Jumaat, Oktober 18, 2013

Cerpen: Inai Masih Merah...




Dewan Ekspo Seberang Jaya seratus peratus sudah berubah wajah. Dewan yang biasanya kelihatan seperti bangunan konkrit lain, sudah lain benar rupanya. Dari luar tetap sama. Yang berbezanya ialah di dalamnya. Dewan yang sederhana luas itu sudah dihias dengan begitu indah sekali. Nun di hadapan dewan sudah didirikan sebuah pentas kecil. Ada dua tiga anak tangga menjadikan ruang itu sedikit tinggi berbanding lantai dewan yang sedia dihamparkan dengan permaidani. Pada bahagian atas ruangan ini sudah dihias dengan bunga-bunga segar yang berjuntaian. Mawar putih dan tulip putih diselang-selikan dengan melur juga sundal malam. Harumannya begitu menikam rasa. Ruang pentas kecil itu pula sudah dialas dengan permaidani baldu dari rona putih mutiara. Ada empat bantal yang tersedia di situ. Tiga daripada bantalnya itu bersaiz sederhana dengan hiasan minimum berwarna kelabu dan coklat. Manakala sebuah bantal lagi nampak berseri dengan hiasan renda dan manik-manik, sekali gus menunjukkan ruang itu tersedia buat insan yang istimewa. Bantal yang beralaskan sarung berwarna putih dan kelabu itu juga sedikit besar dan lebih empuk. Di situlah Fakhrul Razif akan bersila lalu menyambut tangan insan yang bakal mewalikan seorang gadis yang sekian lama telah mencuri sekeping hatinya.

Di penjuru kanan dewan pula tersedia ruangan untuk pengantin perempuan. Sebuah pondok yang dibina dengan seni tradisional Melayu tersergam megah. Binaan yang bersaiz sederhana yang terbuka pada pandangan mata itu boleh memuatkan beberapa orang di atasnya. Melissa Zahra sudah bersimpuh di atas sebuah bantal bulat yang menjadi alas di atas pondok itu. Di sampingnya, ada seorang gadis yang menemani. Kepala Melissa hanya menunduk. Tidak dipandang pada khalayak yang semakin memenuhi ruang duduk di dalam dewan. Tanpa melihat pun, Melissa sudah tahu bahawa kerusi-kerusi yang dihias dengan kain putih dan reben merah besar bermotifkan mawar sudah sedia tersusun rapi di sudut kanan dan kiri dewan untuk tetamu yang dijemput khas sempena upacara akad nikah pada malam itu. Di antara kerusi-kerusi itu pula ada jambangan bunga yang diletakkan di dalam pasu kristal besar. Mawar merah menjadi pilihan. Kuntuman mawar merah pula tidak berkeseorangan apabila ditemani lilin aroma terapi yang menyamankan seluruh isi dewan. Ya, nyaman itu barangkali untuk tetamu yang hadir sedangkan di dalam hati pengantin ada gejolak rasa yang tidak menentu. Adatlah, apabila gementar akan menghukum kalbu bagi setiap insan yang bergelar raja sehari.

Alunan zikir dan selawat membuatkan isi dewan yang sebentar tadi hingar menjadi sunyi sepi. Derap kaki yang melangkah semakin jelas kedengaran. Puji-pujian kepada Tuhan begitu menusuk kalbu dan pendengaran. Melissa mengangkat kepalanya sedikit. Walau akalnya sudah dapat menebak akan perihal semasa, tetapi sepasang matanya masih mahu lagi melihat.  Biarlah. Biar saja mata ini melihat lelaki itu buat kali terakhir sebelum ijab dan kabul terlafaz sekali gus mengubah segalanya di dalam hidupnya. Dia sedang melangkah gagah. Dengan persalinan baju Melayu lengkap berwarna coklat muda, Fakhrul Razif tampak kacak. Songkok yang berhias kerongsang pula elok terletak di atas kepala. Jarang pasangan pengantin memilih rona lain selain putih untuk majlis pernikahan, tetapi yang lain itulah dipilih lelaki itu. Katanya warna coklat ada magisnya yang tersendiri. Pabila ditanya, tidak pula diberikan jawapan. Sekadar dihadiahkan sekuntum senyuman yang tersirat seribu makna.

“Fakrul Razif Bin Ahmad Kamal, aku nikah dan kahwinkan dikau dengan Melissa Zahra Binti Mohamed Faisal yang diwalikan bapanya kepadaku dengan mas kahwin RM111.11 tunai”

“Aku terima nikahnya Melissa Zahra Binti Mohamed Faisal dengan mas kahwin RM111.11 tunai...”
“Sah?”
“Sah!”
“Alhamdulillah...”

