Ahad, April 20, 2014

Cerpen: Surat Cinta Abang Posmen! - Bhg 1



Yang mana satu erk? Semua nampak macam best saja. Aduh, ini yang buat orang pening ni! Hurmm, baca blurb dululah. Tengok yang mana satu romantiknya lebih.” Bibir Lana merekah dengan senyuman. Jelas barisan gigi putih yang tersusun elok. Tak ada besar kecil. Semuanya sama saiz. Kalau sengih dekat semua tempat, silap hari bulan boleh jadi model iklan ubat gigi!

Jemari runcing Lana, mula menggerakkan mouse. Komputer riba yang terletak elok di atas meja kecil berwarna coklat muda di satu sudut dalam bilik tidurnya itu memang dipasangkan dengan mouse. Senang nak hala ke sana-sini pada paparan skrin komputer riba. Tangannya masih lagi setia memegang mouse, dalam masa yang sama sepasang mata Lana galak melihat gambar-gambar kulit hadapan novel dalam sebuah laman sesawang yang menjual novel secara online.

“Hah, nak yang ini la!” Lana bersuara. Kalau ikutkan tak ada siapa-siapa pun dalam biliknya ketika itu. Adik-adiknya seramai dua orang sudah ke sekolah. Ayahnya pula tentu sahaja sudah ke dusun. Hari ini katanya peraih akan datang mengambil buah rambutan yang memang sedang berbuah lebat di dusun warisan keluarga ayahnya itu. Emaknya pula mungkin sedang masak. Masak?

“Bukan mak suruh siang ikan ke tadi?”

“Tak apalah, nanti-nanti pun boleh buat! Tengok novel ni macam best saja! Eh, sedapnya nama hero dia. Zakhri Gunawan. Macam nama cowok Indonesia pula. Pasti ganteng! Ekekeke...” Terkekek-kekek Lana ketawa seorang diri. Mindanya rakus melukis bayangan rupa untuk watak lelaki yang terpampang namanya pada kulit belakang novel yang sedang diperhatikannya dalam laman sesawang itu.

Arghhh! So sweet! Cair! Confirm aku cair kalau aku jumpa mamat macam Zakhri Gunawan ni, sure pengsan!” Lana pantas membuat pesanan. Sambil itu, dia masuk pula ke dalam akaun CIMB Clicks miliknya. Harga novel sebanyak RM35.00 itu perlu di transfer ke dalam akaun syarikat penjual. Senang sahaja sekarang ni. Zaman dah semakin modern. Tak perlu susah-susah ke bank untuk lakukan pemindahan wang. Semuanya terletak di hujung jari. 

Begitu juga kalau mahu membeli bahan bacaan seperti novel. Tak payah susah-payah nak pakai lawa-lawa. Touch up muka sekilo dua, kemudian nak merempit ke Kedai Buku Wak Saman di bandar sana. Mujur ada website Passion Love Publication Sdn. Bhd. Yang bukan sahaja menerbitkan novel-novel cinta tahap boleh jatuh pengsan, malah ada pula disediakan pakej jualan istimewa. Ada potongan harga, siap penghantaran pun percuma. Cuma novel keluaran syarikat ini mesti harganya lebih RM30. Sebabnya saiz dia pun gedabak juga. Kalau bukan 1000 muka surat lebih, jangan cakaplah novel itu keluaran Passion Love Publication Sdn. Bhd.

“Nur Fazlyana Arnisyah Binti Mohd Majid!” Memetir suara Faridah atau nama glamornya Mak Bedah. Dengan tanya bersilang dua, gaya Mak Bedah tak ubah serupa watak ibu tiri dalam animasi Cinderella.

Lana kaget. Hujung bibirnya digigit.

“ Ni mesti sekejap lagi nak mula bersyarah.” Hatinya berdesis.

“Kan mak dah suruh kamu siang ikan tadi? Ni mak dah balik dari warung Hajah Kamisah, dok tengok ikan itu elok duduk dalam beg plastik lagi. Yang kamu pagi-pagi lagi sibuk sangat ni kenapa? Banyak sangatlah kerjanya. Tapi bukan kamu ni tak ada kerja lagi ke?” Mak Bedah mula membebel.

Lana buat muka. Bibirnya tercebir.

“Mak ni... Tahulah orang tak kerja lagi. Tapi tak payahlah nak sindir-sindir. Sakit tau...” Lana buat muka kasihan. Siap pegang-pegang dada bahagian kirinya. Konon kata-kata Mak Bedah dah tertusuk ke ruang hati yang paling dalamlah.

