Khamis, Disember 19, 2013

Cerpen: Jika Itu Pintamu...


“Syam, lama ke tunggu nak?” Salmah menegur Hafsyam yang sedang duduk tembok di tepi longkang di luar pintu pagar sekolahnya.

Hafsyam masih baru di sekolah itu. Dia masih tidak yakin untuk membiarkan anaknya pergi dan kembali dari sekolah secara sendirian. Biarlah sedikit susah, asalkan hatinya lega. Salmah membawa anak tunggalnya itu berpindah ke Kampung Pinang Tunggal itu selepas kematian suaminya. Tinggal di Sabak Bernam pun sudah tiada gunanya. Saudara-mara arwah suaminya tidak habis-habis mengeji. Daripada mula berkahwin, sehingga Hafsyam lahir sampailah ke nafas terakhir arwah suaminya yang mati akibat terkena buatan orang.

Salmah sedar dia bukanlah menantu pilihan. Lebih dari itu dia bukanlah dari keturunan yang baik. Jika baik keturunannya masakan, dia boleh terjebak menjadi perempuan pelayan di Kelab Dangdut. Mujur takdir menemukannya dengan Majid. Mereka berkahwin di sempadan Siam.  Dan dia dibawa Majid tinggal di kampungnya di Sabak Bernam. Pada saat itu dia bahagia. Walaupun tidak mewah tetapi layanan daripada Majid cukup baik. Dia tidak perlu lagi melayan lelaki yang sembarangan semata-mata mendapatkan wang ringgit bagi memenuhi keberlangsungan hidup.

Sayang seribu kali sayang. Panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Siapa kita selaku manusia biasa untuk meramal apa yang akan berlaku. Sedangkan pujangga telah berkata, semalam itu sudah berlalu sebagai sejarah. Manakala, esok pula masih samar dalam harapan yang belum tentu kesampaian. Lalu yang tinggal hanya hari ini. Hari ini yang belum tentu berakhir dengan tawa, kerana bisa sahaja tangis menerpa di pertengahan jalan. Itulah lumrah kehidupan. suka atau tidak perlu juga ditelan oleh insan.

“Syam... Kenapa nak? Tengok sini.” Salmah sudah mula duduk bertinggung di hadapan anaknya. Barangkali Hafsyam merajuk, fikirnya dalam hati.

Salmah memerhatikan sekeliling. Tidak ada lagi murid-murid yang lalu lalang di sekitar kawasan sekolah. Sudah pulang mungkin. Biasalah sekolah satu sesi. Memang jika tak ada apa-apa aktiviti pada sebelah petangnya sekolah akan jadi sunyi sepi. Tambah pula lokasinya di kampung. Budak-budaknya penuh dengan aktiviti. Ada yang mahu mandi dalam ban. Ada yang mahu memancing. Ada yang mahu mengutip buah. Ada yang mahu menjerat arnab. Ada yang mahu bermain pondok-pondok. Ah, bermacam-macam!

Indahnya hidup di desa. Tetapi dia tidak berpeluang menikmati semua itu. Takdir Salmah lain. Ibunya meninggal ketika dia dilahirkan. Ayahnya menganggap dia sebagai pembawa sial. Salmah lebih bersyukur jika ayahnya menanamnya hidup-hidup seperti pada zaman Jahiliah Arab dahulu. Berbanding dia dibesarkan tetapi dipenuhi dengan kelukaan yang tidak terperi. Cuba beritahu anggota mana pada bahagian tubuhnya yang tidak berparut?

Tatkala ayahnya berkahwin lagi, Salmah berangan-angan. Mungkinkah akan hadir seorang wanita pengganti ibunya yang mengerti bahawa anak yang baru lahir itu tidak bernoda walau seinci meski dia keluar dari rahim seorang pelacur. Namun, sangkaannya meleset. Wanita yang baru hadir dalam kehidupannya itu lebih berbisa dari tedung. Bicaranya menyengat hingga lumpuh saraf pendengarannya.

Ayahnya mati. Kanser hati. Kalau pada pandangan mata manusia biasa mungkin mengatakan itulah akibatnya merokok tak henti-henti. Tetapi bagi dia, mungkin itulah balasan Tuhan. Saat-saat akhir hidup ayahnya begitu menderita. Dan emak tirinya melayan ayahnya bagaikan sampah. Bukankah itu balasan setimpal bagi seorang ayah yang menganggap anak kandungnya sendiri sebagai sial?

“Astaga, seburuk-buruk seorang ayah itu, daripadanya jugalah kita hadir ke dunia ini! Istighfar, Salmah.” Ada suara yang seperti berbisik di telinga.

“Ah, kau tak tahu apa yang dia pernah buat pada aku. Kau tak tahu...” Salmah mengongoi sendirian. Pedih benar bunyi suaranya. Yang dengar hanyalah pohon kelapa. Yang pelepahnya sedang memayungi kepala. Manakala, batang pohonnya menjadi sandaran tubuh kurus Salmah.

Ayahnya sudah mati. Salmah fikirkan segala deritanya sudah berkubur sama. Tetapi, perempuan yang bermulut bisa yang mereka panggil sebagai ibu tirinya itu tidak membenarkan dia keluar dari rumah pusaka itu.

Ya, itu rumah pusaka yang diwarisi ayahnya. Salmah tidak mahu rumah itu. Yang dia mahu hanyalah tinggalkan kampung itu. Dia tidak mahu tinggal di situ. Setiap papan yang menjadi dinding rumah di situ seolah-olah menayangkan kembali segala penderitaan yang pernah dilaluinya. Dia tidak sanggup untuk hidup di dalam sebuah rumah yang menjadi layar kisah deritanya.

Kata emak tirinya, ada harga yang perlu dibayar jika Salmah mahu pergi dari situ. Dan harganya memang tersangat mahal. Apa lagi yang paling mahal bagi seorang gadis sunti seperti Salmah kalau bukan maruah. Dan emak tirinya menggadaikan maruah itu dengan menjualnya kepada bapa ayam Kelab Dangdut di pinggir kota Kuala Lumpur. Dari situlah hidupnya bermula sebagai gadis pelayan sehingga bertemu Majid.

“Syam... Syam tahu kan, mak kena cuci pinggan di kedai Pak Samad dulu. Lepas dah habis, baru mak boleh ambil Syam dekat sini. Hari ni banyak pula orang datang makan, jadi banyaklah pinggan mangkuk yang mak kena cuci. Ini pun kira awallah juga. Nasib Pak Samad benarkan mak keluar sekejap ambil Syam.” Salmah cuba memujuk Hafsyam. Sebagai seorang ibu dia mengerti naluri anaknya. Tetapi anak kecil yang masih bersekolah rendah di darjah tiga itu, mana mungkin memahami isi hatinya. Sedangkan anak yang sudah besar panjang juga jarang-jarang memahami  jiwa seorang ibu, apatah lagi Hafsyam yang belum pun mengerti makna sebenar kehidupan.

“Sebab tu lah, Syam minta mak belikan basikal. Kan senang! Tak payah mak nak datang ambil Syam. Tak perlu Syam nak tunggu mak lama-lama dekat sini. Nak balik sendiri, tak bagi!” Hafsyam melompat turun dari tempat duduknya. Kemudian menonong berjalan maju ke hadapan.

Salmah melepaskan nafas lemah. Hujung kurung Kedah yang sudah lusuh dia guna buat kesat peluh yang sudah menitis di dahi. Salmah bangun perlahan. Dibuntuti langkah Hafsyam yang beberapa langkah di hadapan.

“Tunggu mak, Syam!” Salmah memintas langkah Hafsyam.

“Bagi mak bawa beg kamu. Berat tu. Nanti kamu penat.” Salmah mahu mengambil beg daripada galasan Hafsyam.

Hafsyam tak mahu beri. Dia memberontak. Salmah mati kutu. Apa lagi yang perlu dikatakan pada anaknya...

“Syam, nanti bila duit mak dah cukup, maka belikan Syam basikal ya, nak. Tak perlu lagi kamu tunggu lama-lama. Tak payah lagi kamu nak rasa malu sebab kawan-kawan kamu mengejek mak hantar dan ambil kamu.” Salmah memerhatikan tepat wajah Hafsyam.

Hafsyam membalas tujahan mata ibunya. Cuba mencari kebenaran daripada pandangan mata yang redup itu. Kolam mata yang menyimpan sejuta kisah yang belum tentu Hafsyam dapat memperuntukkan waktu buat mendengarnya

“Betul ni, mak?” Hafsyam tanya juga untuk kepastian yang lebih nyata.

