenapa hah? Sengaja nak bunuh aku ke? Dah lah semalam bukan main kurang ajar. Aku dah tak lapor kau dekat pegawai kau tadi tu pun kira dah cuk...” Kata-kata Lana terputus. Mulutnya terlopong!

Lelaki itu memang benar berjalan menuju ke arahnya. Tetapi dia bukan berhenti dekat tempat Lana tengah landing dengan basikalnya itu. Tetapi dia boleh selamba sahaja melangkah basikal tuanya yang tersadai atas tanah, kemudian menonong ke warung di hujung simpang jalan  sambil melaung memesan minuman.

“Wak, Sirap Bandung satu, kasi spesial punya!” Suara mamat posmen yang tak pakai uniform posmen itu seolah-olah berdengung-dengung dalam gegendang telinganya. Serupa direkod, kemudian ditekan play. Habis sekali, replay balik.

Wuarghhhh, berani dia buat macam tu!

“Sudah lah sebab dia aku jatuh macam ni. Balik rumah baru nak kira berapa banyak calar, dah tu ingatkan dia nak selesai fasal kes accident yang tak berapa nak accident ni, rupanya dia boleh buat tak tahu! Yang aku ni pula dah macam perempuan gila pergi serang dia sambil tengah duduk dekat tanah dengan cuaca yang panas ni! Arghhhh!!!” Hanya hati Lana yang mampu menjerit kuat. Dadanya berombak menahan marah.

Kes semalam tak selesai lagi, lelaki tu dah cari fasal lagi hari ni! Memang nak kena tau!

Lana membuang kotoran tanah yang melekat pada baju dengan kasar. Dia bingkas bangun seraya mengangkat basikalnya sekali. Mujur basikal tuanya masih boleh pakai. Pantas Lana, melompat naik atas basikalnya dan mula mengayuh. Asalnya perlahan saja kayuhannya. Tetapi disebabkan sekejap lagi dia akan melepasi gerai yang dikunjungi lelaki itu, sengaja dilajukan kayuhannya. Sakit di kaki diabaikan kerana sakit di hati lebih terasa peritnya. Berpapasan dengan warung itu , sengaja Lana menjeling sekilas ke arah lelaki itu. kononnya nak melampiaskan kemarahan melalui jelingan. Tetapi ternyata tindakan Lana sangatlah tidak tepat. Lelaki itu dengan selamba boleh mengangkat gelas yang berisi Sirap Bandung, kemudian disedutnya minuman itu dengan straw sambil mengangkat ibu jari, seolah-olah mengatakan minuman itu terbaik

Arghhhhh!!!” Kali ini memang betul mulut Lana mengeluarkan suara. Jeritan yang cukup mengejutkan beberapa pelanggan dalam warung itu, juga kenderaan yang masih sebuah dua yang menggunakan jalan itu. Masakan tidak, asyik pandang muka lelaki itu, sampaikan basikal terlepas masuk dalam longkang. Mahunya, Lana tak menjerit.  Yang pasti jeritannya itu kerana kemalangan dan juga kemarahan!

 **********

[Bersambung...]