Seraya kedengaran pujian syukur ke hadrat Ilahi usai terzahirnya ucap ijab dan kabul. Dan tanpa sedar ada halus mutiara yang bergenang lalu berjuraian di pipi Melissa. Pengapitnya yang menyedari, tergesa-gesa mengambil tisu muka dan mengelap titisan itu. Titisan air mata yang biasa ditumpahkan kaum wanita saat dinikahkan. Namun tiada siapa yang tahu mengapa titisan itu menitis. Seumpamanya dia, Melissa Zahrah! Barangkali tetamu yang melihat menyangkakan dia terharu. Tetapi apakah benar tangisannya itu kerana terharu?

Fakhrul Razif  berjalan menghampirinya. Lelaki itu kemudian menapak naik ke dalam pondok yang dihias indah itu. Disarungkan cincin berlian di jari manis Melissa. Kemudian Melissa pula menyarungkan cincin platinum ke jari manis Razif. Usainya, Razif mengucup dahi Melisa lama. Satu, sebab itu permintaan juru kamera yang merakamkan detik-detik bahagia mereka. Kedua, entah kenapa, sudah jadi suatu yang klise untuk pengantin lelaki mengucup dahi pengantin perempuan semasa upacara pembatalan air sembahyang. Habis tu nak buat gaya apa pula? Takkan nak bercumbuan di depan orang ramai!

**********

Hati. Tuhan menjadikan hati di dalam dada manusia. Dan di dalamnya terisi segala macam rasa. Suka dan duka berpadu. Tawa dan tangis bersatu. Sayang, hati itu tersembunyi. Lalu yang tahu segala kesahnya hanya empunya diri juga Dia yang menciptakan hati. Malam ini merupakan malam yang istimewa. Bagi jiwa-jiwa yang diselaputi rona asmara, ranjang cinta akan menjadi saksi penyatuan dua jasad atas ikatan yang halal. Tetapi saat-saat ini, hati Melissa Zahrah kosong. Tidak ada debar. Apatah lagi teruja. Malah akalnya sendiri tidak dapat memproses akan kehendak hatinya. Malam itu hatinya benar-benar kosong.

Perkahwinan ini memang aturan keluarga. Melissa Zahrah, anak yatim yang sudah kehilangan ibu beberapa tahun yang lalu akibat kanser payu dara rela dengan perancangan ayahnya. Fakhrul Razif, sepupu yang dikenali sedari kecil. Bahkan mereka membesar bersama-sama. Tinggal dalam sebuah rumah keluarga yang besar. Berkongsi permainan dan makanan. Malah, Melissa dan Razif pernah bermain pondok-pondok dan berpura-pura sebagai pasangan suami isteri. Ah, semua itu berlaku waktu dahulu! Saat-saat usia masih belum kenal makna kehidupan yang sebenar. Tiada apa-apa yang hadir dalam ruang minda mahupun tampuk rasa selain keseronokan mengisi masa lapang bersama rakan-rakan seusia. Tetapi masa mengubah segalanya. Tatkala masing-masing membesar dan membawa haluan sendiri, Melissa dan Razif punya kehidupan tersendiri. Dan pertemuan hanya berlaku pada masa-masa tertentu. Walau begitu, pertemuan itulah yang dibayangi Melissa dalam mimpi-mimpi tidurnya. Kenapa? Biarlah hanya hatinya sahaja yang tahu.

Melissa pantas menutup jendela. Cukuplah dia merenung purnama malam sambil meladeni rasa hatinya. Jika ditanya pada hati, maka tentu sahaja jawabnya dia rela dengan ikatan ini. Rasa suka pada Razif memang sedia bercambah dari dahulu. Lantaran itu tiada istilah kahwin paksa dalam kamus nikahnya. Cuma dia belum bersedia menjadi seorang isteri dalam erti kata yang sebenar. Ada gusar yang sedang bercambah dalam jiwa. Ada gelisah yang bersarang dalam minda. Ada resah yang sedang mendera sukma. Membuat Melissa nekad dengan kata hatinya. Air suam di dalam jag diambil lalu dituangkan di dalam gelas. Pil tidur di dalam laci di tepi katil kelamin pula dicapai. Dua kapsul memadai untuk membuatkannya lena. Dan Melissa pasti, Razif tidak akan berbuat apa-apa kepada jasad yang bernyawa tetapi tidak ubah seperti bangkai. Dia yakin kerana dia tahu siapa sebenarnya Razif. Cuma ada secebis harapan di dasar hatinya, agar Razif mengerti akan tindakan ini saat segalanya terlerai pabila tiba waktunya nanti.