Salmah hanya mengangguk. Senyuman rekah dari bibir Hafsyam. Beg sudah bertukar bahu. Celoteh tak berhenti dari bibir mungil anak kecil. Namun, siapa sedar di benak kepala wanita itu apa yang sedang terzahir.

“Syam... Mak You tu macam tak suka I je. Tengoklah dari tadi duduk termenung dekat situ. Tak adanya nak layan I.” Zahlia merengek. Bibirnya muncung bagaikan itik. Cuma muncung itik tidak ada pakej gedik berbanding Zahlia yang sudah sebati dengan fiil seperti itu.

“Ala, mak I penat tu, Lia. Dia memang macam tu. Suka duduk sendiri. Tambah-tambah bila penat buat kerja.” Hafsyam cuba menjelaskan perkara sebenar. Tetapi apakah itu ialah hakikat. Dia sendiri perasan, maknya seperti tidak berapa suka pada Zahlia.

“Penat apanya? Sekadar nak jamu I makan nasi putih, ikan pekasam, kangkung belacan dengan air kosong tu pun dah penat ke?” Bibir Zahlia tercebir. Nak termuntah rasanya dia makan masakan perempuan tua itu. Tetapi demi nak menjaga hati Hafsyam dia pura-pura sahaja. Telan walaupun terpaksa. Itupun dua tiga suap sahaja. Alasannya memang tak makan banyak. Nak jaga body katanya.

Ish, You ni. Tak baik cakap macam tu. Nanti Mak I dengar, kecil hati dia.” Hafsyam melarang.

“Alah, You ni hati mak You saja yang nak jaga sangat. Habis, hati I macam mana? Dahlah, lama-lama dekat sini buat I jadi panas saja. Dahlah tak ada air cond. You pula buat I berangin. I nak balik!” Zahlia bangun. Beg tangannya diambil.

“Jumpa, mak I dulu Lia.” Hafsyam meminta.

Zahlia memandang Hafsyam. Rasa berat pula mahu menyalami tangan perempuan tua itu. Entahkan bersih atau tidak. Yalah, orang kampung, mana tahu guna  hand washing gel semua. Entah, entah basuh macam tu saja. Eei, geli!

“Mak Cik, saya balik dulu.” Zahlia memaniskan rona muka. Dihulurkan tangannya itu walau terpaksa.

Hurmmm, ya lah.” Salmah yang jauh termenung di beranda rumah kampung itu hanya menjawab. Huluran tangan Zahlia tidak bersambut.  Kemudian, dia kembali menyambung perasaan. Tidak dihiraukan Zahlia dan Hafsyam yang berada di situ.

“Jomlah hantar I balik. Nak tunggu apa lagi dekat sini!” Suara Zahlia sudah lain macam. Bengang sudah tentu. Dia yang fikir geli untuk bersalaman dengan emak Hafsyam itu, tetapi perempuan tua itu pula yang tidak menerima huluran tangannya.  Geramnya! Tunggulah , kau perempuan. Sekali, Hafsyam dah jadi milik mutlak aku. Kita tengoklah nasib kau macam mana.

I tak rasa mak You tu suka dekat I. You sendiri tengoklah. I datang, layan pun macam tak nak saja. Tadi tu I nak salam pun dia tak sambut. Malu tahu tak?” Zahlia melepaskan geram sebaik sahaja kereta Honda Civic milik Hafsyam mula bergerak pergi dari perkarangan rumah kampung itu.

You jangan ambil hati sangatlah. I minta maaf kalau You terasa. Tapi mak I memang macam tu. Kalau dah lama sangat melayan perasaan, dia macam dah tak wujud dekat dunia nyata. Tadi tu mungkin dia tak perasan rasanya You hulur tangan.” Hafsyam cuba memujuk. Takkan nak biarkan kekasih hari menjeruk rasa.

Zahlia anak gadis kepada Dato Radzi. Empunya Megah Holdings tempat dia bekerja. Mereka bertemu secara tak sengaja. Bertembung dalam lif. Ketika itu, Hafsyam yang terlebih dahulu berada dalam lif, sebelum menahan pintu lif daripada tertutup apabila terdengar jeritan gadis yang meminta menunggunya. Itu pertemuan pertama mereka. Dan siapa sangka gadis itu adalah Zahlia, anak gadis bosnya di syarikat pembinaan itu.

“Macam mana I tak ambil hati. Dahlah I tak nak datang, You paksa. I dah sanggup datang siap makan makanan kampung tu semua sekali. I berkorban demi You Syam. Tapi You tengoklah macam mana mak You layan I. I sedih tau.” Zahlia meraih lengan Hafsyam. Disandarkan kepalanya pada bahu lelaki itu. Air matanya menitis. Jatuh terkena lengan lelaki itu.

Hafsyam berhentikan Honda Civic di bahu jalan. Macam mana dia mahu teruskan pemanduan, jika Zahlia sedang berduka di sebelahnya.

“Ah, mak pun satu. Takkanlah tak boleh nak layan Zahlia sikit. Bukannya tak ada masa nak melayan perasaan seorang-seorang. Macam-macamlah.” Desis hati Hafsyam.

“Lia, janganlah macam ni. I minta maaf, okay. I minta maaf kalau You betul-betul terasa hati dengan mak I. Janganlah macam ni, sayang.” Hafsyam masih memujuk. Kali ini Zahlia sudah menyembamkan mukanya ke dada bidang Hafsyam. Masih dengan berlagu sendu. Berdua-duaan di dalam kereta, dalam keadaan yang sebegitu pula. Bukankah boleh menimbulkan wasangka penumpang dari kenderaan yang sedang lalu-lalang?Mujur jalan kampung sudah dilepasi, jika tidak pasti membusuk pula nama Hafsyam dek ternampak mata-mata orang kampung.

I tahu I dari keluarga yang berada. Tak biasa datang rumah kampung. Tak reti makan makanan kampung. But, hari ni I buat semua tu. I buat untuk You Syam. Just for You. I tak kisah kalau mak You tak layan I elok-elok. I tak kisah kalau hati I terluka sebab sikap mak You. I rela Syam. I sanggup. Because I love You very much.” Zahlia mengucup pipi kanan Hafsyam. Tergamam Hafsyam dibuatnya. Sebelum-sebelum ni tak pernah pula Zahlia bertindak seberani itu. Barangkali emosinya bercampur.

You tak perlu ucap sayang. I know how much You love me.” Hafsyam mengelus lembut rambut Zahlia yang mengurai. Cantik. Rambut itu antara yang menjadi daya pemikat hati lelakinya.

“Dah, jom I hantar You balik. Nanti, Papa You ingat I dah culik anak kesayangan dia pula.” Hafsyam menarik hujung hidung mancung milik Zahlia. Terjerit gadis itu dibuatnya.

“Tak sukalah tarik-tarik hidung I macam ni. Kan dah merah?” Zahlia merengek manja. Mulutnya muncung lagi. Sibuk pula dia nak melihat kesan merah pada hidungnya di cermin pandang belakang.

“Mana ada merah lah. Yang merah tu bibir You. Buatlah mulut macam tu lagi. Karang kena ngap, I tak tahu!” Hafsyam bersuara nakal.

“Gatal juga You ni erk? Dahlah, jalan cepat. Karang tak fasal-fasal ternoda bibir I dekat sini.” Zahlia bersuara manja. Siap digigit sedikit bibirnya sendiri. Serupa menggoda buaya yang kehausan.

Hafsyam telur liur.  Dia lelaki normal. Berhadapan dengan gadis cantik dan manja seperti itu boleh membuatkan nafasnya tak teratur. Apatah lagi dalam situasi yang berdua-duaan seperti itu.  Biarpun dia tidak alim tetapi dia lebih dari maklum bahawa zina itu dosa besar. Kerana itu dibawa Zahlia berjumpa emaknya segera. Esok dia perlu berbincang dari hati ke hati tentang hasratnya memperisterikan Zahlia bersama emaknya itu. Hafsyam cepat-cepat masukkan gear kemudian ditekan pedal minyak. Honda Civic meluncur laju ke rumah banglo milik Dato Radzi.

Keretnya menjalar ke perkarangan rumah kampung milik emaknya. Malam sudah merangkak larut. Hampir ke pagi juga. Bulan mengambang penuh menampakkan diri yang bercahaya. Dari lantai bumi andai dipandang memang nampak begitu cantik memikat. Tetapi sedarkah mata yang melihat betapa sepinya bulan yang bercahaya itu keseorangan tergantung di langit tanpa teman sejati? Yang  ada hanya kejora. Sekejap muncul dan sekejap hilang. Hafsyam meletakkan keretanya di bawah pokok rambutan yang rendang. Kemudian dia keluar dari Honda Civic. Keretanya dikunci menerusi punat off pada penggera automatik. 