“Hah, tak payah nak berdrama pagi-pagi ni. Mak bukan cakap benda tak betul pun. Dah memang kamu ni tak ada kerja pun kan. Dah tu mak suruh siang ikan tadi, tak dibuatnya apa yang kita suruh.  Sibuk pula dia memerap dalam bilik menghadap letop dia tu.” Mak Bedah tak mahu berhenti syarah lagi. Panas pula hatinya tadi tengok ikan yang masih tak bersiang. Alamatnya sekejap lagi dia jugalah yang kena buat. Ada anak dara pun kalau tak membantu tak berguna juga. Sabar sajalah hati.

Hahahaha! Mak! Mak buat lawak ke apa ni? Benda alah ni laptop la mak. Yang mak sebut letop tu kenapa pula. Teringat dekat Nabil dengan Lofa dalam Meletop tu ke mak? Tu lah seronok sangat tengok program gosip artis tu, kan dah melekat?” Lana meletuskan tawa. Kuat. Serupa Mak Bedah tengah buat lawak atas pentas Maharaja Lawak Mega.

“Eh, budak bertuah ni! Dia nak kenakan kita pula. Lepas tu gelaknya. Ya Allah, Mak Esah sebelah rumah sana pun boleh dengar. Kamu tu anak dara Lana hoi. Kalau gini la gayanya, alamat aku tak terima menantu lah tahun ni. Suruh buat kerja tak mahu. Minta tolong dekat dapur liat. Kemudian bantai gelak tak ingat dunia. Yang dia tahu kepit novel lepas tu buat gaya senyum merenyam.” Mak Bedah membuka jendela bilik tidur anak daranya yang masih tertutup. Nak buka jendela pun Si Lana ni tak mampu nak buat dengan elok. Macam manalah nak jaga laki lepas dah kahwin nanti.

Hihihi, mak skodeng Lana time tengah baca novel erk?” Lana sengih. Keningnya sebelah terangkat-angkat.

“Tak ada masanya mak nak skodeng bagai. Ingat mak ni wartawan Melodi ke? Dah kamu tu landing baik punya atas kusyen dekat luar sana. Khusyuk baca novel, sampai mak panggil pun tak dengar. Ingatkan tidur. Rupanya berangan. Sengih semacam pula tu. Sekali mak tengok serupa orang dah tak sabar nak berlaki pula.” Mak Bedah masih lagi membedil Lana dari pelbagai sudut. Sekejap tabiat anaknya yang suka baca novel cinta menjadi sasaran. Sekejap pula perangai anaknya yang gemar berangan pula yang jadi umpan.

“Mak ni, ke situ pula. Dah la mak, tadi kata tak siang ikan lagi. Jom, Lana tolong. Karang tak makan tengah hari pula kita nanti.” Lana pantas meringkaskan perbualan. Kalau dengan Mak Bedah, kena surrender awal. Akhirnya, maknya juga yang akan menang. Tambah bila Mak Bedah dah sentuh tentang bab laki ni. Lebih baik cabut cepat. 

Hurmmm, taktik lapuk. Nak larilah tu. Jauh manalah kaki kamu nak pergi Lana hoi. Tahun ni aku nak bagi kau nikah juga. Baru berubah sikit perangai tak semenggah tu.” Hati Mak Bedah desis sendirian.

Lana sudah berusia 24 tahun. Anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Lepas SPM dulu, Lana ada sambung STPM. Tapi keputusan yang dia peroleh cukup-cukup makan. Ikutkan, Lana tak mahu belajar lagi selepas SPM. Cuma dia terpaksa atas desakan dan arahan Pak Majid. Lepas STPM, adalah Lana ikuti kelas menjahit. Yang tu Lana luluslah. Dia ada kemahiran dalam bidang jahit-menjahit ni. Kira baju sendiri tu tak payah nak upah orang jahit lagilah. Tapi bila disuruh ambil upah menjahit, Lana bagi macam-macam alasan. Yang sebetulnya malas.

Seharian di rumah, masa Lana habis dengan aktiviti harian biasa sahaja. Makan, tidur, tolong Mak Bedah di dapur, tengok drama dekat televisyen, online dan yang wajib sekali ialah baca novel.

“Mak, buat apa dekat bilik Lana tu lagi? Baca novel ke??” Laung Lana dari dapur.