**********

Penat. Penerbangan dari Bayan Lepas ke Kuala Terengganu memakan masa lebih kurang tiga jam. Dari Kuala Terengganu ke Pulau Perhentian pula sudah tentu turut memakan masa. Sudahnya habis tulang belulang pengantin baru ditikam kepenatan. Dan kini, kedua-duanya tersadai di dalam bilik  sebuah calet terkemuka di Pulau Perhentian. Coral View Island Resort yang terletak di Perhentian Besar menjadi pilihan. Deluxe Sea View menjadi pilihan untuk berteduh selama tiga hari dua malam. Sekejap sahaja tempoh bulan madu Fakhrul Razif dan Melissa Zahrah di Pulau Perhentian kerana sesudah itu mereka akan ke rumah sanak –saudara sebelah ibu Razif di Besut dan usainya baharu mereka akan meneruskan percutian ke kota cinta Paris.

Melissa sudah terbaring lesu di atas katil kelamin di dalam bilik itu. Tidak ada masa baginya untuk melihat panorama di sebalik dinding kaca yang tersedia. Jangankan melihat, menyingkap tirai pun tidak dilakukan. Letih. Mungkin disebabkan perjalanan. Boleh jadi juga kesan pil yang ditelannya malam semalam. Mujur Razif tidak bertanya apa-apa. Bahkan segalanya berjalan seperti elok-elok sahaja. Dia dan Razif tetap berjemaah Subuh pada pagi tadi, sebelum dia sibuk membantu menyiapkan hidangan sarapan pagi. Riuh mulut-mulut yang mengusiknya hanya dibiarkan sepi. Hanya Razif yang melayan seolah-olah sudah ada yang telah berlaku antara mereka berdua di ranjang raja sehari semalaman itu.

“Mel...”

Suara Razif memecah kesunyian yang melatari suasana bilik yang suram.

Melissa malas untuk menyahut. Walaupun matanya terpejam namun dia masih sedar dan tetap berada dalam keadaan berjaga-jaga. Biarpun penat tetapi ikatan yang halal ini bisa saja memungkinkan Razif mendekatinya bagi mencari tuntutan yang satu itu. Meski dia maklum Razif bukanlah seorang lelaki yang suka memaksa tetapi realitinya kucing mana yang akan menolak ikan? Apatah lagi ikan itu cukup istimewa dan dihidangkan khusus tanpa sebarang halangan.

“Melissa...”

Suara lelaki itu kedengaran begitu hampir. Meremang bulu tengkuk Melissa. Bila masa Razif memanjat katil kelamin itupun, Melissa tidak sedar. Yang pasti, hidung mancung milik Razif sekarang ini sudah bergesel dengan rambutnya yang mengurai menutupi sebahagian wajahnya. Melissa kaget. Dia jadi kaku. Tidak tahu reaksi seperti apa yang perlu dipamerkan. Kalau dia membalas perlakuan Razif dengan pelukan atau suara yang menggoda, maka anggap sahaja Melissa Zahrah sudah hilang ingatan terkena amnesia. Sudahnya, Melissa pantas bangun! Tertegak di atas katil!

“Erk, saya nak mandi. Nak Maghrib dah ni. Nanti terlepas pula waktu,” Melissa membuka mulut. Dia sudah bangkit dari katil. Menuju ke sudut bilik mengambil kain tuala. Sekilas wajah Razif yang masih terbaring diperhatikan.

“Tak nak ajak saya mandi sekali ke?” Tanya Razif selamba.

Merah muka Melissa. Tak tahu hendak menjawab apa. Sudahnya, dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik mandi. Lagak sudah serupa lipas kudung. Masuk saja di dalam kamar mandi itu, pintu dikunci rapat. Bahagian belakang badannya disandarkan pada pintu yang sudah tertutup. Sambil itu fikirannya ligat. Malam semakin hampir menjelang. Apa yang perlu dia lakukan? Adakah malam ini juga dia mahu menelan pil tidur? Jika diteruskan rancangan itu sekalipun, apakah Razif mampu bersabar memerhatikan sahaja tubuhnya terdampar di peraduan. Tadi pun sudah ada tanda-tanda miang keladi lelaki itu. Baik daripada renungan mahupun kata-kata. Suara Razif kedengaran semacam sahaja. Seakan-akan mahu menggoda Melissa.