Kakinya segera menuju ke anak tangga yang menghubungkan beranda dan lantai tanah. Badan yang penat meronta meminta rehat. Bukan dia tidak mahu bermalam di rumah keluarga Zahlia. Cuma cuti yang dia ambil hanya tiga hari. Sehari sudah selesai, maka tinggal dua lagi.  Dia perlukan masa selebihnya untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan pasangan yang dipilihnya sebagai suri hidup. Dia perlu berbincang dengan emak. Sebab itulah, ajakan keluarga Zahlia untuk bermalam di rumah banglo itu ditolak baik. Dia mahu segera kembali ke rumah emaknya.

Hafsyam sudah merehatkan tubuhnya di kerusi kayu yang beralas kusyen yang sudah nipis. Fikirannya menerawang pada perbualan bersama keluarga Zahlia petang tadi. Keluarga Dato Radzi tidak ada apa-apa halangan. Mereka bersetuju jika dia berkahwin dengan Zahlia. Syaratnya cuma satu. Dia perlu tinggal bersama keluarga Zahlia di banglo mewah itu. Zahlia merupakan satu-satunya anak perempuan kepada Dato Radzi dan Datin Zainab. Bongsu pula tu. Jadinya, mereka tak mahu Zahlia keluar daripada rumah itu walaupun selepas berkahwin.

Bagi Hafsyam, syarat itu tidak susah mana. Tak kisahlah tinggal dekat manapun, asalkan selesa. Hendak pula di banglo mewah seperti itu, siapa yang tak sudi. Berkenaan emaknya, pula dia cukup yakin emaknya pasti tak kisah. Ya la, selama ini dia belajar di luar negara pun emaknya tinggal seorang diri. Dia kembali ke tanah air dan bekerja di Kuala Lumpur sekalipun, emaknya tetap mahu tinggal di Kampung Pinang Tunggal itu. Hafsyam sendiri tidak pasti apa yang istimewa sangat kampung itu.  Bukan dia tidak pernah bertanya, tetapi emaknya selalu mengelak dan tidak pernah menjawab.

Mata Hafsyam semakin berat. Sendi-sendi di badan terasa lenguh. Lama juga masanya hari ini terbuang di atas jalan raya. Pagi tadi dia sampai ke kampung bersama Zahlia. Selepas makan tengah hari Zahlia sudah merengek dihantar pulang. Dia ingatkan Zahlia sudi bermalam di rumah emaknya itu. Mana tahu gadis itu mahu melihat-lihat persekitaran kampung. Tetapi ternyata sangkaannya meleset. Diturutkan saja kemahuan Zahlia, selepas makan tengah hari mereka bertolak semula ke Kuala Lumpur dan lewat petang itu juga dia kembali bertolak semula ke sini. Tak ke gila namanya. Tapi demi kekasih hati diikutkan saja semuanya.  Kepenatan yang semakin menjalar ke seluruh tubuh itu membuatkan perlahan-lahan menutup kelopak matanya. Hafsyam sekadar tidur di ruang tamu pada malam itu.

***** ***** *****

Salmah terbaring di atas katil usang. Kelopak mata tuanya terpejam celik. Memang susah untuk mata dia terpejam lama kala lena. Dia sudah tidak boleh tidur lama. Pasti dia akan terjaga di hening pagi. Begitu juga pagi itu walaupun tidak seawal selalu. Jam di dinding papan diperhatikan. Sudah pukul 5.10 minit pagi. Salmah bangun dari perbaringan. Ke arah jendela dia tuju. Jendela papan itu dia buka. Angin pagi menyapa wajah tuanya yang sudah berkedut seribu.

Selalu bila terjaga, pasti dia akan ke bilik air mengambil wuduk. Dia tahu bukan sengaja matanya itu mahu celik di kala orang lain masih lena. Dia sedar mata itu terbuka kerna izin dari-Nya. Yang mahukan dia bertahajud di hening pagi. Menyucikan dosa di jiwa. Mengabdikan roh pada yang Esa. Entah berapa lagi waktu yang bersisa dia tidak tahu. Maka kerana itulah, setiap kali terjaga dari tidur secara tiba-tiba, dia tidak pernah mengeluh.

Cuma pagi itu, hati kecilnya mahu bertenggek di tepi jendela itu. Mahu melihat langit yang masih gelap. Mahu menyapa purnama yang masih setia. Mahu memandang bintang yang tersenyum ke arahnya. Lagi pula Hafsyam ada di rumah. Dia tidak mahu mengganggu tidur anak itu. Dia sedar, Hafsyam sampai awal pagi tadi. Pasti keletihan. Jika dia bergerak ke bilik air sekarang, pasti akan menimbulkan bunyi-bunyi bising yang tidak boleh dielakkan. Biasalah, rumah pusaka itu sudah lama. Bila berjalan pasti bunyi lantai berkeriut akan memecah hening pagi.

Salmah berteleku di jendela. Fikirannya melayang lagi. Rumah pusaka ini sudah lama benar usianya. Ada yang sudah bocor. Dia akan meminta orang datang menampal. Ada yang sudah rosak. Dia akan minta Hafsyam gantikan. Anak bujangnya itu sudah banyak kali mengajak tinggal bersama di Kuala Lumpur. Cuma dia sahaja yang tidak mahu. Lemas hidup di kota. Bukannya dia tidak pernah merasa hidup di kota itu. Bahkan lebih dari itu dia pernah alami. Tetapi tidak diceritakan semua itu kepada Hafsyam.  Tak perlulah membuka pekung di dada sendiri.

Suatu ketika dahulu dia pernah membayar harga yang cukup mahal apabila mahu hidup di kota itu. Suatu masa dahulu dia cukup bencikan rumah pusaka ini sehingga pernah berikrar untuk tidak lagi menjejakkan kaki di kampung ini. Tetapi seperti biasa, dia cuma manusia biasa. Hatinya hanya boleh merasa. Jiwanya hanya mampu merangka. Akhirnya takdir juga yang menentukan segalanya.

Suaminya, Majid meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati. Ramai yang kata arwah Majid terkena buatan orang. Ada yang berkata itu balasan anak yang tidak mendengar cakap emak dan berkahwin dengan perempuan yang bukan-bukan. Ada pula yang lagi dahsyat tohmahannya. Kata mereka, Salmah yang santaukan suami sendiri untuk mengaut harta peninggalan lelaki itu.  Berbisa bukan? Tetapi Salmah sudah lali. Telinganya telah sebu mendengar kata-kata yang tajam seperti belati itu.

Apabila sudah tidak tahan lagi hidup di Sabak Bernam selepas suaminya pergi ke pangkuan abadi, Salmah nekad untuk kembali semula ke sini. Dia beranikan diri walaupun keyakinan yang ada belum cukup gagah. Apapun, rumah pusaka di kampung itu adalah miliknya. Emak tirinya itu langsung tidak mempunyai hak ke atas rumah itu. Hafsyam yang semakin membesar memerlukan persekitaran yang lebih sihat. Umpatan, kejian, caci-maki dan nista yang dimuntahkan di kampung halaman suaminya hanya akan mendorong pertumbuhan minda dan rohani Hafsyam ke arah kegelapan. Dia tidak mahu begitu. Kerana itu dia sanggup menjilat ludah kembali. Mengambil keputusan untuk pulang semula ke Kampung Pinang Tunggal.

Bila dia kembali, rupanya ada peristiwa besar yang telah terjadi. Emak tirinya telah berkahwin lagi. Pasangannya adalah lelaki yang jauh lebih muda. Lelaki itu hanya mahu menumpang hidup di dalam rumah pusaka itu. Kerjanya tidak. Asyik meminta duit sahaja dari emak tirinya. Suatu hari emaknya menangkap suami barunya itu yang sedang cuba merogol anak gadis di dalam semak belakang rumah pusaka itu. Kerana terlalu marah dia menyerang suaminya. Berlaku pergelutan. Dan dalam pergaduhan itu emak tirinya telah ditolak oleh suami barunya sampaikan terjatuh dan terhantuk kepala di batu. Tidak cukup dengan itu, suami baru emak tirinya itu mengangkat serpihan bata yang berdekatan dan dihempuknya ke kepala emak tirinya. Kepala emak tirinya pecah. Darah yang membuak keluar tidak dapat dibendung. Emak tirinya menghembuskan nafas terakhir di situ juga. Manakala, suami barunya itu pula ditangkap polis dan dihukum gantung kerana membunuh dengan niat malah turut disabitkan dengan kesalahan cubaan memperkosa.