Suara Lana yang kuat itu menyedarkan Mak Bedah dari lamunan. Jauh mindanya menerawang memikirkan perihal Lana. Anak itu bukan tak baik. Cuma pelajarannya saja yang tak begitu elok. Tapi tak bermakna itu perlu menjadi kekurangan Lana. Mak Bedah ada hajat. Dan keinginan itu mahu dilaksanakan tahun itu juga. Moga-moga akan terlaksana. Kakinya diatur ke arah dapur. Masih banyak kerja rumah yang berbaki. Segalanya perlu dibereskan. Itulah kerja seorang suri rumah tangga sepertinya.

Mak Bedah mengatur langkah ke arah dapur. Pintu bilik Lana dikatupnya perlahan. Kemudian dia melintasi ruang rehat sebelum menuruni anak tangga ke ruangan dapur kering. Biasalah rumah kampung. Antara bahagian dapur dan ruang-ruang lain di dalam rumah pasti ada pemisah. Pandangan mata Mak Bedah tertumpu pada Lana yang sudah mula menyiang ikan di dalam singki. Sambil-sambil itu mulut anak gadisnya ribut melagukan lagu Yuna. Mak Bedah kenal juga artis dengan lagu-lagu zaman moden ni, tak ke dia ni pengikut setia Meletop, Melodi dan sekutunya, haruslah dia tahu kan?

“Hah, mak! Sampai pun. Bukan main lama lagi duduk dalam bilik Lana tu. Ingatkan baca novel tadi.” Lana menyakat. Siap buat muka kerang busuk. Tangannya cekap membuang sisik pada ikan kerapu yang dibeli oleh Mak Bedah di pasar awal pagi tadi.

“Lama apanya, kamu kata. Mak rasa lagi lama kamu membuang dalam tandas pagi tadi tu.” Mak Bedah nak mengalah. Sorry to say lah!

Eeeeee, mak ni! Yang tu orang senggugut la. Bendera Jepun tengah naik!” Lana membuat muka.

“Ya ke? Patutlah Subuh tadi mak laung sampai berbuih mulut pun tak bangun juga. Tadi tu mak nak datang dah Tapi terberhenti sekejap tengok satu novel ni. Tajuk dia saja dah buat mak rasa lain. Projek Memikat Suami! Kamu ni dah kenapa sampai tahap nak memikat suami? Nak kata ada laki tak menikah lagi. Nak kata ada boyfriend, tak pernah pula nampak kamu buat perangai ulat bulu naik daun. Alih-alih buku yang nak memikat suami juga kamu bacanya. Kalau kamu dah nak sangat tu, bagi tau mak. Ni, mak boleh kasi senarai baik punya dekat kamu. Kamu takat pilih aja, yang mana berkenan.” Mak Bedah dah mula sekali lagi. Bukan main syok ekspresi muka Mak Bedah masa beritahu Lana tentang senarai panjang calon menantu yang dia dah siap tulis dalam buku 555 yang disimpan dalam laci bilik tidurnya itu.


Pin!! Pin!!! Pinnn!!!

Belum sempat Lana menjawab, soalan daripada Mak Bedah. Ada pula tetamu yang tidak diundang di halaman rumah. Tak tahulah siapa pula yang datang time-time macam ni.

“Hah, Lana, pergi tengok siapa yang mai tu. Kerja ni biar mak yang sambung.” Arah Mak Bedah seraya disingsing lengan baju kurung kedahnya.

Lana menurut. Tangan yang berbau ikan ditala pada air pili yang dibuka. Seketika kemudian, dibawanya hujung jemari ke hidung. Kembang kempis jadinya hidung separa mancung yang terletak elok pada wajah bujur sirih itu.

“Hanyir.” Sepatah Lana bersuara. Memandang wajah Mak Bedah dengan senyuman, lagak model Colgate.

“Dah tu, kamu nak bau apa? Kalau dah yang kamu siang tadi tu ikan, takkanlah nak bau kari ayam pula? Macam-macamlah anak dara aku seorang ni. Cepatlah pergi tengok siapa kat depan tu. Tak habis-habis hon dok bunyi.” Mak Bedah kecoh, bilamana hon daripada motosikal asyik membingit sejak tadi.

“Yalah. Siapa pula lah yang tak menyempat sangat tu?” Giliran Lana pula membebel sambil berlalu pergi dari ruang dapur.

Lana hanya bersarung kain batik yang dibeli di Langkawi dengan t-shirt putih bermotifkan animasi perempuan sedih dengan kata-kata ‘I am lonely ;(‘. Biasalah, duduk di rumah, apatah lagi di kampung seperti itu, memang itulah pakaian yang kelazimannya akan dipilih. Apapun ikut kepada si pemakai juga. Ada juga yang nama sahaja duduk di kampung, tapi gayanya lebih hebat daripada Lady Gaga! Alamak, itu dah Fashion Police!