**********
Razif sudah meminta Melissa bersiap untuk keluar menikmati hidangan malam. Lelaki itu terlebih dahulu memaklumkan kepadanya untuk keluar sebentar. Ah, baik benar suaminya yang baru dinikahi itu. Mahu keluar sebentar pun diberitahu. Alangkah bahagianya jika dia tidak terdengar perbualan ayahnya bersama Razif beberapa hari sebelum pernikahan. Mungkin dia tidak perlu teragak-agak menerima Razif sepenuhnya sebagai seorang suami. Tetapi mungkin sahaja Tuhan mahu dia terdengar perbualan itu. Dan kerana itu dia tahu mengapa Razif menerima dirinya sebagai isteri.

Melissa mengenakan Maxi Dress bermotifkan flora yang terdedah di bahagian dada. Kemudian diambilnya sehelai pashmina kosong tanpa corak lalu dililitkan bahagian dada dan leher yang agak terbuka itu. Rambutnya dibiar lepas. Wajah disolek nipis. Pelembap bibir dikenakan. Usai memakai anting-anting di sebelah telinga kiri, terdengar pintu bilik terkuak dari arah luar. Melissa menoleh. Razif. Suaminya itu memakai seluar bermuda berwarna coklat dan kemeja cotton putih berlengan pendek. Nampak ringkas. Dia pula yang seperti terlebih berhias, padahal hendak makan di bawah sahaja. Bukannya ada candle light dinner pun!

“Dah siap ke Mel?” Tanya Razif.

Mellisa mengangguk.

“Jom!” Ajak Razif. Tangan kanan dihulurkan kepada Melissa. Hendak tak hendak, Melissa menyambut juga huluran tangan Razif.

Arah langkah pasangan pengantin baharu itu tidak menuju ke arah restoran atau kedai makan. Sebaliknya Razif membawa Melissa ke arah pesisiran pantai. Dari jauh Melissa  sudah dapat melihat kewujudan sebuah meja bulat yang beralas kain putih. Semakin hampir, semakin jelas segalanya pada pandangan mata.  Menu makan malam terdiri daripada makanan laut. Ikan bakar dan air asam, ketam masak cili padi, ikan cencaru sumbat, sambal sotong, kailan ikan masin, kangkung goreng belacan, sambal belacan, budu dan nasi putih yang masih berasap.

Sumbing senyum kecil di penjuru bibir Melissa. Razif menyedarinya.

“Kenapa?” Tanya Razif.

“Tak ada apa-apalah,” Balas Melissa.

“Kalau tak ada apa-apa, takkan awak tersenyum,” Razif tidak mahu mengalah.

“Makanan ni semua. Dah nampak macam makan tengah hari pula. Dahlah duduk tepi pantai, tetapi gaya macam makan dalam rumah,” Melissa sudah mula duduk di kerusi berhadapan dengan meja bulat yang turut dihiasi dengan lilin-lilin aroma terapi itu. Razif yang menarikkan kerusi itu untuknya. Gaya jejaka budiman.

“Awak tak suka ke?” Razif bertanya lagi.

“Eh, tak adalah. Mana boleh tak suka pula. Saya kan tak boleh hidup kalau tak ada nasi. Kebetulan siang tadi tak sempat nak jamah nasi, dapat waktu malam pun jadilah. Tak adalah mengidam,” Melissa senyum sahaja sambil menjawab pertanyaan suaminya itu.

“Aik, saya tak buat apa-apa pun lagi, awak dah nak mengidam?” Razif mula mengarahkan bicara berbaur nakal.

Melissa tunduk. Malu. Sekilas dia memandang ke tepi. Pelayan masih setia di situ. Razif juga memandang ke arah pelayan yang masih setia berdiri berhampiran dengan meja. Kemudian dia bangun dan menghampiri pelayan itu. Ada sesuatu yang disampaikannya. Saat emas seperti itu, tidak diabaikan oleh Melissa. Clutch hijau tua yang dibawanya dibuka. Pil tidur diambil dan dimasukkan ke dalam gelas minuman Razif. Malam ini Melissa terpaksa menidurkan Razif dengan cara itu agar lelaki itu tidak dapat menggaulinya.  Seketika saat Razif berpaling, Melissa berpura-pura melontarkan pandangan ke arah samudera yang sudah likat warnanya. Razif kembali mengambil tempat bertentangan dengan Melissa. Manakala, pelayan yang sedang menunggu sebentar tadi sudah berlalu pergi.

“Tak sangka kita berkahwin kan? Ingatkan masa kecil-kecil dulu saja main pondok-pondok dan kahwin olok-olok semua. Alih-alih memang jodoh kita dah ditetapkan,” Razif memulakan bicara sambil menjamah hidangan.