Itulah yang diceritakan Nek Senah. Jiran sebelah rumahnya. Asalnya dia tidak kenal Nek Senah, kerana mereka baru berpindah duduk di kampung itu selepas Salmah telah keluar dari rumah pusakanya atau lebih tepat lagi dijual kepada bapa ayam. Huh, siapa sangka nasib emak tirinya seperti itu. Dahulu dia yang menjadi mangsa kekejaman wanita itu. Dan lihat sahaja kesudahan hayatnya. Mati dalam keadaan seperti itu. Nauzzubillah.  Walaupun payah untuk menerima hakikat, tetapi Salmah tetap cuba menerima kenyataan. Insan-insan yang sepatutnya digelar keluarga tidak lain hanya meninggalkan kenangan pahit sahaja buat dirinya. Begitupun, dia tetap cuba memberikan kemaafan. Sedangkan nabi mengampunkan umat, inikan pula dia. Seorang perempuan biasa yang penuh compang sejarah hidupnya.

Suara Lebai Saad mengalunkan bacaan suci sayup-sayup kedengaran. Petanda hampir subuh. Lama juga dia termenung. Melayan perasaan. Salmah menutup jendela. Kemudian dia perlahan-lahan keluar dari biliknya menuju ke bilik air. Dia mahu menyucikan  diri sebelum bertemu dengan pencipta. Ramai yang selalu salah percaturan. Ketika mahu keluar berlibur dikenakannya pakaian yang cantik-cantik. Di semburnya minyak wangi harum semerbak. Tetapi ketika mahu beribadah, sekadar kain pelekat dan t-shirt pagoda lusuh yang jadi pilihan. Ada pula kain telekung putih sudah bertukar menjadi kelabu asap. Bukanlah perlu menukar kepada yang baharu sebulan sekali, tetapi memadai jika kain telekung itu bersih dan suci. Islam ialah agama yang mementingkan kebersihan, apatah lagi ketika bertemu dengan Tuhan. Itulah antara pesanan ustaz ketika kuliah Maghrib di surau hujung jalan sana.

Salmah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam. Sekarang tiba masanya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu pula. Biar sebesar manapun seorang anak, jika sekali sudah bergelar anak selamanyalah gelaran itu akan didukung.  Salmah menggerakkan Hafsyam yang masih lena di ruang tamu untuk bersolat. Sudah besar panjang pun mahu digerakkan lagi. Ah, barangkali dia masih penat. Bersangka baik itu adalah lebih mulia. Hati kecil Salmah bermonolog.

Setelah menggerakkan Hafsyam, Salmah bergegas ke dapur. Dia mahu sediakan hidangan nasi lemak untuk santapan sarapan pagi itu. Tiga cawan beras diambil dari bekas. Kemudian dibasuh dan ditoskan. Setelah itu, Salmah menyukat tiga setengah cawan santan pekat lalu dimasukkan ke dalam periuk nasi bersama-sama dengan beras tadi. Sesudah itu, dia masukkan pula dua helai daun pandan yang disimpul berserta sedikit garam dan gula sebagai perasa. Siap semua bahan dimasukkan ke dalam periuk nasi untuk memasak nasi lemak!

Kemudian, Salmah menyediakan pula bahan-bahan untuk membuat sambal. Bahan-bahan yang diperlukan semuanya sudah sedia ada di dapur rumahnya. Pertamanya dia menghiris satu labu bawang besar. Selepas itu, tiga ulas bawang merah dan satu ulas bawang putih pula dikisar. Bahan kisaran tadi ditumis dalam kuali yang sudah panas. Sebelum itu minyak sudah dituangkan secukupnya. Setelah itu, Salmah memasukkan empat sudu besar cili giling, satu inci halia yang diketuk, sedikit asam jawa dan dua helai daun pandan yang disimpul ke dalam kuali. Kesemua bahan itu ditumis hingga pecah minyak.

Seterusnya, Salmah menambah sedikit air sebelum memasukkan tiga perempat gula melaka, bawang besar yang dihiris tadi,  juga sedikit garam dan gula. Setelah mereneh, sambalnya itu diangkat dan dipindahkan ke bekas yang lain. Sesudah itu, Salmah menggoreng ikan bilis.  Mana mungkin makan nasi lemak tanpa bilis. Bagaikan irama tanpa lagu. Jadi pincang akhirnya. Selepas menggoreng bilis, dia menggoreng telur mata pula. Hafsyam lebih gemar makan nasi lemak bersama telur mata berbanding telur rebus.

“Syam, mari makan nak. Mak dah siap masak ni.” Salmah memanggil Hafsyam yang sedang menyapu laman. Anak terunanya itu memang rajin. Pantang pulang ke kampung pasti ada saja kerja yang mahu dilakukannya. Padahal penat semalam pasti belum surut lagi. Itulah Hafsyam. Anak lelaki kesayangannya. Satu-satunya yang dia punya. Tanda dia pernah berkahwin. Bukti dia pernah berkongsi hidup dengan seorang lelaki yang bernama suami.

“Yalah, mak. Sekejap. Nak habis dah ni. Syam pun dah terbau-bau aroma dari tadi. Power betul nasi lemak mak. Sampaikan dekat luar sini bau dia attack.” Hafsyam ketawa di hujung bicaranya. Salmah hanya menggeleng. Nakal itu masih melekat dalam diri Hafysam. Siapa yang tak kenal kenakalan anak bujang Salmah di kampung itu ketika Hafsyam masih kecil. Sampaikan, Qasidah, cucu Nek Senah itu digelarnya bakal isteri. Heboh satu kampung bercerita, anak bujang Salmah gatal sebelum usia.

Salmah tersenyum. Mengingatkan Qasidah, ada hajat yang tersimpan di dalam hati, yang tiba-tiba sahaja berlayar kembali dalam ingatan. Ada keinginan yang bersarang dalam sanubari. Dan dia perlu berbicara dengan Hafsyam.

“Nantilah, biar dia makan dulu.” Desis hati Salmah.

“Mak, makanlah sekali. Sedap ni.” Laju Hafsyam menyuap nasi lemak yang masih panas itu ke dalam mulut. Salmah terhibur melihat aksi anaknya itu. Emak mana tidak gembira melihat anak kandungnya menjamah hidangan air tangan sendiri dengan begitu berselera sekali.

“Ya lah.” Salmah menjawab pendek. Tangannya dibasuh. Nasi disendukkan ke dalam pinggan. Dicedok sedikit sambal ke dalam pinggannya. Diambil pula bilis dan mentimun yang baru dia hiris sebentar tadi.

“Mak, Syam nak cakap sikit. Yang semalam kawan yang Syam bawa balik tu kan, mak ingat lagi tak?” Tanya Hafsyam sebagai mukadimah.

Salmah hanya mengangguk. Mulutnya masih penuh dengan nasi. Dia memang suka mengunyah makanan perlahan-lahan sebelum ditelan. Kata orang tua-tua, makanan yang dikunyah 40 kali sebelum ditelan akan membuatkan wajah awet muda. Entahkan betul atau tidak. Tak ada maknanya setiap kali menyuap makanan dia mahu mengira angka sebanyak 40 kali!

“Syam dengan dia dah  lama kenal mak. Syam ingat nak kahwin dengan dia hujung tahun ni.” Tersembur nasi yang sedang dikunyah Salmah. Kemudian dia terbatuk-batuk pula.

“Kenapa ni mak? Astaghifrullahalazim.” Hafsyam beristighfar.

“Habis tu, hujan tidak ribut tidak, tiba-tiba saja kamu cakap nak kahwin, mestilah mak terkejut.” Balas Salmah. Dia mencicip air teh yang terhidang di dalam cawan.

Hurmmm, jadi apa pandangan mak?” Hafsyam terus bertanya pada pokok pangkal persoalan. Jiwa lelakinya mendera mahu tahu reaksi emaknya.

Salmah tidak menjawab. Sebaliknya dia meneruskan menjamah nasi lemak yang masih berbaki.

“Mak...” Suara Hafsyam panjang berlagu lembut.

“Syam, kalau kamu tanya pandangan mak dan kalau kamu nak dengar sangat, mak boleh jawab. Tapi mak harap kamu jangan kecil hati. Hati tua mak ni kata yang dia tak sesuai dengan kamu, nak.” Salmah sudah membasuh tangan. Selera untuk menambah nasi lemak sudah tumpul. Dalam hati dia boleh mengagak ke mana perbualan itu akan berakhir.