“Sekejap! Tunggu jap. Nak datang dah ni!” Laung Lana ketika sudah semakin hampir kakinya ke pintu utama rumah kampung yang agak besar itu.

Pintu rumah yang tertutup dibuka. Jelas terpampang seorang lelaki di atas sebuah motosikal. Daripada uniform yang dikenakan sudah terang lagikan bersuluh. Posmen. Cuma yang ini rasa-rasa macam servis penghantaran pos laju. Lana sekadar diam di muka pintu sambil menganalisis pendatang yang tiba-tiba membuat bising di halaman rumahnya itu.

Pin! Pin!! Pin!!!

“Oh mak kau, abang posmen hensem!”  Lana telan liur. Kesat. Terkejut punya fasal, boleh pula dia melatah. Ayat melatah yang keluar, tak boleh pakai pula tu. Buat malu muka aja. Dipandangnya wajah lelaki di hadapan. Ada senyum sinis tersungging di bibir.

“Ehem...” Lana membetulkan suara. Kononnya ada kahak bermaharajalela di situ.

“Nak apa encik?” Lana bertanya. Satu dua langkah diatur ke hadapan. Lebih dekat dengan lelaki yang masih lagi punggungnya setia di atas kusyen motosikal.

“Motosikal itu pun sah-sah Pos Malaysia yang punya. Itupun malas sangat nak turun jumpa customer. Report dekat Pos Malaysia baru tahu!” Sempat lagi fikiran Lana menganalisis. Ya la, kadang-kadang perbuatan itu akan melambangkan peribadi. Bak kata orang Putih, first impression tu penting. Kalau ya pun nak cepat, apa salahnya, turun dari motosikal dak? Bukan sampai orang nak ajak masuk dalam minum-minum dan borak bagai...

“Nak hantar barang la cik adik... Takkan nak mengorat pula? Meh, sign sini cepat.” Suara lelaki posmen itu bergema.

“Eleh, kerek juga mamat ni.” Lana buat muka. Bosan layan fiil lelaki macam ni.
“Nur Fazlyana Arnisyah Binti Mohd Kamal tinggal sini kan?” Tanya lelaki itu lagi.

Lana sekadar angguk.

Sign sini...” Lelaki itu menunjuk pada satu kertas yang dibawanya bersama.

“Kejap, nak tengok dulu barang apa. Tak tahu siapa yang hantar macam mana nak terima sahaja. Kalau ada bom dalam ni macam mana?” Lana tidak menurunkan tandatangan pada helaian yang diunjukkan oleh lelaki posmen itu, sebaliknya ditarik bungkusan empat segi yang dipegang oleh tangan kiri lelaki itu.

Terpempan seketika lelaki itu dibuatnya. Boleh pula si Lana ni main tarik-tarik.

“Nur Fazlyana Arnisyah Binti Mohd Kamal tu memang aku. Tapi kenapa pula Global Media Publication nak bagi barang ni? Setahu aku tak pernah pula order novel daripada syarikat tu.” Lana omong sendirian.

 Kata orang novel-novel syarikat tu tak best. Jadi tak adalah pula nak try baca ke apa. Ya lah, sebuah novel tu dekat 20 ringgit, kalau setakat beli baca sehelai dua lepas tu simpan jadi pekasam baik tak payah. Sebab tu Lana hanya akan beli novel yang betul-betul diyakini best sahaja. Untuk itu dia memang rajin baca novel reviews daripada pembaca lain. Siap masuk dalam grup-grup novelis dan peminat novel dalam Facebook lagi.

Kadang-kadang Lana rasa kelakar juga bila baca komen-komen dalam grup novel yang dia jadi members dalam Facebook. Ya lah, ada yang puji satu novel ni melambung tinggi. Ada pula yang kutuk satu-satu novel kaw-kaw punya. Tak bagi chance langsung. Sekali dengan penulis dan penerbit semua dia heret. Siap bagi hujah bagai. Lana baca saja. Tapi tak terpengaruh. Memang dia suka baca pandangan orang tentang sesebuah novel sebelum membelinya, tapi tak adalah terpengaruh membabi buta dengan pandangan sesetengah pihak sahaja. Lainlah kalau kanan, kiri, atas, bawah semua kondem, kira memang ada something wrong somewhere la kot dengan novel tu.