“Kenapa? Awak rasa terpaksa ke kahwin dengan saya? Ya, la. Perkahwinan ini kan aturan keluarga. Mana tahu awak dah ada pilihan lain tetapi rasa terpaksa atau ada sebab-sebab tertentu yang membuatkan awak terima cadangan ayah saya ni,” Melissa mula mengatur jerat. Pertanyaan yang sedia diberikan pilihan jawapan itu mungkin boleh membantu memberikan penjelasan sebenar di sebalik isi perbualan ayahnya dan Razif yang berterusan menghimpit jiwa dan raga.

“Tak adalah. Buat apa nak rasa terpaksa. Dah ini jodoh saya. Saya terima dengan redha. Perancangan Allah kan, tentu yang terbaik. Buat apa kita nak pertikai dan fikir bukan-bukan? Atau awak yang rasa terpaksa terima saya? Itu yang saya tengok awak kekok semacam semenjak dua ni, lebih-lebih selepas kita nikah,” Giliran Razif pula menuntut jawapan kepada persoalan yang bermain di minda.

“Eh, perut saya rasa semacam la. Awak dah habis kan? Kalau tak ada apa-apa lagi jom naik? Atau awak nak saya naik dulu?” Melissa tidak menjawab pertanyaan Razif. Sebaliknya mencari alasan melepaskan diri.

“Awak naik dululah. Saya nak bayar bil. Saya pun tak tahu tiba-tiba saja mata rasa berat semacam. Rasa pening-pening pun ada!” Razif pula menjawab.

“Kalau macam tu, marilah kita balik sekali. Bil itu, esok pun boleh bayar. Bukan kita nak lari pun kan,” Balas Melissa sambil memimpin Razif kembali ke bilik penginapan mereka. Langkah Razif mula terhuyung-hayang. Barangkali kesan pil tidur sudah menunjukkan kesan. Cepat pula kesannya malam ni.

**********
Entah pukul berapa, tiba-tiba mata Melissa terbuka. Jam di sisi katil dicapai. Pukul 5.15 pagi. Sekejap lagi waktu Subuh akan menjelang. Melissa mula duduk sambil bersandar pada kepala katil. Dilihatnya Razif di sebelah. Suaminya itu masih lena. Melissa sendiri tidak pasti pukul berapa matanya terpejam malam tadi. Diperhatikan wajah Razif yang sudah jauh berlayar ke alam mimpi. Rasa bersalah menggunung kerana lena itu dia yang ciptakan.

“Ah, kalaulah aku tak dengar perbualan ayah dan Abang Razif, mesti aku tak akan buat begini,” Melissa meluahkan rasa hati.
Melissa memandang ke arah Razif lagi. Berapa lama dia mahu meneruskan taktik sebegini. Sehari dia yang telan pil tidur. Hari berikutnya diberikannya kepada Razif tanpa lelaki itu sedar. Esok atau lusa pasti lelaki itu akan sedar juga.

“Apa kata, kalau aku buat seolah-olah malam tadi...,” Idea itu datang secara spontan.

Melissa pantas bangkit. Kaki Razif dipicit perlahan. Lelaki itu tidak memberikan sebarang respon. Pantas jari-jemari milik Melissa mula membuka butang baju lelaki itu. Baju Razif sudah ditanggalkan dan dilempar ke lantai. Mata Melissa meratah badan Razif yang tidak berbaju. Liur ditelan kesat. Kemudian tangannya mula membuka tali pinggang yang dipakai Razif. Menggigil tangan Melissa tatkala menarik zip seluar suaminya. Matanya dipejam. Selesai menanggalkan seluar Razif, dilemparkannya ke sisi katil. Kemudian, Melissa pantas mencapai selimut lalu menutup bahagian tubuh suaminya yang terdedah seksi yang sekadar  mengenakan boxer. Langkah seterusnya, direnyukkan cadar. Sebiji bantal dicampakkan ke lantai.  Seterusnya, dia mencari gincu merah. Dicalitkan pada cadar. Dibuat gayanya seolah-olah tompokan darah. Selesai semua, Melissa melangkah ke kamar mandi. Saat  pintu bilik mandi tertutup, mata Razif yang terpejam terbuka!