“Apa kurangnya Lia, mak?” Hafsyam seperti tidak berpuas hati dengan jawapan emaknya.

“Dia memang cantik Syam. Anak orang kaya. Mak boleh lihat daripada pakaiannya. Manja. Itupun mak boleh tengok dari perlakuannya. Tetapi dia tak sesuai dengan kamu Syam. Pipit tak boleh terbang dengan enggang, nak.” Salmah tetap berbicara dengan nada yang teratur.

“Mak, kita ni sekarang hidup dalam moden. Tak ada lagi dah cinta antara dua darjat. Family Lia semua okay. Mereka tak ada masalah untuk terima Syam. Cuma mereka minta Syam tinggal dengan mereka lepas kahwin.” Hafsyam merenung wajah ibunya yang menekur melihat pinggan yang sudah licin tanpa sebutir nasi. Itu memang sifat ibunya. Tidak akan ada walau sebutir nasi pun yang akan dipersiakan. Kesusahan hidup masa lalu mengajar mereka dua beranak untuk menghargai semua benda yang dimiliki saat ini waima hanya sebutir nasi.

“Habis tu, kamu setuju tinggal dengan mereka lepas kahwin?” Tanya Salmah.

Hafsyam mengangguk. Salmah tersenyum.

“Habis tu, emak?” Salmah menggantungkan kata. Mahu melihat reaksi si anak.

“Mak kan dah biasa hidup sendiri. Syam ajak mak tinggal di bandar pun mak tak mahu kan. Jadi tak ada masalah pun kalau Syam tinggal sekali dengan keluarga Lia lepas kahwin nanti.” Hafsyam cuba memahamkan emaknya.

“Hidup mak memang menyendiri Syam. Mak tak pernah rasa kasih sayang seorang ibu. Ayah mak sendiri tak pernah mengakui mak sebagai anak. Yang hargai emak satu-satunya hanya arwah ayah kamu. Tapi sayang itupun tidak kekal. Dan sekarang ni hanya kamu yang mak ada. Takkan kamu pun nak tinggalkan mak, Syam.” Salmah sudah sebak. Runtuh isi hatinya mendengar bicara si anak.

“Syam tak fahamlah, mak. Selama ni dah berapa banyak kali Syam ajak mak tinggal sekali. Tapi mak yang tak nak. Nak juga duduk dalam rumah pusaka ni. Kalau lepas kahwin nanti misal kata Syam duduk apartmen Syam sekalipun, mesti mak tak datang duduk dengan kami juga. Jadi apa masalahnya kalau Syam duduk sekali dengan Lia lepas kahwin nanti? Hafsyam menuntut penjelasan.

“Mak memang takkan ikut kamu Syam. Hidup dan mati mak biarlah dalam rumah pusaka ini. Suatu masa dulu mak pernah tinggalkan rumah ni Syam. Dan harga yang mak perlu bayar untuk itu adalah cukup tinggi...” Bicara Salmah terhenti apabila terdengar suara memberi salam dari pintu dapur. Lantas dia mengalihkan wajah ke arah pintu di sebelah kanan meja makan yang sedang diduduki oleh mereka dua beranak itu.

“Idah. Mari masuk, nak. Masuk.” Salmah sudah bangun dari kerusi yang didudukinya tadi. Tangan Qasidah ditarik untuk turut menyertai mereka di meja makan  itu.

“Tak apalah Mak Cik, Idah nak bagi ni aja.” Qasidah menyerahkan bekas berisi kuih Tepung Pelita.

“Alhamdulillah. Tepung Pelita. Macam tahu-tahu saja, Mak Cik teringin nak makan.” Salmah tersenyum. Hati tuanya pasti lebih gembira jika Hafsyam memilih Qasidah untuk dijadikan isteri. Manis orangnya. Menutup aurat. Pandai membawa diri. Sopan-santun. Hormat orang tua.

“Idah tahu Mak Cik suka. Itu yang Idah bawakan.” Qasidah membalas senyuman Salmah.

“Hah, Idah tolong Mak Cik, boleh? Tolong tukarkan kuih dalam bekas ni dalam  pinggan dekat meja tu. Lepas tu jamahlah nasi lemak Mak Cik sekali. Ada lagi tu. Teman Syam makan. Mak Cik nak bagi ayam itik tu makan pula. Binatang tu pun tahu lapar juga.” Salmah tersengih seraya keluar dari dapur ke arah reban ayam dan itik di belakang rumah.

Qasidah melangkah masuk ke arah meja makan dengan sopan. Diambilnya sebiji pinggan. Kemudian dia memindahkan kuih Tepung Pelita dari bekas yang dibawanya ke pinggan itu.

“Makan, bang.” Qasidah mempelawa. Dia memang biasa memanggil Hafsyam sebagai abang kerana lelaki itu lebih tua daripadanya dua tahun.

“Kenapa, tak cukup kau guna-gunakan mak aku. Sekarang ni kau nak  buat dekat aku pula?” Hafsyam menyembur.

“Apa yang abang cakapkan ni? Idah tak fahamlah.” Qasidah terpinga-pinga. Tiba-tiba sahaja dia dituduh seperti itu.

“Tak payah nak pura-pura sangatlah Idah. Macam aku tak tahu, kau buat baik depan mak aku, sampaikan dia dah tak nampak orang lain selain engkau untuk jadi bini aku. Sebab tulah dia tak boleh terima pilihan aku.” Hafsyam membentak. Tak tahu kenapa dia boleh jadi macam tu. Tiba-tiba sahaja melampiaskan kemarahan kepada Qasidah. Tetapi itulah kehendak hatinya. Aduhai, Hafsyam... Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

“Tak baik abang tuduh Idah macam ni. Idah hanya bagi kuih saja dekat Mak Cik, bang. Tak lebih dari itu. Idah ikhlas. Tak pernah ada niat apa-apa.” Qasidah tetap menjawab walau hakikatnya hati sendiri pedih mendengar kenyataan daripada bibir lelaki yang dipujanya  dalam diam sudah punya insan istimewa.

“Idah, aku harap kau faham satu benda. Benda masa kecil dulu dah lama lepas. Janganlah kau asyik duduk ingat yang itu saja. Sekarang kita dah besar. Masing-masing punya kehidupan sendiri. Aku tahu memang mak aku nak jadikan kau sebagai menantu. Tapi aku dah ada pilihan sendiri. Jadi aku nak kau sendiri bagi tahu dekat mak aku, yang kau pun dah ada pilihan sendiri. Senang cerita. Tak adalah pusing kepala aku ni.” Hafsyam sudah membasuh tangan. Dia mahu meninggalkan saja Qasidah di situ. Sedangkan gadis itu masih berdiri, dan langsung tidak dipelawanya duduk. Qasidah juga sudah tidak betah berlama-lama di situ.

“Allahuakbar!!!” Suara nyaring Qasidah mematikan langkah Hafsyam yang mahu meninggalkan ruang dapur itu.

“Mak Cik, kenapa ni? Macam mana boleh jadi macam ni, Mak Cik?” Suara Qasidah yang terpekik itu membuatkan Hafsyam pantas berlari ke arah pintu dapur.

Qasidah sedang memangku Salmah. Pertanyaan Qasidah tidak berjawab. Hanya matanya sahaja berbicara. Salmah merenung jauh ke dalam anak mata Qasidah. Kasihan, Idah, dituduh sebegitu rupa oleh Hafsyam. Dia sudah lama berada di luar pintu dapur itu. Dedak sudah habis, dia mahu mengambil yang baru. Tetapi langkahnya terhenti bila mendengar suara Hafsyam yang meninggi.  Dan ketika dia mahu kembali ke reban dengan hati yang luka, dia terjatuh di situ. Tidak mampu bangun. Malah menggerakkan anggota badannya juga terasa begitu sukar sekali.

***** ***** *****

Sebulan dua ini, Hafsyam selalu pulang ke kampung. Hampir setiap hujung minggu dia akan balik. Bahkan jika tidak ada kerja yang mustahak dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil cuti. Emaknya sudah lumpuh separuh badan selepas insiden terjatuh beberapa bulan yang lalu. Tambah mengejutkan emaknya juga pernah mendapat serangan jantung. Itupun dia tahu dari makluman Nek Senah. Emaknya meminta perkara itu dirahsiakan agar tidak merunsingkan dirinya di bandar.