Kalau macam Global Media Publication punya novel ni, bukanlah langsung tak best. Cuma penerbitan dia agak baru. Kemudian penulis dia pun setakat ni semua muka-muka baru. Dan yang paling potong stim, cover novel dia simple sangat. Bagi Lana, walaupun ada pepatah kata do not judge a book by it’s cover tu memang relevan, tapi bagi konteks nak membeli novel ni, dia memang pentingkan juga aspek kulit hadapan novel. Orang kata, feeling tengok cover novel ni kena ada ala-ala jumpa muka bakal suami buat kali pertama. Kena ada kuch-kuch hota hai dekat hati.

“Cik adik? Kalau yang tertulis tu memang nama cik adik, plus nombor rumah ni 678 Kampung Nyaman Nyonya, Mukim 3, kira memang rumah ni la. Dah la cik adik, sign sini cepat. Banyak lagi rumah saya nak pergi ni. Nanti-nanti berangan la puas-puas, kalau nak bawa bungkusan ni peluk masa tidur pun, bawalah, tak ada siapa nak halang. Yang penting sign sini dulu.” Lelaki posmen itu sudah menggoyang-goyangkan sebatang pen di hadapan mata Lana.

Lana merengus. Direntapnya pen itu daripada tangan lelaki itu. Kemudian dia turunkan tandatangan, sebelum diserahkan kembali pen dan kertasnya kepada posmen yang banyak songeh itu.

Lelaki itu hanya menggunakan hujung jari untuk mengambil kembali pen dan kertas yang dihulurkan Lana.

“Apa hal mamat ni?” Lana pelik. Siap kening berkerut lagi.

Erk, cik adik ni ganas sangat. Main rentap-rentap sampai bersentuh kejap tadi. Saya ni tak kahwin lagi, jadi full package yang ada ni hanya untuk future wife saja. Walaupun saya sedar ramai yang cuba ambil kesempatan kan... Well, posmen paling macho la katakan?” Lelaki itu bercakap dengan nada bersahaja. Siap senyum senget dengan kening terangkat. Seketika, dia pecut motosikalnya dan membiarkan Lana mati kutu termangu di situ.

Mulut Lana yang terlopong mendengar kata-kata lelaki posmen tadi masih belum tertutup. Tak pernah-pernahnya dia jumpa lelaki yang perasan siap bermulut macam tu.

“Tadi tu, maknanya, dia kata aku nak ambik kesempatan nak pegang-pegang dia lah kan? Itulah maksud dia kan, Comel? Kan, itu yang dia cuba cakap kan?” Lana bertanya kepada kucing peliharaan Mak Bedah yang sihat walafiat macam tuannya yang memang ada berbaring sebelah pasu di halaman rumah sejak tadi itu.

“Yang kamu ni dah kenapanya, boleh diajak Comel tu berbual? Hah, tu barang apa pula? Beli lagi? Kerjanya tak mahu, tapi kerja menghabiskan duit dia mahu.” Entah dari celah mana Pak Majid muncul pun, Lana tak tahu.

Dah lah dia tengah bengang dengan mamat posmen yang suka hati dia saja label dia nak ambil kesempatan. Ni Abah pula nak masuk sesi ceramah percuma.

“Abah, orang nak masuk dululah, nak tolong mak masak.” Ayat paling selamat untuk larikan diri. Taktik lama, tapi masih ramai yang pakai lagi.

“Hah, mintak mak kamu hantar kopi o dekat abah. Haus ni.” Pak Majid bersuara seraya melabuhkan punggung di pangkin yang tersedia di bawah pohon pelam yang rendang.

Lana sekadar mengangguk. Jasad dia sahaja yang berada di situ. Tapi fikiran dia memang ke lain. Siapa lelaki posmen tu? Tak pernah nampak pula sebelum ni. Kalau kerja setakat posmen dekat pekan sana, mesti orang sini-sini juga. Macam mana aku nak jumpa dia balik, hah? Takkan nak biar saja dia macam tu! Belum pernah lagi ada orang kata aku macam tu. Tak tau, tak kira! Macam mana pun nak jumpa juga dengan dia. Selagi tak cili mulut laser tu, selagi tu hati dan perasaan ni takkan tenteram. Esok mesti kena mula risikan ala-ala James Bond. Misi wajib dilaksanakan. No excuses, full stop!

**********

[Bersambung...]





2 Komentar

Write Komentar
Syania Ann
AUTHOR
7/6/14 9:27 PTG delete

Menarik citer nie.... 😚😚😚

Reply
avatar
Syania Ann
AUTHOR
7/6/14 9:34 PTG delete

Menarik citer nie... suka.. suka... hehe...

Reply
avatar