Melissa diam di dalam kamar mandi. Dia hanya berdiri di bawah pancuran air. Titisan air membasahi tubuhnya yang masih berbaju. Perlahan-lahan badannya melurut ke lantai. Dia terduduk di bawah pancuran air itu. Dalam masa yang sama matanya juga turut memuntahkan gerimis. Tidak pernah dia menyalahkan takdir. Tidak layak dia persoalkan ketentuan. Siapa dia? Hanya seorang makhluk biasa yang lemah. Tuhan menciptakan dirinya sempurna pada pandangan mata luar.  Paras wajah yang indah. Matanya yang bundar. Kulitnya yang putih gebu. Lesung pipit di sebelah pipi kiri. Tahi lalat kecil di hujung bibir. Sempurna. Tetapi hanya pada perkiraan semata. Hakikatnya tetap ada yang kurang pada dirinya. Bukankah dia cuma seorang insan biasa? Lalu sudah pasti sempurna itu mustahil untuk didukung oleh makhluk ciptaan seperti dirinya.

Sedari kecil Melissa telah disahkan menghidap penyakit asma. Ada ketikanya dia akan semput teruk tatkala penyakit itu menyerangnya. Namun, semakin meningkat dewasa, kebarangkalian penyakit asmanya bertandang agak kurang sementelahan dia begitu berjaga-jaga. Persekitarannya sentiasa dipastikan bersih. Sama ada dari aspek pakaian mahupun tempat tinggal. Kamar peribadinya sentiasa dijaga rapi. Habuk dan hama dipastikan tiada kerana debuan inilah yang akan berperanan memangkinkan asma di dalam tubuhnya kembali bermaharajalela.  Disebabkan terlalu berhati-hati, maka ada saatnya Melissa terpaksa menolak untuk menyertai aktiviti lasak dan agresif kerana mudah terasa penat. Walau bagaimanapun, Melissa bukanlah seorang yang suka merungut. Tetapi pabila ayahnya berbicara dengan Razif tentang dirinya beberapa waktu sebelum menikah segala kepasrahan hatinya turut berubah. Isi perbualan antara Razif dan ayahnya melontarkan Melissa dalam sebuah persoalan yang sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Zif, Pak Long nak cakap sedikit dengan kamu,” Faisal menahan langkah Razif yang kebetulan baru sahaja singgah di rumah pusaka itu. Melissa dan ayahnya juga baru tiba ke rumah pusaka tersebut. Kedatangan mereka adalah untuk membincangkan hal ehwal berkaitan perkahwinan. Melissa dan Razif.

“Ada apa Pak Long?” Razif melangkah ke arah Faisal. Dia mengambil ruang sofa berhadapan dengan Pak Longnya itu. Mungkin ada sesuatu yang penting yang ingin disampaikan. Hati Razif berteka-teki sendiri lantaran wajah Faisal yang kelihatan serius semacam.

“Begini, Pak Long tahu kamu dan Mel dah kenal dari kecil dulu. Kamu pernah main sama-sama. Membesar bersama-sama dalam rumah ni, sampailah Pak Long bawa Mel pindah dulu. Jadi bila Pak Long usulkan cadangan untuk satukan kamu dengan Mel kepada ayah kamu, Pak Long rasa gembira sangat bila kamu setuju dan ayah kamu pun tiada halangan,” Faisal memulakan bicara.

Razif hanya mendengar. Entah apa pula yang cuba disampaikan oleh Pak Longnya itu. Harap-harap tak ada apa-apa masalah.

“Pak Long hargai kesudian kamu terima Mel, walaupun kamu berdua sepupu. Tetapi ada sesuatu yang Pak Long nak beritahu kamu. Lebih kepada mengingatkan sebenarnya. Kamu tahu Mel ada asma dari kecil lagi. Memang dia nampak sihat, tetapi bila penyakitnya datang, ada masanya dia akan jadi sangat lemah. Dan apa yang Pak Long khuatir adalah keupayaannya menjalankan tanggungjawab kepada kamu. Pak Long bukan menidakkan kemampuan dia. Sebaliknya Pak Long risau, kalau-kalau dia tak dapat memenuhi keinginan kamu. Jadi, sebelum bernikah ni, Pak Long nak khabarlah, andai kata dia tak mampu jadi isteri yang sempurna, janganlah kamu sakiti dia. Dia dah tak ada siapa-siapa Zif, selain Pak Long ni. Esok atau lusa Pak Long dah tak ada, kamulah satu-satunya harapan Pak Long untuk menjaga Mel,” Tubir mata Faisal bergenang saat menyudahkan amanat yang disampaikan kepada bakal menantu.

“Pak Long jangan risaulah. Saya terima Mel apa adanya. InsyaAllah, saya akan cuba menjaga dia sebaik mungkin,” Razif menggenggam tangan Faisal, seolah-olah melakarkan sebuah janji.

Di sebalik dinding antara ruang tamu dan ruang rehat rumah pusaka itu ada sebatang tubuh yang menyandar diri. Telinganya mendengar segala isi perbualan. Matanya laju menitis sendu.