Mujur Qasidah sanggup menjaga emaknya. Kalau mengharapkan dia serupa mustahil sahaja. Tempat dia bekerja dan kampung halamannya bukan dekat untuk berulang-alik setiap hari. Kalaupun dibawa emaknya ke apartmen miliknya, belum tentu dia dapat menguruskan emaknya seorang diri. Paling tidak dia perlu mengupah jururawat. Tetapi Nek Senah menegahnya daripada menggajikan jururawat. Katanya, Salmah itu sudah seperti anaknya sendiri. Jadi, Nek Senah dan Qasidah tidak kisah untuk menjaga emaknya.

Hari itu Jumaat. Selepas Solat Jumaat, Hafsyam sudah merancang untuk pulang ke kampung sesudah selesai waktu pejabat. Kerja-kerja yang masih berbaki sedaya upaya mahu dibereskan. Tanggungjawab sebagai pekerja tidak boleh diketepikan biarpun rutin hariannya benar-benar berubah selepas kejadian tempoh hari. Mana mungkin dia boleh hidup dengan tenang di sini, sedangkan di sana, emaknya sudah hilang upaya separuh badan.

Kadang-kadang Hafsyam kesal dengan kata-kata yang pernah diucapkan terhadap Qasidah di dapur rumah pusakanya di kampung. Memang dia tidak bermaksud untuk memuntahkan kata-kata yang tajam seperti itu. Tetapi memang benarlah lidah itu tidak bertulang. Bila emosi sudah tidak stabil. Kala amarah menguasai minda. Akal sudah tidak mampu mengawal lidah jika iman di dada sekadar senipis kulit bawang.

Sebagai salah seorang arkitek di syarikat pembinaan Megah Holdings, salah satu tugas Hafsyam tentu sekali memeriksa pelan yang dilukis oleh team members selenggaraannya. Ada masanya, dia sendiri yang akan melukis. Namun selalunya dia hanya memeriksa, menambah baik dan meluluskan sahaja sesebuah pelan itu sebelum dirunding bersama orang atasan yang lain. Petang itu, dia sedang melihat dan menyemak pelan banglo mewah tiga tingkat yang bakal didirikan Kajang Heights. Seluruh tumpuan diberikan, kerana ini antara projek besar Megah Holdings.

“Sayang...” Suara manja yang berlenggok itu tiba-tiba sahaja kedengaran di dalam ruang pejabat Hafsyam.

Hafsyam memanggung kepala. Arca tubuh seorang gadis terlayar di hadapan wajah. Nafasnya dilepaskan panjang. Nak menghalau, tak boleh. Sebabnya syarikat ini bapa dia yang punya. Sebolehnya, Hafysam memang tak suka ada yang mengganggu ketika dia memberikan konsentrasi yang penuh kepada kerja-kerjanya.

“Sayang, kenapa diam ni. Macam tak suka je I datang jumpa You.” Zahlia sudah berjalan menghampiri Hafsyam. Tangannya dia daratkan di tengkuk lelaki itu. Dipicitnya tengkuk dan bahu Hafsyam perlahan.

Hafsyam tepis tangan Zahlia dengan perlahan.

Behave Lia, ini dalam pejabat. Kalau ada orang yang masuk nanti macam mana. Mesti mereka fikir yang bukan-bukan.” Hafsyam sudah bangkit dari kerusinya menuju ke sofa panjang yang terdapat di satu sudut bilik pejabatnya itu.

You ni Syam, dah banyak berubah tau. Yang itu tak boleh. Yang ini tak boleh. Kalau dulu okay aje. Sekarang ni saja banyak sangat alasan. Atau You memang dah rimas dengan I? Rimas, sebab dah ada perempuan lain kan?” Zahlia mendengus geram. Bukan dia tak perasan perubahan Hafsyam semenjak dua ini. Paling jelas selepas dia balik dari kampung Hafsyam tempoh hari. Takkanlah sebab mak dia sakit, Hafsyam jadi macam ni. Tentu ada sebab lain.

“Kita ni bukan ada hubungan yang halal pun. Kan tak manis pegang sana, pegang sini. Haram hukumnya, tahu tak?” Hafsyam cuba berdiplomasi.

“Amboi, sekarang dah pandai berkhutbah lah pula. Sejak bila You jadi alim ni? Ala, Syam. Bukannya luak pun. At last, You akan jadi milik I, dan I pula akan jadi milik You. Time tu mesti You yang lebih-lebih. Silap hari bulan tak nak lepas I keluar dari bilik langsung.” Zahlia sudah duduk di sebelah Hisyam di atas sofa. Dihimpitnya batang tubuh lelaki itu serapat mungkin. Sehinggakan haba badan lelaki itu dapat dirasai kulit putih gebunya yang beralas blouse tanpa lengan dan skirt paras lutut.

“Kalau dah nikah memang tak ada masalah, Lia. Malah kalau You layan I lepas kahwin nanti siap dapat pahala lagi. Tapi sekarang ni  salah tetap salah. Berdosa, tahu tak? Lagipun belum tentu perancangan kita yang nak berkahwin akan jadi kenyataan.” Hafsyam sudah bangkit dari duduk. Perangai Zahlia yang merenyam tak tentu fasal itu agak merimaskan. Tali leher yang mencekik lehernya itu dilonggarkan. Rimas pula rasa. Walaupun pendingin hawa sedia terpasang di dalam bilik pejabatnya itu.

“Kenapa pula kita tak jadi kahwin?” Zahlia terkejut mendengar kata-kata Hafsyam. Bukankah keluarganya langsung tiada halangan. Bahkan kalau adapun reaksi negatif, itu dari emak Hafsyam sendiri. Sekarang ni orang tua itu pun dah terlantar. Jadi apa masalahnya lagi?

You sanggup ke nak jaga mak I yang tengah sakit tu? Basuh kencing, berak dia macam yang Qasidah buat sekarang ni?” Tanya Hafsyam spontan.

“Kenapa pula I yang kena buat. Lepas kahwin nanti, kan kita duduk dengan family I. Jadi mai mana pula isu nak jaga mak You ni? Jangan cakap You nak bawa mak You tinggal bersama lepas kahwin nanti!” Zahlia dah runsing. Serabut dia nak menghadap orang sakit tiap-tiap hari kalau betullah Hafsyam nak bawa emaknya yang terlantar itu tinggal sekali selepas nikah.

Yes! I memang nak bawa emak tinggal sekali selepas nikah.  Mungkin dulu I tak faham kenapa mak macam keberatan bila I cakap lepas kahwin nak stay dengan family You. Masa tu I tak sedar kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku seperti mana sekarang ni. But, now, I jelas sangat-sangat. Seorang ibu mungkin tak kisah besarkan anak seorang diri. Seorang ibu mungkin tak kisah habiskan masa sendirian di rumah bila anak keluar belajar tinggi-tinggi. Seorang ibu mungkin tak kisah kala anaknya jauh di kota bekerja mencari rezeki. Tapi apakah seorang ibu tetap tak kisah jika anak lelakinya berkahwin dan mahu tinggal dengan keluarga isteri. Mungkin di bibirnya tak kisah. Tetapi dalam hati... Sekarang baru I sedar. Kalaulah I dah kahwin dan stay dengan family You, macam mana emak I nak datang duduk dengan I walaupun sekali sekala. Mesti dia rasa segan. Dan bila sakit macam ni, takkanlah I nak bawa emak I tinggal dengan besan dia pula. Lagilah tak logik. Jadi keputusan untuk tinggal sekali dengan family You lepas kahwin memang tak boleh diterima. Dan seperti I faham dengan perangai You, mesti You juga tetap berkeras tak nak keluar dari banglo mewah Papa You tu kan?” Hafsyam bercakap panjang. Punggungnya sudah di daratkan atas meja kerja selepas bangkit dari sofa panjang berwarna hitam  tadi.

“Oh, sekarang baru I faham! You jadikan isu nak tinggal dengan family I tu sebagai alasan saja kan? Sebab utamanya ialah Qasidah, right? Perempuan pilihan emak You sebagai menantu tu kan? Sekarang ni, dah emak You sakit terlantar macam tu, You dah tak ada pilihan daripada terima perempuan tu lah ya? Sebabnya hanya perempuan tu yang sanggup jadi maid nak jaga emak You. Am I right?” Zahlia geram. Nafasnya turun naik. Marah.

“Habis tu takkan I nak harapkan You pula. Memang I tak kisah nak jaga emak yang tengah sakit tu.  Tapi, I tak boleh spend 24 jam dalam sehari, sebabnya I perlu cari rezeki. Habis tu nak harapkan siapa? Orang gaji? Boleh percaya ke dengan orang gaji zaman sekarang ni? Macam-macam kes yang didengar. I tak nak emak I jadi mangsa dari perbuatan orang gaji yang tak berhati perut. So, tak salahlah bila I berharap pada future wife untuk terima emak I sekali seperti mana dia terima I seadanya. But You? Masakan mak I pun You geli nak jamah. Inikan pula nak basuk kencing  dan berak dia. Jenguk dia yang tengah terlantar sakit tu pun tak pernah...” Hafsyam juga sudah sedikit beremosi. Telinganya seperti tidak sudi mendengar bibir Zahlia mengata Qasidah.

Hafsyam kenal Qasidah sejak kecil lagi. Mereka berbeza usia sebanyak dua tahun. Sejak kecil mereka memang rapat. Semasa sekolah rendah mereka diibaratkan seperti belangkas. Di mana ada Hafsyam, di situlah ada Qasidah. Menginjak ke sekolah menengah, mereka tetap juga mesra walaupun ada batasan dalam pergaulan mereka. Namun hubungan itu semakin berjarak selepas Hafsyam melanjutkan pelajaran ke luar negara. Berjumpa apabila dia pulang ke kampung ketika bercuti semester sahaja. Dan bila Hafsyam mula bekerja juga berkenalan dengan Zahlia, nama Qasidah seperti sudah hilang daripada benaknya.

Zahlia ingin membalas kata-kata Hafsyam, tetapi hasratnya terhenti bila telefon bimbit lelaki itu berdering. Lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz Suip bergema melatari suasana.

Hello, Idah?”

“Hah? Macam mana boleh jadi macam tu?”

Okay, okay, abang balik sekarang juga!”

Hafsyam kelam kabut mengambil kunci kereta. Zahlia yang terpinga-pinga tidak dihiraukan. Pantas kakinya melangkah keluar dari bilik. Kepada setiausahanya, dititipkan beberapa pesanan. Batang tubuh Hafsyam semakin menghilang dan terus lenyap apabila lif yang membawanya  ke lobi tertutup pintunya. Zahlia hanya memandang. Pelbagai rasa meruntun hati si gadis.  Dari jauh Dato Radzi memandang drama sebabak itu...

Sampai di tempat parkir, Hafsyam pantas mendapatkan Honda Civic miliknya. Kereta dipandu gelojoh. Dia mahu sampai secepat mungkin di kampung. Kata Qasidah tadi, kesihatan emaknya merosot tiba-tiba. Tak sedarkan diri tiba-tiba. Dia sendiri pun bingung, Bukankah kondisi emaknya walaupun tak bertambah baik tapi tak pula menunjukkan tanda-tanda akan kembali merosot. Apakah emaknya terkena serangan jantung lagi? Hatinya merusuh. Pelbagai andaian bermain di fikiran. Moga-moga emaknya akan bertahan. Jika benar ini akan menjadi pertemuan yang terakhirnya. Biarlah dia sempat merangkul jasad yang masih bernyawa.

Selang tiga jam setengah Hafsyam tiba di perkarangan hospital. Segera dia berlari ke kaunter pertanyaan. Sejurus mendapat informasi dia berkejar pula ke wad kecemasan. Di luar wad, Qasidah dan Nek Senah setia menanti. Riak wajah yang mendung dan sendu pada kedua-duanya seperti membuatkan hati Hafsyam dicincang lumat.

“Idah, mak macam mana?” Hafsyam tidak dapat menahan diri daripada bertanya. Qasidah tidak menjawab. Sebaliknya, sendu gadis itu semakin berlagu.

Nek Senah bangun daripada duduknya tidak jauh dari Qasidah dan Hafsyam. Kemudian, Nek Senah menghampiri Hafysam. Kedua-dua belah tangan Hafsyam diraih oleh Nek Senah. Digenggamnya tangan anak muda itu. Sepertinya menyalurkan kekuatan dari jiwa tuanya.

“Kita datang ke dunia ni tanpa ada kepastian Syam. Kita tak tahu siapa mak ayah kita. Kita tak tahu dalam keluarga apa kita dilahirkan. Miskin ke kaya? Islam ke tidak? Kita tak tahu cu...” Nek Senah berjeda.

“Kamu juga tak tahu, kamu boleh jadi berjaya seperti hari ini. Ada rumah dekat bandar sana. Pakai kereta besar. Boleh jadi kamu tak pernah terbayang pun sebab hidup kamu waktu kecil dulu susah. Memang kita tak akan tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari Syam. Sebab itu semua rahsia Allah. Sebab itu nenek cakap, kita datang ke dunia ni tanpa ada kepastian. Tapi, Syam... Ada satu sahaja yang pasti. Dan yang pasti itu adalah mati, cu...” Nek Senah menelan liur. Susah untuk berbicara khususnya pada saat-saat seperti itu.  Qasidah di sebelah sudah mengongoi.

“Kita tak tahu bila habisnya hayat kita. Dekat mana jasad ini akan jadi kaku. Serupa apa pengakhiran hidup. Bagaimana pula cara matinya. Itu semua kita takkan tahu dari awal, cu. Yang kita tahu dan pasti, hanya satu. Dan yang satu itu mati. Sebab mati itulah kita bawa bersama sedari tangis pertama saat keluar dari rahim ibu.” Nek Senah berjeda lagi. Hafsyam hanya menunduk. Mendengar tanpa memintas. Akalnya sudah dapat meneka. Tetapi jiwanya masih cuba menidak.

“Dan hari ini waktu ibumu sudah sampai cu. Dia sudah kembali bertemu dengan pencipta-Nya. Relakan pemergian dia. Hatinya sudah terlalu rapuh untuk bertahan di sini, cu. Nenek kenal dia sewaktu dia bawa kamu ke sini. Tetapi daripadanya nenek tahu, bahawa di rumah pusaka itulah dia lahir. Dari mulutnya nenek dengar, yang ayahnya tidak mengakunya sebagai anak dan digelar sial sebab ibunya meninggal ketika melahirkan. Dari bibirnya nenek dengar, emak tirinya menyeksa dia saban hari. Dari ceritanya nenek tahu dia dijual emak tirinya kepada lelaki bandar. Dari kisahnya nenek tahu, dia bertemu arwah ayah kamu yang selamatkannya dari cengkaman bapa ayam. Dari bicaranya nenek tahu dia menderita kembali selepas ayahmu pergi selamanya. Kisahnya terlalu banyak derita dan air mata, cu. Redhakanlah dia pergi. Biarlah dia berehat di alam sana, Hafsyam.” Nenek Senah menangis usai bicara.

Dia kenal Salmah saat wanita itu membawa Hafsyam yang masih kecil. Dari pertemuan pertama mereka menjadi mesra. Apatah lagi Nek Senah juga memang berdua dengan Qasidah yang yatim piatu itu. Barangkali takdir menemukan mereka untuk menjadi sandaran kekuatan antara satu sama lain. Nek Senah menjadi tempat Salmah berkongsi rasa. Ada ketikanya memang bahu Nek Senah yang menjadi tempat Salmah menghamburkan tangis. Cerca dan nista orang kampung yang ada di antaranya masih menggelarkan dirinya perempuan jalang pasti akan membuatkan hati Salmah hancur. Apatah lagi ada yang mengatakan Hafsyam itu sebagai anak haram. Mungkin Hafsyam sendiri tidak pernah tahu semua itu, kerana sebaik mungkin Salmah akan menutup semua cerita dukanya agar Hafsyam tidak terkesan dengan lembaran hidup kisah lalunya.

***** ***** *****

Lewat petang itu cuaca begitu nyaman sekali. Matahari sudah tidak garang. Pawana pula berpuput lembut menghantar nyaman. Di bawah lindungan pohon kemboja yang rendang, Hafsyam  duduk bersila di atas tikar yang beralas. Tangannya memegang surah Yaasin. Di hadapannya, ada sekujur tubuh yang tertanam di dalam kubur yang masih merah. Emaknya telah pergi selamanya. Meninggalkan dia keseorangan tanpa saudara.

Hafsyam menyudahkan bacaan, apabila terasa ada derapan kaki yang sedang melangkah ke arahnya. Bunyi dedaunan yang kering bila dipijak semakin jelas kedengaran di belakangnya. Seingatnya tadi hanya dia seorang sahaja yang sendirian di tanah perkuburan ini. Sudah masuk hari yang ketiga emaknya disemadikan. Dan selama itu dia tidak pernah ketinggalan meluangkan masa menyedekahkan bacaan ayat-ayat suci buat arwah emaknya di sini. Dia sedar, tuntutan hidup menuntut begitu banyak masa sehinggakan waktu bersama emaknya begitu terbatas. Dan saat dia menyedari semua itu, semuanya sudah terlewat.