Terasa lama di bilik mandi, Melissa menyudahkan apa-apa yang patut kemudian melangkah keluar. Terkuak pintu kamar mandi, Melissa terpandangkan Razif yang sedang duduk di birai katil. Razif hanya bertuala. Melihat Melissa keluar, Razif pula melangkah masuk ke dalam kamar mandi. Dia hanya menonong. Tidak pula berkata-kata, jauh sekali untuk bertanya apa-apa. Sementara menunggu Razif, Melissa mula menyediakan ruang untuk bersolat. Dua helai sejadah dihamparkan. Melissa pula sudah siap sedia memakai telekung. Kain pelekat, ketayap dan baju tanpa kolar berwarna putih disediakan untuk Razif.  Siap semua, Melissa bergerak ke arah katil dan mengemaskan apa-apa yang patut. Sudahnya dia sendiri yang mencipta takkanlah mahu meminta suaminya mengemas pula.

Razif keluar dari bilik air. Melissa hanya memerhati.  Razif memakai pakaian. Melissa mengalih pandangan ke arah lain. Siap Razif menyidai tuala, Melissa bangkit dari duduk. Razif mengambil ruang sejadah di hadapan, manakala Melissa sudah siap sedia di belakangnya. Tangan diangkat seraya lafaz takbir bergema. Sujudlah dua orang hamba kepada Tuhannya di hening subuh.

“Ya Allah, dengan menyebut nama-Mu Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, hidupkan kami dalam iman, matikan kami dalam iman, serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman. Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mengasihani kami semasa masih kecil. Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. Wahai Tuhan kami, Kau kukuhkanlah kasih-sayang antara kami sebagaimana kukuhnya cinta kasih antara Nabi Adam dan Siti Hawa. Kau satukanlah hati kami, Ya Allah. Kau permudahkanlah bahtera pelayaran rumah tangga kami. Kau semaikanlah benih cinta di dada-dada kami yang lahir dengan ketakwaan kepada-Mu. Kau permudahkanlah laluan kehidupan berumah tangga ini kepada kami. Kau kurniakanlah zuriat yang soleh dan solehah buat penyambung generasi kami. Hanya kepada-Mu kami meminta, perkenankanlah permintaan kami Ya Allah,” Panjang doa Razif sesudah menunaikan solat fardu pada pagi itu.

Melissa yang mengaminkan doa sudah tersentuh benar hatinya. Tangan Razif dicapai lalu dikucup. Razif pula membalas dengan kucupan kasih di dahi Melissa. Melissa memejam mata. Lama bibir Razif di situ. Seketika kemudian Razif membaringkan kepala di pangkuan Melissa. Melissa terkejut dengan tindakan spontan Razif, tetapi dia hanya merelakan. Lagipun Razif memang berhak, bahkan lebih dari itupun lelaki itu boleh lakukan.

“Kenapa Mel buat macam tu?” Tanya Razif memecahkan kebisuan di antara mereka. Tangan Razif mula menggenggam jemari Melissa. Merah tangan isterinya itu. Indah warna merah inai menghiasi kulit tangan Melissa yang putih mulus.

“Buat apa?” Melissa membalas dengan pertanyaan kembali. Dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu. Apakah Razif sudah dapat meneka perbuatannya semalam dua ini? Secepat itu?

“Mel, tak perlu pura-pura. Saya tahu awak, masukkan benda dalam minuman saya semalam kan? Saya nampak, tetapi saya biarkan saja. Kalau awak letak racun sekalipun saya akan minum Mel. Tetapi kenapa sampai buat macam tu? Aju Razif lagi.

Melissa masih lagi diam.

“Dan pagi tadi. Saya tak kisah awak tanggalkan pakaian saya, tapi perlu apa sampaikan awak letak gincu semua tu? Apa yang awak takutkan sangat? Kalau awak tak mahu, saya takkan paksa Mel. Bukan sehari dua kita kenal. Awak rasa terpaksa terima saya, ya?” Razif masih lagi mencuba untuk dapatkan sebuah jawapan.

Melissa masih diam. Cuma air matanya kembali menitis. Mutiaranya jatuh terkena wajah Razif. Razif mengangkat kepala memandang wajah Melissa. Spontan tangannya menyapu tubir mata isterinya.
“Tak perlu menangis, Mel. Cuma jawab saja. Kita perlu berbincang. Jangan pendam masalah seorang diri, Mel. Inai di tangan pun masih merah. Tak perlu kita nak mulakan perhubungan ini dengan duka lara Melissa,”  Razif terus bermadah.