Barangkali sudah menjadi kelaziman kepada manusia. Sesal selepas sesuatu telah berlaku. Berendam air mata usai kehilangan yang terjadi. Tetapi siapa kita menghukum. Sedangkan setiap seorang itu sudah ditetapkan laluan hidupnya. Takdir memang penentu segala. Namun beruntunglah bagi mereka yang menghargai pemberian Ilahi ketika memiliki. Kerana suatu saat nanti semua yang berada dalam genggaman pasti akan terlepas. Lalu jika detik itu tiba relakanlah hati menerima segala. Sesungguhnya tiada yang kekal di buana ini sementelah nyawa ini juga hanyalah pinjaman perhiasan dunia.

“Assalamualaikum...” Salam yang keluar dari suara seorang gadis menyedarkan Hafsyam yang fikirannya sudah jauh melayang. Salam itu dijawab. Tetapi bunyinya seperti berbisik sahaja. Tanpa menoleh pun dia sudah tahu siapa yang datang. Zahlia.

“Syam, I minta maaf sebab tak datang awal.” Zahlia bersuara bilamana tidak mendapat respon daripada Hafsyam.

Hafsyam bangun. Tikar yang menjadi alas digulung. Jag yang bersisa kelopak mawar yang melekat di dinding kaca diangkat.

“Tak apa Lia. I hargai kedatangan You hari ni. Terima kasih. You baliklah. I pun dah nak balik ni. Tempat ni tak sesuai untuk You.” Hafsyam bersuara dan bersedia untuk melangkah pergi dari situ.

“Syam..” Zahlia memanggil panjang berlagu.

Langkah Hafsyam terhenti.  Dia menoleh. Menghantar pandangan redup ke arah Zahlia.

“Banyak yang I nak buat untuk emak. Tapi sayang tak semua tu dapat jadi kenyataan. Rupanya selama ni I lebih pentingkan diri sampaikan masa bersama emak tak banyak mana berbanding masa yang I spend bersama You, Lia. I leka dengan kerja. I asyik ke hulu hilir bersama You. Sampaikan emak di kampung ni jarang I datang jenguk. I tak salahkan You. But, I salahkan diri I sendiri. Tapi semua tu dah tak ada gunanya sebab mak pun dah tak ada.” Hafsyam berhenti seketika. Menarik nafas. Menstabilkan emosi.

Zahlia masih memandang dari tempatnya yang betul-betul membelakangkan kubur arwah Salmah yang dipenuhi kelopak mawar yang dijirus airnya oleh Hafsyam tadi.

“Jauh di sudut hati, I tahu sebenarnya emak nak Qasidah yang jadi menantunya. Mak tak pernah cakap. Tapi I boleh rasa. I boleh nampak dari air mata emak merenung Idah masa Idah jaga maka masa sakit. Seperti ada yang mahu diluahkan tetapi ditahan sebab nak jaga hati Syam. Ada satu masa tu  Syam terdengar mak minta maaf dekat Idah sebab tanpa sedar dah beri harapan dekat dia. Susah betul arwah mak nak cakap masa tu. Yalah, mulut dia dah herot, nak bercakap pun susah. Tapi Syam tengok dari jauh, susah-payah emak cuba jelaskan maksud hatinya kepada Idah. Masa tu Syam rasa sebak sangat.” Hafsyam berhenti lagi. Mengingatkan kembali saat-saat terakhir bersama arwah emaknya menjadikan hatinya luluh berkepingan. Bagaikan kaca yang terhempas ke batu. Bersepai.

I tak rasa boleh teruskan perhubungan kita lagi. Sedangkan I tahu keinginan mak I  yang hakikatnya mahu melihat I berkahwin dengan Qasidah. Tapi itu tak bermakna I rasa terpaksa untuk menerima dia. Bila I tengok dia susah payah jaga mak I. Mandikan dia. Bersihkan najis dia. Masa tu I dah rasa belum tentu I mampu cari perempuan sebaik dia untuk dijadikan isteri. Dia langsung tak rasa jijik untuk buat semua tu. Padahal emak I dengan dia tak ada apa-apa perhubungan darah pun. Dan hati I dah bulat dan nekad yang emak I memang dah buat pilihan yang tepat untuk jodoh anaknya.” Mata Zahlia sudah memerah mendengarkan bicara Hafsyam. Selendang putih yang terletak di atas kepala lurut ke bahu ditiup semilir.

You baliklah Lia. I doakan You akan bertemu dengan lelaki yang lebih baik lagi. I minta maaf kalau You patah hati dengan tindakan I. Tapi satu saja yang I minta, janganlah You salahkan emak I atas keputusan I ni. Arwah tak pernah sekalipun minta I putuskan hubungan dengan You. Bahkan memburukkan You pun tak pernah. I harap You boleh terima yang jodoh antara kita tak ada. Sesetengah hubungan memang manusia yang ciptakan, Lia. Tapi dalam masa yang sama ada sesetengah hubungan itu memang sudah ditetapkan oleh Tuhan. Dan dalam hati ini I tersangat yakin bahawa Qasidahlah jodoh yang ditetapkan. Memandang wajah Idah pasti akan mengingatkan I kepada arwah emak. Dan selamnya I ingin melihat dan mengenangkan emak melalui wajah Qasidah. Selamat tinggal, Lia.” Hafsyam melangkah pergi meninggalkan Zahlia.

Di pintu pagar tanah perkuburan itu, Qasidah sedang berdiri. Dari jauh mata Hafsyam dapat menangkap pandangan mata Qasidah yang mengarah kepadanya dan Zahlia. Mungkin Qasidah yang menunjukkan arah ke sini buat Zahlia. Hafsyam melangkah menghampiri Qasidah. Senyuman manis menguntum di hujung bibirnya.

“Jom, Idah. Kita balik.” Ajak Hafsyam ringkas.

Qasidah merenung ke dalam mata Hafsyam. Hafsyam seperti tahu dan faham apa yang bermain dalam minda Qasidah.

“Biarkan Zahlia. Dia pandai nak balik sendiri.” Hafsyam dan Qasidah kemudian berlalu pergi dari perkarangan tanah perkuburan itu.

Zahlia yang memerhatikan adegan itu, hanya mampu terduduk lemah. Baju kurung kain kapas berwarna putih suci yang dipakainya sudah bersatu dengan tanah. Air matanya menitis laju. Barangkali dia tidak cukup baik untuk Hafsyam. Mungkin kerana itulah jodohnya tidak kesampaian bersama lelaki itu. Bukankah perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya?

Biarpun terpaksa rela dengan keputusan Hafsyam, air mata yang menitis masih terus mengalir di pipinya. Tangannya menggenggam tanah kubur. Menyatukan jasadnya yang tercipta dari tanah kepada azali. Dia harus pasrah dengan takdir ini meskipun payah mengungkap redha. Jika itu pintanya, Zahlia harus juga mengundur diri...

“Mungkin ada rahmatnya kita tidak bersama
andainya diteruskan apakah kesudahan
itulah ucapanmu di hujung pertemuan
kuat mana diikat pasti akan terlucut
andai disambung lagi tidak sekuat dulu
kerana cuma aku yang menarik
bukan lagi tanganmu...”


......

T.A.M.A.T



3 Komentar

Write Komentar
Tanpa Nama
AUTHOR
20/12/13 12:02 PG delete

Tq Muz mengungkap kisah mengangkat mulia darjat wanita. Anak, isteri dan akhirnya ibu terus cekal mengharung badai untuk sebuah kehidupan walau mendung kelabu kerap memayungi. Tq juga buat rasa pengertian seorang lelaki bergelar suami dan anak menghargai sebuah pengorbanan. Semuanya bertimbal balik. Adam dan Hawa itu salingnya bekeperluan untuk saling melengkapi.
oppss... you changed the character... it should be Idah instead of Lia when receiving call about his mom right?

Reply
avatar
20/12/13 12:27 PG delete

@Tanpa Nama Tenkiu for reading. Saya hargai kesudian anda membaca dan menulis komentar. Dan terima kasih juga sebab betulkan kesalahan letak nama watak tu. Muz dah betulkan... Tak perasan... Hehehe ;)

Reply
avatar
17/12/14 10:49 PTG delete

best.. speechless kejap.sebab everything blend dengan sangat cantik dan ada pengajaran yang boleh diambil.. nice..

Reply
avatar