“Saya tak sempurna, awak. Saya ada penyakit. Saya tak mampu nak jadi isteri yang baik. Awak terima saya sebab rasa hormat kepada ayah saya kan? Saya sendiri pun tak pasti sejauh mana dapat puaskan awak. Saya rasa teruk sangat. Awak tahu tak bagaimana rasanya bila jadi orang yang tak berguna?” Melissa berlagu sendu.

“Mel, saya memang hormatkan Pak Long. Tapi itu bukan sebabnya saya terima awak. Saya dah lama suka pada awak, Mel. Rasa sayang dari kecil memang bercambah jadi cinta. Cuma bila masing-masing dah dewasa kita sudah jarang bertemu. Tapi itu tak bermakna saya dah lupakan semua kenangan lama. Bila ada apa-apa majlis di kampung, mesti saya tercari-cari awak. Memang saya tak pernah lafazkan kata cinta, tapi mata saya tak pernah bohong Mel. Mata saya ini memang penuh dengan rasa kasih dan cinta pada awak,” Razif membalas luahan rasa Melissa.

“Jujurnya, memang saya pun sayangkan awak. Sebab itu saya terima cadangan ayah tanpa halangan. Tapi selepas terdengar perbualan antara awak dan ayah tempoh hari, saya rasa takut sangat. Saya takut kalau-kalau tak dapat jadi isteri yang sempurna disebabkan penyakit saya tu. Sebab itu saya masukkan pil tidur dalam minuman awak. Malam kita kahwin pula, saya sendiri yang telan dua biji. Saya takut sangat kalau-kalau saya tak dapat nak layan awak di tempat tidur,” Melissa menyuarakan kebimbangan hakikinya.

“Astaga, Melissa! Awak ingat perkahwinan itu hanya untuk tuntutan batin semata-mata? Memang saya tak nafikan, hubungan seksual itu merupakan antara satu faktor seseorang itu berkahwin. Tetapi bukan semata-mata kerana itu sahaja semua orang berkahwin, Mel. Lagipun, dunia perubatan tak ada kata pun penyakit asma boleh jejaskan hubungan kelamin. Hanya awak sahaja yang fikir lebih-lebih, kemudian pendam dan ambil tindakan sendiri. Kalaupun ada masalah, kita akan hadapinya sama-sama. Saya takkan tergamak tinggalkan awal, Mel. Seorang lelaki yang menerima isteri dia semata-mata kerana memberikan kepuasan batin itu bukan suami namanya, Mel. Dan saya hanya mahu menjadi suami kepada awak. Satu-satunya wanita yang saya cinta,”

“Saya minta maaf awak,” Melissa mencapai tangan Razif dan mengucupnya. Air matanya berjurai. Menyesal mengambil tindakan sendiri tanpa berbincang terlebih dahulu. Bukankah setiap masalah itu pasti ada penyelesaiannya. Jika tidak ketemu sekalipun, bukankah kepada Dia disuruh berserah?

“Saya maafkan awak, Mel. Tapi dengan syarat, panggil saya abang ya, selepas ni. Panggilan itu pengikat kasih suami isteri,” Razif membuat permintaan.

“Itu aja? Baiklah abang! Mel, akan panggil abang sebagai abang selepas-selepas ni, ya abang?” Melissa cuba bercanda. Kembali kepada perwatakan asalnya.
“Hah, macam inilah Melissa yang abang kenal. Sayang isteri abang ini, tau. Sayang, tadi sayang cakap, sayang risau fasal benda itu kan? Jom, kita cuba! Belum cuba belum tahu kan?” Razif mengenyit mata kepada Melissa dengan senyum herot di bibir.

Melissa malu. Kalau dah perempuan namanya, memang segan itu akan ikut walau ke mana-mana. Apatah lagi dalam hal-hal yang sebegini. Dalam pada malu itu tangan Melissa sempat lagi dibawa ke bibir Razif. Senyum lelaki itu disentuh dengan hujung jemari. Merah inai di jarinya bersatu dengan merah bibir Razif. Bagaikan mendapat persetujuan, Razif pantas merangkul Melissa dan mencempungnya ke arah peraduan. Pagi ini katil akan berselerak lagi. Kali ini seleraknya betul-betul bakal terjadi dan bukannya sebuah lakonan lagi!

**********

5 Komentar

Write Komentar
28/10/13 9:01 PTG delete

@Kelana Cinta Hehe.. Naper En Kelana :P

Reply
avatar
Tanpa Nama
AUTHOR
1/3/15 4:17 PG delete

Wow..best sgt2..

Reply
avatar
Tanpa Nama
AUTHOR
7/9/15 12:32 PTG delete

Best juga....

Reply
avatar